Ahad, 25 Jun 2017

Salam Aidifitri



تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ ْ
Taqabalallahuminna waminkum 

Ramadhan 1438H
telah melabuhkan tirai.
Fajar Syawal kembali menjengah.
Kini, kita kembali kepada fitrah.
Moga dosa² kita diampunkan
dan nama kita tercatat indah
di pintu Syurga.

Sepuluh jari disusun
Memohon ampun dan maaf
atas segala kekhilafan diri.

Andai kata membekas lara
Andai tingkah menoreh luka
Andai bicara menikam jiwa
Ampun dan maaf dipinta.

Ikhlas daripada:
Ibu sekeluarga

Ahad, 23 April 2017

Selamat Hari Lahir, Along



Kenangan ketika Along kecil dulu tak akan pernah terpadam di ingatan selagi hayat dikandung badan. Serasa kenangan itu baru saja berlalu. 

Along cucu sulung buat kedua² buah keluarga. Alonglah penyeri kehidupan kami ketika itu. Tidak lama kemudian, lahir Angah dan Ude. Kelihatannya kasih terbahagi. Namun hakikatnya kasih dan sayang ibu kepada Along tidak pernah berkurang. 

Kini, Along telah dewasa, sudahpun menjadi seorang isteri. Tiada apa yang ibu harapkan melainkan sentiasa mendoakan kebahagiaan Along. Moga Along menjadi isteri solehah, bahagia di dunia dan akhirat.

Selamat Hari Lahir, Along
Moga bahagia selalu.

Jumaat, 14 April 2017

Kisah dan Teladan

Macam² kisah yang pernah terjadi antara menantu dan mertua, lebih² lagi menantu yang tinggal sebumbung dengan mertua. Hari ini, sebuah kisah yang menyentuh hati berkisar tentang menantu dan mertua telah dikongsikan di laman Facebook Kisah Rumah Tangga.

Kisah yang menyentuh hati ini berkisar tentang anak yang amat menyanjung tinggi ibu kandungnya. Lantaran itu, si anak menaruh sepenuh kepercayaan terhadap ibu untuk membimbing isteri yang baru dinikahinya. Namun, perkara yang sebaliknya telah berlaku.



Moga kita mengambil iktibar daripada kisah ini.

Kredit: KRT

Selasa, 21 Mac 2017

Manfaat Air Kelapa

Ketika musim panas sekarang yang berpunca daripada fenomena El Nino, seelok-eloknya minum air yang banyak bagi mengelak badan kita mengalami masalah kekurangan air. Salah satu caranya adalah dengan meminum air kelapa muda.


Dalam pada itu, air kelapa muda yang diminum mampu dijadikan penawar racun, meredakan cirit-birit, mengubati demam panas, melawaskan buang air kecil dan air besar. Terdapat juga dakwaan air kelapa muda yang dicampur dengan beberapa bahan lain mampu mengubati penyakit batu karang.

Air kelapa muda juga boleh diminum dengan ditambah perahan air limau nipis bagi menghilangkan keletihan. Minuman itu boleh dicampur dengan ais supaya terasa lebih segar.

Meminum air kelapa muda turut mampu mengubati jangkitan cacing pada anak-anak dengan menambah sedikit jus asam limau dan satu sudu minyak zaitun. Minumlah tiga kali sehari.

Air buah kelapa hijau jika dibandingkan dengan kelapa jenis lain mengandungi banyak tanin atau bahan antiracun yang paling tinggi. Komposisi kandungan kimia lain yang terdapat dalam air kelapa ialah asid askorbik atau vitamin C, protein, asid lemak Omega 3, karbon terhidrat dan kalsium.

Mineral yang terkandung dalam air kelapa ialah zat besi, fosforus dan gula yang terdiri dari glukosa, fruktosa serta sukrosa.

Minyak kelapa yang disapu pada gigi atau gusi yang sakit mampu mengurangkan kesakitan begitu juga dengan kulit bermasalah. Bahan itu juga akan menjadikan rambut subur, hitam dan berkilat.

Isi buah kelapa pula mempunyai banyak khasiat. Isi buah kelapa yang sudah tua mengandung kalori yang tinggi sebanyak 359 kal per 100 gram, kelapa setengah tua sebanyak 180 kal per 100 gram dan kelapa muda mengandung 68 kal per 100 gram.

Kredit: Dr. Norzaidi Zakaria
Biro Media Pertubuhan Doktor² Islam Malaysia (Perdim)

Ahad, 29 Januari 2017

Janji yang Pasti


Manusia ibarat DAUN.
Jika tidak gugur hari ini,
suatu hari nanti PASTI akan gugur juga.
Begitulah insan yang kita sayangi.
Umpama daun, mereka jua PASTI
suatu hari nanti akan MENINGGALKAN kita.
Detik itu pasti akan datang.
Itu janji kita sejak dulu;
sanggup datang, sanggup pulang.
Kita dan mereka pasti berpisah
oleh TAKDIR yang dinamakan KEMATIAN.
Yang kekal hanyalah kasih dan
cinta ALLAH kepada hamba-Nya.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Rabb..
Ampunilah segala dosaku, dosa kedua²
ibu bapaku dan kasihanilah kedua²nya
sebagaimana mereka mengasihani
kami sedari kecil.
Aamiin Ya Rabbal 'Alamin

Selamat jalan ayahanda tercinta.
Moga Allah SWT mempermudah
perjalanan ayah menuju Ilahi.
Moga Allah SWT melapangkan dan
mempermudah segala urusan
ayah di alam barzakh.
Moga Allah SWT menempatkan ayah
dalam golongan orang yang soleh.

Terima kasih buat semua yang hadir
menziarahi ayah buat kali terakhir.
Terima kasih buat semua yang turut
mengiringi ayah ke pusara.
Terima kasih buat semua yang
mendoakan ayah dari jauh dan dekat.
Semoga Allah SWT membalas dan
memakbulkan doa² kita semua.

Aamiin Ya Rabbal 'Alamin

Abdul Rahim bin Jaludin
14 September 1941 - 27 Januari 2017
(23 Syaaban 1360 - 28 Rabiulakhir 1438H)

Ahad, 1 Januari 2017

Selamat Datang 2017

السلام عليكم

Selamat Pagi.
masa lalu
Masa Lalu.
Kita semua pernah ke sana, berkelana dengan segala warna yang ada. Saat kembali dari sana, ada yang sedih, ada pula yang bahagia.

Ya, masa lalu tidak memberikan pengalaman yang sama kepada setiap daripada kita. Sama ketika Allah memberikan hidup dan kurnia serta ujian kepada hamba-Nya. Selalu berbeda.

Persamaan yang ada, kita tidak akan pernah lagi ke sana. Namun, masa lalu bisa menyapa pada bila² masa. Membawa bersama sejuta kenangan; kesenangan mahupun kepahitan.

Hari ini
Kita sambut dengan rasa syukur. Sesekali, biarkan masa lalu menyapa dan bertamu untuk kita ambil setiap hikmah dan pelajaran yang pernah diberikan.

Selamat tinggal 2016