Ahad, 15 Jun 2014

Mudahkan Jangan Susahkan

mudahkan

Buku Mudahkan Jangan Susahkan ini merupakan buku pertama Syed Alwi Alatas yang ibu baca. Buku ini ibu beli bersama buku Indahnya Hidup Tanpa Derita dan Nota Fikir dan Zikir di sebuah kedai buku di Simpang Renggam semasa bercuti di sana. Buku ini mengandungi banyak kisah kehidupan manusia yang merupakan intipati kepada penulisan naskah ini. 

Buku ini berbicara tentang bagaimana kita perlu melihat kesusahan dengan pandangan yang mudah serta bagaimana mengubah kesusahan itu menjadi sesuatu yang mudah. Semua orang menyukai kemudahan namun dalam menelusuri kehidupan ini, kita tidak boleh lari daripada kesusahan. Kita perlu mempersiapkan diri untuk melihat kesulitan secara positif seterusnya berkemampuan untuk menghadapinya dengan tabah dan sabar.

Sesulit manapun kehidupan kita, sudah tentu masih ada orang lain yang lebih susah berbanding kita. Dalam setiap bab, pasti ada kisah menarik yang dikongsi oleh penulis. Pengalaman dan kisah kehidupan dalam buku ini dijadikan motivasi dan perbandingan untuk pembaca lebih bersyukur dengan rahmat Allah SWT dan tidak mudah berputus asa dengan ujian yang dihadapi.

Terkadang kita terlalu memikirkan perkara yang belum kita lalui hingga mendatangkan keburukan kepada kita seperti risau kalau-kalau kita  gagal dalam peperiksaan, sakit, dan sebagainya. Sepatutnya kita haruslah banyak beristighfar dan bertawakal kepada Allah di samping berusaha untuk mengelakkan perkara negatif tersebut terus menghantui. Misalnya dengan membuat persediaan secukupnya untuk menghadapi peperiksaan dan menjaga kesihatan sebaik mungkin.

Selain itu, sebagaimana kita tidak suka akan kesusahan, maka kita juga tidak harus menyusahkan orang lain. Cubalah sedaya upaya untuk memudahkan urusan orang lain. Misalnya, mengurangkan karenah birokrasi yang sering berlaku semasa berurusan dengan badan-badan tertentu. Sikap bertangguh yang menyusahkan orang lain juga perlu dielakkan. Sama-samalah perbaiki diri agar setiap tindakan kita tidak menyusahkan orang lain.

Ringkasnya, kita haruslah sentiasa berfikiran positif agar perkara yang susah dapat dipermudahkan dan tidak menjadi semakin sukar. Yakinlah bahawa kesusahan yang Allah berikan kepada kita, bersesuaian dengan kemampuan kita menghadapinya. Selalulah berdoa agar Allah tidak menimpakan kesusahan yang di luar kemampuan kita. Sedarlah bahawa ujian dan kesusahan yang kita lalui adalah tanda kasihnya Allah kepada kita. Rebutlah peluang ini dengan tabah dan redha menghadapi segala ujian.

Judul: Mudahkan Jangan Susahkan
Pengarang: Syed Alwi Alatas 
Penerbit: Galeri Ilmu
Harga: RM21.00/RM23.00 (S/S)

Tebal: 276 ms 

6 ulasan:

  1. Balasan
    1. Ya, CN cukup menarik. Ada cerita di dalamnya yang akak kongsikan dengan murid-murid sebagai motivasi..

      Padam
  2. wah menarik isi kandung buku nie.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang menarik Yah. Jadi motivasi untuk diri sendiri juga supaya sentiasa berfikiran positif.

      Padam
  3. Betul tu akak. Kena cari juga buku ini nanti.

    BalasPadam
  4. terima kasih atas perkongsian. Minat juga membaca sejak berblogging ni. dan sejak menjadi seorang abah. Mencari ilmu dan terus mencari

    BalasPadam

Terima kasih atas kunjungan dan komen-komen ikhlas daripada anda. Insya-Allah kunjungan anda akan dibalas.