Sabtu, 23 April 2016

Konvokesyen Along

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Lama dah ibu tak menulis tentang anak² di sini. Kesibukan yang tak berpenghujung menyebabkan rumah kecil ini terus terabai. Namun Alhamdulillah hari ini sempat juga ibu mencuri masa mengedit dan menerbitkan entri ini. Sebenarnya, ini entri tertangguh. Hampir setengah tahun terperam dalam draf.

Begitu masa datang dan pergi, dan tidak menoleh lagi; puteri sulung ibu dah pun menamatkan pengajiannya. 24 Oktober 2015 yang lalu Along telah berjaya menggenggam segulung ijazah setelah bertungkus lumus selama 4 tahun dalam jurusan Sains Teknologi Alam Sekitar di Universiti Malaysia Terengganu.

Kami sekeluarga kecuali Angah telah ke Kuala Terengganu sehari sebelum itu. Seperti biasa, jika ke Kuala Terengganu, kami akan menginap di JBK Lodging/Homestay yang terletak di Jalan Tok Jembal, Kuala Terengganu. Kami selesa menginap di sini kerana perkhidmatannya yang baik serta suasananya seperti berada di rumah sendiri. Kami di sini selama 2 malam.

Keesokannya, selepas zohor kami ke UMT.
Along terlibat pada sesi kedua hari pertama Majlis Konvokesyen UMT ke-13 ini.


Buat Along, perjuangan yang lebih mencabar perlu diharungi selepas ini. Ibu doakan Along berjaya dalam apa jua perkara yang Along lakukan selepas ini. 

PS: Sebarang pertanyaan atau tempahan bilik JBK Lodging/Homestay, sila hubungi:

Hj. Hashim A. Baki (Pengurus)
Lot 20303, Kg. Pak Tijah,
Jalan Tok Jembal,
21300 Kuala Terengganu

HP: 013-9991817


Selamat Hari Lahir, Along

Hari ini 24 tahun yang lalu merupakan hari keramat buat ibu. Pada tarikh tersebut ibu dianugerahkan seorang insan yang melayakkan ibu bergelar 'ibu'. Ramai yang menunggu kehadirannya kerana dia merupakan cucu sulung bagi kedua-dua buah keluarga, keluarga ibu dan ayah.



NUR HANNA LIYANA
Puteri sulung yang lemah lembut, pendiam dan pemalu, sesuai dengan nama yang ibu berikan. Along anak yang tidak banyak karenah. Along juga telah membanggakan ibu dan ayah serta menjadi contoh buat adik-adik dengan kejayaan² along dalam pelajaran.

Kini, along menjadi anak yang berdikari. Mampu menguruskan adik-adik jika ibu dan ayah sibuk. Sentiasa meluangkan masa menemani ibu ke sana-sini. Terima kasih, Along.

Ibu doakan Along dipanjangkan usia, diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki, berjaya dalam apa juga yang along lakukan serta bahagia dunia akhirat.

 Syukur ya Allah kerana telah menghadiahkan kami sebutir permata yang amat bernilai.




COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA