Assalamualaikum
dan salam mesra buat sahabat semua. Bersua lagi di alam maya. Kali ini ibu nak
bercerita tentang sejenis buah yang ibu percaya ramai tidak mengenalinya.
Kenal
buah ini?
Inilah
buah perah [Google image]
Bagi orang Pahang terutama orang Jerantut macam ibu ni, buah perah tidak asing lagi. Di sini, buah perah amat sinonim dengan asam rong. Namun, untuk hari ini ibu akan berbicara tentang buah perah sahaja. Cerita tentang asam rong akan ibu muatkan dalam entri lain.
Untuk pengetahuan, pokok perah tumbuh di hutan hujan khatulistiwa. Biji perah ini asalnya daripada buah yang setiap satunya mengandungi tiga biji buah perah. *Berbelit-belit ayat ibu. Harap semuanya faham. Lebih kurang macam buah getah dalam entri di SINI.
Buah perah ini berbentuk lonjong dan berwarna coklat kehitaman. Kulitnya nipis tetapi keras, manakala isinya pejal dan berwarna putih. Untuk mendapatkan buah ini, kita tak perlu panjat pokoknya kerana buah perah akan gugur sendiri ke tanah setelah cukup matang. Buah perah yang sudah matang akan meletup dan berderai di udara sebelum jatuh tersebar ke bumi.
Untuk mendapatkan isinya, kita perlu ketuk buah ini bagi memecahkan kulitnya yang keras. Walau bagaimanapun, isi buah perah ini tidak boleh dimakan mentah kerana dikatakan akan menyebabkan pemakannya mabuk. Sebaliknya, buah perah perlulah dimasak atau diproses terlebih dahulu sebelum boleh dimakan.
Selain diproses menjadi asam rong, buah perah juga boleh direbus atau dijeruk. Kebiasaannya, buah perah rebus atau jeruk dijadikan hidangan minum petang. Ibu sendiri lebih suka perah jeruk kerana isinya lebih rangup. Makan buah perah ini lebih kurang macam makan kacang rebus tapi selera ibu lebih menggemari buah perah.
Memandangkan daerah kelahiran ibu ini sebahagian besarnya masih diliputi hutan, agak mudah untuk mendapatkan bekalan buah perah. Walau bagaimanapun tetap tidak boleh diperoleh sepanjang masa kerana pokoknya berbuah mengikut musim.
P/s: Harap-harap tak ada yang mengidam. Jenuh nak mencari kerana sekarang belum musimnya lagi.