Ahad, 29 Jun 2014

Hobi yang Mekar Kembali


Crochet iaitu seni mengait jarum satu adalah salah satu hobi ibu sejak di bangku sekolah rendah lagi. Ibu belajar mengait semasa dalam darjah empat. Disebabkan minat yang mendalam, sekejap je ibu dah mahir dan boleh menerima tempahan. Orang pertama yang menempah hasil jemari ibu ialah cikgu ibu sendiri.

Banyak juga koleksi crochet yang telah ibu hasilkan. Antaranya, alas meja, chairback, alas dulang, topi, selimut dan bunga, malah bakul telur untuk para tetamu semasa majlis perkahwinan ibu dulu juga daripada benang kait.

Kali akhir ibu mengait adalah semasa mengandungkan Ude. Selepas Ude lahir, hobi yang satu ini ibu tinggalkan terus. Melayan tiga orang anak yang hampir sebaya ditambah dengan tanggungjawab terhadap tugas hakiki yang semakin bertambah ketika itu menyebabkan ibu terpaksa melupakan terus hobi ini.

Kini, minat terhadap seni kait ini subur kembali. Projek pertama setelah hampir 20 tahun meninggalkan seni kaitan ini ialah sarung botol air tupperware. Reka bentuk sarung botol air ini direka khas untuk botol air ecowater tupperware  yang berkapasiti 500ml.

Sekarang ibu sedang dalam proses menyiapkan sarung botol air ecowater tupperware yang berkapasiti 1liter. Insya-Allah akan ibu kongsikan jika dah siap nanti.
Namun, masa merubah segalanya. Dah tak boleh mengait tanpa mata tambahan ni..




Sabtu, 28 Jun 2014

Ramadan Kareem


Ramadan datang lagi. Alhamdulillah, syukur ya Allah kerana dipanjangkan usia, diberi nikmat masa dan kesihatan untuk menyambut Ramadan kali ini. Moga kita dapat meningkatkan ibadah sepanjang bulan yang penuh rahmat dan keberkatan ini

Pada kesempatan ini ibu ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan selamat berpuasa kepada semua pengujung blog ini. Marilah kita sama-sama menghayati erti Ramadan yang sebenarnya. Moga Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan yang sebelumnya.

Rasulullah S.A.W apabila bertemu sahabat baginda dalam bulan Ramadan nescaya baginda akan berkata, "Ramadan Kareem" maka sahabat baginda akan membalasnya dengan lafaz "Allahu Akram".



Ramai Pengajar, Sedikit Pendidik

Tajuk entri kali ini merupakan bab pertama buku Beduk Diketuk tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Dah lebih setahun buku ini terperap dalam lemari. Alhamdulillah akhirnya diberi kesempatan untuk membacanya hari ini. Membaca sambil menemani encik suami yang sedang memandu. Baru habis bab pertama.

Bab ini menarik perhatian ibu kerana berkait langsung dengan tugas ibu sebagai guru. Antara petikan dari bab ini yang ingin ibu kongsikan ialah "Dengan akal kita mengetahui sesuatu... tetapi hanya dengan hati kita menyedarinya." 

Maksudnya?

Jika diperhatikan dalam masyarakat kita kini, ramai orang yang pengetahuan agamanya tinggi melangit namun tetap melakukan kesalahan. Semua ini berpunca daripada ilmu yang ada di minda tidak dipindahkan ke hati. Oleh itu, para guru tidak seharusnya sekadar mengajar tetapi hendaklah turut mendidik.

Berbezakah mengajar dan mendidik? 

Menurut penulis, mengajar adalah memberitahu, memahamkan dan menyampaikan, manakala mendidik adalah mengajak, mendorong, membimbing dan memantau.

Misalnya, jika guru hanya mengajar tentang sah, batal, rukun dan syarat sembahyang, maka pelajar akan tahu sembahyang. Sebaliknya, jika guru mendidik pelajar dengan mengajak mereka sembahyang bersama² dengan guru menjadi role model, pelajar yang malas diberi dorongan dan kesalahan mereka diperbetulkan, maka pelajar akan mahu sembahyang... bukan sekadar tahu sembahyang.

Menurut penulis, pendidik adalah golongan yang paling dekat dengan tugas para Rasul kerana mereka mendidik modal yang paling berharga - modal insan. Justeru, golongan pendidik diingatkan agar memandang tinggi profesion mereka biarpun ramai yang menilai dari sudut gaji dan ganjaran semata-mata. 

Pesan beliau lagi...





Jumaat, 27 Jun 2014

CPUV | Ikea - June Sale Campaign

Satu lagi CPUV baru bertamu di blog kecil ibu ini. CPUV | Ikea - June Sale Campaign ini bermula semalam. Alhamdulillah, rezeki Ramadan yang bakal tiba. Harap-harap bertahan lama di sini. Ibu lihat iklan ni dah menari-nari di banyak blog namun belum berkesempatan melihat kemunculannya di sini.  

cpuv 109
CPUV Ikea - June Sale Campaign 

IKEA, jenama perabot dan kelengkapan rumah yang berasal dari Sweden ini tidak perlu diperkenalkan lagi di Malaysia. Hampir setiap daripada kita mengenali jenama ini sepertimana kita mengenali jenama terkenal lain seperti McDonald’s dan KFC.

Barisan produk yang dihasilkan oleh Ikea merangkumi kesemua fungsi dalam kediaman sama ada di dapur, bilik tidur, ruang makan, ruang berehat, ruang bekerja malah bilik air.

ikea sale

Kini Ikea sedang mengadakan jualan murah bermula hari ini, 28 Jun hingga 6 Julai. Kepada sesiapa yang merancang untuk membeli belah sempena Ramadan dan raya yang bakal tiba, bolehlah ke Ikea sekarang. Jika ingin mengetahui lebih lanjut tentang Ikea - June Sale Campaign ni, silalah klik iklan² yang muncul di sini atau boleh terus ke laman web Ikea di sini

Terima kasih Nuffnang, terima kasih Ikea kerana sudi tepek iklan di blog ini. Terima kasih tak terhingga juga kepada para pembaca yang sudi berkunjung dan yang sudi klik² iklan di blog ini. Tanpa kehadiran kalian, sunyi sepilah blog usang ini.

Nota: CPUV ke-109 daripada Nuffnang, yang ke-80 bagi tahun ini dan yang ke-4 bagi bulan Jun.



Khamis, 26 Jun 2014

Seminar Integriti Warga Pendidik


Keadaan cuaca yang panas dan kering sekarang membantutkan keinginan nak ke sana-sini. Perancangan yang melibatkan aktiviti di luar rumah hanya tinggal perancangan. Balik dari sekolah terus bertapa dalam rumah. Kalau ada kerja yang perlu disiapkan pun ibu bawa balik dan siapkan di rumah je. Tak rajin nak ke sekolah semula kecuali kalau ada kelas tambahan.

Hari ini terpaksa mengurangkan waktu bersenang-senang di rumah. Selesai Program 3R, ibu bergegas pulang kerana pukul 2.00 petang perlu hadir ke satu lagi program. Di rumah hanya sempat mandi dan solat. Perut yang berkeroncong tak sempat diisi. Perlu hadir ikut jadual, maklumlah nama program pun Seminar Integriti.

Ibu tahu tentang seminar ni sejak minggu lepas. Sepatutnya, semua guru dari sekolah yang disenaraikan wajib hadir. Namun, disebabkan komitmen lain di sekolah yang tidak kurang pentingnya, hanya 24 orang guru sekolah ibu diarahkan hadir ke seminar ini.

Masa ibu sampai, orang dah ramai dalam dewan ni. Jadi, yang lambat kena duduk di belakang (padahal kat depan tu banyak lagi tempat kosong).

Ceramah kali ini sama macam ceramah² integriti sebelum ini, berkisar tentang integriti dalam kalangan penjawat awam, khususnya warga pendidik. Sebenarnya, ceramah ini memang wajar dihadiri oleh semua warga pendidik. Siapa² yang dah dibuai lena yang panjang tu (termasuk tuan blog), mungkin akan bangun  setelah mendengar ceramah begini. 

Seminar berakhir pukul 5.30 petang. Walaupun sajian petang disediakan tapi ramai yang terus balik.  




Rabu, 25 Jun 2014

Wordless Wednesday 32

Alhamdulillah...


CPUV | Huawei Ascend P7

Alhamdulillah diberi kepercayaan lagi oleh pihak Nuffnang untuk beriklan di blog kecil ini. Hari ini muncul CPUV campaign daripada Huawei Ascend P7 yang bermula pada 11 Jun.

Huawei Ascend P7 antara tiga campaign yang tengah on going. Dah hampir dua minggu baru muncul di Nuffnang. Harap-harap  dapat bertahan lama.


Jom tengok antara yang menarik tentang Huawei Ascend P7

Kalau nak tahu lebih lanjut tentang Huawei Ascend P7 ni, kliklah iklan kalau muncul ye.. Terima kasih Nuffnang, terima kasih Huawei kerana sudi beriklan di sini. Terima kasih juga kepada pembaca yang sudi berkunjung dan klik² iklan di blog ini.




Selasa, 24 Jun 2014

Malaysia... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta


Malaysia... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta telah dipilih sebagai tema Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini. Perkara ini telah diumumkan oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 dan Hari Malaysia Ke-51.

Menurut beliau, tema yang dipetik daripada lirik lagu Warisan yang dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad ini dipilih bagi menyemai serta menyemarakkan rasa cinta kepada negara dalam diri setiap rakyat Malaysia.[sumber] 


Lirik Lagu Warisan

Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan 


[*] Andai kuterbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Ke mana harus kubawakan
Ke mana harus kusemaikan cinta ini 


[**] Betapa di bumi ini kumelangkah
Ke utara selatan timur dan barat kujejaki
Aku bukanlah seorang perwira
Gagah menghunus senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini


Kuingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Kuingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan 


Ulang [*] & [**]

Kuingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Kuingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan





Isnin, 23 Jun 2014

CPUV Bulgogi Brothers Korean Bbq

Alhamdulillah, satu lagi campaign CPUV sudi bertamu di blog kecil ini. Kali ini datangnya dari Bulgogi Brothers Korean Bbq Restaurant. Kempen yang bermula sejak 18 Jun ini merupakan kempen ke-107 sepanjang berdaftar dengan Nuffnang dan yang ke-78 untuk tahun ini. 


Review Ringkas Bulgogi Brothers Korean Bbq Restaurant

Berikut sedikit maklumat tentang Bulgogi Brothers yang diperoleh dari laman web Bulgogi Brothers: 
Bulgogi Brothers is a Korean casual dining restaurant most reknowed for its tasty bulgogi. It is managed by ET&Zeus Co., a company founded by Intae Jung and Chaiwoo Yi. The first Bulgogi Brothers opened in Gang-Nam, south of Seoul, Korea in 2006 – way before the Gangnam Style became trendy.

Berikut adalah lokasi Bulgogi Brothers Korean Bbq Restaurant di Malaysia: 
  • Paradigm Mall, Kelana Jaya Lot GB 13, Ground Floor Boulevard, 1, Jalan SS 7/26A, Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya (03-7887 3541) 
  • Pavilion KL Lot 6.01.03, Level 6, No. 168, Jalan Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur (03-2141 9620) 
  • eCurve, Mutiara Damansara G-03A, Ground Floor, No. 2A Jalan PJU 7/3 Mutiara Damansara, 47810 Petaling Jaya (03-7722 3633) 
  • Mid Valley Megamall Lot T-013B, 3rd Floor, Mid Valley City Lingkaran Syed Putra, 59200 Kuala Lumpur (03-2282 2292)
Untuk info lanjut, sila ke laman web Bulgogi Brothers Korean dan ke FB Bulgogi Brothers Malaysia 

Terima kasih Nuffnang, terima kasih Bulgogi Brothers kerana sudi beriklan di sini. Terima kasih juga kepada para pengunjung blog ini. Tanpa kalian blog ini pasti sunyi dan sepi.



Anak itu Anugerah

Anak merupakan aset yang amat berharga kepada ibu bapa. Sudah tentu setiap ibu bapa mengharapkan agar anak yang lahir itu sempurna tubuh badannya dan sihat akal fikirannya. Namun hakikatnya manusia hanya merancang dan ketentuannya adalah daripada Allah swt. Cacat atau sempurnanya anak yang lahir itu tetap merupakan anugerah Allah dan ibu bapa wajib bersyukur atas pemberian itu. 

Sebagai manusia, kita tidak dapat menjangkakan kehidupan yang akan kita lalui. Ada manusia yang sempurna tubuh badannya tetapi kehidupannya kucar-kacir, melarat dan miskin. Ada juga orang yang kekurangan dari segi fizikal, namun berjaya membuktikan kepada dunia bahawa kecacatan anggota bukanlah penghalang untuk berjaya.

Memang berat bagi sesiapa yang diuji oleh Allah dengan anak kelainan upaya. Bukan sedikit masa dan wang yang perlu diperuntukkan bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan sebaik mungkin. Mengasuh dan mendidik anak-anak ini juga memerlukan tahap kesabaran yang amat tinggi. Besarnya ganjaran yang bakal diterima oleh ibu bapa andainya anugerah ini diterima dengan redha dan ikhlas.

Menurut pendakwah bebas yang juga kaunselor, Dr Rubiah Hamzah, “Anak cacat adalah anak syurga, jika ibu bapa ikhlas menjaganya dengan niat ibadat kepada Allah, mereka seolah-olah menempah tiket ke syurga bersama anak-anak ini.” [sumber] 

Kita haruslah yakin bahawa setiap anak yang dilahirkan mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Insya-Allah, selagi kita redha dengan pemberian Allah swt itu dan sabar dengan dugaan yang kita hadapi, kita akan dapat menyingkap rahsia sebenar dari anugerah tersebut.

Sebagai anggota masyarakat pula, kita haruslah memahami keadaan insan-insan istimewa ini dan menerima kehadiran mereka dengan hati dan fikiran terbuka. Mereka layak mendapat ruang dan peluang yang sama dalam masyarakat, namun janganlah sehingga kehadiran mereka di khalayak menjadi bahan tontonan kerana mereka juga punya hati dan perasaan. Ikhlaskan hati kita untuk menerima mereka.




Ahad, 22 Jun 2014

Penutupan Aurat yang Sempurna


Ciri-ciri pakaian menutup aurat yang dituntut syarak bagi wanita:
  1. Pakaian yang longgar. Bukan pakaian sempit yang menampakkan susuk atau bentuk tubuh badan.
  2. Pakaian yang labuh yang menutupi keseluruhan anggota aurat. Bukan pakaian yang pendek, singkat atau terbelah yang mendedahkan perut, dada, leher, tangan, kaki dan punggung.
  3. Pakaian yang menutup warna kulit anggota aurat dari kelihatan. Bukan pakaian yang nipis atau jarang yang menampakkan warna kulit dan bayang-bayang tubuh dari luar.

Cara Bertudung Menurut Syarak:
  1. Tudung itu menutupi seluruh kepala termasuk leher, kecuali kawasan muka. Bukanlah cara bertudung yang betul menurut syarak jika masih menampakkan rambut, leher, tengkuk, telinga, bahagian dada dan seumpamanya. 
  2. Tudung itu diperbuat daripada kain atau bahan yang tebal yang menutupi warna kulit dan rambut dari kelihatan. Bukan tudung yang jarang, nipis atau berlubang-lubang sehingga boleh menampakkan warna kulit atau anggota aurat yang lain. 




Jumaat, 20 Jun 2014

Kembali Berempat

Awal cuti persekolahan, Angah dan Ude ada di rumah. Mereka berdualah yang banyak buat kerja² rumah. Angah mengemas rumah, mengemop lantai dan melipat kain baju. Ude pulak rajin ke dapur. Banyak jugalah resipi yang Ude cuba. Sesekali Angah juga tak lepaskan peluang tunjuk bakat.

31 Mei Angah pulang ke kolej untuk menyambung pengajian. Khamis, 12 Jun Along balik selepas berakhirnya peperiksaan akhir semester, Kali ini along memandu pulang bersama kawan². Hanya Allah yang tahu tahap kerisauan ibu selagi Along tak sampai ke rumah kerana inilah kali pertama Along memandu jauh. Alhamdulillah, Along selamat sampai ke rumah hampir pukul 12 tengah malam. 

 
Along balik bersama Miko. 
Tapi Miko tak lama dengan kami.
Detik sebelum Miko diserahkan kepada tuan baru. Faiq sempat jadi hero, masuk ke dalam longkang selamatkan Miko yang tengah bergaduh.

Tak lama Along di rumah sebab 16 Jun Along dah mula menjalani latihan praktikal di Kuantan. 16 Jun juga cuti semester Ude berakhir. Jadi, 15 Mei bermulalah misi menghantar Along dan Ude. Mula² kami hantar Ude ke Petaling Jaya, kemudian patah balik untuk ambil kereta Along sebelum ke Kuantan. Dah pukul 10 malam barulah kami sampai di Kuantan.

Pukul 12.00 tengah malam kami bertolak balik selepas urusan bilik sewa Along selesai. Tiba di rumah hampir pukul 2.00 pagi. Terpaksa balik juga sebab cuti sekolah dah berakhir. Seboleh-bolehnya ibu tak nak anak² ibu cuti, bimbang kalau² pelajaran pada hari itulah yang keluar dalam peperiksaan.

Sampai di rumah mata tak boleh pejam. Pukul 5.00 pagi lepas kemas rumah, baru boleh tidur. Pukul 6.00 dah bangun semula. Nasib baik tak kesiangan. Pergi ke sekolah pun mata layu je. Ada kejutan semasa perhimpunan mingguan pagi tu. Faiq antara murid yang naik ke pentas untuk menerima hadiah kehadiran penuh penggal satu.

Kini rumah kembali sunyi. Hanya tinggal ibu, ayah, Faiz dan Faiq. Masing² mula menghitung hari untuk berkumpul lagi.




Ujian Itu Nikmat, Nikmat Itu Ujian

Manusia sentiasa diuji, malah seluruh kehidupan kita ini adalah ujian. Namun, berapa ramaikah yang sedar bahawa mereka sedang diuji?  

Seringkali kita beranggapan bahawa ujian itu berupa kesusahan, kesakitan, kemiskinan, kesibukan dan tangisan sedangkan kesenangan, kesihatan, kekayaan, kelapangan dan kegembiraan itu juga adalah ujian daripada Allah. 

Bukan semua yang baik pada pandangan kita boleh ditafsirkan sebagai rahmat dan bukan semua yang buruk pada penglihatan kita boleh dihukum sebagai musibah. Kita sering terlupa, di sebalik musibah tersembunyi kenikmatan, sedangkan nikmat yang diturunkan itu sebenarnya adalah ujian daripada-Nya.

Cuba kita renung sejenak. Betapa ramai manusia yang berjaya melepasi ujian  berupa kesakitan, kemiskinan dan kesibukan tetapi tidak ramai yang melepasi ujian berupa kenikmatan seperti sihat, kaya, lapang dan gembira. Rupanya, ujian berupa kenikmatan jauh lebih bahaya berbanding ujian getir seperti sakit, sibuk dan miskin.

Ingatlah bahawa hidup ini penuh dengan ujian. Setiap waktu kita diuji, baik dalam keadaan susah atau senang, dalam keadaan sakit atau sihat, dalam keadaan kaya atau miskin, dalam keadaan duka atau gembira. Sesungguhnya, ujian hanya akan berakhir tatkala maut datang menjemput.




Khamis, 19 Jun 2014

Kerabu Mangga Air Tangan Ude

Sejak Along dan Angah belajar di Terengganu, kami sekeluarga kerap ke sana. Kebiasaannya kami akan tidur semalaman di sana. Sebelum bertolak pulang dari misi hantar Angah Jenguk Along, baru-baru ini, kami sempat makan tengah hari di kedai makan yang biasa kami kunjungi. 

Kali ini ada hidangan yang menambat selera ibu dan Ude, iaitu kerabu mangga. Rasanya sangat sedap biarpun resipinya simple je. Kerabu mangga yang ini menggunakan mangga yang sedang mengkal atau separuh masak bukan mangga muda seperti yang selalu ibu buat. 

Beberapa hari selepas itu, Ude cuba buat kerabu dengan resipi yang sama. Inilah hasilnya..
kerabu mangga
 Kerabu Mangga

Resipi Kerabu Mangga

Bahan-bahan:
  • 1 biji mangga (mengkal/separuh masak) - hiris halus
  • 3 biji bawang merah - hiris
  • 1 biji tomato - hiris 
  • 5 tangkai cili padi - hiris 
  • 1-2 tangkai daun ketumbar - hiris
  • 1 biji limau nipis - ambil jus 
  • 1 1/2 sudu teh sos ikan 
  • 1 sudu kecil gula

Cara Menyediakan:
  • Satukan mangga dan tomato yang telah dihiris.
  • Masukkan sos ikan, bawang dan cili. Perah limau nipis.
  • Akhir sekali masukkan gula.

Ps: Sedapnya makan dengan nasi panas atau dimakan begitu je..




Jadual Berbuka Puasa dan Imsak Tahun 1435H/2014


Bulan mulia penuh berkat, Ramadhan al kareem bakal menjelma sedikit masa lagi. Moga kita semua dapat bersedia dengan jiwa yang tenang dan raga yang bersih. Sambutlah Ramadhan dengan penuh kesyukuran.

Sebagai rujukan dan panduan kepada semua umat Islam di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi laman sesawang rasminya telah mengeluarkan Jadual Waktu Imsak dan Buka Puasa Tahun 1435H/2014.

Klik pautan berikut untuk memuat turun Jadual Berbuka Puasa dan Imsak Tahun 1435H/2014: 

Perlis | Kedah | Pulau Pinang | Perak | WP Kuala Lumpur & Putrajaya | Selangor | Negeri Sembilan | Melaka | Johor | Pahang | Terengganu | Kelantan | Sabah | Sarawak | Wilayah Persekutuan Labuan


Sumber: e-Falak JAKIM





Rabu, 18 Jun 2014

Wordless Wednesday 31

jadi yang terbaik
Jadilah yang terbaik jika inginkan yang terbaik



Wordless Wednesday 30

 kerabu mangga
Kerabu Mangga





Selasa, 17 Jun 2014

Jangan Membahagiakan dengan Dusta

jangan berdusta

Dusta bermaksud menyampaikan atau memberitakan sesuatu yang bertentangan dengan realiti, sama ada dengan kata-kata, perbuatan, isyarat atau bahasa tubuh bahkan dengan berdiam diri. Semua orang termasuk kanak mengetahui bahawa dusta merupakan perangai tercela dan perbuatan buruk.

Dusta, sekecil mana pun akan mengheret kita kepada dusta berikutnya. Kerap kali, untuk menutupi dusta pertama kita akan melakukan dusta kedua dan begitulah seterusnya. Betapa buruknya sebuah perangai yang mengheret pelakunya kepada perangai buruk yang berikutnya. Alangkah sukarnya hidup orang yang memilih jalan sebegini...

Tiada sesiapapun yang berharap didustai. Sudah pasti kita berasa sakit dan kecewa jika seseorang mendustai kita. Sakit dan kecewa ini semakin parah jika dilakukan oleh orang yang sangat kita percayai kerana semakin tinggi sebuah kepercayaan semakin sakit sebuah pengkhianatan, sebagaimana semakin tinggi kita jatuh semakin sakit pula yang kita rasakan.

Oleh itu, jangan sesekali cuba untuk berdusta biarpun dengan tujuan untuk membahagiakan mereka. Jangan perlakukan orang lain dengan perkara yang kita sendiri tidak suka diperlakukan. Sesungguhnya, jujur itu menyelamatkan dan dusta itu merosakkan.  Wallahu a’lam.




Isnin, 16 Jun 2014

Sahabat

teman sejati

Manusia  diciptakan tidak sempurna kerana kesempurnaan hanya milik Allah SWT. Oleh itu, kita memerlukan sahabat sebagai pelengkap kepada kelemahan kita. Sebagai penguat saat kita lemah, penghibur saat kita berduka dan menghulurkan tangan saat kita jatuh.

Benar, manusia memerlukan sahabat di sampingnya. Sahabat yang sentiasa mendorong kita ke arah-Nya, tidak sesekali meninggalkan kita saat kita terhina tetapi memberikan kita kesedaran bahawa kita ini milik Allah. 

Bersyukurlah jika kita mempunyai sahabat yang betul-betul di samping kita saat susah dan senang serta sentiasa mendoakan kebaikan untuk kita.

"Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati."




Ahad, 15 Jun 2014

Mudahkan Jangan Susahkan

mudahkan

Buku Mudahkan Jangan Susahkan ini merupakan buku pertama Syed Alwi Alatas yang ibu baca. Buku ini ibu beli bersama buku Indahnya Hidup Tanpa Derita dan Nota Fikir dan Zikir di sebuah kedai buku di Simpang Renggam semasa bercuti di sana. Buku ini mengandungi banyak kisah kehidupan manusia yang merupakan intipati kepada penulisan naskah ini. 

Buku ini berbicara tentang bagaimana kita perlu melihat kesusahan dengan pandangan yang mudah serta bagaimana mengubah kesusahan itu menjadi sesuatu yang mudah. Semua orang menyukai kemudahan namun dalam menelusuri kehidupan ini, kita tidak boleh lari daripada kesusahan. Kita perlu mempersiapkan diri untuk melihat kesulitan secara positif seterusnya berkemampuan untuk menghadapinya dengan tabah dan sabar.

Sesulit manapun kehidupan kita, sudah tentu masih ada orang lain yang lebih susah berbanding kita. Dalam setiap bab, pasti ada kisah menarik yang dikongsi oleh penulis. Pengalaman dan kisah kehidupan dalam buku ini dijadikan motivasi dan perbandingan untuk pembaca lebih bersyukur dengan rahmat Allah SWT dan tidak mudah berputus asa dengan ujian yang dihadapi.

Terkadang kita terlalu memikirkan perkara yang belum kita lalui hingga mendatangkan keburukan kepada kita seperti risau kalau-kalau kita  gagal dalam peperiksaan, sakit, dan sebagainya. Sepatutnya kita haruslah banyak beristighfar dan bertawakal kepada Allah di samping berusaha untuk mengelakkan perkara negatif tersebut terus menghantui. Misalnya dengan membuat persediaan secukupnya untuk menghadapi peperiksaan dan menjaga kesihatan sebaik mungkin.

Selain itu, sebagaimana kita tidak suka akan kesusahan, maka kita juga tidak harus menyusahkan orang lain. Cubalah sedaya upaya untuk memudahkan urusan orang lain. Misalnya, mengurangkan karenah birokrasi yang sering berlaku semasa berurusan dengan badan-badan tertentu. Sikap bertangguh yang menyusahkan orang lain juga perlu dielakkan. Sama-samalah perbaiki diri agar setiap tindakan kita tidak menyusahkan orang lain.

Ringkasnya, kita haruslah sentiasa berfikiran positif agar perkara yang susah dapat dipermudahkan dan tidak menjadi semakin sukar. Yakinlah bahawa kesusahan yang Allah berikan kepada kita, bersesuaian dengan kemampuan kita menghadapinya. Selalulah berdoa agar Allah tidak menimpakan kesusahan yang di luar kemampuan kita. Sedarlah bahawa ujian dan kesusahan yang kita lalui adalah tanda kasihnya Allah kepada kita. Rebutlah peluang ini dengan tabah dan redha menghadapi segala ujian.

Judul: Mudahkan Jangan Susahkan
Pengarang: Syed Alwi Alatas 
Penerbit: Galeri Ilmu
Harga: RM21.00/RM23.00 (S/S)

Tebal: 276 ms 



Usah Berharap kepada Manusia

berharap kepada manusia

Mungkin ada antara kita yang sedang dihimpit masalah, lalu berusaha ke sana ke mari untuk mendapatkan pertolongan. Ada yang meminjam dan ada yang meminta perlindungan. Namun, seringkali kita kecewa kerana orang yang kita harapkan untuk membantu ternyata tidak berupaya membantu kita. Bahkan untuk memenuhi harapan sendiri pun tidak berdaya. 

Bukan tidak boleh kita percaya kepada diri dan meletakkan harapan kepada manusia. Namun, biarlah harapan itu tidak keterlaluan sehingga langsung melupakan pengharapan kepada Allah. Lebih parah kalau manusia yang kita harapkan itu memang tidak pernah mengharap kepada Allah.  

Maka berharaplah hanya kepada Allah yang Maha Kuasa. Jika harapan hanya disandarkan kepada Allah, maka kita akan menjadi lebih kuat kerana kita yakin  bahwa ujian yang Allah berikan sesuai dengan kemampuan diri kita. Dengan demikian, meskipun ujian dirasakan amat berat, kita pasti mampu menghadapinya.

Janganlah berharap kepada manusia kerana akan berakhir kecewa. Tapi berharaplah hanya kepada Allah, maka akan berakhir bahagia.




Sabtu, 14 Jun 2014

Kawal Serangga Perosak dengan Jus Bawang


bawang

Penggunaan racun serangga berasaskan kimia dalam jangka masa panjang memberi kesan kepada manusia dan alam sekitar. Kini kita boleh mengambil jalan alternatif dengan menyediakan sendiri semburan serangga daripada bahan-bahan semula jadi. Sediaan ini lebih mesra alam dan mesra pengguna kerana tidak meninggalkan sebarang kesan negatif jika digunakan secara berlebihan.

Semburan bawang putih
Satu labu bawang putih ditumbuk sehingga hancur dan campurkan dengan 1 liter air. Campuran ini dijerang atau dimasak selama lebih kurang lima minit dengan api sederhana. Apabila air mula menggelegak, tutup api dan biarkannya sejuk. Tapiskan dan air ini boleh digunakan sebagai semburan untuk mengawal serangan serangga perosak.  

Semburan bawang merah
Rendam beberapa biji bawang merah selama beberapa hari. Jus yang sudah ditapis bolehlah dijadikan semburan untuk menghalang serangan kulat. Lakukan amalan ini 2 minggu sekali atau 2 kali seminggu pada tanaman hiasan yang sudah dijangkiti.



Segmen 12 Jam Bloglist #9 Mialiana.com


Pencarian bloglist bagi bulan Julai dan Ogos 2014 di Mialiana.com bermula pada hari ini, 14 Jun 2014, iaitu tepat jam 11.00 pagi sehingga 11.00 malam nanti. Semua dijemput join.

Syarat-syaratnya :
  1. Follow blog Mialiana.com, Add To Circle Google+ Mia Liana dan Like Fanpage Mialiana.com
  2. Buat entri bertajuk Segmen 12 Jam Bloglist #9 Mialiana.com
  3. Copy coding yang telah disediakan dan paste kan ke dalam ruangan HTML dan Publish entri.
  4. Tinggalkan URL entri anda ke dalam ruangan komen INI
Senang dan mudah bukan?

12 blog yang bertuah akan dipilih oleh random.org dan kepada yang terpilih nanti diminta agar memasukkan blog Mialiana.com ke dalam bloglist mereka juga. Keputusan pemenang akan diumumkan pada 30 Jun 2014.

tunggu apa lagi... jom support Mia Liana ya...


Doa Ketika Anak Sedang Tidur

Saat anak hampit terlelap, bisikkan doa ini...
  1. Surah al-Fatihah (1 kali)
  2. Ayat Kursi (1 kali)
  3. Surah al-Insyirah (1 kali)
  4. Surah Toha, ayat 1-5 (1 kali)
Kemudian, hembuskan ubun-ubun anak. Niat agar anak menjadi anak yang soleh, lembut hati, rajin solat serta berjaya di dunia dan di akhirat.




CPUV uMobile Prepaid Free Meal

Semalam login ke akaun Nuffnang, Alhamdulillah, ada 1 CPUV baru, uMobile Prepaid Free Meal. Rezeki hari Jumaat, masih panas lagi. Ini adalah CPUV ke-106 sepanjang berblog dan CPUV ke-77 untuk tahun 2014. Allhamdulillah, syukur ya Allah.


UMobile amat menghargai para penggunanya. Kini apabila anda menambah nilai akaun uMobile anda, uMobile akan memberikan free meal atas kesetiaan anda itu. Setiap kali menambah nilai, anda layak membawa pulang minuman revive dan mamee express secara percuma. Selain free meal ini, sebagai pengguna uMobile anda juga berpeluang menikmati pelbagai pakej menarik seperti internet unlimitednya.

Terima kasih banyak-banyak buat Nuffnang dan uMobile sebab sudi beriklan di blog usang ini. Tidak lupa kepada para pengunjung yang setia berkunjung ke sini dan mengklik iklan-iklan di sini. 





Jumaat, 13 Jun 2014

CPUV Mei 2014

Entri ini sekadar catatan untuk merekodkan prestasi blog. Alhamdulillah, syukur kerana rezeki bertambah lagi. Ini sekaligus menjadi pemangkin untuk terus berblog dan menghasilkan entri yang menarik dan bermanfaat kepada pengunjung. 

 
Campaign CPUV untuk bulan Mei 2014

Beberapa hari lepas semasa login akaun Nuffnang, ibu tengok berderet CPUV untuk bulan Mei. Jutaan terima kasih kepada pihak Nuffnang dan pengiklan yang sudi menghulurkan CPUV dan memberi kepercayaan kepada blog kecil ibu ini. Terima kasih juga kepada para pengunjung yang tak jemu-jemu berkunjung ke sini. Tanpa anda, sunyilah blog ini.




Tuhan Sedang Menguji Kita


Tuhan Sedang Menguji Kita merupakan sebuah buku motivasi islamik karya Ustaz Kazim Elias. Buku ini ibu baca beberapa bulan lepas. Lama juga nak menghabiskannya sebab tengah sibuk masa tu. Buku ini ibu pinjam daripada emak. Sedang tercari-cari, rupa-rupanya mak yang beli dulu.  

Buku ini padat dengan mesej yang cukup bermakna sama seperti kuliah yang disampaikan oleh penulisnya. Menurut UKE buku ini adalah kisah peribadinya yang menempuh pelbagai dugaan sebagai penceramah, namun akhirnya beliau berjaya mengatasi setiap dugaan berkat kesabaran dan panduan yang diberi oleh Allah melalui kitab-Nya, al-Quran. Pengalaman beliau itu telah diterjemahkan ke dalam buku ini.

Sebagai hamba, kita sentiasa diuji dan bentuk ujian itu pula pelbagai. Namun, apapun bentuk ujian, kesusahan atau kesenangan, semuanya adalah tanda kasih sayang Ilahi. 

Bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Begitu juga kehidupan manusia. Tidak pernah sunyi daripada dugaan. Umpama pelangi yang punya pelbagai warna, begitulah ujian bagi setiap hamba. Ada yang diuji dengan ketaatan, kesakitan atau musibah. Ada juga perangkap yang menunggu kita menjadi mangsa. 

ALLAH maha benar dan janji-Nya benar. DIA tidak akan menguji kita kecuali sesuai dengan kesanggupan diri. Siapakah lagi pelindung dan penyelamat kita selain ALLAH yang maha berkuasa? Maka, andai sesekali diri diuji, usah cepat mengalah. Mohonlah kepada-Nya. Moga rahmat dan hidayah-Nya sentiasa memayungi keberkatan perjalanan hidup kita.

Buku ini juga mengajar kita untuk bangkit daripada rasa kecewa, duka dan sedih dalam setiap ujian dan mengajak kita mencari hikmah tersembunyi di sebaliknya. Sebenarnya, ujian Allah tu ada sebabnya. 

Ada kala ujian itu bertandang untuk membersihkan dosa. Ada kala untuk mengajak kita bertanya, apakah diri sudah terlupa. Ya... terlupa siapakah kita di sisi-Nya. Terlupa dari mana datangnya dan ke mana pula hala hidup kita. Terlupa kita sebenarnya tidak punya apa-apa.

Buku ini sangat baik dibaca oleh semua golongan. Mengandungi ilmu, pencerahan dan tarbiah yang sangat baik. Banyak pengajaran dan tip yang amat berguna. Salah satunya adalah tips menghafal Al-Quran. Menurut UKE, beliau mengamalkan membaca sebanyak 40 kali satu halaman Al-Quran. Walaupun telah menghafaznya, beliau tetap mengamalkannya untuk mengukuhkan ingatan di samping memberi fokus yang lebih kepada bacaan ulangan tersebut. Beliau akan membawa hafazan berkenaan dalam solat sama ada solat sunat atau ketika menjadi imam solat fardhu berjemaah.

Bacalah buku ini kerana terdapat banyak ilmu di dalamnya. Insya-Allah ilmu yang kita peroleh daripada buku ini akan menjadikan kita lebih kuat, sentiasa bersyukur, sabar dan redha dalam menghadapi setiap ujian daripada Allah SWT. 

Judul: Tuhan Sedang Menguji Kita
Pengarang: Ustaz Kazim Elias
Penerbit: Karya Bestari
Harga: RM19.90/RM22.90 (S/S)
Tebal: 317 ms

Ps: Sedang membaca Cukup Hanya Allah.



COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA