Sabtu, 20 April 2013

Senarai Calon PRU13


Hari ini, 20 April 2013 adalah hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Pusat-pusat penamaan calon kebanyakannya ditetapkan di Pejabat-Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah, Dewan Orang Ramai dan bangunan sekolah.

Proses penamaan calon bermula pukul 9.00 pagi dengan calon menyerahkan kertas pencalonan masing-masing untuk merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun). Pegawai pengurus pilihan raya kemudiannya menyemak setiap kertas penamaan yang diterima dan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding sebaik semua urusan semakan selesai.
  • Untuk mengetahui senarai calon mengikut negeri, sila klik SINI. 
  • Sila klik nama parti di bawah bagi mengetahui senarai calon mengikut parti yang akan bertanding: 

  BN          PAS          PKR          DAP

sumber: BH Online

Ps: Calon mempunyai tempoh 15 hari untuk berkempen.


Jumaat, 19 April 2013

Minggu Antidadah Berakhir Sudah


Assalamualaikum dan salam ceria.

Berakhir sudah Minggu Antidadah peringkat sekolah ibu. Majlis perasmian penutup telah dilsempurnakan oleh Encik Muhammad Faiz bin Mahayudin, Pegawai Khas Pendidikan Pencegahan Dadah PPD Jerantut, semalam.  

Nama saja Minggu Antidadah, sebenarnya program berjalan lebih daripada seminggu. Banyak program yang dijalankan sepanjang minggu tersebut seperti kuiz untuk murid dan guru, pertandingan mendeklamasikan sajak, pertandingan syarahan, pertandingan melukis poster, dan pertandingan mewarna. 

Encik Faiz menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Sebelum itu, diadakan ceramah antidadah oleh pegawai dari Agensi Antidadah Kebangsaan cawangan Jerantut.

Moga matlamat Minggu Antidadah untuk meningkatkan kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam diri murid tentang bahaya dadah /rokok akan tercapai.


SAPS: Semakan Keputusan Peperiksaan Secara Online

Ibu bapa atau penjaga boleh menyemak keputusan peperiksaan anak secara online melalui Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS). 

Untuk melihat slip keputusan, sila ikuti langkah-langkah berikut:
  • Masukkan nombor kad pengenalan atau sijil lahir pelajar (tanpa dash "-" atau space).
  • Pilih sama ada Sekolah Rendah atau Sekolah Menengah dan pilih Tahun peperiksaan.
  • Klik butang Semak Laporan, dan anda akan dibawa ke submenu seperti paparan berikut. 
  • Pilih Jenis Peperiksaan yang ingin disemak samada Peperiksaan Pertengahan Tahun atau Peperiksaan Akhir Tahun.
  • Klik Papar Slip Keputusan untuk melihat analisa markah. Untuk paparan yang lebih terperinci, klik Papar Markah Peperiksaan.

Ps: Moga SAPS dapat membantu ibu bapa memantau perkembangan pembelajaran anak masing-masing.



Rabu, 17 April 2013

Kisah Cikgu Penyayang

Assalamualaikum dan selamat pagi.

Hari berganti hari, namun kesibukan terus melanda. Kesannya, semalam blog ini sepi lagi tanpa entri. Terima kasih yang tidak terhingga buat teman-teman yang masih sudi berkunjung dan meninggalkan komen.

Di samping waktu mengajar yang padat, semalam ibu juga menyiapkan Borang Perakuan Calon bagi calon-calon UPSR 2013. Borang ini amat penting kerana perlu dibawa oleh calon ke dewan peperiksaan. Tahun lepas ibu pernah ceritakan dalam entri Hanya Dua Bulan Lagi.

Ini merupakan kerja rutin guru kelas Tahun Enam. Seperti biasa, tugas yang mudah menjadi sukar apabila ada yang tidak memberikan kerjasama. Untuk mendapatkan dua keping gambar sahaja memakan masa berbulan-bulan. Cikgu memang makan hati sebab banyak tugasan lain yang menanti.

Akhirnya, cikgu hilang sabar lalu membuat pengumuman. "Sesiapa yang belum menyerahkan gambar, saya akan letakkan apa-apa sahaja gambar yang saya suka. Mungkin gambar rimau, singa atau monyet. 

Dalam masa beberapa hari, masalah selesai. Mana tidaknya, cikgu yang penyayang siap tunjukkan gambar binatang-binatang "comel" tu. Hanya tunggu masa nak tampal je...


Isnin, 15 April 2013

Rahsia Alam: Ulam-ulaman

[Google image]

Ulam merupakan sayur-sayuran yang dimakan mentah, dicelur atau direbus sebelum dimakan. Biasanya ulam dicecah dengan sambal, budu atau cencaluk dan dimakan bersama nasi sebagai pembuka selera. 

Ulam diambil daripada pelbagai bahagian sesuatu pokok atau tumbuhan yang boleh dimakan termasuklah pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunganya.

Antara ulam-ulaman yang popular ialah pucuk betik, pucuk gajus, pucuk mengkudu, pucuk ubi kayu, pucuk paku, pegaga, ulam raja, tapak itik, daun selom, daun kesum, cekur manis, kaduk, rebung,  petai, jering, kerdas, kacang botor, buah nangka mudajantung pisang, dan terung pipit.
 
Ulam mempunyai khasiat yang tinggi baik dari segi pemakanan, perubatan mahupun kecantikan. Kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama iaitu kalsium, fosforus, zat besi, natrium, kalium yang terdapat dalam ulam tidak dimusnahkan oleh haba kerana kebanyakan ulam dimakan mentah atau sekadar dicelur seketika. Selain itu, ulam juga membekalkan serat yang amat diperlukan oleh sistem penghadaman manusia.

Jadi, tidak hairanlah ulam-ulaman yang dahulunya hanya terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu di kampung-kampung, kini semakin digemari oleh warga kota termasuk masyarakat bukan Melayu, malah menjadi antara hidangan wajib di hotel-hotel terkemuka.

Memandangkan khasiatnya yang tinggi, maka seboleh-bolehnya, jadikanlah ulam sebagai makanan wajib dalam hidangan. Para petani perlu memainkan peranan penting dengan menanam pokok-pokok ulam secara komersial. Kita sendiri boleh menanamnya di sekitar rumah.


Terengganu, Kami Datang lagi


 
[sumber]

Nampaknya Terengganu telah menjadi rumah kedua kami.Tiga minggu lepas kami bercuti Dua Hari di Kuala Terengganu, sempena cuti sekolah sambil menjenguk Along dan Angah. Kelmarin, cuti pertengahan semester Along selama seminggu telahpun berakhir. Cuti semester Angah pula baru bermula. Jadi, kami ke sini lagi dengan dua tujuan; menghantar Along dan mengambil Angah. 

Dari Jerantut kami singgah di Dungun untuk mengambil Angah. Kemudian, kami terus ke Kuala Terengganu untuk menghantar Along. Hujan turun sepanjang perjalanan dari Kuantan ke Dungun dan dari Dungun ke Kuala Terengganu, berbeza dengan cuaca panas terik semasa kami ke sini sebelum ini.

Petang semalam kami bertolak pulang dan singgah di Dungun untuk mengambil barang-barang Angah. Semester depan Angah akan berpindah ke kampus baru di Bukit Besi. Jadi, kali ini Angah terpaksa bawa balik ke semua barangnya.

Jun nanti Angah akan memulakan semester baru. Insyaallah, Ude juga akan menyambung pelajaran pada bulan yang sama. Seorang demi seorang anak mula meninggalkan kami. Mengenangkan saat itu, hati mula sedih dan sayu.

 


Ahad, 14 April 2013

Maaf dan Sibuk

Assalamualaikum dan salam ceria.

Tentu bosan kalau orang asyik minta maaf. Betul tak? Tapi hari ini ibu ingin minta maaf sekali lagi. Maaf kerana tidak sempat balas kunjungan teman-teman yang singgah di sini. Maaf juga ibu pohon kerana tidak sempat balas setiap komen kalian. 

Tentu lebih bosan kalau orang asyik beri alasan sibuk. Tapi memang itulah alasan ibu lagi dan lagi dan lagi. Sepanjang minggu lepas ibu amat sibuk. Isnin hingga Jumaat seperti biasa, menjalankan tugasan hakiki; mengajar. Bermula petang Jumaat hingga Ahad pula Mengiringi Anak Didik ke Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri Pahang di Temerloh. Keputusan penuh Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri Pahang ada di sini.

Walaupun dua orang wakil dari sekolah ibu tidak berjaya dalam karnival tersebut namun banyak ilmu dan pengalaman yang kami kutip.  Penyertaan di karnival bahasa ini telah membuka mata ibu bahawa sebenarnya memang ada segelintir manusia yang sukar berkongsi ilmu dengan orang lain. 

Minggu ini sibuk lagi dengan persiapan untuk program Minggu Antidadah dan Karnival Doktor Muda peringkat daerah selain menyemak kertas peperiksaan bagi ujian pengesanan tahun enam. Huh, memang semput dibuatnya! Untuk program Minggu Antidadah, ibu ditugaskan mengendalikan pertandingan syarahan. Jadi, sekali lagi terpaksa memerah otak yang dah berkarat ini untuk menyediakan beberapa teks syarahan. 

Moga program ini yang akan berlangsung pada petang Rabu minggu depan berjalan lancar. Amiin...

Ps: Ini adalah catatan dalam perjalanan. Doakan perjalanan ibu sekeluarga selamat ya...


Khamis, 11 April 2013

Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri Pahang Tahun 2013

Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri Pahang Tahun 2013 


Tarikh: 5 hingga 7 April 2013

Tempat: SMK Seri Tualang dan SK Seri Tualang



Objektif Pertandingan

  • Memperkukuh penguasaan bahasa sehingga mampu meneroka kepelbagaian ilmu pengetahuan melalui bahasa Melayu.
  • Memupuk minat terhadap keindahan berbahasa serta mewujudkan keprihatinan pelajar terhadap nilai-nilai estetika bahasa serta menghargainya.
  • Membantu dan membimbing pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam, khususnya dalam subjek bahasa Melayu.

 
Keputusan Pertandingan

Bahas (SM)
Johan: Kuantan
Naib Johan: Pekan
Ketiga: Temerloh dan Rompin

Pantun (SM)
Johan: Rompin
Naib Johan: Kuantan
Ketiga: Temerloh dan Cameron Highlands

Pidato Diraja (SM)
Johan: Jerantut
Naib Johan: Kuantan
Ketiga: Pekan

Pidato Diraja (SR)
Johan: Kuantan
Naib Johan: Maran
Ketiga: Pekan

Pidato Pra U
Johan: Bera
Naib Johan: Jerantut
Ketiga: Rompin

Bercerita Tahap I (SR)
Johan: Rompin
Naib Johan: Kuantan
Ketiga: Temerloh

Bercerita Tahap II (SR)
Johan: Lipis
Naib Johan: Maran
Ketiga: Bera


5 Mei Hari Mengundi


PUTRAJAYA 10 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 April sebagai tarikh penamaan calon manakala hari mengundi pada 5 Mei bagi Pilihan Raya Umum Ke-13. 

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dalam sidang akhbar di sini hari ini turut mengumumkan 30 April sebagai tarikh mengundi awal. - Utusan Online

Ps: Moga berjalan dengan aman dan lancar. Amiin...


Rabu, 10 April 2013

Wordless Wednesday #11




Selasa, 9 April 2013

Cemerlang di MTQ Daerah Jerantut

Khamis minggu lepas, empat orang murid sekolah ibu telah mewakili zon ke Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ) peringkat daerah Jerantut yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Damak. Mereka menyertai pertandingan Tulisan Jawi, Tilawah al-Quran dan Hafaz al-Quran.

Alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada keempat-empat mereka yang telah membuktikan kecemerlangan dengan menjadi johan dalam semua pertandingan yang disertai.

Alia Zainina, Nurun Najibah, Nur Aisyah Solehah dan Muhammad Fariz Izzuddin. 

  • Alia Zainina - johan Tulisan Jawi
  • Nurun Najibah - johan Tilawah al-Quran
  • Nur Aisyah Solehah - johan Hafaz al-Quran (perempuan)
  • Muhammad Fariz Izzuddin - johan Hafaz al-Quran (lelaki)

Mereka adalah antara lapan orang peserta yang akan mewakili daerah Jerantut ke Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ) peringkat negeri Pahang yang akan berlangsung pada bulan Mei. Tahniah buat mereka. Tahniah juga buat guru-guru yang bertungkus-lumus melatih mereka serta tidak ketinggalan ibu bapa yang turut memberikan sokongan.

Ps: Kejayaan di peringkat zon telah ibu ceritakan dalam entri Rezeki Kami Lagi...


Sabtu, 6 April 2013

Mengiringi Anak Didik

Assalamualaikum dan Salam bahagia.

Alhamdulillah, sempat juga ibu menghadirkan diri dan mencoretkan sesuatu di sini biarpun telah hampir ke penghujung hari. Rindu akan bicara teman-teman di sini, namun masa terbatas sekali. 

Sepanjang minggu ibu sibuk dengan persediaan dua orang anak didik ke Karnival Bahasa Melayu peringkat negeri. Kedua-duanya mewakili daerah Jerantut dalam acara pidato diraja dan bercerita tahap satu. Kejayaan mereka di peringkat daerah telah ibu coretkan di sini.

Ibu melatih murid berpidato manakala bercerita dilatih oleh beberapa orang rakan guru yang lain. Sepanjang lebih 20 tahun bertugas sebagai pendidik, inilah kali pertama ibu menjadi jurulatih pidato. Walau tanpa pengalaman, juga sibuk dengan kelas peperiksaan, cabaran tetap disahut. 

Acara Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri Pahang 2013 bermula semalam dan akan berakhir esok. Puteri-puteri kami telahpun berjuang pagi dan petang tadi. Insyaallah, apa-apapun keputusan yang akan diumumkan pada majlis penutup tengah hari esok, kami akan menerimanya dengan hati terbuka. Apa yang penting, mereka telahpun membuktikan kesungguhan mereka.

 Nur Najihah - pidato diraja 

Aleeya Syazmeera - bercerita tahap 1

Ps: Baru sahaja sampai di rumah setelah berpergian sesudah subuh tadi. Terima kasih buat teman-teman yang sudi singgah. Maaf kerana belum berkesempatan membalas komen dan kunjungan.


Jumaat, 5 April 2013

Pesanan Buat Semua




Khamis, 4 April 2013

Alhamdulillah, Rezeki Kami Lagi..

Hari ini ibu ingin berkongsi satu lagi khabar gembira. Alhamdulillah, sekolah ibu berjaya lagi kali ini. Perkara ini telah dimaklumkan oleh guru besar beberapa hari lepas. 

Kali ini sekolah kami bersama tiga buah sekolah lain terpilih menerima Pensijilan Khas Sekolah Lestari - Anugerah Alam Sekitar peringkat kebangsaan bagi kategori sekolah rendah. Menurut guru besar, tiga buah sekolah lagi adalah dari Sarawak, Sabah dan Johor.

Terdapat empat kategori Pensijilan Khas bagi sekolah rendah iaitu Pengurusan dan Perancangan, Penghijauan, Jaringan Kitar Semula dan Pembudayaan Hidup Lestari dalam Kalangan Warga Sekolah. 

Antara empat buah sekolah ini pula, sebuah sekolah yang mendapat markah tertinggi akan menerima Anugerah Sekolah Lestari 2011/2012 Kategori Sekolah Rendah. Kategori mana yang kami ungguli dan sekolah mana yang berjaya menerima Anugerah Sekolah Lestari masih belum diketahui. Semuanya akan terjawab dalam satu majlis khas yang akan diadakan tidak lama lagi. 

Isnin lepas, ibu telahpun berbicara tentang kejayaan sekolah kami dalam entri Rezeki Kali Ketiga. Sekali lagi, tahniah buat semua warga Sekolah Kebangsaan Temin, Jerantut. "The More You Do. The More You Get"




Ps: Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Sekolah Lestari - Anugerah Alam Sekitar ini, bolehlah ke sini.


Terung Pipit


Terung pipit atau Solanum torvum
[kredit foto: sini]

Kita amat bertuah kerana dianugerahkan pelbagai jenis tumbuhan yang bukan sahaja enak dimakan tetapi juga memiliki khasiat semula jadi yang baik untuk kesihatan. Ada antara tumbuhan-tumbuhan ini telahpun menjadi amalan pemakanan kita, namun tidak kita ketahui khasiatnya. Salah satu daripadanya ialah terung pipit.

Terung pipit atau Solanum torvum dikenali juga sebagai terung rembang merupakan tumbuhan liar di Malaysia dan di negara-negara tropika yang lain, namun ada juga yang menanamnya secara kecil-kecilan. Biasanya terung pipit muda dimakan mentah ataupun dicelur untuk dijadikan ulam. Sambal tumis terung pipit dengan ikan bilis juga amat digemari dalam kalangan masyarakat kita.

Di daerah kelahiran ibu ini, terung pipit dikenali sebagai terung manggul. Terung manggul digunakan dalam pelbagai jenis masakan bersama sayur-sayuran lain. Antaranya, sebagai bahan dalam sayur rampai tempoyak dan sayur rampai asam rom

Setiap 100 g terung pipit mengandungi:
  • air - 89 g
  • protein - 2 g
  • lemak - 0.1 g
  • karbohidrat - 8 g
  • serat - 1.0 g
  • kalsium - 50 mg
  • fosforus - 30 mg
  • ferum - 2 mg
  • vitamin A - 750 I.U.
  • vitamin B1 - 0.08 mg
  • vitamin C - 80 mg
[sumber]

Khasiat Terung Pipit
  • Merawat buasir - daunnya dijadikan pes dan losyen. 
  • Penawar bisa patukan ular dan sengatan serangga - tumbuk buahnya hingga lumat, ambil cecair yang keluar lalu disapu pada tempat sengatan.
  • mengubati retak kulit pada kaki atau bengkak - akarnya ditumbuk lumat lalu ditampal pada bahagian yang bermasalah. Ini dapat melegakkan kesakitan dan memperbaiki peredaran darah di tempat yang bengkak. 
  • Merawat demam panas, sawan dan pitam - minum air rebusan akarnya.
  • Mencuci darah - minum air rebusan akarnya.
  • Melegakan sakit perut - makan buahnya atau minum air rebusan buahnya. 

Ps: Jika ada khasiat-khasiat lain, bolehlah dikongsikan di sini.


Di Sebalik WW#10

http://citrawidiastuti.files.wordpress.com/2012/10/dan-1.jpg
Tasik Sheosar, Pakistan

Semasa merayau-rayau di alam maya semalam, ibu terjumpa gambar pemandangan tepian tasik yang amat mendamaikan ini.Terpukau dengan keindahannya, terus ingin dikongsikan bersama teman-teman alam maya. Mungkin ada yang pernah melihatnya, namun tetap ingin diabadikan di sini.

Tasik pada ketinggian 4,142m ini kelihatan sangat tenang dengan air yang jernih memantulkan bayangan pemandangan di sekitarnya. Panjang tasik ini adalah 2.3 km dengan 1.8 km lebar serta memiliki kedalaman 40 meter. Tasik  Sheosar ini terletak di Taman Nasional Deosai, di bahagaian utara Pakistan.

Sheosar Lake adalah salah sebuah daripada 10 buah tasik terindah di dunia. Di sekitar tasik ini terdapat dataran menghijau, hamparan bukit bukau dan pergunungan yang cukup indah serta haiwan-haiwan endemik yang hidup di sekitar tasik. 

Ps: Endemik bermaksud hanya terdapat di tempat itu sahaja.

Sumber: sini


Rabu, 3 April 2013

Pengumuman Pembubaran Parlimen ke-12

Akhirnya, teka-teki tarikh pembubaran parlimen terjawab sudah. Tepat jam 11.30 pagi tadi Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen ke-12 selepas mendapat perkenan SPB YDP Agung. 

Ibu tidak berkesempatan menyaksikan Pengumuman Pembubaran Parlimen Malaysia yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen pagi tadi. Balik dari sekolah terus ke Youtube untuk menonton rakaman pengumuman tersebut.

Kepada yang tidak sempat menontonnya pagi tadi, jom tonton sama-sama.

Pengumuman Pembubaran Parlimen ke-12 oleh Dato' Seri Najib Tun Razak pada hari Rabu, 3 April 2013 jam 11.30 pagi.

Pengumuman pembubaran yang disiarkan secara langsung pagi tadi merupakan kali pertama bagi DS Najib yang genap tempoh empat tahun mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tarikh sama 2009.

Pembubaran ini sekali gus membuka laluan bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ps: Kepada pengundi yang belum tahu pusat mengundi anda, jom Semak Daftar Pemilih.


Wordless Wednesday #10

Kredit: Google image



Selasa, 2 April 2013

Menghadapi Cuaca Panas

Assalamualaikum dan salam mesra.

Sebagaimana yang kita semua maklum, sekarang kita sedang mengalami musim panas yang agak luar biasa. Keluar sahaja dari pintu rumah mahupun kereta, sudah terasa bahangnya. Bagi ibu sendiri, jika bukan disebabkan urusan kerja sudah tentu lebih selesa berada di dalam rumah sepanjang masa.  
Cuaca yang terlalu panas boleh menyebabkan kesukaran malah boleh mengakibatkan kematian. Selain itu, potensi untuk diserang penyakit juga amat tinggi. Antara golongan yang berisiko tinggi ialah kanak-kanak, orang tua, orang kelainan upaya (OKU) serta mereka yang mengalami obesiti. 

Panduan Menghadapi Cuaca Panas Melampau 
  • Kerap minum air mineral/air masak putih untuk mengimbangi suhu badan dan mengelakkan dehidrasi.
  • Kerap mandi atau membasahkan badan.
  • Makan makanan yang boleh menyejukkan badan seperti buah naga. Elakkan makanan manis. Bagi perokok, kurangkan merokok *lebih baik berhenti terus.
  • Elakkan memakai pakaian yang terlalu ketat.
  • Kurangkan aktiviti luar dan berada di bawah panas matahari untuk tempoh masa yang lama. 
  • Ketika berada di tempat terbuka, pakai topi atau payung.
  • Menggunakan krim pelindungi suria pada bahagian kulit yang terdedah.
  • Elakkan senaman fizikal yang mengeluarkan peluh yang berlebihan.
  • Elakkan daripada meninggalkan kanak-kanak dan orang tua di dalam kenderaan bertutup.
  • Elakkan anak-anak bermain api atau membakar di kawasan terbuka kerana boleh mengundang kebakaran.
  • Jimatkan penggunaan air.

Ps: Jika ada tips lain, bolehlah dikongsikan bersama.


COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA