Jika semalam kita berkongsi tips khusus buat para suami atau bakal suami untuk membina rumah tangga bahagia, hari ini kita berkongsi pula tips buat kaum hawa yang bakal dan sedang bergelar isteri.
Mari kita hayati pesanan isteri ‘Auf bin  Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris  bin Amr, raja negeri Kandah.  Sewaktu utusan diraja hendak membawa  pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak  perempuannya:
 
“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku  percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan  untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.”
Andai kata wanita  tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya,  tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.
Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat  kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah  kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru.  Kerana itu, jadilah ‘budak’ wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi ‘budak’ bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia. Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.
Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya. 
Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau  yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu  dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.
Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya,  kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan  rasa marah.
Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta  keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran  dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.
Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan  membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu  melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman  daripada pengkhianatannya.
P/s: Bersama-samalah kita hayati pesanan ini..