Jumaat, 31 Ogos 2012

Salam Merdeka 55

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Kredit foto: jiwarosak.com

Salam merdeka buat seluruh rakyat Malaysia.
sama-samalah kita berdoa agar
negara tercinta ini akan sentiasa aman, makmur dan sentosa.

Sama-samalah kita merdekakan diri
merdekakan  jiwa dan
bersatu untuk masa hadapan yang lebih gemilang.

Hargailah keamanan dan kemakmuran
yang kita kecapi selama 55 tahun ini.
Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT 
 agar angka 55 ini bertambah setiap tahun dengan nikmat keamanan.

Terima kasih buat para pejuang dan pembela bangsa dan negara
yang telah bersusah payah mencurah keringat dan bergadai nyawa demi memastikan negara kita bebas dan merdeka.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!


Rabu, 29 Ogos 2012

Wordless Wednesday #3 : Kesesakan Jalan Raya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


sumber: FB

Lamanya jalan di sini sesak.


Selasa, 28 Ogos 2012

Doa Pelembut Hati

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang





Doa untuk melembutkan hati orang yang kita sayang,
Caranya: Baca ayat ini, hembuskan di ubun-ubun anak.
Untuk suami atau isteri, hembus di tengkuk ketika mereka sudah tidur. 



Isnin, 27 Ogos 2012

Harapan Tinggal Harapan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum...

Cuti sekolah 11 hari pun dah berakhir. Hari ini, 9 Syawal ibu kembali kepada rutin harian seperti biasa. Walaupun mood raya masih subur dan mekar, tanggungjawab perlu dilunaskan. Tambahan pula, hari penentuan tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Selepas perhimpunan mingguan, ibu terus ke kelas. Tingginya harapan agar segala perancangan untuk hari ini berjalan lancar. Sebelum cuti, ibu dah bekalkan anak didik dengan dua set soalan untuk dijawab. Jadi, hari ini ibu merancang untuk membincangkan jawapan bagi kedua-dua set soalan bersama mereka. Masa yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi perlu diisikan sebaik mungkin.

Namun, harapan tinggal harapan. Hampir sebahagian daripada mereka tidak menyiapkan kerja rumah yang dibekalkan. Malah ada yang tak berusik langsung. Bayangkanlah betapa kecewanya ibu. Hampir-hampir ibu menitiskan air mata. Ibu pandang mereka seorang demi seorang sambil memujuk hati. Sedih dan kecewa bersilih ganti. Bagaimana nak meningkatkan prestasi jika hingga kini mereka sendiri masih belum sedar diri. 

Dan, perasaan yang satu ini tak mampu disorokkan lagi. Kecewanya ibu dengan sikap ibu bapa mereka...


Sabtu, 25 Ogos 2012

Berakhirnya Cuti Raya...


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Salam 7 Syawal buat semua pengunjung iBu BeRBiCaRa. Bagi rakan-rakan guru, cuti sempena Aidilfitri dah pun hampir sampai ke penghujungnya. Insyaallah, esok lusa akan kita harungi dengan rutin biasa seperti sebelum kehadiran Syawal. Namun, bagi rakan-rakan bukan guru, tentu dah ada yang mula bekerja beberapa hari lepas.

Hari ini tibalah saat ibu dan ayah menghantar Angah pulang. Kami bertolak dari rumah dah agak lewat; lebih kurang pukul 9.30 pagi. Alhamdulillah, pukul 1.30 kami selamat tiba ke destinasi. Selesai makan tengah hari, kami terus menghantar Angah ke asrama. Ketika kami sampai, kawasan asrama agak sunyi. Mungkin penghuninya masih dalam perjalanan. Dua orang rakan bilik Angahpun belum tiba. Sempatlah ibu solat di bilik angah manakala ayah bersama 2F solat di masjid.

Pukul 3.15 petang kami bertolak pulang. Mulanya, kami ikut laluan biasa. Namun, baru lima minit memulakan perjalanan dah terasa kesesakannya. Kereta dah mula bergerak macam siput semput. Lalu kami berpatah balik dan mencari laluan alternatif ke Kuantan. Alhamdulillah, perjalanan lancar namun masih berhati-hati kerana kenderaan yang banyak di jalan raya. Tambahan pula, keadaan jalan yang kurang elok di beberapa lokasi.

Hajat di hati nak singgah di mana-mana hentian sepanjang lebuh raya, namun kesemua hentian sesak hinggakan tiada tempat untuk parkir. Akhirnya, kami meneruskan perjalanan ke Temerloh untuk membeli tiket bas untuk Along yang akan pulang dua minggu lagi. Selepas makan, kami bertolak ke Jerantut dan sampai lebih kurang jam 10.30 malam.  

p/s: Lega sebab dapat menyemak semua kertas peperiksaan sambil menemani 'driver'. Kalau duduk di rumah, belum tentu semua kertas tu berusik.    


Gambar Ustaz Don - Husna @ Majlis Resepsi

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


 Assalamualaikum..

Jom lihat gambar Ustaz Don dan isterinya, Husna di Majlis Resepsi yang diadakan hari ini, 7 Syawal 1433H bersamaan 25 Ogos 2012 di Balik Pulau, Pulau Pinang.


  



Jumaat, 24 Ogos 2012

Ustaz Don -Husna Selamat Diijab Kabul

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum,

Salam 6 Syawal buat semua pengunjung iBu BeRBiCaRa. Dalam kesibukan kita merayakan Aidilfitri, rupa-rupanya Ustaz Don Daniyal dah pun mengakhiri zaman bujangnya pagi semalam, 5 Syawal 1433H bersamaan 23 Ogos 2012.

Pengacara program 30 Minit Bersama Ustaz Don ini selamat diijab kabul dengan Husna Zahry Rafie; penuntut tahun kelima jurusan perubatan Universiti Kaherah, Mesir

Pasangan pengantin baru; Ustaz Don dan Husna 
Kredit foto: Arnamee Blogspot.


 Comel kad jemputan mereka...
Kredit foto: melyssanadiea

 Tahniah buat Ustaz Don Daniyal Biyajid dan Husna Zahry Rafie.
Moga bahagia hingga ke syurga..


Khamis, 23 Ogos 2012

Majlis BBQ Santai @ 4 Syawal

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Salam 5 Syawal daripada ibu. Kepada yang sedang berkunjung ke rumah saudara-mara dan sahabat handai tu selamat beraya daripada ibu. Tidak lupa selamat berpuasa kepada yang sedang berpuasa.

Hari ini, masih lagi dengan entri raya. Ibu nak berbicara sikit tentang peristiwa semalam; 4 Syawal 1433H. Tahun ini adalah giliran adik-beradik ibu yang dah berkeluarga beraya di rumah mertua masing-masing. Namun, atas sebab yang tidak dapat dielakkan, tahun ini ibu sekeluarga beraya di rumah sendiri je. 

Tinggallah dua dara ni (adik ke-9 dan 10) beraya bersama
mak dan ayah pada pagi 1 Syawal.

Alhamdulillah, semalam semua adik-beradik ibu selamat berkumpul di rumah mak dan ayah. Apabila 10 keluarga dah berkumpul, tentu kalian dapat bayangkan macam mana suasananya. Mengalahkan majlis kenduri. Itu belum lagi dicampur dengan tetamu yang datang beraya. 

Pada malamnya, kami buat sedikit majlis BBQ. Sebenarnya, acara ni menjadi kebiasaan buat keluarga besar kami apabila dapat berkumpul beramai-ramai. 

 Tiga orang adik ibu; Idah, Lina dan Zila bersama anak buah.

  Seorang lagi adik ibu, Zamaruddin.

 Anak buah; Wawa dan Zafran

Ibu bersama adik; Zila dan Sharina serta anak buah; Amirul Farhan.


P/s: Insyaallah, kami akan berkumpul lagi pada 8 September ini sempena pada majlis pertunangan adik bongsu ibu.



Rabu, 22 Ogos 2012

Mutiara Kata ♥ Mencari Kesilapan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang






Selasa, 21 Ogos 2012

Hidangan Mi Rebus @ 2 Syawal

Salam Syawal daripada ibu. Tentu masih ada yang sedang menziarahi saudara-mara dan sahabat handai ketika ini. Bagi ibu pulak, hari ini hanya rehat-rehat di rumah. Kebetulan angah kurang sihat. 

Petang ni ibu nak kongsikan hidangan yang ibu sediakan semalam. Mi rebus adalah antara hidangan yang ibu sediakan setiap kali hari raya samada Aidilfitri mahupun Aidiladha. Aidilfitri kali ini, mi rebus menjadi pilihan untuk hidangan hari raya kedua.  

Sebenarnya, ada banyak cara menyediakan mi rebus ni. Konon-kononnya kali ni nak buat kelainan sikit; cuba resipi yang lain dari kebiasaan. Jadi, ibu cuba google mencari resipi. Macam-macam versi yang keluar. Akhirnya, ibu gunakan resipi asal yang dah berbelas tahun menjadi rujukan ibu. Resipi ni ibu salin daripada sebuah majalah. 

 Hidangan mi rebus air tangan ibu.
 
RESIPI MI REBUS

Bahan-bahannya: 
  • 1 kg mi kuning
  • 300 g tauge - celur
  • 4 keping tauhu - goreng dan hiris nipis
  • 2 pokok daun sup - hiris
  • 2 pokok daun bawang - hiris
  • 2 biji cili hijau - hiris
  • 2 biji cili merah - hiris
  • 6 biji telur - rebus, kupas dan belah 2
  • 6 biji limau kasturi - belah 2
  • Bawang goreng

Bahan Kuah:
  • 500 g daging - cincang kasar dan rebus empuk
  • 250 g udang
  • 4 sudu besar taucu - kisar lumat
  • 500 g keledek - rebus dan kisar halus
  • 1 cawan kacang tanah - disangai dan kisar halus
  • 2 cm lengkuas - titik
  • 1 batang serai - titik
  • 2500 ml air
  • ¼ cawan minyak masak
  • gula
  • garam

Bahan Kisar:
  • 2 sudu ketumbar
  • 1 sudu kecil jintan manis
  • 1 sudu kecil jintan putih
  • 10 tangkai cili kering
  • 6 labu bawang besar
  • 6 ulas bawang putih

Cara Membuat Kuah:
 
  1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga harum. Tambahkan taucu dan kacau rata. Masukkan juga serai. 
  2. Masukkan daging bersama air rebusan, udang, lengkuas, keledek, dan air. Masak perlahan hingga mendidih.
  3. Masukkan kacang tanah kisar.
  4. Tambah garam dan gula. 
  5. Masak hingga kuah pekat.
* Biasanya kuah mi rebus manis sedikit tapi janganlah terlalu manis.


Cara Penyediaannya:
  1. Celur mi, toskan dan masukkan ke dalam pinggan/ mangkuk.
  2. Tuangkan kuah ke atas mi.
  3. Letakkan telur rebus di atasnya. Taburkan tauhu, tauge, hirisan cili hijau, cili merah, daun sup dan daun bawang serta bawang goreng.  
  4. Perahkan jus limau kasturi di atasnya.


    SELAMAT MENCUBA!


    Isnin, 20 Ogos 2012

    Salam Aidilfitri... Maaf Zahir & Batin



    Salam Syawal 1433H buat semua rakan dan pengunjung iBu BeRBiCaRa
    Dari kejauhan ibu menyusun sepuluh jari
    Memohon maaf andai ada tersilap bicara
    Moga kalian bergembira di Aidilfitri yang mulia

    Akhir kata..

    Salam Aidilfitri
    Maaf Zahir Batin

    Ikhlas,


    Sabtu, 18 Ogos 2012

    Jahitan Manik @ Penghujung Ramadhan

    Ibu pernah berbicara tentang jahitan manik yang ibu buat di sini dan sini. Itulah antara jahitan manik pertama hasil tangan ibu. Minat dah lama disemai tapi tak sempat bercambah lantaran kesibukan tuan punya diri dengan tugas-tugas hakiki. Boleh ke buat alasan itu lagi? Macam la ibu seorang je yang bekerja.. 

    Semalam, setengah hari ibu menyiapkan jahitan manik pada baju seorang rakan. Inilah kali pertama ibu ambil tempahan jahitan manik. Sebelum ini, memang ibu pernah berhajat untuk mengambil tempahan menjahit manik tapi bukanlah dalam masa yang terdekat ini.  Walau bagaimanapun permintaan seorang rakan buat ibu serba salah. Akhirnya, ibu terima dengan syarat buat jahitan yang paling ringkas je.

    Jom, ibu kongsikan hasil tangan yang tak seberapa ini.


    Masih dengan motif bunga macam yang ibu pernah 
    hasilkan sebelum ini atas permintaan tuan baju.

    Harap-harap selepas UPSR pada 11-13 Sepetember ni, ibu punya kelapangan untuk menerima tempahan jahitan manik dan jahitan kraftangan yang dah hampir setahun ibu tinggalkan.

    Sebenarnya, ada dua kerja yang sedang menanti untuk disiapkan dalam masa yang terdekat ni. Satu set hantaran pertunangan adik bongsu dan satu set lagi berupa hantaran perkahwinan anak saudara. Walaupun amat sibuk ketika ini, tak sampai hati menghampakan harapan kedua-duanya. Moga dipermudahkan segala urusan..

    P/s: Harap-harap misi membeli-belah sekejap lagi berjalan lancar. 


    Jumaat, 17 Ogos 2012

    Doa Akhir Ramadhan

    Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


    Ya Allah,
    Ramadhan akan berakhir dan akan meninggalkan kami. Oleh itu, berilah masa kepada kami untuk terus beramal seperti dalam bulan Ramadhan. Kami bersyukur kerana diberi hidayah dan petunjuk untuk mentaati-Mu dengan ikhlas hati dan beribadat kpd-Mu mengharapkan keampunan dan keredhaan-Mu.

    Ya Allah,
    Kami mohon kepada-Mu semoga dipanjangkan umur kami lagi untuk bertemu dengan bulan Ramadhan pada tahun hadapan supaya dapat kami mengabdikan kepada-Mu.

    Ya Allah,
    Sekiranya kami tidak sempat bertemu dengan bulan Ramadhan lagi, maka Engkau ampunkan dosa kami dan masukkan kami ke dalam syurga-Mu.

    Ya Allah,
    Kami berharap dengan berakhirnya bulan Ramadhan yang mulia ini, segala amalan kami Engkau terima dan segala doa kami Engkau makbulkan, Aamiin...



    Khamis, 16 Ogos 2012

    "Meriahnya Raya Kita.."

    Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


    Hari ni, kebanyakan sekolah dah mula bercuti termasuklah sekolah ibu. Walau bagaimanapun ada sekolah yang tidak bercuti atas pelbagai alasan. Sebenarnya, tidak semua menyambut gembira cuti berganti yang diumumkan ini. Maklumlah, pengumuman dibuat pada saat-saat akhir sedangkan ramai yang dah buat perancangan lebih awal. Tambahan pula, murid-murid tahun 6 sedang sibuk membuat persediaan untuk menghadapi UPSR. 

    Sebelum balik, semua murid berkumpul di dataran perhimpunan untuk mendengar amanat daripada guru besar. Kemudian, diadakan majlis penyampaian duit raya. Memang meriah suasana ketika ini. Dah tentu murid-murid paling seronok sebab misi mengumpul duit raya dah bermula *guru-gurupun seronok tau! Selepas majlis ini, ada juga yang berkumpul di kelas pula untuk menerima duit raya lagi daripada guru kelas masing-masing.

     Guru besar menyerahkan duit raya kepada murid-murid prasekolah.
     
    Sebelum itu, murid-murid tahun enam yang baru je selesai menduduki ujian percubaan UPSR berkumpul di kelas untuk menerima kerja rumah. Setiap murid dibekalkan dengan dua set soalan bagi setiap subjek. Bukan tak rasa kesian tapi terpaksa bertindak kejam demi kejayaan mereka. Kalau tidak, alamat raya sakanlah mereka.  Kedengaran suara berkata, "Meriahnya raya kita.." Ibu hanya senyum tanpa kata.

    p/s: Angah dahpun balik hari ni. Alhamdulillah kami sekeluarga dapat berbuka bersama-sama buat kali pertama pada Ramadhan kali ni. 


    Rabu, 15 Ogos 2012

    Sambal Pede a.k.a. Sambal Budu

    Ibu nak bertanya sikit kepada semua pengunjung teratak maya ibu ni.. Pernah dengar tentang sambal pede tak? Pernah makan atau pernah rasa? Agak-agaknya, macam manalah rupa sambal pede ni. Pada firasat ibulah, tentu tak ramai yang tahu dan mungkin tak pernah dengarpun tentang sambal pede ni. Oklah, nanti ibu perkenalkan ye..

    Sebelum bercerita panjang lebar tentang sambal peda ni, ibu nak rakan-rakan betulkan dulu sebutannya. Sebutan "sambal" tu tak jadi masalah kan? Ibu yakin semua pandai menyebutnya. Yang menjadi masalahnya, bagaimana nak sebut "pede" tu. Sebenarnya, kedua-dua suku kata "pe" dan "de" tu menggunakan e pepet (bukan e taling). Kalau dah ingat-ingat lupa (atau memang dah lupa pun) perbezaan bunyi antara kedua-dua e tu bolehlah rujuk sini

    Untuk pengetahuan rakan-rakan ibu semua, sambal pede ni adalah masakan tradisional yang sangat popular di Jerantut. "Pede" tu adalah panggilan manja bagi budu. Jadi, sambal pede tu dikenali juga dengan sambal budu. Tapi, jangan silap pula ye.. sambal pede ni bukanlah macam sambal budu yang dimakan dengan nasi kerabu tu..

    Inilah sambal pede a.k.a. sambal budu
     
    Untuk perhatian, ini bukanlah rupa asli sambal pede. Rupa sebenarnya lebih cun. Yang ini sambal pede versi orang m@#@s. Insyaallah, jika berkesempatan ibu akan tepekkan gambar sambal pede yang comel lote lepas ni ye.. 

    Inilah sambal kesukaan ibu sejak dulu lagi. Antara makanan yang mesti ada dalam hidangan berbuka keluarga ibu berselang hari. Ayah dan anak-anak pun suka. Untuk entri kali ni, ibu tunjukkan gambar je. Insyaallah, ada kelapangan nanti, ibu kongsikan resipinya (banyak pulak janji ibu..)

    p/s: Dalam debaran menunggu pengumuman cuti oleh guru besar. Belum pasti, sekolah ibu cuti atau tak esok.. 


    Isnin, 13 Ogos 2012

    Rakyat Malaysia Biadap?

    Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

    Ibu cukup tertarik dengan artikel ini yang disiarkan pada 4 Ogos yang lalu. Dah agak lama entri ni tersimpan dalam draf. Memang terkejut juga apabila membaca tajuknya. Namun, setelah membaca cara penilaian dibuat, ermmmm.. susah juga nak menafikannya. 


    MALAYSIA TERSENARAI 
    ANTARA NEGARA PALING BIADAP DI DUNIA

    Negara kita Malaysia melalui perubahan zaman, pembangunan, teknologi, ilmu pengetahuan yang sangat drastik dalam beberapa tahun kebelakangan. Dari golongan berpendidikan tinggi masih ada satu yang tidak berubah; perangai dan amalan kita.

    Enam tahun lalu, Reader’s Digest pernah meletakkan negara kita di tangga ke-33 negara paling biadap di dunia dan tahun ini, sekali lagi Reader’s Digest meletakkan negara kita Malaysia di tangga ke-33.

    Dan melalui rekod kemalangan jalan raya oleh pihak polis, 20 peratus kemalangan di negara kita adalah kerana sikap yang biadap di jalan raya. Selain itu, merokok di tempat larangan merokok, menjawap telefon di dalam pawagam, lambat datang untuk temu janji, tidak mengamalkan mengucap"terima kasih” dan meninggalkan troli selepas membeli belah di tempat parkir kereta begitu sahaja.

    Persoalan terakhir daripada kami, siapa membentuk imej negara kita kalau bukan kita? -sumber


    **Memang benarlah pepatah orang-orang tua, "seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit." 


    Ahad, 12 Ogos 2012

    Aiskrim Goreng Lagi..

    Beberapa hari lepas ibu buat aiskrim goreng lagi atas permintaan anak bujang ibu, Faiq. Macam biasa, ibu buat yang paling mudah. Rasanya ramai yang buat aiskrim goreng dalam bulan puasa ni.


    Inilah rupa aiskrim goreng yang dah siap.
    Banyak ibu buat sebab ada yang dah pesan awal-awal nak 2 biji.
    Lagipun, rakyat jelata memang dah ramaipun.
    Jom kita kongsikan cara membuatnya.



    Aiskrim Goreng

    Bahan-bahan:
    • roti
    • aiskrim (ibu buat perisa vanilla)
    • minyak untuk menggoreng
    • sedikit air

    Cara membuat:
    1. Mampatkan semua roti dengan penggelek doh supaya tidak menyerap minyak.
    2. Lembabkan sedikit permukaan roti supaya melekat (ibu spraykan dengan  sedikit air)
    3. Skopkan aiskrim ke atas roti. Kemudian, tutupkan aiskrim dengan sekeping roti lain.
    4. Tekan mulut cawan ke atas bahagian yang ada aiskrim sehingga roti terputus. Pastikan bahagian tepi roti bercantum supaya aiskrim tidak terkeluar.
    5. Masukkan ke dalam plastik pembalut dan simpan dalam peti sejuk (ruangan seju beku) sekurang-kurangnya 2-3 jam (ibu simpan semalaman).
    6. Keluarkan dari tempat beku dan goreng dalam minyak yang betul-betul panas hingga kekuningan (lebih kurang 20 saat - jangan terlalu lama untuk mengelakkan aiskrim cair)

    SELAMAT MENCUBA


    Sabtu, 11 Ogos 2012

    Tip Khatam Al-Quran: Hari ke-21 ~ 30

    Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


    TIP KHATAM AL-QURAN SEBULAN RAMADAN
     

    Hari ke-21:
    • Surah al-'Ankabut ayat 46-69
    • Surah ar-Rum ayat 1-60
    • Surah Luqman ayat 1-34
    • Surah as-Sajdah ayat 1-30
    • Surah al-Ahzab ayat 1-30 

    Hari ke-22:
    • Surah al-Ahzab ayat 31-73
    • Surah Sabak ayat 1-54
    • Surah Fathir ayat 1-45
    • Surah Yasin ayat 1-27 

    Hari ke-23:
    • Surah Yasin ayat 28-83
    • Surah as-Saffat ayat 1-182
    • Surah Sad ayat 1-88
    • Surah az-Zumar ayat 1-31

    Hari ke-24:
    • Surah az-Zumar ayat 32-75
    • Surah Ghafir ayat 1-85
    • Surah Fussilat ayat 1-54

    Hari ke-25:
    • Surah as-Syura ayat 1-53
    • Surah az-Zuhruf ayat 1-89
    • Surah ad-Dukhan ayat 1-59
    • Surah al-Jathiyah ayat 1-37

    Hari ke-26:
    • Surah al-Ahqaf ayat 1-35
    • Surah Muhammad 1-38
    • Surah al-Fath ayat 1-29
    • Surah al-Hujurat ayat 1-18
    • Surah Qaf ayat 1-45
    • Surah az-Zariyat ayat 1-24

    Hari ke-27:
    • Surah az-Zariyat ayat 25-60
    • Surah at-Thur ayat 1-49
    • Surah an-Najm ayat 1-62
    • Surah al_Qamar ayat 1-55
    • Surah ar-Rahman ayat 1-78
    • Surah al-Waqiah ayat 1-96
    • Surah al-Hadid ayat 1-29 

    Hari ke-28:
    • Surah al-Mujadalah
    • Surah al-Hasr
    • Surah al-Mumtahanah
    • Surah as-Saf
    • Surah al-Jum'ah
    • Surah al-Munafikun
    • Surah at-Taghabun
    • Surah at-Talaq
    • Surah at-Tahrim

    Hari ke-29:
    • Surah al-Mulk ~ Surah al-Mursalat  (juzuk ke-29)





    Hari ke-30:
    • Surah an-Naba ~ Surah an-Nas  (juzuk ke-30)


    SELAMAT MEREBUT
    MALAM LAILATUL QADAR


    Jumaat, 10 Ogos 2012

    Yang Hangat Kini..

    Sana-sini orang berbicara tentang iklan raya Bernas ini. Khabarnya ramai yang menitiskan air mata apabila menonton.
    Jom saksikan.. 




    Wanita & Pohon Semalu


    Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.

    Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah.

    Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

    Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

    Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

    Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.

    Dan akhir sekali... semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.

    Ambillah pengajaran daripada semalu walaupun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.


    Rabu, 8 Ogos 2012

    Terima Kasih NzA

     Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

    Setiap tahun ibu menerima banyak kad raya daripada anak didik. 
    Namun, dah lebih sepuluh tahun ibu tak terima kad daripada rakan-rakan. 
    Maklumlah dunia dah canggih. Segala ucapan sekadar dititipkan melalui sms.

    Walau bagaimanapun, tahun ini sedikit berbeza.
    Siang tadi ibu menerima kad ucapan hari raya beserta penanda buku. 
    Cantik kad yang dibuat sendiri oleh NzA ni. 
    Boleh juga dijadikan penanda buku.



    Terima kasih buat NzA atas tanda ingatan ini.
    Tiba-tiba rasa rindu menyapa.
    Terkenang saat kita sering bersama.
    Teringin untuk bersua muka.
    Moga suatu hari nanti akan termakbul jua. 

    Moga ukhwah yang dah terjalin hampir 20 tahun ini akan terus kekal ke akhir hayat.
    Sayang Yah ketat2..


    COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA