Sabtu, 31 Mac 2012

Ibu Bertuah Lagi

Ahad lepas, sekolah ibu telah mengadakan mesyuarat agung PIBG. Ibu dahpun ceritakan di sini. Hari ini, giliran ibu dan ayah menghadiri mesyuarat agung PIBG di Sekolah Kebangsaan Bandar Jerantut pula. Di sinilah anak² ibu mendapat pendidikan rendah.

Along, Angah dan Ude pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sawah Dato', Mersing, sebelum berpindah ke sini pada tahun 2002. Ketika pindah ke sini, Along di Tahun 4, Angah Tahun 3 dan Ude Tahun1. Kini, hanya Faiq yang masih bersekolah di sini. Faiz dah pun menamatkan persekolahannya di sini pada tahun lepas.

Pagi tadi Faiz turut serta sebab ada majlis penyampaian anugerah bagi pelajar cemerlang UPSR 2011. Kejayaan Faiz ibu pernah ceritakan di sini.

Sijil Pengiktirafan daripada Yayasan Pahang


 
Tak sangka pulak ibu antara yang bertuah hari ini. Nombor 89 pada buku program kat atas tu merupakan nombor bertuah ibu hari ni. Mesyuarat berakhir hampir jam 12.30 tengah hari.  

Alhamdulillah, syukur kerana empat orang anak ibu meninggalkan sekolah ini dengan kejayaan cemerlang. Moga Faiq juga mengikut jejak langkah abang dan kakak-kakaknya. 

Sekian coretan ibu. Jumpa lagi..


Jumaat, 30 Mac 2012

Raja Datuk Seri Ashman Shah Mangkat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Balik dari sekolah, ibu terbaca berita tentang kemangkatan Raja Kecil Sulung Perak, Raja Datuk Seri Ashman Shah Sultan Azlan Muhibbudin Shah.

Berita penuh di sini.


Raja Datuk Seri Ashman Shah yang berusia 54 tahun meninggalkan seorang isteri, Datuk Seri Noraini Jane Ariffin, seorang putera Datuk Ahmad Nazim Azlan Shah serta dua puteri, Raja Eminah Alliyah dan Raja Bainunisa Safia.

Jenazah Almarhum akan dibawa ke Masjid Ubudiah, Bukit Chandan di Kuala Kangsar untuk disembahyangkan sebelum istiadat pemakaman berlangsung di Makam Diraja Kuala Kangsar yang terletak bersebelahan dengan masjid itu selepas Asar.

Al-Fatihah..



Karnival Jerantut

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

 

Karnival Jerantut sempena Tahun Melawat Jerantut 2012 sedang berlangsung di daerah kelahiran ibu ini bermula 23 Mac hingga 31 Mac 2012. YBM Tengku Razaleigh Hamzah @ Ku Li diberi penghormatan merasmikan Karnival Jerantut pada malam 23 Mac.


YBM TS Tengku Azlan ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, ahli parlimen Jerantut bersama Ku Li pada malam perasmian.

 

Pelbagai aktiviti dan program menarik telah dirancang sepanjang karnival tersebut berlangsung.

 

Ibu berkesempatan menjengah ke sini bersama ayah dan anak-anak pada malam 24hb tapi tak sempat menjelajah ke semua gerai sebab hujan renyai mula turun. Petang semalam ibu ke sini sebagai hakim pidato. Nanti ibu ceritakan ye..

 

Ps: Siti Nurhaliza mempersembahkan tiga lagu pada malam perasmian. Ibu tak tepek gambar di sini sebab kurang berkenan dengan penampilannya yang agak menyeksakan mata (ibu) yang memandang.    





Rabu, 28 Mac 2012

Ibu Bapa & Mesyuarat PIBG: Hadir kerana apa?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

 

Ahad lepas, mesyuarat PIBG sekolah ibu. Kali ni sambutan amat menggalakkan. Penuh dewan terbuka sekolah ibu. Terpaksalah guru-guru lelaki memunggah kerusi-kerusi di kantin. Buku program pun tak cukup. Huh, memang hebat mesyuarat PIBG kali ni!!

 

Nak kata perasminya menjadi tarikan, tidak juga.  Bukan MB yang rasmikan mesyuarat kali ni. PM jauh sekali. Jadi, sebab apa??


DO tak dapat hadir, hantar wakil je...


Sebetulnya, selepas perasmian diadakan majlis penyampaian anugerah kecemerlangan Yayasan Pahang untuk pelajar yang memperoleh 5A dalam UPSR 2011. Kemudian, diadakan pula acara penyerahan wang biasiswa Yayasan Pahang. Sebaik kedua-dua acara berakhir, semua tetamu yang hadir menjamu selera.

 

Ketika inilah, ibu & the gang menyedari ramai ibu bapa beransur pulang. Akhirnya, yang bermesyuarat hanya tinggal lebih kurang satu pertiga je. Rupa-rupanya, yang ramai-ramai tu bukan datang untuk bermesyuarat pun..

 

Sebahagian daripada 39 orang pelajar cemerlang UPSR 2011 yang hadir.



Sabtu, 24 Mac 2012

Siap Sudah Projek Terbengkalai

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Dah seminggu cuti sekolah berakhir. Sejujurnya, ibu rasa cuti seminggu tu memang tak cukup. Bukan ibu ni dari jenis bagi betis nak peha tau.. Tapi, sebelum cuti tu banyak sangat kerja. Mana-mana kerja yang belum selesai tu (memang tak sempat nak selesaikan pun..) terpaksa dibereskan dalam cuti. 

Paling ibu "suka" bila berurusan dengan sistem dalam talian APDM dan SAPS. Boleh pulak main-main silap mata. Data-data yang dah dimasukkan boleh kejap ada kejap tak ada. Macam biskutpun ye juga. Banyak masa habis kat situ je.. Jadi, rancangan masa cuti hanya tinggal rancangan.

Satu-satunya projek cuti sekolah yang berjaya ibu siapkan adalah 40 helai alas meja murid. 


 
Inilah kain-kain yang menunggu untuk dijahit
 
Alas meja yang dah siap.


Sebetulnya, ibu dah mulakan projek ni sebelum cuti lagi. Tapi, dek pelbagai kekangan, projek ni terbengkalai untuk beberapa minggu. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga ibu sudahkannya.

P/s: Walaupun cuti, esok tetap ke sekolah. Mesyuarat PIBG sekolah ibu.


Jumaat, 23 Mac 2012

Masa untuk Berjemur @ Kejohanan Olahraga

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Ini cerita hari Selasa. Ibu peram cerita ni dek kesibukan dan kepenatan yang teramat. Ingat nak kongsikan cerita ni kelmarin, tapi ibu bermesyuarat hingga 6.00 petang.  Semalam pun ibu tiada kelapangan. Jam 1.00 tengah hari ibu balik ke rumah dan berkejar semula ke sekolah untuk kelas tambahan jam 2.00 petang. Sampai di rumah jam 4.15 petang ibu dah kepenatan. Ketika ini, sedang orang lain diulit mimpi, barulah ibu berkesempatan menjenguk teratak ibu ni.

Sebelum cuti, ibu terlibat dengan aktiviti koakademik bahasa Melayu peringkat daerah sebagai hakim pidato. Buka cuti ni, ibu beralih tumpuan ke padang pulak (wah, mengalahkan jurulatih kebangsaan bunyi ayat tu!!) Selasa baru-baru ni berlangsungnya kejohanan olahraga MSSM peringkat zon. Ibu dan beberapa orang rakan guru kelab olahraga bertanggungjawab mengiringi peserta sekolah ke kejohanann tersebut.

Jom layan gambar2 yang sempat ibu snap hari tu..

 

 
6 orang Dr. Muda yang bertugas

 

 
Peserta-peserta lontar peluru

 

 
Pelari pecut 100meter

 
Peserta lompat tinggi

 

Hampir semua peserta yang bertanding hari tu membawa balik pingat. Tapi, macam biasa, ibu terlupa snap gambar gara-gara bersorak sakan di tepi padang. Tahniah buat semua peserta yang berjaya membawa pulang pingat tanpa mengira apa warna sekalipun. Bagi yang tak berjaya tu, cuba lagi pada tahun hadapan.

p/s: Gara-gara bersorak sakan, keesokannya ibu batuk. Semalam, suara ibu seksi you, serak-serak basah gitu.. Esok, nampak gayanya ibu kena mengajar guna bahasa isyarat.



Khamis, 22 Mac 2012

Mengapa Ibu yang Menjadi Pilihan?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Masa untuk bersantai-santai dan memanja-manjakan diri buat ibu dah berakhir Isnin lepas dengan berakhirnya cuti sekolah.  Kini, ibu kembali ke kehidupan biasa yang sentiasa dihimpit waktu.

Pagi Isnin ibu tiba di sekolah agak lewat. Sebaik ibu tiba di pejabat untuk mencatat kehadiran, locengpun berdering. Ibu segera ke bilik guru. Ketika itu, rakan-rakan guru dah bergerak ke tapak perhimpunan. Ibu terus ke meja yang dah lebih seminggu ibu tinggalkan.

Sampai  di meja, ibu tergamam seketika,
Di atas meja ada sesuatu yang tak dijangka,
Terkejutnya ibu tidak terkira,
Rasa macam bermimpi pun ye juga.

Cer teka, apa yang ada atas meja ibu? Tak sanggup ibu nak tulis kat sini sebenarnya. Tapi, kalau dah bercerita kena habiskan, bukan begitu? Ok, ibu beritahu kalian jangan ketawa ye.. 

Sebenarnya yang ada atas meja ibu tu t**i kucing. Jenuh juga ibu mengerjakan 'harta' tu. Banyak kali juga ibu termuntah sampai sakit dalam perut & tekak ibu. Dalam hati tertanya-tanya juga, mengapalah meja ibu yang jadi pilihan..

 

Inilah meja yang terpilih tu..

 

 



Sabtu, 17 Mac 2012

Cara Mudah Bakar Kalori

Jom amalkan..

Ramai antara kita yang bersusah payah mengawal pemakanan untuk kekal langsing. Ada juga yang sanggup berhabisan menjalani program diet untuk menurunkan berat badan. Sebaliknya, ada pula yang tak menghiraukan soal berdiet, malah tak perlu bersusah payah menjaga pemakanan untuk mendapat bentuk tubuh idaman. Lebih dicemburui apabila mengetahui mereka tak rajin pun bersenam. 

Rahsianya terletak pada jumlah kalori mereka yang terbakar setiap hari. Bagaimana caranya? 

1.       Minum air sejuk 
Minum air sejuk lapan gelas sehari akan membakar lebih banyak kalori berbanding air suam atau air dengan suhu biasa. Air mampu meningkatkan proses metabolism. Semakin banyak air diminum, semakin kurang potensi lemak berkumpul di dalam tubuh. 

2.      Berjalan cepat, kemudian berjalan lambat
Di samping melakukan kerja-kerja rumah, manfaatkan tangga di dalam rumah. Turun-naik tangga membuatkan tubuh menggunakan lebih banyak otot. Lakukan dengan cepat selama 10 saat, dan perlahankan kembali langkah. Ulangi beberapa kali. 

3.      Makan makanan kaya protein 
Tubuh akan menggunakan lebih banyak kalori untuk mengubah protein menjadi karbohidrat. 

4.      Makan makanan pedas 
Makanan pedas membuatkan sel-sel lemak lebih responsive dan membantu penurunan berat badan. Makanan pedas juga membuatkan kita minum lebih banyak air. Minum kopi tanpa gula, susu ataupun krim juga dapat membantu membakar kalori sehingga 10 peratus. 

5.      Olagraga 
Jenis latihan yang banyak menggerakkan lengan dan kaki sangat efektif untuk membakar kalori dengan banyak. 

6.      Kunyah gula-gula getah 
Aktiviti ini dapat membakar 11 kalori per jam. Walau bagaimanapun, kunyahlah gula-gula getah yang tidak mengandungi pemanis buatan 

Sumber: Mingguan Wanita 

Ibu tertarik dengan nombor 1 dan 4. Tak sangka rupa-rupanya kesukaan ibu terhadap makanan pedas membantu membakar lemak dalam tubuh. Tapi, ibu selalu minum air suam dan seboleh-bolehnya mengelakkan minum air sejuk.. 

Macam mana pulak dengan rakan-rakan ibu?

 



Jumaat, 16 Mac 2012

1 Amah, 1 Kerja

Tidak logik: PAPA, MAMA

KUALA LUMPUR: Tindakan Indonesia yang menetapkan amah dari negara itu hanya menjalankan satu tugas khusus di rumah majikan dengan gaji minimum RM700 bukan saja tidak masuk akal, tetapi juga akan membebankan majikan. 

Pemangku Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Jeffrey Foo, berkata persatuan itu membantah keputusan tersebut dan menganggapnya satu kesilapan yang serius jika dilaksanakan. 

"Jika keputusan itu benar hendak diambil, saya tidak bersetuju kerana terang-terang ia tidak relevan...takkan majikan perlu menggajikan hingga empat orang amah bagi empat tugasan yang berlainan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Beliau mengulas mengenai laporan dari Jakarta, Indonesia yang memetik Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman yang mengatakan seorang amah hanya menjalankan satu tugas. 

Menurut Reyna, amah dari Indonesia yang akan mula dihantar ke Malaysia bulan depan hanya akan melakukan satu tugas khusus di rumah majikan mereka dengan gaji minimum RM700. 

Ia bermakna, seandainya seorang amah digajikan untuk memasak, tugasnya hanyalah memasak dan tidak akan melakukan tugas yang lain seperti mengemas rumah dan mengasuh. 

Mengulas lanjut, Jeffery berkata, Papa juga sanggup menarik balik pengambilan amah dari Indonesia dan menumpukan kepada negara lain yang kurang kerenah jika Indonesia bertegas dengan keputusan itu. 

"Baik kita menggajikan amah dari negara lain yang bersedia melakukan semua tugasan yang diminta dengan gaji tidak membebankan.. amah dari negara lain boleh 'multi-task' dengan satu gaji, jadi mengapa tidak Indonesia?," katanya. 

Katanya, mengikut rundingan terdahulu, beliau difahamkan latihan kompentensi dijalankan bagi memahirkan amah dalam satu tugas khusus namun apabila bekerja tidak terhad pada satu tugasan saja. 

"Ketika mengambil amah di agensi, majikan perlu beritahu pada bakal amah apa kerja yang perlu dia lakukan dan jika amah itu bersetuju untuk membuat semua tugasan itu, maka hanya satu gaji dibayar tetapi jika majikan rela untuk membayar lebih, itu hak mereka," katanya. 

Sementara itu, Presiden Majikan Amah Malaysia (MAMA), Engku Fauzi Engku Muhsein ketika dihubungi, berkata jika majikan perlu membayar RM700 untuk setiap amah, maka majikan tidak seharusnya menanggung tempat tinggal, pakaian dan makanan amah tersebut. 

"RM700 untuk seorang amah sahaja sudah amat membebankan, inikan lagi perlu mengambil lebih dari seorang amah justeru kami mengecam keras peraturan itu. 

"Jika mahukan RM700 maka amah yang dibekalkan perlu benar-benar bermutu dan menanggung sendiri tempat tinggal, makanan dan pakaian, sama seperti pekerja warga asing yang lain," katanya. 

Engku Fauzi juga meluahkan kehairanan mengapa secara tiba-tiba negara jiran itu menimbulkan isu tersebut sedangkan memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai bulan Mei tahun lalu. 

"Saya juga mahu persoalkan kenapa Indonesia membuat peraturan tersebut sedangkan Filipina dan Kemboja contohnya tidak menetapkan peraturan sebegitu rupa," katanya. 

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Datuk N Marimuthu, berkata kerajaan perlu melihat kepada potensi amah di negara lain dan tidak lagi memfokuskan kepada amah dari Indonesia. 

"Kita harap kerajaan tidak melayani permintaan itu yang saya sifatkan sebagai keterlaluan. 

"Jangan bergantung dengan satu sumber pembekalan pembantu rumah sahaja kerana banyak lagi amah yang bermutu dari negara lain yang boleh kita pertimbangkan seperti dari Filipina, Kemboja, Myanmar, India dan Sri Lanka," katanya ketika dihubungi. 

Katanya, adalah tidak adil bagi negara jiran itu mengambil keputusan tersebut dengan mengambil kira hanya satu atau dua kes penderaan dan penganiyaan yang dilaporkan. – Sumber
Gambar: En. Google



COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA