Isnin, 7 Disember 2015

Pisang Kaki atau Persimmon Fruit

Hari ini ibu nak berbicara tentang buah pisang kaki lagi. Melalui komen rakan-rakan dalam entri di SINI, ibu dapati tak ramai yang suka makan buah pisang kaki atau persimmon fruit ni malah ada juga yang tidak kenal pisang kaki dan baru pertama kali tengok buah ini. 

Macam mana buah yang iras-iras tomato dan terung bulat ini dipanggil pisang kaki? Pokoknya pun jauh berbeza berbanding pokok pisang biasa. Hasil carian di Wikipedia ibu dapati bahawa nama “pisang kaki” berasal dari perkataan ‘kaki’ dalam bahasa Jepun.

Buah pisang kaki yang belum masak terasa agak kelat. Oleh itu, seelok-eloknya pisang kaki ini dimakan ketika masak ranum. Pada pendapat ibu yang memang gemar akan pisang kaki ni, rasanya macam buah ciku cuma lebih rangup. 

Buah pisang kaki segar boleh terus dimakan bersama-sama kulitnya. Walau bagaimanapun tak ada salahnya jika dikupas kulitnya terlebih dahulu. Pisang kaki dipotong seperti kita memotong buah epal atau limau sunkist. Hati-hati ketika makan kerana bimbang tercekik bijinya yang seakan-akan biji buah ciku. 

Pisang kaki dipercayai baik untuk kesihatan dimana ianya kaya dengan zat seperti Vitamin C, Sukros, Fruktos, Glukos dan Iodin  yang sesuai dalam mengawal tekanan darah tinggi dan meningkatkan pengaliran darah serta melicinkan peredarannya dalam koronari. Buah ini yang dimakan segar dapat mengelakkan masaalah sembelit dan juga dapat meredakan masaalah sedu. Buah pisang kaki kering juga baik dimakan untuk kesihatan paru-paru dan jantung kerana mengandungi serbau warna putih iaitu bahan manitol, glukos dan vitamin C.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas kunjungan dan komen-komen ikhlas daripada anda. Insya-Allah kunjungan anda akan dibalas.