Sabtu, 31 Mei 2014

Faiq di Pertandingan Koir Negeri Pahang 2014

Hari pertama cuti sekolah, 28 Mei 2014, Faiq bersama pasukan koir sekolah menyertai Pertandingan Koir Sekolah Rendah Peringkat Negeri Pahang 2014 bertempat di Sekolah Menengah Tengku Afzan Kuantan. Mereka bertolak sehari sebelum pertandingan bersama tiga orang guru pengiring dan menginap di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART).

koir
Kali pertama Faiq bersama kawan-kawan tanpa ibu di sisi.

makan di asrama
Si baju hijau makan bersama kawan-kawan di kantin asrama.

di dewan
Sebelah malamnya di dewan untuk sound check. 

Awal-awal lagi ibu bercadang untuk memberi sokongan memandangkan pertandingan diadakan pada hari cuti. Kononnya berpakat dengan kawan-kawan untuk pergi bersama-sama. Sayangnya ibu sekeluarga agak lewat pagi itu.

Ketika ibu sekeluarga sampai, pasukan ketiga sedang membuat persembahan. Sayangnya kerana tidak sempat menyaksikan persembahan sekolah sendiri yang merupakan pasukan pertama membuat persembahan.
persembahan koir
 Kumpulan pertama membuat persembahan.

Walaupun tidak mendapat tempat pada pertandingan kali ini, namun jurulatih dan guru-guru yang menyaksikannya cukup berpuas hati dengan persembahan mereka. Ini adalah peluang untuk menimba pengalaman memandangkan kami belum pernah menyertai sebarang pertandingan koir sebelum ini. Pasukan koir ini pun hanya ditubuhkan lebih kurang sebulan yang lalu.
pasukan bentong
Persembahan terbaik pasukan Bentong yang dinobatkan sebagai johan. 
koir sk temin
 koir sk temin
 Bergambar kenangan bersama jurulatih dan guru pengiring selepas pertandingan.

Acara tamat lebih kurang pukul 12.30 tengah hari. Faiq berangan balik bersama kawan-kawan yang lain dengan bas  tapi tak jadi sebab terpaksa ikut ibu yang ada agenda lain selepas tu. Kata orang sambil menyelam minum air.



Senarai Ranking Universiti Terbaik Malaysia 2014

Menurut senarai kedudukan ranking yang dikeluarkan oleh QS World University bagi negara Asia, 18 Universiti dari Malaysia telah berada dalam kedudukan itu yang menyenaraikan sebanyak 300 Universiti terbaik dari negara-negara Asia.


Ranking universiti terbaik Malaysia 2014 disusun berdasarkan kajian yang dikeluarkan secara terperinci oleh Quacquarelli Symonds (QS).

Senarai ranking universiti terbaik Malaysia 2014 ini dinilai berdasarkan beberapa aspek yang dilihat agak relevan yang mampu mencerminkan kualiti global dan penyelidikan di seluruh dunia bagi tahap yang lebih baik oleh QS. 

Senarai Ranking Universiti Terbaik Malaysia 2014 
  1. Universiti Malaya (UM) – IPTA 
  2. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - IPTA 
  3. Universiti Sains Malaysia (USM) - IPTA 
  4. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) - IPTA 
  5. Universiti Putra Malaysia (UPM) - IPTA 
  6. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) - IPTA 
  7. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) - IPTA 
  8. Universiti Multimedia (MMU) - IPTS 
  9. Universiti Teknologi MARA (UiTM) - IPTA 
  10. Universiti Teknologi Petronas (Petronas) - IPTS 
  11. Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) - IPTS 
  12. Universiti Utara Malaysia (UUM) - IPTA 
  13. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). - IPTA 
  14. Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing - IPTS 
  15. Universiti Malaysia Pahang (UMP) - IPTA 
  16. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) - IPTA 
  17. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) - IPTA
  18. Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) – IPTS
Berdasarkan senarai ranking universiti terbaik Malaysia 2014, universiti-universiti berikut berada dalam senarai ranking 300 universiti terbaik di Asia:
  • Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing
  • Universiti Malaysia Pahang (UMP)
  • Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
  • Universiti Tun Hussein Onn University of Malaysia (UTHM)
  • Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)

Universiti-universiti berikut pula berada dalam senarai ranking 250 universiti terbaik di Asia:
  • Universiti Multimedia (MMU)
  • Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  • Universiti Teknologi Petronas (Petronas)
  • Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
  • Universiti Utara Malaysia (UUM)
  • Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Tujuh universiti berikut pula berada pada kelas tersendiri iaitu termasuk dalam kalangan 200 senarai ranking universiti terbaik di Asia: 
  • Universiti Malaysia Sarawak (UniMas) – 200 terbaik Asia 
  • Universiti Islam Antarabangsa (UiAM) – 151-160 terbaik Asia
  • Universiti Putra Malaysia (UPM) – 72 terbaik Asia dan 411-420 terbaik dunia
  • Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – 68 terbaik Asia dan 355 terbaik dunia
  • Universiti Sains Malaysia (USM) – 61 terbaik Asia dan 355 terbaik dunia
  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – 72 terbaik Asia dan 269 terbaik dunia 
  • Universiti Malaya (UM) – 33 terbaik Asia dan 167 terbaik dunia
[sumber]



Jumaat, 30 Mei 2014

Salam Takziah kepada Mak Dara

Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ).

Salam takziah buat blogger Mak Dara  atas kembalinya ke Rahmatullah suami tercinta, Martias Ali. Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh

 Al-Fatihah...



Bawalah Rasulullah Pulang ke Rumahmu

Bawalah Rasulullah SAW pulang ke rumahmu...
dengan mencontohi akhlaknya,
mengamalkan sunnahnya, 
mengkaji sirahnya dan
mengenalkan Baginda kepada anak-anakmu.

~Habib Mahdi Abu Bakar Al-Hamid~



Segmen | Blog Review By ERAZ FADLI


ERAZ FADLI mengajak semua blogger untuk join Segmen | Blog Review By ERAZ FADLI.. Segmen yang sangat simple dan insyaallah akan memberi manfaat kepada yang join.. Segmen ini bermula sekarang dan akan berakhir pada Isnin, 02 Jun 2014 pukul 11:59 Malam sahaja.. LIMA atau mungkin SEPULUH atau mungkin lebih blog akan dipilih untuk direview.. Korang sure tahu apa keistimewaan blog di review kan.. Sama-sama membantu..

Selain daripada itu, seorang TOP REFERRAL akan untuk mendapat saguhati RM 10 atas usaha beliau promote, share dengan kawan-kawan serta join segmen ini.. Cara nak dapatkan TOP REFERRAL? Tentulah kena join segmen ini, lepas share link entri korang di Facebook ke, Twitter ke, group-group yang ada di Facebook ke kan..
Syarat : -
  1. Follow blog Eraz, dan like Page E'raz Fadli..
  2. Buat tajuk entri Segmen | Blog Review By ERAZ FADLI
  3. Copy coding code yang telah disediakan di SINI dan paste kan ke dalam ruangan HTML dan publish entri..
  4. Beritahu pendapat anda tentang blog ERAZFADLI.COM dan apa istimewanya blog korang..
  5. Tinggalkan URL entri anda ke dalam ruangan komen ini..

Pendapat tentang blog ERAZFADLI.COM
Ibu follow erazfadli.com dah hampir dua tahun, semasa menyertai Segmen E'raz Fadli : Blogwalking.  Selain itu, ibu juga pernah join SEGMEN ERAZ FADLI: Pencarian BLOGLIST.Selalu terjah ke  erazfadli.com melalui link di mialiana.com.
Erazfadli.com sangat kemas. Entry di sini juga santai, ringkas dan padat. Boleh baca entry dalam suasana tenang. Lagipun Eraz suka menulis tentang puterinya, Zara dan keluarganya. Sesuatu yang jarang dikongsikan oleh blogger lelaki yang lain. Dari segi susun atur, ibu berpendapat widget blog archive lebih sesuai diletakkan di sidebar. Mudah untuk pengunjung mengakses tanpa perlu scroll jauh ke bawah.

Keistimewaan blog sendiri
Di sini macam-macam ada. Cerita tentang keluarga, kerjaya, kesihatan, perkongsian keagamaan dan cerita-cerita nostalgia tuan blog. Tiada apa yang istimewa di blog ini, namun ibuberbicara tetap istimewa di hati ibu. Segala catatan di sini ingin ibu dikongsikan dengan anak cucu dan moga blog ini menjadi rujukan mereka setelah pemergian ibu kelak. 
# Senang.. Idea cara yang simple dan mudah ini dikreditkan kepada blogger MiaLiana..



Khamis, 29 Mei 2014

Halalkah Rezeki yang Kita Peroleh?

doa rezeki halal

Petikan dari tazkirah Ustaz Don Daniyal.
"Bukan hanya daging babi, haiwan tak disembelih, atau pun arak sahaja yang kita perlu jaga sangat-sangat supaya tak masuk ke dalam perut. Ada lagi sumber yang lain kita perlu elak dicampurkan dengan darah daging.

Nasi yang dimakan memang halal, tetapi kalau dibeli dengan gaji yang ditipu pun ragu statusnya. Jadi ragu disebabkan semasa waktu kerja, guna talian internet ofis berjam-jam melayan Facebook peribadi, lepak-lepak di kantin, kafeteria, ataupun konon keluar jumpa klien tetapi sebenarnya klien untuk bisnes sendiri. Ataupun pergi rumah kawan untuk dengar gosip terbaru. 

Makan ayam goreng yang JAKIM sahkan halal, tetapi dibeli guna wang claim yang diada-adakan. Claim hotel, tetapi sebenarnya menginap percuma di rumah saudara-mara. Minta pemandu teksi keluarkan resit palsu. Claim mileage ke lokasi meeting, tetapi melencong shopping sebelum pulang ke ofis. Sengaja lengah kerja waktu pejabat kerana mahu claim OT. Ambil kertas A4, sampul surat, selotep, guna mesin fotostat pejabat untuk urusan bisnes online milik sendiri.

Kadang-kadang, badan asyik sakit-sakit, duit asyik tak cukup, masalah bertimpa-timpa. Bukan sebab Tuhan tak sayang. Bukan sebab orang aniaya. Bukan sebab santau atau kerja jin. Tetapi puncanya daripada diri sendiri yang tak mengawal hati.

Fikir dalam-dalam. Apabila musibah, tak perlu tuding jari. Bertanggung jawablah atas perilaku sendiri."
Wallahu a’lam

Ps: Sama-sama kita muhasabah diri.




Terung Manggul dan Senapang Kayu

Ini cerita zaman kanak-kanak ibu. Lama dah masa tu berlalu tapi masih indah untuk dikenang. Antara permainan popular budak-budak kampung macam ibu adalah main tembak-tembak menggunakan pistol kayu. Pelurunya terung manggul atau terung pipit.

Setiap orang ada pistol kayu. Permulaannya, Pakcu Rahim (ayah ibu la tu..) cukup sporting buatkan pistol kayu untuk ibu dan adik-adik. Bila dah jemu, mulalah kami buat pistol sendiri. Macam-macam rupa pistol yang ada. Tapi, yang penting bukan rupanya tapi sekuat mana dan sejauh mana peluru boleh sampai. Orang yang dapat hasilkan pistol yang paling kuat dan jauh tembakannya dikira hebat. Memang kreatif la masa tu..

Petang hari je, permainan pun bermula. Pemain dibahagikan kepada dua kumpulan menggunakan teknik lat-talilat-laili-tam-plom dan ooo-som. Sebelum itu, kawasan peperangan dibahagikan terlebih dahulu dan dipersetujui oleh dua-dua kumpulan. Macam medan tempur lah kiranya.

Tempat persembunyian atau kubu terpulang kepada kreativiti masing-masing. Ada yang menyorok di dalam belukar, di balik pokok, di atas pokok atau di mana-mana sajelah. Yang kecil molek boleh menyorok di balik tiang rumah je. Biasanya kawasan belukar adalah kubu terbaik sebab banyak bekalan peluru. 

Bila dah ready, pertempuranpun bermula. Masing-masing berusaha menyelamatkan diri dari tembakan. Maklumlah, buat terung manggul tu keras, memang sakit jika terkena tembakan terutama tempat sentitif seperti muka. Sesiapa yang berjaya ditembak atau ditawan akan dirampas semua pelurunya. Permainan akan berlarutan sehingga semua ahli sesebuah pasukan ditembak atau ditawan. Kadang-kadang, hampir maghrib barulah permainan tamat. 
 
Beginilah rupa pistol kayu 
[kredit foto: google]

Usah terkejut bila baca catatan ni. Masa ibu budak-budak dulu, budak perempuan lasak-lasak mengalahkan lelaki. Apa saje yang budak lelaki main, itu jugalah permainan budak perempuan. Jadi, tak hairanlah kami yang perempuan ni boleh memanjat pokok dan berenang macam budak lelaki.

Betul-betul nostalgia bila diingatkan balik. Agaknya, sekarang ni ada lagi tak yang main macam ni? Maklumlah budak-budak sekarang sibuk dengan gadjet.





Rabu, 28 Mei 2014

Semakan Keputusan Permohonan Pertukaran Guru Sesi Jun 2014 | E-GTukar Jun 2014

Melalui laman web e-GTukar Kementerian Pendidikan Malaysia telah memaklumkan bahawa semakan pertukaran guru sesi Jun 2014 boleh dibuat mulai 31 Mei 2014.

e-gtukar

Klik link untuk terus ke sistem E-GTukar
e-gtukar



Al-Fatihah - DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah

Sultan Azlan Shah

Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ).
Al-Fatihah


BIOGRAFI

SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH IBNI ALMARHUM
SULTAN YUSSUF IZZUDDIN SHAH GHAFARULLAHU-LAH
D.K. , D.K.M. , D.M.N. , D.K. (KELANTAN), D.K. (TERENGGANU),
D.K. (PERLIS), D.K. (JOHOR), D.K. (SELANGOR), D.K. (KEDAH),
D.K.M.B. (BRUNEI), D.K. (NEGERI SEMBILAN), D.K. (PAHANG),
S.S.M. , P.M.N. , P.S.M., D.K.S.A., S.P.C.M. , S.P.T.S. , S.P.M.P. , S.I.M.P.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Paduka Seri Sultan Azlan Shah telah diputerakan pada 19hb April 1928 di Batu Gajah, Perak. Pada tahun 1955, D.Y.M.M. Tuanku  telah mendirikan mahligai rumahtangga bersama D.Y.M.M. Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan kemudiannya telah dikurniakan lima orang cahayamata.

D.Y.M.M. Tuanku telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kerajaan (Inggeris), Batu Gajah yang kini dikenali sebagai Sekolah Sultan Yussuf Batu Gajah. Tuanku kemudiannya melanjutkan pelajaran menengahnya di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Setelah itu, Tuanku telah menyambung pendidikannya di dalam bidang Undang-Undang di University of Nottingham, United Kingdom di mana Tuanku telah dikurniakan dengan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada tahun 1953. Pada 23hb November, 1954 D.Y.M.M. Tuanku telah diterima sebagai ahli di dalam The English Bar oleh The Honorable Society of Lincoln's Inn.

Sekembalinya dari United Kingdom, D.Y.M.M. Tuanku telah memulakan perkhidmatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Kemudiannya, Tuanku telah memasuki Perkhidmatan Undang-Undang Dan Kehakiman Persekutuan Tanah Melayu sebagai Majistret Kelas Pertama dan Presiden Mahkamah Sesyen. D.Y.M.M. Tuanku kemudiannya telah dilantik ke dalam jawatan-jawatan berikut: sebagai Peguam Persekutuan dan Timbalan Pendakwa, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan Johor, Pendaftar Mahkamah Tinggi Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Pada tahun 1965, ketika hanya berusia tiga puluh tujuh tahun, D.Y.M.M. Tuanku telah dinaiktarafkan ke Kerusi Hakim Mahkamah Tinggi Malaya sebagai hakim termuda yang pernah dilantik di dalam sejarah kehakiman Komanwel. Pada tahun 1973, Tuanku telah dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan dan enam tahun kemudian, iaitu pada tahun 1979, Tuanku telah dilantik untuk memegang jawatan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, jawatan yang dipegang sehingga perlantikan Tuanku sebagai Ketua Hakim (dulu dikenali sebagai Lord President) Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 12hb November, 1982.

Tanggal 1 Julai, 1983, D.Y.M.M. Tuanku telah dimahkotakan sebagai Raja Muda Perak dan kemudiannya mewarisi takhta negeri Perak pada 3hb Februari, 1984 sebagai Sultan Perak yang ke-34. D.Y.M.M. Tuanku telah ditabalkan secara rasmi pada 9hb Disember, 1985.

Sumbangan dan kerja-kerja amal D.Y.M.M. Tuanku telah banyak memberi faedah khususnya kepada Institusi-Institusi Pengajian Tinggi.  Di antara jawatan-jawatan yang pernah dijawat oleh Tuanku adalah sebagai Canselor Universiti Sains Malaysia (4hb Oktober, 1971 - Februari, 1984), Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (1hb November, 1974 - 31hb Oktober, 1976) dan sebagai Canselor Universiti Malaya sejak 8hb Februari, 1986.

D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Kesusasteraan oleh Universiti Malaya pada 30hb Jun, 1979 dan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia pada 28hb Jun, 1980.  Kecemerlangan dan pencapaian Tuanku juga telah diiktiraf oleh pelbagai universiti luar negara, seperti University of Nottingham yang telah menganugerahkan Tuanku dengan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang pada 11hb Julai, 1986 diikuti oleh Lincoln's Inn, London yang menganugerahkan Tuanku dengan "Kerusi Kehormat" pada tahun 1988. Di samping itu, D.Y.M.M. Tuanku juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang oleh Universitas Gadja Mada, Jogjakarta, Indonesia pada 28hb September, 1990, oleh Universiti Brunei Darussalam pada 30hb Oktober, 1990 lantas diikuti oleh Universiti Chulalongkorn, Bangkok, Thailand pada 19hb Disember, 1990. Pada 2hb Oktober, 1991, D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan Keahlian Kehormat The Royal College of Physician of Ireland. Anugerah yang sama juga telah diberikan oleh Royal College of Surgeons of Ireland, The Royal College of Surgeons of Edinburgh dan The Royal College of Surgeons of England pada tahun 1999.

Berdasarkan pencapaian cemerlang di dalam perkhidmatannya, D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan pelbagai anugerah kehormat samada di peringkat Persekutuan mahupun dari luar negara. Di antaranya adalah D.K.;D.K.M.; D.M.N.; D.K.(Kelantan), D.K. (Terengganu); D.K. (Perlis); D.K. (Johor); D.K.(Selangor); D.K.(Kedah); D.K.M.B.(Brunei); D.K.(Negeri Sembilan); D.K.(Pahang); S.S.M.; P.M.N.; P.S.M.; S.P.C.M.; S.P.T.S.; S.P.M.P.; S.I.M.P.; The Most Auspicious of The Rajamitrabhorn (Thailand); Grand Order of Mugunghwa (Republik Korea); Collar of The Japanese Order of The Chrysanthemum dan Grand Cordon of The Supreme Order of the Chrysanthemum (Jepun); Civil Order; 1st Class (Oman) dan Orden Al-Merito De Chile (Republik Chile); Bintang ADI PURNA (Republik Indonesia); dan Hon. Knight Grand Cross (Civil Division) of The Order of The Bath (U.K.). D.Y.M.M. Tuanku juga telah dikurniakan The PAUL HARRIS FELLOWSHIP oleh Rotary International dan The Melvin Jones Fellow Award oleh Lions Clubs International.

Minat yang mendalam Tuanku di dalam bidang sukan khususnya bidang hoki telah bermula sejak zaman persekolahan lagi. D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah kini memegang jawatan sebagai Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (Malaysian Hockey Federation), Presiden Hoki Asia serta sebagai Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (International Hockey Federation). Selain hoki, Tuanku juga amat berminat di dalam permainan golf, dan kini kini merupakan Penaung DiRaja bagi Persatuan Undang-Undang Malaysia di Great Britain dan Eire, The British Graduates Association of Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, The Rotary Clubs, The Lions Clubs, Kelab Ipoh DiRaja, Kelab Golf DiRaja Perak, Kelab Polo Iskandar, Kelab Golf Kuala Kangsar, Persatuan Alam Sekitar Malaysia serta Persatuan Hoki Veteran Perak.

Pada tahun 1992, di Ekspo Pelancongan Domestik Perak, satu jenis spesis bunga orkid telah dinamakan bersempena dengan nama Tuanku dengan rasminya - "Doritinopsis Sultan Azlan Shah" selepas menerima anugerah tanaman terbaik di dalam kategorinya.

Menghargai komitmen D.Y.M.M. Tuanku sebagai Penaung Persatuan Alam Sekitar Malaysia (The Malaysia Nature Society), satu jenis spesis baru serangga yang ditemui ketika Ekspedisi Saintifik Belum (1993-1994) telah juga dinamakan bersempena nama Tuanku - Azlania Costatipennis (Jacoby), Azlania apicalis Mohamedsaid dan Azlania borneensis Mohamedsaid

Pada 25hb April, 1989, D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah diisytiharkan dengan rasminya sebagai Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong Malaysia yang kesembilan. [sumber]



Wordless Wednesday 27

koir
koir
Pertandingan Koir Sekolah Rendah Peringkat Negeri Pahang 2014


Selasa, 27 Mei 2014

Kemeja Putih untuk Faiq

Faiq terpilih mewakili sekolah ke pertandingan koir peringkat negeri Pahang. Bukan main seronok Faiq. Tambahan pula kebanyakan yang terpilih adalah rakan-rakan sekelas termasuk bffnya, Hadif.

Cadangan asal, peserta akan mengenakan kemeja ungu bersama seluar sekolah (biru tua) dan blazer juga biru tua. Ibu berpendapat padanan ungu dan biru tua kurang menyerlah lalu mencadangkan kemeja ungu ditukar dengan putih. Cadangan ibu diterima.

Minggu lepas Faiq dah beritahu ibu tentang pakaian mereka untuk pertandingan tersebut. Ibu tau Faiq risau sebab dia tak punya kemeja putih, yang ada kemeja pengawas berwarna ungu.  Ibu yang agak sibuk masa tu berjanji untuk membeli kemeja putih pada hari Sabtu.

Sabtu ibu sibuk lagi. Jadi, Ahad barulah berkesempatan menerjah pasar raya. Hampa bila tak jumpa yang dicari. Begitu banyak kemeja putih yang dijual di pasar raya dan kedai tak ada satu pun saiz Faiq.

kemeja putih
Akhirnya, terpaksa juga beli satu saiz kurang. Saiz 17 ni masih muat dengan Faiq tapi agak kurang selesa terutama musim panas macam sekarang. Kesian anak ibu.. takpe lah Faiq. Pakaipun sekejap je. 




Isnin, 26 Mei 2014

Ujian Memandu Angah dan Ude



Sudah 15 tahun ibu memandu. Bermakna, dah 15 tahun juga ibu ada lesen memandu. Jadi, cerita lulus ujian memandu ini bukanlah cerita pasal ibu. Ini cerita pasal dua orang anak dara ibu, Angah dan Ude.

Angah dan Ude tak dapat mengambil lesen memandu selepas SPM macam Along sebab kedua-duanya mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebaik habis peperiksaan SPM. Angah ke Kem PLKN Tasik Chini Resort dan Ude ke Kem PLKN Gambang. Sebaik-baik tamat PLKN, mereka dah menyambung pelajaran semula. 

Cuti semester kali ini Angah dan Ude cuti serentak. Jadi, kedua-duanya kami hantar ke kelas memandu dan terus ambil ujian memandu. Alhamdulillah, pemilik sekolah memandu adalah kenalan lama ibu. Jadi, dia yang datang ke rumah mengambil dan menghantar Angah dan Ude. Maklumlah, yang bercuti Angah dan Ude, ibu dan ayah tetap ke sekolah macam biasa.

Pagi tadi Angah dan Ude dah pun mengambil ujian memandu. Ibu tengok Ude ok je tapi Angah macam risau je. Beberapa hari sebelum ini Angah ada beri gambaran seolah-oleh dia belum yakin untuk mengambil ujian memandu. Ibu dan ayah cuba yakinkan Angah yang dia boleh lulus.

Masa di sekolah pagi tadi bukan main risau lagi ibu. Nak call diorang berdua bimbang tengah test. Jadi, tunggu sampai tengah hari baru ibu call. Tak angkat la pulak. Tamat je waktu persekolahan ibu terus balik. Tak sempat rehat-rehat melepaskan lelah macam biasa. 

Angah dan Ude dah ada di rumah masa ibu sampai. Alhamdulillah, kedua-duanya lulus. Lega hati ibu. Tak perlu nak fikir-fikir pasal hal ni lagi. Bagi ibu, lesen memandu sangat penting. 

Ps: Tertunai sudah janji ibu dan ayah..




Petua Meredakan Demam

Jika ada anak yang demam, sudah pasti ibu dan ayah tidak senang duduk mencari jalan untuk menyembuhkan si anak atau sekurang-kurangnya mencari jalan untuk menurunkan suhu badannya yang tinggi.

Masih ibu ingat masa kecil-kecil dulu, jika ibu atau adik-adik demam, emak amalkan beberapa petua untuk meredakan demam dan panas badan. Seingat ibu, petua yang emak amalkan betul-betul mujarab. Cepat je suhu badan yang tinggi tu turun. 

Ketika itu, bukan mudah untuk kami ke klinik atau hospital kerana kami tinggal nun jauh di kampung. Tambahan pula kami tidak punya kenderaan untuk bergerak ke sana sini. Maka, petua tradisionallah yang menjadi penyelesaiannya.

Bagi ibu bapa yang tercari-cari petua tradisional untuk menurunkan suhu badan anak yang demam, di sini ibu kongsikan.

Petua Meredakan Demam 
  1. Beberapa helai daun bunga raya atau daun bunga cina atau daun lada (cili api) diramas-ramas dalam semangkuk air bersih. Jaramkan seluruh kepala dan ubun-ubun dengan air tersebut. Ulang beberapa kali hingga demam anak kebah
  2. Sebuku asam jawa diramas dengan sedikit air. Sapukan air tersebut pada ubun-ubun dan seluruh kepala. Biarkan air asam jawa itu kering di kepala. Lakukan sehingga betul-betul sembuh. 
  3. Beberapa helai daun sirih diramas dalam semangkuk air bersih bersama buah pinang muda yang telah dipecah-pecahkan. Jaram kepala dengan  ramuan ini. Lakukan beberapa kali sehingga panas badan berkurangan.
  4. Ambil sebuku ubi kayu, kupas kulitnya, bersihkan lalu diparut. Parutan tersebut ditepekkan di dahi. Jika parutan kering, gantikan dengan parutan yang baru. Lakukan sehingga suhu badan menurun.
  5. Rendam buah kembang semangkuk dan halwa kundur lebih kurang 1/2 -  1 jam di dalam air masak/putih. Airnya diminum untuk meredakan panas badan.
  6. Pegaga termasuk akarnya dibersihkan dengan air garam lalu dikisar. Minumlah jusnya untuk menurunkan suhu badan. Boleh ditambah gula batu jika ingin rasa manis.
  7. Segenggam beras pulut disangai (goreng tanpa minyak) sehingga kekuningan. Campurkan dengan secawan air panas. Setelah air tersebut suam, tapiskan dan boleh diminum.
Masa anak sulung demam ibu pernah bawa ke klinik tapi doktor pesan kalau demam tak serius tak perlu bagi makan ubat. Jadi, balik ke rumah ibu amalkan petua no. 1 dan 2. Alhamdulillah serasi dengan along. Petua yang sama ibu amalkan untuk anak-anak yang lain.

Ps: Air beras goreng tu terasa-rasa di tekak ini sebab emak selalu buatkan untuk kami adik-beradik. 


Ahad, 25 Mei 2014

CPUV Sanofi Lactacyd April 2014


Syukur Alhamdulillah, dikongsikan berita baru segar dari ladang. Setelah dua minggu menunggu, akhirnya pagi ini muncul CPUV baru iaitu Sanofi Lactacyd April 2014. Ini merupakan campaign ke-105 sepanjang berdaftar dengan Nuffnang dan campaign ke-76 untuk tahun 2014. Terima kasih team Nuffnang dan Lactacyd Malaysia sebab sudi beriklan di sini walaupun baru je aktif berblog semula setelah menyepi sekian lama. 

cpuv

Review Ringkas Sanofi Lactacyd April 2014

Lactacyd adalah rakan harian yang dipercayai untuk wanita yang memahami bahawa kebersihan feminin adalah penting untuk kekal sihat dan yakin.

Lactacyd adalah pakar kebersihan feminin. Sejak dulu lagi, Lactacyd amat dikenali sebagai produk penjagaan intim tidak seperti jenama lain yang menyediakan produk penjagaan kebersihan intim sebagai tambahan kepada produk penjagaan tubuh atau produk wajah yang lain. 

Lactacyd amat memahami kehendak wanita dalam soal penjagaan kebersihan kawasan intim dan telah menghasilkan produk sebagai memenuhi keperluan harian mereka yang inginkan kesegaran dan keselesaan. 

Antara produk Sanofi Lactacyd yang diperkenalkan mulai April 2014 termasuklah Lactacyd pH 3.5, Lactacyd White Intimate, Lactacyd Revitalize, Lactacyd Nourish, Lactacyd Lasting Freshness, Lactacyd Intimate Wipes. 

Ingin tahu lebih lanjut produk Lactacyd klik sini 
Jika nak sampel percuma Lactacyd klik sini  

Ps: Kalau nampak iklan Sofi Lactacyd tengah menari-nari, klik lah ye.. Jutaan terima kasih buat semua.





Sabtu, 24 Mei 2014

Mencuci Bantal


bantal
Bagaimana menjaga kebersihan bantal? Tidak dinafikan, kita selalu mencuci sarung bantal, tetapi bagaimana dengan bantalnya sendiri? Setelah bertahun-tahun bantal tersebut mengulit lena kita, terkena bekas alat solek, perawatan rambut dan peluh, adakah terjamin kebersihannya jika sekadar dijemur atau ditepuk-tepuk? Sesekali kita perlu mencucinya untuk mengembalikan penampilannya seperti ketika baru dibeli.

Cara Mencuci Bantal
Masukkan bantal ke dalam mesin cuci. Boleh masukkan dua biji bantal sekaligus jika muat. Gunakan air hangat, bahan pencuci yang ringan dan sedikit cairan pelembut. Cuci menggunakan program pencucian putaran ringan. Setelah bantal selesai dicuci, bilas dua kali untuk memastikan tiada sisa bahan pencuci di bantal. Jangan meramas bantal untuk membuang airnya kerana bantal akan berubah bentuk.

Setelah dicuci, bantal harus dikeringkan dengan segera untuk mengelakkan bantal tersebut berbau. Jemur bantal dengan menggantungkannya di tali jemuran. Pastikan bantal kering di bahagian luar dan dalamnya agar bantal tidak menjadi lembab dan memerangkap kuman. Sememangnya kita memerlukan masa yang agak lama untuk memastikan bantal kering sempurna.


Ps: Pastinya tidur akan lebih nyenyak dengan bantal yang bersih dan wangi.




Jumaat, 23 Mei 2014

Menyemak Kertas Ujian

Alhamdulillah, berakhir sudah peperiksaan minggu ini. Empat hari anak didik termasuk anak sendiri memerah otak menjawab soalan Perperiksaan Pertengahan Tahun. Itu bagi yang bersungguh-sungguh dan menganggap peperiksaan itu penting. Ada juga yang hari-hari peperiksaannya tak ada beza pun dengan hari-hari lain.

Hari ini ada cikgu-cikgu yang dah mula membincangkan jawapan peperiksaan dengan murid-murid. Bagi ibu sendiri, beberapa kertas telahpun siap disemak dan hari ini murid-murid telahpun mendapat markah masing-masing.

Tugas menyemak kertas ujian bukanlah terlalu susah namun bukan juga kerja yang mudah. Tahap kesabaran perlu tinggi supaya tidak kecewa dengan hasil yang diperoleh. Jawapan murid-murid ni kadang-kadang tak boleh dijangka tambah-tambah bagi kertas ujian bertulis. Ada ketikanya cikgu yang menyemak ketawa geli hati dan ada ketikanya geram sendiri. Terkadang cikgu sendiri keliru, "Aku yang tersilap ajar ke?"

Berdasarkan pengalaman, jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi ketika menyemak kertas ujian. Memang benar, di kelas kita telah mengajar sepenuh hati dan murid telah mencapai objektif yang dingini. Namun, lain jadinya apabila diterjemahkan dalam bentuk jawapan di dalam kertas ujian.

jawapan murid 
Berulang kali murid dipesan agar menyemak jawapan sebelum dihantar namun cikgu tetap menerima jawapan sebegini. Sabar aje lah..



Khamis, 22 Mei 2014

Mendidik Anak Cara Saidina Umar



Anak-anak merupakan anugerah dari Allah S.W.T yang cukup bernilai kepada ibu bapa. Mereka juga merupakan amanah daripada Allah untuk dijaga dan dipelihara dengan  sempurna bagi memastikan keselamatan di dunia dan akhirat. Marilah kita renung sejenak sikap kita terhadap amanah Allah ini. Adakah kita telah menunaikan amanah tersebut sebaik-baiknya?

Sesungguhnya, anak-anak yang soleh bakal menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Mereka bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan diharap dapat membantu kita hingga ke alam akhirat. 

Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: 
“Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya.”
Cara mendidik anak-anak perlulah diberi perhatian oleh ibu bapa kerana tanggungjawab ini bukanlah mudah terutama dalam dunia yang serba mencabar seperti sekarang. 

Berikut dikongsikan cara Saidina Umar mendidik anak yang boleh kita amalkan dalam usaha melahirkan "insan Rabbani" yang beriman, bertakwa dan beramal soleh. 

Anak berusia 7 tahun ke bawah 
Anggap mereka seperti BUNGA yang sentiasa dibelai, dimanja dan disayangi walaupun mereka melakukan kesalahan. Anggap sahaja kesalahan yang dilakukan itu kerana mereka belum faham apa-apa. 

Anak berusia 8 hingga 14 tahun 
Jadikan mereka sebagai HAMBA iaitu mengarahkan mereka untuk melakukan kerja-kerja seharian tanpa disuruh. Tujuannya agar anak tersebut pandai berdikari.

Anak berusia 15 hingga 21 tahun 
Anggaplah mereka sebagai MUSUH. Jangan mudah percaya apa yang mereka cakapkan. Selidiki dahulu apa yang mereka tuturkan. Ibu bapa harus selidik dahulu dan memerhati anak dengan teliti kerana anak-anak zaman sekarang mudah terdedah dengan pelbagai cabaran. 

Anak berusia 22 tahun ke atas 
Jadikan mereka SABAHAT. Selalulah bercakap serta berkongsi pandangan dan menerima pandangan mereka selagi tidak salah dari segi agama. Tujuannya agar anak-anak dekat dengan ibu bapa melebihi kawan-kawannya dan tidak takut untuk menceritakan masalah yang mereka hadapi.

Lakukanlah yang terbaik untuk anak-anak kita. Jadikan mereka sangat berharga lebih daripada harta kekayaan dan pekerjaan yang selama ini banyak menghabiskan waktu kita. 



Rabu, 21 Mei 2014

Tips Rumahtangga Bahagia Melalui Air Tangan Isteri


Pada zaman ini kebanyakan isteri mempunyai kerjaya yang memaksa mereka untuk memikul tanggungjawab dan tugasan di pejabat. Namun, sesibuk mana sekalipun, kita tidak harus mengabaikan terus aspek memasak untuk suami. 

9 tips bagi mengekalkan kebahagiaan rumah tangga melalui air tangan isteri.

1. Jangan jadikan alasan tidak tahu memasak. Keluarkan sedikit modal untuk menghadiri kelas dan kursus masakan.

2. Selalulah menonton rancangan masakan di TV dan ambil nota. Kemudian terus cuba resipi yang diperoleh.

3. Beli dan baca buku masakan yang ada di pasaran.

4. Pada hujung minggu, ajak suami membeli barang-barang dapur dan simpan stok untuk seminggu.

5. Jika penat, pujuk suami untuk turut membantu di dapur. Ini dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

6. Sekali-sekala bertanyalah kepada suami apakah masakan yang dia teringin sangat untuk rasa. Cuba penuhi permintaannya, pasti dia akan bertambah sayangkan anda.

7. Jangan biarkan dapur langsung tidak berasap untuk jangka masa yang lama. Paling kurang pun belilah makanan sejuk beku seperti sosej, nugget, kentang goreng dan karipap frozen. Masak dan sediakan untuk suami.

8. Untuk menjimatkan masa, sediakan sekali bahan-bahan asas masakan seperti bawang dan cili kering yang siap dikisar. Simpan dalam peti ais kerana ia lebih tahan lama. Pujuk suami untuk sama-sama membantu.

9. Dalam sehari, sesibuk mana
pun anda, luangkan masa menyediakan masakan untuk suami.

Teruslah berusaha menambat perut suami dengan air tangan sendiri.

Sumber: sini

 


Selasa, 20 Mei 2014

Pengajaran dari Sebiji Tembikai

Pada suatu hari, seorang ahli Sufi yang masyhur bernama Syaqiq Al-Balkhi telah membeli sebiji tembikai. Kemudian dia membawa tembikai itu pulang lalu diberikan kepada isterinya.

Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk di makan, ternyata buah tembikai itu tidak elok. Marah-marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan tersebut.

Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya: “Kepada siapakah engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam, atau Pencipta buah tembikai itu?”Terdiam isterinya mendengar pertanyaan tersebut.

Kemudian Syaqiq meneruskan kata-katanya: “Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu beli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga. Maka ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan-Nya.”

Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan diapun redhalah dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.



Ps: Moga menjadi iktibar buat kita semua.



Isnin, 19 Mei 2014

Si Bujang dan Peperiksaan

Sekolah agama Faiq dah mula periksa Isnin minggu lepas. Periksa Isnin, hari Selasa, cuti Hol bagi negeri Pahang. Hari Rabu pulak Kokurikulum, sambung periksa semula hari Khamis, manakala hari Jumaat sambutan hari guru. Bermakna minggu lepas hanya dua hari murid sekolah agama periksa. Minggu ini sambung lagi 2 hari, Isnin dan Selasa.

Hari ini juga bermulanya peperiksaan Pertengahan Tahun bagi sekolah kebangsaan. Jadi, bermula minggu lepas adalah hari ibu dan Faiq berperang. Bukan senang ok nak ajar anak sendiri. Ada tika dan saatnya ibu rasa lebih mudah ajar anak murid sekelas. Huhu..

Si bujang ni jenis slow and steady. Jadi peluang untuk ibu jadi mak nenek amatlah cerah. Tengah ulang kaji boleh berhenti makan roti lepas tu makan biskut. Pantang lepa (eh, tau maksud lepa tak?) pi main dengan kucing. Bila dipanggil, sambung buat kerja tapi sekejap je. Lepas tu hilang balik. Bagi ikan makan sampai buncit ikan-ikan dalam akuarium.

Kalau bagi soalan latihan ulang kaji, terutama matematik, kadang-kadang bukan dia yang jawab, ibu yang jawab. Huhu.. macam ibu pulak yang nak exam. Aduhai la anak!

Hari ni kertas Bahasa Melayu Pemahaman, Penulisan, Matematik Kertas 2 dan Pendidikan Jasmani. Semasa berjalan ke kereta selepas tamat persekolahan hari ini kami sempat berbual pasal exam. Yang tak boleh tahan bila Faiq bertanya, "Ibu, mengapa cikgu buat soalan matematik senang sangat?" Huhu.. Terkedu ibu mendengarnya. "Boleh betul semua ke?" tanya ibu. "Boleh," jawapan yang amat menyakinkan daripada Faiq. Alhamdulillah, moga benarlah apa yang dikata.

Moga keputusan peperiksaan Faiq meningkat lagi kali ini. Ibu sentiasa mendoakan kejayaan Faiq dan anak-anak ibu yang lain.

Ps: Kepada ibu bapa di luar sana, selain membimbing dan mengajar anak-anak, mari amalkan Doa Ketika Anak Menghadapi Peperiksaan. Moga anak-anak kita cemerlang di dunia dan akhirat. Aamiin.




COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA