Rabu, 28 Mei 2014

Al-Fatihah - DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah

Sultan Azlan Shah

Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ).
Al-Fatihah


BIOGRAFI

SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH IBNI ALMARHUM
SULTAN YUSSUF IZZUDDIN SHAH GHAFARULLAHU-LAH
D.K. , D.K.M. , D.M.N. , D.K. (KELANTAN), D.K. (TERENGGANU),
D.K. (PERLIS), D.K. (JOHOR), D.K. (SELANGOR), D.K. (KEDAH),
D.K.M.B. (BRUNEI), D.K. (NEGERI SEMBILAN), D.K. (PAHANG),
S.S.M. , P.M.N. , P.S.M., D.K.S.A., S.P.C.M. , S.P.T.S. , S.P.M.P. , S.I.M.P.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Paduka Seri Sultan Azlan Shah telah diputerakan pada 19hb April 1928 di Batu Gajah, Perak. Pada tahun 1955, D.Y.M.M. Tuanku  telah mendirikan mahligai rumahtangga bersama D.Y.M.M. Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan kemudiannya telah dikurniakan lima orang cahayamata.

D.Y.M.M. Tuanku telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kerajaan (Inggeris), Batu Gajah yang kini dikenali sebagai Sekolah Sultan Yussuf Batu Gajah. Tuanku kemudiannya melanjutkan pelajaran menengahnya di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Setelah itu, Tuanku telah menyambung pendidikannya di dalam bidang Undang-Undang di University of Nottingham, United Kingdom di mana Tuanku telah dikurniakan dengan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada tahun 1953. Pada 23hb November, 1954 D.Y.M.M. Tuanku telah diterima sebagai ahli di dalam The English Bar oleh The Honorable Society of Lincoln's Inn.

Sekembalinya dari United Kingdom, D.Y.M.M. Tuanku telah memulakan perkhidmatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Kemudiannya, Tuanku telah memasuki Perkhidmatan Undang-Undang Dan Kehakiman Persekutuan Tanah Melayu sebagai Majistret Kelas Pertama dan Presiden Mahkamah Sesyen. D.Y.M.M. Tuanku kemudiannya telah dilantik ke dalam jawatan-jawatan berikut: sebagai Peguam Persekutuan dan Timbalan Pendakwa, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan Johor, Pendaftar Mahkamah Tinggi Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Pada tahun 1965, ketika hanya berusia tiga puluh tujuh tahun, D.Y.M.M. Tuanku telah dinaiktarafkan ke Kerusi Hakim Mahkamah Tinggi Malaya sebagai hakim termuda yang pernah dilantik di dalam sejarah kehakiman Komanwel. Pada tahun 1973, Tuanku telah dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan dan enam tahun kemudian, iaitu pada tahun 1979, Tuanku telah dilantik untuk memegang jawatan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, jawatan yang dipegang sehingga perlantikan Tuanku sebagai Ketua Hakim (dulu dikenali sebagai Lord President) Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 12hb November, 1982.

Tanggal 1 Julai, 1983, D.Y.M.M. Tuanku telah dimahkotakan sebagai Raja Muda Perak dan kemudiannya mewarisi takhta negeri Perak pada 3hb Februari, 1984 sebagai Sultan Perak yang ke-34. D.Y.M.M. Tuanku telah ditabalkan secara rasmi pada 9hb Disember, 1985.

Sumbangan dan kerja-kerja amal D.Y.M.M. Tuanku telah banyak memberi faedah khususnya kepada Institusi-Institusi Pengajian Tinggi.  Di antara jawatan-jawatan yang pernah dijawat oleh Tuanku adalah sebagai Canselor Universiti Sains Malaysia (4hb Oktober, 1971 - Februari, 1984), Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (1hb November, 1974 - 31hb Oktober, 1976) dan sebagai Canselor Universiti Malaya sejak 8hb Februari, 1986.

D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Kesusasteraan oleh Universiti Malaya pada 30hb Jun, 1979 dan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia pada 28hb Jun, 1980.  Kecemerlangan dan pencapaian Tuanku juga telah diiktiraf oleh pelbagai universiti luar negara, seperti University of Nottingham yang telah menganugerahkan Tuanku dengan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang pada 11hb Julai, 1986 diikuti oleh Lincoln's Inn, London yang menganugerahkan Tuanku dengan "Kerusi Kehormat" pada tahun 1988. Di samping itu, D.Y.M.M. Tuanku juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang oleh Universitas Gadja Mada, Jogjakarta, Indonesia pada 28hb September, 1990, oleh Universiti Brunei Darussalam pada 30hb Oktober, 1990 lantas diikuti oleh Universiti Chulalongkorn, Bangkok, Thailand pada 19hb Disember, 1990. Pada 2hb Oktober, 1991, D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan Keahlian Kehormat The Royal College of Physician of Ireland. Anugerah yang sama juga telah diberikan oleh Royal College of Surgeons of Ireland, The Royal College of Surgeons of Edinburgh dan The Royal College of Surgeons of England pada tahun 1999.

Berdasarkan pencapaian cemerlang di dalam perkhidmatannya, D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan pelbagai anugerah kehormat samada di peringkat Persekutuan mahupun dari luar negara. Di antaranya adalah D.K.;D.K.M.; D.M.N.; D.K.(Kelantan), D.K. (Terengganu); D.K. (Perlis); D.K. (Johor); D.K.(Selangor); D.K.(Kedah); D.K.M.B.(Brunei); D.K.(Negeri Sembilan); D.K.(Pahang); S.S.M.; P.M.N.; P.S.M.; S.P.C.M.; S.P.T.S.; S.P.M.P.; S.I.M.P.; The Most Auspicious of The Rajamitrabhorn (Thailand); Grand Order of Mugunghwa (Republik Korea); Collar of The Japanese Order of The Chrysanthemum dan Grand Cordon of The Supreme Order of the Chrysanthemum (Jepun); Civil Order; 1st Class (Oman) dan Orden Al-Merito De Chile (Republik Chile); Bintang ADI PURNA (Republik Indonesia); dan Hon. Knight Grand Cross (Civil Division) of The Order of The Bath (U.K.). D.Y.M.M. Tuanku juga telah dikurniakan The PAUL HARRIS FELLOWSHIP oleh Rotary International dan The Melvin Jones Fellow Award oleh Lions Clubs International.

Minat yang mendalam Tuanku di dalam bidang sukan khususnya bidang hoki telah bermula sejak zaman persekolahan lagi. D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah kini memegang jawatan sebagai Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (Malaysian Hockey Federation), Presiden Hoki Asia serta sebagai Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (International Hockey Federation). Selain hoki, Tuanku juga amat berminat di dalam permainan golf, dan kini kini merupakan Penaung DiRaja bagi Persatuan Undang-Undang Malaysia di Great Britain dan Eire, The British Graduates Association of Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, The Rotary Clubs, The Lions Clubs, Kelab Ipoh DiRaja, Kelab Golf DiRaja Perak, Kelab Polo Iskandar, Kelab Golf Kuala Kangsar, Persatuan Alam Sekitar Malaysia serta Persatuan Hoki Veteran Perak.

Pada tahun 1992, di Ekspo Pelancongan Domestik Perak, satu jenis spesis bunga orkid telah dinamakan bersempena dengan nama Tuanku dengan rasminya - "Doritinopsis Sultan Azlan Shah" selepas menerima anugerah tanaman terbaik di dalam kategorinya.

Menghargai komitmen D.Y.M.M. Tuanku sebagai Penaung Persatuan Alam Sekitar Malaysia (The Malaysia Nature Society), satu jenis spesis baru serangga yang ditemui ketika Ekspedisi Saintifik Belum (1993-1994) telah juga dinamakan bersempena nama Tuanku - Azlania Costatipennis (Jacoby), Azlania apicalis Mohamedsaid dan Azlania borneensis Mohamedsaid

Pada 25hb April, 1989, D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah diisytiharkan dengan rasminya sebagai Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong Malaysia yang kesembilan. [sumber]

1 ulasan:

Terima kasih atas kunjungan dan komen-komen ikhlas daripada anda. Insya-Allah kunjungan anda akan dibalas.