Isnin, 13 Mei 2013

Kisah Empat Isteri

Alkisah pada suatu waktu, hiduplah seorang saudagar kaya dikelilingi oleh empat orang isteri. Isteri keempat adalah yang paling disayangi dan dicintainya kerana parasnya yang jelita dan usianya paling muda. Dia memanjakan isteri keempatnya dengan kemewahan.

Saudagar juga amat menyayangi isteri ketiganya yang cantik rupawan dan pandai berhias. Dialah yang selalu menemani saudagar ke majlis-majlis penting. Saudagar amat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada teman- temannya. 

Isteri kedua tidak kurang hebatnya. Walaupun tidak secantik isteri keempat dan ketiga, namun dia sangat cerdas dan pintar. Setiap kali menghadapi masalah, saudagar akan meminta pandangannya. Isteri keduanya inilah yang menjadi tempat dia bergantung harap ketika menghadapi kesulitan.

Lain pula halnya dengan isteri pertama. Sudahlah rupa dimamah usia, fikiran pula di tahap biasa-biasa sahaja. Saudagar tidak lagi kasih akan dirinya. Kehadirannya umpama melukut di tepi gantang. Pergi tidak mengurang, datang pula tidak menambah. Walau bagaimanapun, si isteri amat setia dan mencintai suaminya. Dialah yang menyediakan dan melayani segala keperluan suami dan madu-madunya.

Suatu hari, saudagar jatuh sakit. Dadanya sesak dan sukar bernafas. Dia menyedari mungkin sudah tiba masanya untuk dia meninggalkan dunia ini. Dia mula berasa takut betapa dia akan kesepian setelah mati. Saudagarpun memanggil kesemua isterinya.

Saudagar berkata kepada isteri keempatnya, “Kaulah yang paling kucintai, tubuhmu kusaluti dengan perhiasan yang bergemerlapan. Sekarang aku akan mati, mahukah kau menemaniku?” 

“Tidak. Aku masih muda dan cantik. Tentu saja aku akan mencari penggantimu,” jawab si isteri lalu meninggalkan saudagar yang terluka hatinya. 

Saudagar bertanya pula kepada isteri ketiganya, “Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini hidupku akan berakhir. Mahukah kau mengikutku?”.

"Tentu saja tidak! Ramai lelaki yang bersedia menggantikan tempatmu dan berkahwin dengan ku." Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu. 

Kepada isteri keduanya saudagar berkata, “Wahai isteri keduaku, kau sangat cerdas dan selalu membantu menyelesaikan masalahku. Kini aku amat memerlukan pertolonganmu. Jika aku mati, mahukah kau menemaniku?” 

Si isteri menjawab, “Maaf suamiku. Aku hanya mampu menguruskan pengkebumianmu. Akan kubuatkan makam yang indah buatmu.” Jawapan itu bagai halilintar yang menyambar. Saudagar berasa amat sedih dan kecewa.

Tiba-tiba terdengar satu suara, “Suamiku, aku akan menemanimu ke manapun kau pergi. Aku tak akan meninggalkanmu. Aku akan setia bersamamu.” Saudagar menangis terharu apabila mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Saudagar menyesali perbuatannya selama ini. Sedarlah dia bahawa isteri yang dilupakannya selama ini adalah isteri yang paling setia dan cantik budi pekertinya.

Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini: 

Isteri keempat adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang apabila kita meninggal.

Isteri ketiga adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan berpindah kepada yang lain. 

Isteri kedua pula adalah kaum kerabat dan teman-teman. Seberapa akrab hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya.

Sesungguhnya, isteri pertama adalah amalan kita. Kita sering mengabaikannya demi kekayaan dan kesenangan hidup. Namun, hanya amalan kita sajalah yang setia mendampingi kita ke manapun kita melangkah. Hanya amalan yang mampu menolong kita di akhirat kelak.

Sumber: FB

Ps: Sama-samalah kita mengambil iktibar daripada kisah ini.

9 ulasan:

  1. Kisah yg punya mksud m3ndalam.. tq share.. :)

    BalasPadam
  2. artikal yg penuh dengan pengajaran buat semua.

    BalasPadam
  3. assalamualaikum ibu, thanks sharing. sangat berguna. sheila pernah dengar cerita ni..

    BalasPadam
  4. subhanallah...betul apa yg dikata dlm cerita itu.kita mmg mudah lupa...terima kasih kerana sudi share cerita yg amat bagus ini...

    BalasPadam
  5. wahhhh.... begitu mendalam maksud yang tersirat dalam kisah ini. pengajaran buat kita semua...

    BalasPadam
  6. Good sharing...SELAMAT HARI GURU Cik Gu Salmi..

    BalasPadam
  7. kisah yg penuh makna untuk difahami.. good sharing dear..

    BalasPadam

Terima kasih atas kunjungan dan komen-komen ikhlas daripada anda. Insya-Allah kunjungan anda akan dibalas.