Isnin, 25 Februari 2013

Faiq di Pertandingan Mewarna Karnival Pendidikan 2013

Sabtu, 23.02.2013 ibu sibuk lagi hinggakan blog ini sunyi lagi tanpa entri. Sepatutnya ibu dan ayah ke sekolah Faiz kerana ada mesyuarat agong PIBG, namun disebabkan ibu ada latihan olahraga di sekolah, terpaksalah ayah ke sana seorang diri.

Latihan olahraga berakhir pukul 10.30 pagi, namun terpaksa menunggu sejam lagi kerana ada ibu bapa yang hanya mengambil anak mereka pada pukul 11.30 pagi. Terlupa agaknya.
 
Pukul 2.00 petang Faiq ke pertandingan mewarna sempena Karnival Pendidikan Palimen Jerantut 2013 di Kolej Komuniti tidak jauh dari rumah. Ibu yang sakit kepala (mungkin kerana berpanas di padang) minta ayah yang temankan Faiq. Walau bagaimanapun, ibu yang berbaring di rumah tak senang duduk (rasanya betul dah ayat tu..) Pukul 4.00 petang ibu ke sana.

Ketika ibu sampai ramai yang dah siap, namun si bongsu ibu ni masih bertungkus-lumus. Sebenarnya, dalam mana-mana pertandingan mewarna, Faiq jarang menyiapkan tugasan. Tak sempat, katanya.
 
Kesian anak bujang ibu ni. Ramai ibu bapa yang duduk di sebelah anak masing-masing untuk memberikan sokongan. Nasib baik ada adik ibu yang menemani anaknya turut beri sokongan kepada Faiq. 
  
Inilah hasilnya. Siap juga lima minit sebelum tamat waktu.

 Bergambar setelah selesai acara penyampaian hadiah. Faiq di belakang sekali bersama peserta-peserta lain.
 
Alhamdulillah, tanpa diduga berjaya juga putera bongsu ibu bawa balik hadiah biarpun sekadar saguhati. Harith, sepupu Faiq juga menang saguhati. Balik je terus ke rumah nenek nak tunjukkan hadiah masing-masing. 

P/s: Moga Faiq juga berbakat melukis macam abang dan kakak-kakaknya.


Ahad, 24 Februari 2013

GIVEAWAY : Gempak Bersama Nazlyizan


Tarikh tutup: 20 Mac 2013
  
Kali ini ibu turut serta dalam giveaway anjuran rakan blogger yang dah agak lama ibu kenali, Nazlyizan. Ibu ditag oleh Sheila untuk join giveaway ini. Terima kasih Sheila. Ibu tag Puan Kutu, Cik Rose dan Cik Nor. Jika berkesempatan, sila join ye..

Kepada rakan-rakan lain, jomlah join sama. Klik banner untuk join.


Misi Bloglist By Cik Zara


Tarikh tutup: 15 Mac 2013

Kali ini ibu turut serta dalam segmen anjuran Cik Zara pula. Ibu ditag oleh Mia. Terima kasih Mia! Nak juga duduk dalam bloglist Cik Zara. Ibu adalah follower ke-488 Cik Zara. Ibu tag MamaQS dan Miz Ruha.

Syarat Penyertaan:
  1. Follow blog Cik Zara
  2. Like Page BlueYarnCrafting
  3. Buat satu entry "Misi Bloglist By Cik Zara" 
  4. Letak banner di atas dan link kan pada entry ini sahaja
  5. Tag dua orang rakan blogger anda dan pastikan mereka tahu
  6. Copy paste link entry anda pada ruangan comment entry ini
Rakan-rakan lain yang baca entri ni bolehlah join sama. Klik banner untuk join.


Jumaat, 22 Februari 2013

Kursus Kepimpinan Pemimpin Muda Sekolah

Assalamualaikum dan salam mesra buat semua. Alhamdulillah, bersua lagi di alam maya.

Semalam, sekolah ibu mengadakan kursus kepimpinan buat para pemimpin muda sekolah yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pengawas Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) serta  Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas. Kursus ini dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan kaunseling dengan kerjasama Unit Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber Sekolah.

Tujuan kursus ini adalah untuk:
  1. memperkembang potensi kepemimpinan dalam diri pemimpin muda
  2. meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam aspek kepimpinan
  3. meningkatkan tahap kesedaran dan tanggungjawab pemimpin muda dan
  4. meningkatkan keyakinan dan harga diri pemimpin muda.
Program bermula pukul 2.00 petang di dewan terbuka sekolah. Nak tak nak, si bongsu ibu, Faiq terpaksa bercuti lagi dari sekolah agama petang. 

Aktiviti "Si Buta Sayang" yang bertujuan memperkenalkan konsep memimpin dan dipimpin. Cer teka, mana putera bongsu ibu...

Sepanjang kursus diadakan dapat dilihat para pemimpin muda ini mempunyai potensi yang cerah sebagai pemimpin masa depan, cuma mereka memerlukan banyak bimbingan, panduan dan tunjuk ajar agar dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan untuk menjadi pemimpin yang berwibawa pada masa depan.

Melalui kursus pendek ini, para peserta didedahkan dengan kelemahan-kelemahan yang mereka miliki dan kaedah untuk menangani kelemahan tersebut. Di samping itu, mereka juga didedahkan dengan beberapa kemahiran penting dalam aspek kepemimpinan.

Diharapkan para peserta dapat memanfaatkan segala ilmu yang diperoleh sepanjang kursus serta dapat mengasah bakat kepimpinan dalam diri masing-masing dari semasa ke semasa.


Khamis, 21 Februari 2013

Terima Kasih Blogger NzA

Assalamualaikum dan salam mesra buat semua.

Seperti yang dijangkakan, semakin hari ibu semakin menyepi dari dunia maya ini. Tengok aje macam hari ni, dah tengah malam barulah berkesempatan menjenguk blog kesayangan. Nak buat macam mana kan.. Tuntutan tugas perlu diutamakan.

Sekarang, sekolah-sekolah sibuk dengan aktiviti kokurikulum. Setiap minggu ada saja acara sukan yang dipertandingkan. Maka, tempiasnya turut terkena pada ibu. Semalam ibu dan rakan-rakan terlibat memilih peserta untuk kejohanan olahraga yang akan berlangsung pada minggu depan. Hari ini sesi latihan dah pun bermula. 

Ibu harap rakan-rakan tidak jemu untuk berkunjung ke sini walaupun kunjungan tidak berbalas. Insyaallah akan ibu usahakan untuk membalas setiap kunjungan.

Dalam kesibukan, Alhamdulillah semalam ibu terima buat tangan dari Vietnam.
Gembiranya hati sebab dapat penanda buku yang amat comel daripada rakan blogger, NzA yang juga merupakan rakan lama ibu. Penanda buku ini adalah cenderahati sebagai salah seorang pengomen terbanyak di blog 4fn1mf

Sebenarnya, NzA adalah rakan paling rapat dengan ibu semasa kami sama-sama mengajar di Sekolah Kebangsaan Sawah Dato', Mersing suatu masa dahulu. Namun, kami terpisah selepas itu sehinggalah dipertemukan kembali melalui dunia maya ini. Ibu pernah buatkan entri khas buat Nza di sini.

P/s: Terima kasih Yah. Akak suka sangat penanda buku tu. Comel...


Rabu, 20 Februari 2013

Mutiara Kata ♥ Ketenangan Hidup #2




Selasa, 19 Februari 2013

Kemaafan: Dendam yang Terindah


Siapa pun kita, setinggi manapun pangkat dan darjat kita pasti ada melakukan kesalahan, kekhilafan, dan kealpaan. Yang membezakannya hanyalah kadar kesalahan yang dilakukan, samada berat atau ringan; sering dilakukan ataupun sebaliknya.

Setelah menyedari kesalahan yang dilakukan, hanya maaf yang mampu dipinta dan hanya kemaafan jugalah yang diharapkan. Situasi begini telah menjadi lumrah dalam kehidupan.

Namun begitu, memberi kemaafan setelah disakiti bukanlah perkara mudah untuk dipraktikkan. Ramai yang sudi memaafkan, namun adakah kemaafan yang diberi bersulamkan keikhlasan? Jika benar, mengapa masih ada yang menyimpan dendam di hati sesudah kemaafan diberi?

Terlalu pedih andai dilukai, namun sampai bila kita akan bawa kelukaan itu bersama. Berbaloikah kita menyiksa diri dan merana atas kesalahan dan ketidaksempurnaan orang lain. Hulurkanlah kemaafan kerana hanya itu yang mampu mengubati sebuah kelukaan, lalu memadamkan segala dendam di hati.

Benar, kemaafan menuntut sebuah pengorbanan yang amat mahal harganya. Pengorbanan merobohkan tembok keegoan. Justeru, perbuatan memaafkan kesalahan orang lain telah dijanjikan dengan ganjaran yang begitu besar sekali. 

“Tidak ada yang Allah tambahkan untuk hamba-Nya yang memaafkan kecuali tambahan kemuliaan.” (HR. Muslim)

Sesungguhnya, kemaafan bukan menunjukkan kita lemah, sebaliknya hanya orang yang tabah mampu memaafkan.





Isnin, 18 Februari 2013

HIJABSTER GIVEAWAY BY SHIDAIZY BOUTIQUE

Tarikh tutup: 9 Mac 2013

Giveaway ini dianjurkan oleh Shiyda Aqma sempena pembukaan SHIDAIZY ONLINE BOUTIQUE. Syarat-syaratnya amat mudah. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk turut serta.

Ibu tag:
Farah dan Iman

Rakan-rakan lain pun boleh turut serta. Sama-sama kita memeriahkan.

P/s: Terima kasih Ruha yang tag ibu untuk giveaway ini.


Segmen: "Pencarian Bloglist February 2013"



Petang ini ibu nak join satu segmen. Segmen anjuran Yuyu ini sangat simple dan Yuyu akan masukkan blog semua peserta ke dalam bloglistnya.

Jom join ramai-ramai sebagai tanda sokongan buat Yuyu. Klik banner untuk turut serta.

P/s: Belum terlambat rasanya nak ucapkan selamat pengantin baru buat Yuyu dan suaminya. Moga bahagia selamanya...



Ahad, 17 Februari 2013

Terus Berjasa Sesudah Mati


Allah menciptakan sesuatu tidak sia-sia. Lihatlah alam di sekitar kita; tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, sungai, tasik, haiwan dan sebagainya. Banyak iktibar yang dapat kita peroleh daripada setiap ciptaan-Nya.

Perhatikan kehidupan sebatang pokok getah. Daunnya nan hijau membekalkan oksigen kepada kita di samping menjadi penyumbang dalam industri kraftangan. Selain susunya yang digunakan dalam industri pembuatan tayar, batangnya pula boleh dijadikan perabot. Di samping itu, buahnya juga amat bernilai.

Bukan itu sahaja, pokok getah juga turut berjasa dengan menjadi habitat kepada pelbagai spesies tumbuhan lain seperti pokok duit-duit, tanduk rusa dan orkid liar. Bahkan, pokok getah terus berjasa sesudah matinya dengan menjadi habitat kepada pelbagai spesies kulat dan cendawan.

Besarnya jasa pokok getah. Jasanya berterusan baik semasa hidup mahupun sesudah matinya. Justeru, marilah kita mencontohi pokok getah.

Maksud sabda Rasulullah SAW, “Selepas kematian anak Adam semua amalannya akan terhenti kecuali tiga; ilmu bermanfaat yang diajarkan, anak soleh yang mendoakan dan amal jariah yang ditinggalkan.” Kita ada banyak pilihan, samada membuat satu, atau dua atau ketiga-tiganya sekali.

Penyampai dan penyebar ilmu tidak hanya terhad kepada pendakwah, pensyarah mahupun guru. Siapapun kita tetap berpeluang untuk berbuat demikian. Ilmu-ilmu agama dan sesuatu yang baik boleh sahaja dikongsikan di laman-laman sosial. Setiap yang membaca lalu mengamalkan atau menyampaikan, pahala akan terus mengalir kepada kita walaupun setelah roh meninggalkan jasad.

Sebagai anak pula sentiasalah berbuat baik kepada ibu bapa. Doakan kesejahteraan mereka baik semasa hayat mereka masih ada mahupun setelah mereka meninggalkan kita. Insyaallah, apabila seorang anak berbuat baik kepada ibu bapanya, anak-anaknya kelak akan berbuat baik juga kepadanya. Ini adalah janji Allah.

Seterusnya, bersyukur dengan rezeki yang diperoleh dengan memanfaatkannya ke jalan yang diredhai. Beramallah dengan melakukan kebaikan yang berterusan seperti membiayai atau melibatkan diri dalam pembangunan masjid, mewariskan al-Quran dan buku-buku agama, menanam pokok sebagai tempat berlindung haiwan dan manusia serta banyak lagi.

Sesungguhnya, setiap daripada kita haruslah bersedia untuk melakukan kebaikan yang tidak akan terhenti dengan kematian. Jadilah seperti pokok getah yang terus berjasa selepas kematiannya. 




Sabtu, 16 Februari 2013

Misi Memulangkan Anak-anak

Assalamualaikum dan salam mesra.

Hari ini kami sekeluarga berjalan lagi. Jika kelmarin kami Memulangkan Ude ke PLKN, hari ini tiba pula giliran menghantar pulang Along dan Angah. Cuti Tahun Baru Cina Angah selama sepuluh hari dahpun berakhir hari ini. Begitu juga dengan cuti semester Along  

Pukul 1.30 tengah hari kami bertolak ke Terengganu. Hari ini cuaca redup dan sesekali terpaksa meredah hujan. Di pertengahan jalan kami terserempak dengan satu kemalangan kecil. Sebuah kereta terbabas ke dalam parit, mungkin disebabkan keadaan jalan yang licin. 

Alhamdulillah kami selamat tiba di Dungun pada pukul 5.30 petang. Selepas makan dan mendaftar masuk ke hotel, kami terus menghantar Angah ke kolejnya. Ketika kami sampai, tiga lagi rakan bilik Angah belum tiba. Maklumlah, masing-masing orang Terengganu. 

Seperti biasa, Hotel Uitm menjadi pilihan kami setiap kali ke Dungun. Memudahkan kami untuk berjumpa dengan Angah semula sebelum pulang esok.

Sekarang kami sedang berehat-rehat sementara menunggu kedatangan rakan-rakan Along  yang dalam perjalanan dari Johor dan Melaka. Mereka akan singgah di sini untuk mengambil Along dan meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Moga perjalanan mereka selamat dan dipermudahkan.

Selepas ini, rumah akan kembali sunyi dengan hilai tawa dan gurau senda anak-anak. Dan tentunya Faiq dan Faiz mula menghitung hari menunggu bila Along dan Angah akan cuti lagi. 


Jumaat, 15 Februari 2013

Memulangkan Ude ke PLKN

Semalam kami jalan-jalan lagi tapi bukan untuk shopping-shoping macam di sini. Destinasi kami ke Kem PLKN untuk memulangkan Ude. Ude mesti sampai sebelum pukul 5.00 petang. Jadi, pukul 2.45 kami memulakan perjalanan. Alhamdulillah perjalanan dipermudahkan dan kami sampai lebih kurang pukul 4.30 petang.

Sayu hati juga nak meninggalkan Ude. Maklumlah dah seminggu bercuti di rumah. Ibu tahu tentu Ude lebih sedih tapi harapan ibu agar kesedihan Ude tidak berpanjangan dengan kehadiran rakan-rakan di sisi. Lagipun selepas ini tentu Ude akan sibuk dengan pelbagai aktiviti sebagai pelatih PLKN.

Sempat lagi bergambar berlatarbelakangkan dorm para pelatih. 
Lima orang permata hati ibu dan ayah. Dari kiri, Along Nur Hanna Liyana, Ude Nur Lina Farhana, Muhammad Faiz Izzuddin, Muhammad Faiq Naqiuddin dan Angah Nur Aimi Ezzati.
 
Pukul 5.00 petang kami bertolak pulang. Hujan di sepanjang perjalanan membantutkan hasrat untuk shopping lagi. Kami hanya singgah di hentian R&R untuk solat dan makan.  

Tiba di Jalan Jerantut-Temerloh berhampiran Kuala Krau, kami terserempak dengan kemalangan jalan raya. Kemalangan melibatkan empat buah kereta dan salah sebuahnya rentung sama sekali. Semasa kami lalu di situ, mayat mangsa kemalangan masih berada di pinggir jalan.

Alhamdulillah, kami selamat tiba di rumah lebih kurang pukul 7.30 malam.

P/s: Esok kami akan berjalan lagi. Kali ini ke Terengganu untuk menghantar Along dan Angah pula. Doakan agar perjalanan kami dipermudahkan.


Terima Kasih Blogger Mar Haini

Entri khas buat blogger Mar Haini. Terima kasih yang tidak terhingga kerana telah memilih ibu sebagai pemenang dalam Pencarian Bloglist 2013 Belog JCB yang Mar anjurkan. Mar telah memilih tiga penyertaan yang paling memikat hatinya sebagai pemenang. Alhamdulillah, ibu antara tiga orang yang terpilih itu. Entri penyertaan ibu di sini.

Sebenarnya, ibu tak perasanpun yang ibu terpilih kerana terlepas pandang entri pemenang di blog Mar. Kemudian Mar ada minta ibu emel dia. Pun ibu masih tidak perasan hinggalah terbaca entri Miz Ruha di sini. Terima kasih Ruha.

Kemudian ibu selongkar entri lama Mar lalu jumpa entri pemenang di sini.

Terima kasih yang tak terhingga buat Mar. Moga dimurahkan rezeki dan bahagia selalu. Juga, moga Mar terus maju dalam dunia blogging ini. Kepada rakan-rakan yang belum mengenali Mar Haini, jemputlah ke Belog JCB. Ibu suka ke blog Mar kerana Mar selalu berkongsi tips-tips keagamaan. 

P/s: Maaf ye Mar sebab ambil masa yang lama untuk postkan entri ni..


Khamis, 14 Februari 2013

Beli-belah di Penghujung Cuti

Memandangkan cuti Tahun Baru Cina hampir berakhir dan anak-anak akan pulang ke tempat belajar masing-masing, semalam kami ambil kesempatan keluar bersama-sama. Lagipun anak-anak dah bosan kerana dah beberapa hari terperap di rumah je.

Kami bertolak agak lewat. Maklumlah, lama menunggu tuan-tuan puteri bersiap. Sudahnya, hasrat ayah untuk servis kereta terpaksa dibatalkan. Destinasi pertama ke Kamdar Temerloh untuk cari kain untuk buat jubah Angah. Sebelum ini ibu dan Angah dah terjah kedai-kedai kain di Jerantut tapi tiada yang berkenan di hati.

Di sini tetap tak jumpa kain seperti yang dihajati, namun masih banyak pilihan lain cuma kualitinya tidak setanding kain-kain yang ibu pernah beli sebelum ini. Harganya buat ibu telan air liur beberapa kali, namun bila tengok ayah cool je, ibupun tumpanglah sekaki. Along dan Udepun tak lepaskan peluang.

Hasil rembatan di Kamdar. Ibu, Along dan Ude tumpang berkaki-kaki..

Kemudian kami ke Star Mall Mentakab. Tujuan utama nak beli baju dan seluar untuk anak-anak bujang. Cepatnya bujang dua orang ni besar. Semua baju dan seluar dah sendat. Baju dan seluar yang beli semasa cuti sekolah Disember lepas je yang masih selesa dipakai

Sampai je terus ke tingkat atas, terlupa yang baju budak di tingkat paling bawah. Sekali lagi, Along dan Ude tak lepaskan peluang. Lepas satu, satu dirembat oleh anak dara dua orang tu. Macam biasa ayah cool je melayan kehendak anak-anak. 

Kemudian kami ke kedai buku Popular. Macam biasa, masing-masing berakar bila di kedai buku. Dah hampir sejam di sini, masing-masing terus memilih dan memilih lagi hinggalah si bongsu mula merengek lapar.
 
Antara hasil rembatan setelah hampir sejam di sini.
 
Angah yang ke sini bermodalkan baucar buku 1Malaysia mendapat kad keahlian setelah berbelanja dengan 3 keping baucar.

Si bongsu memilih untuk makan di KFC. Selesai makan kami ke tingkat atas semula. Along yang sejak mula nak beli sandal boleh pulak terlupa. Sempat juga singgah di tiga buah outlet sebelum jumpa yang berkenan di hati. 

Macam biasa, inilah bekalan untuk dibawa pulang. Belum pernah beli kurang daripada ini. Maklumlah kaum kerabat ramai. Tapi yang ini pinjam gambar encik google je, terlupa snap gambar akibat keletihan. Sampai di rumah dah hampir pukul 10.00 malam. Sekejap je ibu dah terlelap. Anak-anak sempat lagi menonton sambil kenduri donut...

Punyalah lama shopping, tujuan utama tak tercapai. Esok kita pulangkan Ude ke PLKN, bolehlah shopping di Kuantan pula ye Ayah...


Mutiara Kata ♥ Ketenangan Hidup



Selasa, 12 Februari 2013

Kulat Sisir @ Cendawan Kukur Goreng Kering

Jika sebut kulat sisir atau cendawan kukur ibu rasa ramai yang tahu. Bagi yang tinggal di kampung terutama yang tinggal berhampiran kebun getah, kulat sisir tentu tidak asing lagiUntuk pengetahuan, kulat sisir suka tumbuh pada batang pokok getah yang dah mati dan kebiasaannya tumbuh selepas hujan.

Masih ibu ingat ketika zaman kanak-kanak di kampung dahulu, amat mudah mendapatkan kulat sisir ini kerana rumah ibu terletak berhampiran kebun getah. Terasa amat rindu akan suasana meriah ketika bersama emak dan adik-adik mencari kayu api, pucuk paku dan kulat sisir di kebun getah berhampiran. Namun, semuanya kini hanya tinggal kenangan.

Inilah rupa kulat sisir yang telah kering.

Semasa memasak tengah hari tadi teringat kulat sisir yang ibu beli di pasar malam beberapa minggu lepas. Kebiasaannya ibu masak lemak cili api tapi disebabkan kelmarin dahpun makan gulai lemak dan kari di majlis kahwin, jadi hari ini kulat tu ibu goreng je. 

Kulat Sisir @ Cendawan Kukur Goreng Kering  air tangan ibu tengah hari tadi.

Resipi Kulat Sisir @ Cendawan Kukur Goreng Kering

Bahan-bahan:
  • 1 mangkuk/ pot kulat sisir @ cendawan kukur
  • 3 ulas bawang merah
  • 1 batang serai - dititik
  • 6-8 biji cili padi (boleh tambah atau kurang)
  • Sejemput ikan bilis @ udang kering - ditimbuk kasar
  • Garam
  • Minyak
 
Cara Memasak:
  1. Cendawan dibersihkan dan buang bahagian keras pada pangkalnya. Rendam kulat seketika. Bilas dengan air dan perah hingga kering.
  2. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan kunyit hidup hingga lumat.
  3. Masukkan bilis/ udang kering dan tumbuk lagi hingga separa lumat.
  4. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan serai hingga wangi. Masukkan garam dan kacau hingga agak garing.
  5. Masukkan kulat dan goreng hingga agak kering.
*Bagi yang suka Kulat Sisir Goreng Bertelur, hancurkan telur dan masukkan semasa menggoreng.


Sekadar Bercuti di Rumah Sendiri


Assalamualaikum dan salam mesra buat semua.

Ramai yang mengambil kesempatan cuti kali ini untuk pulang bercuti. Tentu seronok dapat berkumpul bersama ibu bapa dan adik-beradik. Tidak kurang juga yang bercuti ke destinasi-destinasi tertentu di seluruh negara mahupun ke luar negara.

Bagi ibu sekeluarga, kami tidak ke mana-mana pada cuti kali ini. Sekadar menghabiskan masa bersama-sama di rumah. Kebetulan, rumah emak dan ayah tidak jauh dari sini. Dapat juga berjumpa dengan adik-adik yang balik bercuti.

Seperti biasa kami mengambil kesempatan sempena cuti ini untuk mengadakan majlis tahlil. Alhamdulillah, majlis telah berlangsung di rumah emak dan ayah malam tadi dengan kehadiran tujuh orang adik ibu bersama keluarga masing-masing. Terasa ada kekurangan kerana dua orang adik tidak dapat hadir bersama.

Ketika inilah rasa sayu dan rindu silih berganti. Rindu kepada arwah kerana tidak lagi dapat bersua muka, sayu atas kehilangan yang tidak dijangka.

Ingin sekali ibu coretkan segala kenangan bersama arwah di blog ini, namun ibu tidak punya kekuatan. Coretan yang tidak seberapa inipun dah buatkan airmata ibu mengalir laju apatah lagi untuk mengenangkan kembali setiap saat kami bersama sejak kecil.

Insyaallah, akan ibu cari kekuatan itu agar setiap kenangan dapat disimpan untuk tatapan anak cucu sebelum segala kenangan terpadam di ingatan mahupun tiba giliran dijemput mengadap-Nya.

Gambar beberapa tahun lepas. Ibu bersama emak, ayah dan sembilan orang adik namun seorang adik telahpun dipanggil mengadap-Nya lebih setahun yang lalu.


Mutiara Kata ♥ Tentang Pengetahuan



COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA