Isnin, 3 Jun 2013

Empat Amalan Elak Hati Jadi ‘Batu’



Hati ialah organ paling utama dalam tubuh manusia yang kelak akan menjadi penilaian terpenting Allah terhadap hamba-Nya. Bayangkan, setiap kemungkaran dan kejahatan menerbitkan satu titik hitam pada hati manusia jika dilakukan tanpa bertaubat. Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Oleh itu, manusia perlu sentiasa menjaga hati mereka sama seperti anggota badan yang lain supaya sentiasa sihat dan mendorong mereka melakukan kebaikan. Hati yang kotor dan keras perlu dibersihkan kerana kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah pada hari akhirat kelak jika gagal memulihkannya.

Sucikanlah hati dengan banyak mengingati Allah iaitu berdoa meminta keampunan daripada-Nya setiap hari serta menghitung kesilapan diri. Firman Allah bermaksud:
“Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d ayat 28)
Menurut pendakwah bebas, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid, empat perkara utama yang perlu dijaga untuk memastikan hati sentiasa sihat ialah:
  • Menjaga amal ibadat
  • Sibuk mencari ilmu
  • Berkawan dengan orang yang boleh memberi bimbingan
  • Banyak berdoa kepada Allah

Solat lima waktu yang tidak dijaga akan menyebabkan hati jauh daripada mengingati Allah. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak supaya tidak sesekali meninggalkan solat. Tuntutan mencari ilmu juga penting kerana amalan yang dilakukan dengan ilmu itu mempunyai kualiti dalam memastikan hati terdorong melakukan kebaikan. Selain itu, bermohonlah kepada Allah untuk apa saja permintaan dan hajat kerana ia adalah senjata orang mukmin selain memohon taubat supaya dosa silam diampunkan Allah. 

Hati adalah raja yang mengawal tubuh badan sama ada untuk melakukan kebaikan atau kemungkaran. Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda yang bermaksud:  
“Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya dan jika rosak daging itu, rosaklah seluruh tubuhnya serta ketahuilah ia adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap Muslim perlu bermujahadah melawan nafsu kerana syaitan tidak akan berhenti menggoda dan memesongkan hati manusia daripada segenap sudut sehingga ke hari kiamat.

Sumber: myMetro

5 ulasan:

  1. terima kasih atas prkongsian....

    BalasPadam
  2. sibuk mencari ilmu memang betul sangat..kalau ade prob,cepat-2 cari homework buat XD heheeeee ... sebab tenang je rasa ~ ^^,

    BalasPadam
  3. satu perkongsian yang sangat bermanfaat..

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum ibu, thanks sharinggg :)

    BalasPadam

Terima kasih atas kunjungan dan komen-komen ikhlas daripada anda. Insya-Allah kunjungan anda akan dibalas.