Isnin, 30 Julai 2012

Tip Khatam Al-Quran: Hari Pertama ~ 10

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


TIP KHATAM AL-QURAN SEBULAN RAMADAN



Hari pertama:
  •  surah al-Fatihah ayat 1-7
  • surah al-Baqarah ayat 1-141
Hari ke-2:
  • surah al-Baqarah ayat 142-252
 Hari ke-3:
  • surah al-Baqarah ayat 253-286
  • surah Ali 'Imran ayat 1-92
 Hari ke-4:
  • surah Ali 'Imran ayat 93-200
  • surah an-Nisa' ayat 1-23
 Hari ke-5:
  • surah an-Nisa' ayat 24-147
 Hari ke-6:
  • Surah an-Nisa' ayat 148-176
  • Surah al-Maidah ayat 1-81 
 Hari ke-7:
  • Surah al-Ma'idah ayat 82-120
  • Surah al-An'am ayat 1-110 
 Hari ke-8:
  • Surah al-An'am ayat 111-165  
  • Surah al-'Araf ayat 1-87
Hari ke-9:
  • Surah al-'Araf ayat 88-206
  • Surah al-Anfal ayat 1-40
Hari ke-10:
  • Surah al-Anfal ayat 41-75
  •  Surah at-Taubah ayat 1-92

SELAMAT MEMBACA  AL-QURAN; 
PETUNJUK SEPANJANG ZAMAN


Ahad, 29 Julai 2012

Macam-macam Rasa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang



Hari ini ibu ingin meluah rasa. Rasa yang bercampur-baur; gembira, sedih, gusar, geram, marah dan bermacam-macam lagi. 

Ujian percubaan UPSR dahpun berakhir Khamis lepas. Walaupun tahun ini tiada anak ibu yang menduduki UPSR, tahap kerisauan ibu tetap tinggi. Ibu masih ada 35 orang anak didik yang bermacam-macam ragam; masih berdondang sayang walaupun UPSR dah terlalu hampir. 

Calon UPSR sekolah ibu tahun ini seramai 135 orang. Macam-macam karenah dan masalah yang terpaksa dihadapi. Hari pertama peperiksaan, tiga orang calon tidak hadir (dua daripadanya dah berbulan tak hadir tanpa sebab). Guru kelas yang prihatin menghubungi ibu bapa. Apabila dimaklumkan yang anak perlu menduduki ujian, datanglah si bapa menghantar si anak (agaknya, apa yang ibu rasa?)

Rupa-rupanya masalah tidak berakhir di situ. Si anak membatukan diri; tak mahu menjawab soalan peperiksaan. Terpaksalah sekali lagi guru-guru menahan sabar, memujuk dan terus memujuk. Namun, almaklum jelah. Yang hadir setiap hari belum tentu dapat menjawab dengan baik, apatah lagi yang suka-suka hati bercuti dah berbulan-bulan (kalau kalian berada di tempat ibu, apa yang dirasakan?)

Hari kedua, masalah lain pulak timbul. Seorang lagi murid tidak hadir. Rupa-rupanya sekeluarga terlewat bangun dan anak terus tak datang ke sekolah. Apabila dimaklumkan yang anak perlu ke sekolah untuk menduduki peperiksaan, barulah si ibu dan ayah tahu yang anak sedang menduduki ujian (sabar je lah...) Lebih kurang pukul 9.40 pagi, barulah murid ini muncul di sekolah (faham-faham jelah apa yang ibu rasa).

Hari Jumaat ibu dah siap menyemak kertas peperiksaan. Walaupun sibuk, terpaksa juga luangkan masa agar dapat kenal pasti kelemahan anak didik untuk diperbaiki dalam masa yang singkat ini. Cadangnya, ingin berbincang tentang kelemahan mereka semasa kelas tambahan hari Sabtu. Sekali lagi ibu rasa amat kecewa. Hampir sepuluh orang murid tidak hadir.

Namun demikian, kesungguhan beberapa orang murid menyejukkan hati ibu. Nampak kesungguhan mereka semasa sesi pembelajaran di kelas serta melalui kerja-kerja rumah yang diberikan. Hasilnya, keputusan peperiksaan mereka amat menggembirakan ibu. Alhamdulillah..

Bukan sengaja ibu luahkan rasa di sini. Bukan mahu mendedahkan kelemahan orang, apatah lagi membuka aib. Ibu bukanlah ibu yang sempurna. Masih banyak kekurangan di sana-sini. Ibu sekadar ingin berkongsi cerita, berkongsi rasa. Tanggungjawab ibu bapa bukan sekadar memberi makan, pakai dan tempat tinggal. Ingatlah bahawa perjalanan anak-anak kita masih jauh. Apakah yang kita bekalkan untuk mereka menjalani hidup yang makin mencabar?

p/s: Sekadar meluahkan rasa.


Kasih Sayang Allah

Jom baca pesanan daripada Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood yang ibu copy daripada fb beliau.
 
Bila Allah cepat makbulkan doamu, 
maka DIA menyayangimu,
Bila Allah lambat makbulkan doamu, 
maka DIA ingin mengujimu,
Bila Allah tidak makbulkan doamu, 
maka DIA merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah
 dalam apa jua keadaan pun
kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaan-Nya.



Sabtu, 28 Julai 2012

Salam Ramadhan:Giveaway by Jemari Suri

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Kali ini ibu nak join segmen anjuran Jemarisuri ni..


Hadiahnya best tau!
Bagi yang nak join, sila klik banner di atas.

Ibu tag semua pengunjung iBu BeRBiCaRa

Jom kita kasi gegar GA Jemarisuri ni..


Bersyukurlah..


Apabila seorang hamba Allah jatuh sakit, Allah akan utuskan 4 malaikat:
  1. Malaikat pertama akan mengambil SELERA MAKANNYA
  2. Malaikat kedua akan mengambil RESEKINYA
  3. Malaikat ketiga akan mengambil KECANTIKAN WAJAHNYA (pucat)
  4. Malaikat keempat akan mengambil DOSANYA
Apabila telah sampai waktu yang telah Allah tetapkan untuk kamba-Nya kembali sihat, Allah akan menyuruh Malaikat Pertama, Malaikat Kedua dan Malaikat ketiga supaya memberi balik apa yang telah diambil oleh mereka. Akan tetapi, Allah tidak menyuruh Malaikat Keempat memberi balik dosa hamba-Nya tersebut. Subhanallah, betapa MULIA dan BAIK HATInya Allah terhadap kita. Janganlah bersangka buruk terhadap Allah ketika sakit, bersyukurlah dan ucaplah Alhamdulillah ke atas-Nya. Sesungguhnya, setiap kesakitan itu adalah penghapus segala dosa.





Khamis, 26 Julai 2012

Jom.. Kibarkan Jalur Gemilang

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Isnin lepas, Panitia Pendidikan Islam sekolah ibu telah mengadakan majlis penyampaian cenderahati buat murid-murid yang berpuasa pada bulan Rejab dan Syaaban. Telah menjadi kebiasaan di sekolah ibu, murid-murid yang berpuasa pada bulan Rejab dan Syaaban diberikan penghargaan. Lebih seratus orang murid tahun 1- 6 telah menerima cenderahati ini.

Pada hari yang sama juga, Kempen Kibarkan Jalur Gemilang dan Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-55 telah dilancarkan. Sepatutnya pelancaran dibuat pada hari Jumaat minggu lepas. Namun, pagi Jumaat tu hujan renyai-renyai. Jadi, program terpaksa ditunda ke hari Isnin. 




Bukan main bersemangat lagi si bujang ibu; Faiq 
mengibarkan Jalur Gemilang bersama rakan-rakan barunya.
Cer teka yang mana satu Faiq.

Kepada yang belum kenal, inilah putera bongsu ibu tu.. 



Jom, sama-sama kita kibarkan Jalur Gemilang..


**Maaf lah sebab gambar-gambat kat atas ni kelabu asap je.. Tuan kamera belum sempat menuntut ilmu..


Terima Kasih, Teman..


Jika semalam ibu gembira kerana Rezeki Ramadhan
hari ini hari gembira lagi buat ibu.
 

Rakan maya ibu dah mencecah angka seratus.
Orang lain dah beribu-ribu, tak kisahpun kan.
Tapi ibu cukup kisah dengan angka 100 tu.
Ibu amat menghargai kehadiran setiap rakan di teratak maya ibu ni..
Terima kasih buat semua..


Rabu, 25 Julai 2012

PM Umum Bonus Setengah Bulan

Alhamdulillah..





Rezeki Ramadhan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Balik dari sekolah semalam tergerak hati untuk jenguk blog yang dah berhari-hari tanpa entry baru. Tengok di sidebar ternampak yang JeMaRi AsMaRa dah keluarkan Keputusan Penuh Penyu Menangis Giveaway @ Jemari Asmara. Apa lagi, ibu terus terjah ke sana. 


Terkejut ibu apabila lihat keputusan ni.. 

v


v


v


v


v


 v



Ibu tak menjangkakan yang ibu akan menang (walaupun berharap sangat untuk menang sebab sangat tertarik dengan hadiahnya tu..). Ibu memang suka berkunjung ke JeMaRi AsMaRa. Setiap kali bw, Jemari Asmaralahlah antara blog yang ibu terjah dahulu. Ibu suka baca entry di JeMaRi AsMaRa. Penulisannya bersahaja dan sering mencuit hati. Jadi  tidak hairanlah kalau ibu jadi antara pengomen tegar @ JeMaRi AsMaRa. 


Terima kasih buat penganjur Penyu Menangis Giveaway @ Jemari Asmara. Ibu doakan Zefa sentiasa dimurahkan rezeki dan bahagia di samping keluarga. Terima kasih, terima kasih, terima kasih. 


p/s: Akak dah pm alamat ke FB Zefa. Tqsm..


Ahad, 22 Julai 2012

Lawatan ke Tanah Serendah Sekebun Bunga

Pada 22 dan 23 Jun yang lalu ibu dan rakan-rakan yang terlibat dengan program kecemerlangan tahun 6 dan penggubal-penggubal soalan daerah Jerantut telah menyertai lawatan ke Kelantan Darul Naim yang terkenal dengan jolokan Tanah Serendah Sekebun Bunga. Turut serta adalah beberapa orang AJK Majlis Guru Besar dan pegawai PPD daerah Jerantut.

Lawatan ini adalah ganjaran buat kami atas kecemerlangan daerah ini dalam UPSR tahun lepas. Kami bertolak pukul 8.00 pagi. Alhamdulillah, perjalanan ok sehinggalah kami berhenti rehat di Hentian Rehat Gua Musang. 


Hentian Rehat Gua Musang l Google image

Kelihatan masih baru. Surau, tandas dan persekitarannya cukup bersih. Memang puas hati. Sebenarnya, ada cerita di sini. Sebaik bas tiba di sini, sebuah tayarnya pancit. Jadi, sepas solat dan makan kami terus menuju ke bengkel.

 Sejam juga kami menunggu di sini

Kami tiba di tempat penginapan lebih kurang pukul 5.00 petang. Kemudian, 
ibu dan beberapa orang rakan terus je ke sini..

 Sudah tentu ke Pasar Siti Khadijah. Kami tiba dah petang, jadi banyak gerai yang dah tutup.

 

 

Sampai je di sini, mulalah lupa diri. Macam-macam yang berkenan. Namun, memandangkan kain-kain yang ibu beli ketika Cuci-cuci Dompet @ Pasar Payang belum berjahit, ibu kuatkan hati agar tak tergoda. Ibu hanya beli telekung dan beberapa helai kain batik dan pelikat di sini. Ada antara rakan yang siap beli kain pasang dan baju Melayu raya sedondon anak-beranak.  

Malamnya, aktiviti membeli-belah lagi di Wakaf Che Yeh. Namun, ibu dan beberapa orang rakan tak ikut serta. Ibu sakit kepala yang teramat hingga tak mampu bertahan. Lepas telan ubat, terus zzzzzzz... 

Keesokannya, kami ke pejabat operasi Zoom A yang terletak di bandar Kota Bharu. Di sini, kami mendengar taklimat tentang penggubalan soalan untuk Program Zoom A. Ibu pernah buat entry tentang Zoom A di sini. Pihak Zoom A jugalah yang menaja sarapan, makan tengah hari dan makam malam kami di sini. Makanannya memang sedap. (Ibu pernah ke sini penghujung tahun lepas)

 
Ibu bersama rakan-rakan selepas sesi taklimat berakhir


Dari sini sepatutnya kami bertolak pulang. Namun atas permintaan ramai, kami berpeluang ke Rantau Panjang. Masa yang diberikan untuk membeli-belah di sini tidak lama memandangkan perjalanan pulang yang jauh. Di sini ibu hanya sempat beli t-shirt untuk dua bujang ibu, Faiq dan Faiz. Kemudian, kami sempat singgah untuk solat di Masjid Beijing.

Masjid Beijing l Google image

Kami tiba di Jerantut dah hampir pukul 1.00 pagi. Lawatan yang memenatkan tapi banyak pengetahuan yang diperoleh.

P/s: Ada janji manis buat kami; lawatan ke Sarawak tahun depan andai kami dapat meningkatkan kecemerlangan UPSR tahun ini.


Sabtu, 21 Julai 2012

Tentang Pengetahuan


Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah yang bermanfaat. Tidak ada baiknya pengetahuan yang tidak bermanfaat dan tidaklah dapat dimanfaatkan pengetahuan yang tidak wajar dipelajari. (Ali bin Abi Talib

Seseorang yang berpengetahuan semestinya memiliki wibawa, ketenangan, dan rasa takut kepada Allah. Ilmu adalah 'nur' yang tidak akan menerangi, kecuali untuk pemilik hati yang patuh kepada Allah. Allah meletakkan semua manusia di tempat yang sama, tetapi ilmu yang mereka miliki menjadikan tempat mereka berbeza.

Sesiapa yang menyatakan telah mencapai batas akhir pengetahuan, maka dia telah menampakkan batas akhir kebodohan.

Sedikit pengetahuan yang dilaksanakan jauh lebih berharga daripada banyak pengetahuan tapi tidak digunakan. (Khalil Gibran)


Jumaat, 20 Julai 2012

Marhaban Ya Ramadhan..



 Ramadan datang lagi. Alhamdulillah, kita dipanjangkan usia, 
diberi nikmat masa dan kesihatan untuk meningkatkan ibadah sepanjang 
bulan yang penuh rahmat dan keberkatan ini.

Pada kesempatan ini ibu ingin mengucapkan selamat menyambut 
Ramadan dan selamat berpuasa kepada semua pengujung iBu BeRBiCaRa
Marilah kita sama-sama menghayati erti Ramadan yang sebenarnya.


Rabu, 18 Julai 2012

Jangan Tidur Lagi..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang



Petang tadi ibu ada kelas tambahan. Walaupun agak penat, melangkah ke sekolah semula petang tadi dengan semangat yang berkobar-kobar. Ibu gembira kerana dalam ujian baru-baru ni, beberapa orang anak didik menunjukkan peningkatan yang cukup memberangsangkan. Walaupun hanya sebahagian kecil namun amat bermakna buat ibu. 

Selalunya semasa ibu tiba, kelas bagai nak roboh dengan riuh rendah suara murid-murid walaupun dah dibekalkan dengan kerja. Kemudian, melangkah masuk ke kelas, pasti aduan datang bertalu-talu. Si A kata B bermain, B kata C bising, C kata D main ejek-ejek dan macam-macam lagi.  

Hari ni, suasana kelas sunyi dan sepi. Semuanya tekun menyiapkan kerja. Sejuk hati. Bukan mudah nak dapatkan suasana begitu. Agaknya, kejadian pagi tadi dah menyedarkan mereka. 

Pagi tadi beberapa kali ibu bersalin kulit semata-mata nak beri kesedaran kepada anak didik yang masih diulit mimpi walaupun UPSR dah terlalu hampir. Sekejap ibu jadi pakar motivasi, kemudian bertukar jadi ustazah. Ada ke patut, sedang ustazah bagi tazkirah ada yang main-main; sengeh kiri sengeh kanan. Apa lagi.. ustazah bertukar rupa jadi ibu tiri. Dalam pada itu, ada lagi yang cuit sana cuit sini. Terus ibu tiri menjelma jadi tarzan. Masa ni, semua terkedu. 

Dah tak tau nak nasihat macam mana, akhirnya ibu buat rayuan. Merayu agar semua 35 orang anak ibu buat perubahan sikap dan memandang ke hadapan. Kemudian, ibu bagi kata-kata hikmah kat atas ni.

P/s: Sedihnya mengenangkan nasib anak bangsa. Apa nak jadi kalau nak datang atau tidak ke sekolah ikut selera sendiri je. 


Wordless Wednesday #1 : Solat dan Dosa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang






Selasa, 17 Julai 2012

Suci Hati, Tinggi Prestasi..

Petang tadi, ibu menghadiri ceramah anjuran Kelab Kebajikan Guru dan Kakitangan (KEBIRU) sekolah ibu. Ceramah oleh Ustaz Rujhan Mohd Razali bermula pukul 3 petang dan berakhir pukul 5.15 petang. Tajuk ceramahnya adalah "Suci Hati, Tinggi Prestasi".

Ini adalah kali ketiga Ustaz Rujhan dijemput mengadakan ceramah di sekolah ibu. Kali pertama, ibu belum berpindah ke sekolah ini. Kali kedua pula, ibu berkursus. Jadi, ini merupakan julung-julung kalinya ibu menghadiri ceramah Ustaz Rujhan. 

Ustaz Rujhan tidak asing lagi bagi warga Pahang. Ceramah beliau selalu berkumandang melalui slot Ceramah Pilihan di Radio Malaysia Pahang yang ke udara setiap hari pukul 1.30 - 2.00 petang. Kebiasaannya, ibu dengar semasa dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Ceramah hampir 2 jam rasa terlalu singkat lantaran penyampaian ustaz yang menarik. Gambarpun ibu terlupa nak snap. 

Kredit: Google image

  Kata-kata menarik yang ibu petik daripada ceramah beliau tadi..

P/s: Akhir-akhir ni ibu agak sibuk. Tak sempat nak buat kunjungan balas. Kepada follower baru Ibu Berbicara, terima kasih sudi menjadi rakan maya ibu. Terima kasih juga buat teman-teman setia ibu.


Khamis, 12 Julai 2012

Lawatan Penandaarasan ke SK Convent Kota

Lawatan penanda aras SK Temin, Jerantut ke SK Convent Kota, Taiping, Perak ini telah lama berlalu. Sengaja ibu abadikan di sini sebagai kenang-kenangan. Lawatan ini diadakan semasa kami sibuk membuat persiapan untuk anugerah sekolah cemerlang peringkat kebangsaan. 
Sampai je terus bergambar.Bersama guru besar SKCK (tengah berbaju jalur hitam-krim). Macam biasa, kalau bergambar ramai-ramai macam ni kedudukan ibu dah tentu di tengah, barisan  belakang sekali.

 
Model-model tak berbayar.

Malamnya kami ke sini. Macam budak-budak pulak. hehe
 
Inilah tempat kami menginap..

Keesokannya sesi mengempiskan dompet.
Antara rakan yang paling banyak simpan duit kat sini. Ibu kurang minat dengan pasu tembikar. Jadi, di sini ibu hanya beli cenderamata untuk emak dan adik-adik. 

Kemudian, kami ke Kuala SepetangSebut Kuala sepetang, tentu ada yang dapat agak tujuan kami ke sana.
Masing-masing tak sabar menanti..

Apa lagi kalau bukan mi udang. Sayangnya, ibu bukanlah penggemar udang. Jadi, ibu makan mi je, udangnya pas kat kawan-kawan. Akhirnya, tak habis juga sebab mi pun dah rasa udang.

Dalam perjalanan balik kami singgah di sini..


Ada lagi beberapa tempat yang kami kunjungi tapi sayang takde gambar. Jadi, tak perlulah diceritakan.

Banyak pengetahuan yang kami peroleh daripada lawatan ke SKCK. Balik dari sini, kami meneruskan persiapan untuk anugerah sekolah cemerlang. Alhamdulillah, akhirnya sekolah ibu berjaya juga meraih anugerah tersebut.

P/s: Ingatkan lepas dapat anugerah tu dah boleh rehat-rehat. Rupa-rupanya bertanding pulak untuk sekolah kluster kecemerlangan. Untuk itu, kami melawat lagi. Insyaallah, nanti ibu kongsikan ceritanya.


Rabu, 11 Julai 2012

Segmen: Sahabat Alam Mayaku..

@ Mama QS bercerita

Sebenarnya, awal-awal lagi ibu nak join segmen ni tapi disebabkan mamaQS dah letak 'pengawal' kat gambar-gambar di blognya (pinjam ayat Kakcik Seroja), ibu tangguhkan dulu hasrat tu. Bukan apa, nak printscreen gambar-gambar tu cerewet sikit. Kebetulan masa tu ibu agak sibuk

Malam tadi semasa jalan-jalan ke Mama QS @ bercerita, ibu teringat pasal segmen ni. Akhirnya, ibu berjaya copy header dan banner sebab 'pengawal2' tu dah takde. (jangan marah ye mamaQS.. saje nak usik2 manja..)


Inilah header blog mamaQS yang comel..

  
 Jadi, apa tunggu lagi.. 
Jom kita join segmen ni..


Bagi yang nak join dan ingin tahu syarat-syaratnya,
sila klik banner di atas.

Selamat bersegmen..


Mutiara Kata ♥ Telinga

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang



Selasa, 10 Julai 2012

Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Tahun lalu, Kementerian Pelajaran mencatat nama dalam 'Malaysia Book of Record' melalui program Larian Serentak 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia yang dijayakan oleh 4.1 juta pelajar daripada 9,980 sekolah di seluruh negara. Hari ini pula, kira-kira 3.6 juta pelajar seluruh negara melakar nama dalam MBR dengan menyertai program Senamrobik Serentak 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia yang berlangsung serentak di 10,000 sekolah di seluruh negara. 

Sekolah ibu tidak ketinggalan dalam menjayakan program ini yang merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan dasar 1Murid 1Sukan yang diperkenalkan tahun lalu. Semua murid yang terdiri daripada murid-murid prasekolah hingga murid tahun enam seramai lebih kurang 750 orang mengambil bahagian. Tidak ketinggalan guru-guru dan staff sokongan serta ibu bapa yang hadir.

Acara senamrobik berjalan selama sejam bermula jam 8.00 pagi.  
 




Selepas acara senamrobik ni, berlangsung pula perlawanan akhir Sukan 1Malaysia. Acara yang terlibat ialah bola baling bagi murid perempuan dan bola sepak (dah tentulah untuk murid lelaki kan..) Perlawanan peringkat awal telah diadakan setiap petang Rabu. Sayang.. ibu terlupa snap gambar. Maklumlah teruja kat tepi padang sebab kelas ibu terlibat dalam kedua-dua perlawanan. 

P/s: Baru terima perkhabaran sedih. Seorang rakan lama ibu di SK Sawah Dato', Mersing telah kehilangan suami yang pulang mengadap Ilahi semalam meninggalkan 6 orang anak. Moga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Salam takziah buat Ani dan anak-anak.


Isnin, 9 Julai 2012

Mak Ungku Azah Aziz Meninggal Dunia

Al-Fatihah


KUALA LUMPUR: Tokoh budaya, Azah Aziz, isteri kepada Profesor Diraja Ungku Aziz dan ibu kepada Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, meninggal dunia di sini hari ini.

Menurut seorang anggota keluarga terdekat, Azah Aziz atau nama penuhnya Sharifah Azah Mohamed Alsagoff 83, meninggal dunia kerana sakit tua dan angin ahmar kira-kira jam 10 pagi ini. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas solat Asar.

Terdahulu, solat jenazah disempurnakan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Sidiq, Bangsar. – sumber

Takziah buat Pak Engku, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan seluruh kaum kerabat. 

Al- Fatihah....




Kenangan Lalu @ KBTC

Hari ini ibu nak mengimbau kenangan lalu. Kenangan zaman muda.


v


v


v


v


v


v


v


1 PM3

3 PM3

Gambar-gambar di atas ialah gambar semasa ibu menuntut di Maktab Perguruan Kota Bharu (kini Institut Perguruan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu). Gambar paling atas semasa ibu dalam semester 1. Ketika ni ibu berusia 19 tahun. Gambar bawah pula semasa ibu dalam semester 3.

Rindu sangat pada rakan-rakan ibu ni. Maklumlah, dah hampir 23 tahun kami tak bersua muka. Namun, Alhamdulillah dengan adanya FB dapat juga ibu berhubung dengan hampir 2/3 daripada rakan-rakan ibu ni. 

**Cuba teka yang mana satu ibu dalam kedua-dua gambar ni..


Ahad, 8 Julai 2012

Hanya Dua Bulan Lagi..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang



Sekejap je bulan Julai dah bertamu. Bermakna tinggal hanya lebih kurang dua bulan je lagi untuk murid-murid tahun 6 membuat persediaan untuk UPSR. Untuk pengetahuan, tarikh peperiksaan UPSR tahun ini adalah pada 11 - 13 September.

Dua bulan bukanlah tempoh yang lama kerana dalam tempoh itulah kita akan berpuasa dan beraya. Faham-faham jelah kalau dah raya. Akan adalah yang raya sakan sampai lupa peperiksaan penting sedang menanti. 

Seperti biasa, apabila bulan Julai menyapa, guru-guru tahun 6 pasti makin sibuk. Dalam tempoh yang makin singkat ini, anak didik perlu dibekalkan dengan ilmu secukupnya. Minggu lepas dimaklumkan bahawa pelaporan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) UPSR perlu dihantar pada hujung bulan Julai; tidak seperti kebiasaannya pada bulan Oktober. Jadi, satu lagi tugasan perlu disiapkan dengan segera.

Hari ini ibu menyiapkan borang ini.. 

Borang perakuan calon ini perlu dibawa oleh murid-murid ke dalam dewan peperiksaan pada hari peperiksaan. Jadi, segala maklumat dalam borang ini perlu tepat untuk mengelakkan sebarang kesulitan pada hari peperiksaan.

Sebagai guru kelas, ibu perlu menyemak ejaan nama setiap murid, nombor surat beranak/ kad pengenalan, angka giliran dan menampal gambar murid. Jenuh juga nak menyiapkannya sebab setiap murid memerlukan dua salinan borang. Jadi, kerja ibu hari ini menyiapkan 35 x 2 = 70 borang.

Alhamdulillah, jam 6 petang tadi dah selesai borang untuk 34 orang calon. Hanya tinggal seorang calon yang belum menyerahkan gambarnya walau dah berpuluh beberapa kali ibu minta. Bermakna, tugas ibu yang satu ini belum bereslah..

**Borang ini boleh disiapkan bersama murid-murid, tapi ibu tak nak borang ni comot.


COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA