Memaparkan catatan dengan label Coretanku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Coretanku. Papar semua catatan

Jumaat, 28 Oktober 2016

Salah Dia, Bukan Saya!


Assalamualaikum. Selamat sejahtera.

menyalahkan-orang



Seorang anak kecil menangis kesakitan. "Siapa buat?" Pantas si ibu bertanya. "Langgar pintu," jawab si anak dalam tangisan. "Ooo.. pintu ni jahatlah," ujar si ibu sambil membuat aksi memukul pintu.

Situasi ini biasa terjadi, kan? Mungkin kita anggap ini perkara kecil. Ibu nak diamkan anak, maka dicarinya objek untuk dimarahi. Inilah yang menjadi budaya kita sejak dulu lagi hinggalah sekarang dan mungkin akan terus-terusan menjadi amalan.

Sejak kecil ibu suka mencari objek lain untuk disalahkan apabila anak menangis. Setelah anak besar, dia pula mencari objek lain untuk dipersalahkan apabila dalam kesusahan atau kesempitan. Secara tidak langsung dapatlah dia lari daripada menanggung kesalahan sendiri.

Jika ada benda yang tak kena, serta merta jari dituding kepada orang lain. Mudah, kan? Sepatutnya, si ibu nasihatkan anak supaya tidak berlari atau berhati-hati agar tak terlanggar pintu, bukan menyalahkan pintu. 

Menjadi kesilapan besar si ibu menanam sikap suka menyalahkan orang lain atas kesilapan diri sendiri.

Renung-renungkanlah.




Ahad, 13 Disember 2015

Hanya Insan Biasa

Manusia biasa tidak pernah lari daripada membuat kesilapan. Tak akan pernah lari daripada melakukan kesalahan. Sedar atau tidak, kita banyak melakukan kesalahan dalam kehidupan. Kesalahan kepada Dia Yang Maha Berkuasa, kesalahan kepada ibu bapa, kepada adik-beradik, sahabat handai, jiran tetangga bahkan bersalah kepada orang yang tidak pernah kita kenali. 

Namun, sedarkah kita? Dalam banyak keadaan, kita tidak akan sedar jika tidak ada yang menegur. Jadi, berusahalah menerima teguran dengan sebaik-baiknya. Lapangkan dada, tenangkan jiwa. Teguran itu bukan untuk membinasa, sebaliknya mahu menjadikan kita lebih dewasa, lebih baik daripada sebelumnya. Biarpun pahit, telanlah. Biarpun perit, terimalah kerana kita hanya insan biasa.

Tidak kiralah siapa kita, setinggi mana ilmu kita, setinggi mana darjat kita, sebanyak mana harta kita, semewah mana kehidupan kita, kita hanya manusia biasa yang bergantung sepenuhnya kepada Sang Pencipta. Tanpa Dia, kita bukanlah siapa². 

Nasihat orang, senyumlah apabila rasa nak marah. Insyaallah, akan terubatlah rasa gundah. Senang diucap tapi payah dilaksana. Mudah ditutur, tapi sukar untuk akur. Memang payah, memang sukar. Tapi manfaatnya, Subhanallah!! 

Justeru, cubalah, usahalah, mujahadahlah. Biar pahit, biar perit, namun kau akan rasa kemanisannya. Pohonlah kekuatan, mohonlah pertolongan daripada Dia yang Satu kerana sesungguhnya Dia lebih memahami siapa kamu. Usah diadu kepada manusia, tak perlu diluah sesama insan biasa kerana kita semuanya sama. Jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada sesiapa kerana sesungguhnya aku, kau dan dia hanyalah insan biasa. 


Insan Biasa
 

#muhasabahdiri
#ingatmengingatkan


Selasa, 12 Ogos 2014

Jangan Berhenti Memberi Kebaikan

Assalamualaikum. Salam Syawal 1435H.

Jika diberi peluang, yang mana jadi pilihan? Naik pangkat atau rezeki yang berkat? APC atau anak-anak yang 'menjadi'? Rasanya tak sukar untuk kita membuat pilihan. Namun, betulkah pilihan kita dalam realiti kehidupan?

Ramai yang kecewa kerana keikhlasan dan kegigihan bekerja tidak dihargai majikan. Sebaliknya, orang yang bermuka², kaki ampu dan kaki bodek sering diberi pengiktirafan.

Soalnya, penghargaan daripada siapakah yang lebih kita inginkan? Penghargaan manusia yang pemberiannya terbatas atau penghargaan Allah yang Maha Memberi?

Sebenarnya, tanpa sedar kita telahpun diberi ganjaran atas keikhlasan dan kegigihan kita bekerja. Bukankah anak² yang cemerlang dan berjaya dalam hidup merupakan ganjaran yang tidak ternilai harganya? Adakah pasangan yang setia dan membahagiakan itu pemberian yang sia²?


Sesungguhnya Allah maha Mengetahui. Dia memberikan ganjaran yang lebih baik, yang lebih kita sukai dan yang lebih kita perlukan. Begitulah takdir Allah, terlalu misteri dan tidak terjangkau dek pemikiran kita. 

Ingatlah bahawa tidak ada kebaikan yang diperoleh melalui jalan yang salah. Mungkin ada yang hidup senang lenang hasil ampu dan bodek namun hakikatnya, bahagiakah mereka? Mampukah mereka memperoleh ketenangan hati? 

Justeru, teruslah bekerja dengan gigih kerana sesungguhnya, Allah maha melihat.
















Selasa, 22 Julai 2014

Saat Musibah Menyapa...

Sekecil manapun musibah yang menimpa, sering kita bertanya kepada diri, "Mengapa jadi begini?" atau "Mengapa aku?" atau "Apakah salah aku?". Tidak kurang juga, segala musibah disambut dengan rasa terkejut, kecewa, sedih mahupun marah.

Bukankah tatkala dilanda musibah, Rasulullah SAW telah menganjurkan kita agar mengucapkan


Maksudnya: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami akan kembali. Ya Allah, kurniakanlah pahala atas musibah yang melandaku ini, dan gantikan untukku suatu yang lebih baik darinya." (HR Muslim 2/632).

Yakinilah, Allah tidak menzalimi hamba-Nya. Renunglah dengan cahaya hati. Sesungguhnya setiap musibah dan ujian adalah bukti kasih sayang Allah kepada kita. Musibah yang menimpa adalah seruan untuk hamba itu kembali ke dalam dakapan-Nya. Ya, Allah amat menyayangi hamba-hamba-Nya. Insya-Allah pada segala kesulitan itu akan datangnya kerahmatan. 

Ketika ditimpa musibah dan cubaan, renungkanlah bahawa... 
  • Manusia dan hartanya adalah milik Allah. Setiap satunya akan kembali kepada penciptanya.
  • Allah akan menggantikan sesuatu yang hilang dengan yang lebih baik.
  • Mengeluh hanya akan menambah derita, bukan menghilangkan musibah.
  • Berkeluh kesah hanya membuatkan musuh kita senang manakala Allah akan murka. 
  • Sabar dan mengharap pahala itu lebih besar ganjarannya daripada mengharap yang telah hilang itu kembali. 
  • Sikap redha terhadap musibah disenangi Allah.
  • Allah tidak akan menimpakan musibah untuk membinasakan hamba-Nya, bahkan untuk menguji kekuatan iman hamba-Nya.
  • Musibah datang untuk menghindarkan kita daripada sifat riak dan sombong. 
  • Adalah lebih baik merasai kepahitan hidup di dunia untuk mendapatkan kelazatan kehidupan di akhirat. 
Sesungguhnya, musibah adalah fitrah kehidupan, laksana badai dan gelombang di lautan. Jangan biarkan ujian dan musibah menjarakkan kita dengan Allah. Ambillah pengajaran daripadanya buat bekalan menempuh kehidupan.

Ps: Peringatan buat diri sendiri...




Jumaat, 4 Julai 2014

Belajar dari Pengalaman


Pengalaman ialah universiti terbaik dunia. Begitulah bunyi pepatah yang kerap kita dengari. Tentu ramai yang bersetuju dengan kata-kata ini. Sememangnya pengalaman mengajar kita untuk menjadi lebih baik. Pengalaman mengajar kita untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama. Pengalaman juga mendidik kita untuk bersikap berhati² dan berwaspada. Sebagai mukmin, kita juga sering diingatkan agar sentiasa mengutip pengajaran di sepanjang selusur kehidupan kita ini. Lesson learnt itu mungkin dlm bentuk sejarah kehidupan peribadi, mungkin juga dari sejarah kehidupan orang lain.

Belajar dari Pengalaman Sendiri
Sebagai manusia biasa, tiada sesiapa yang dapat lari daripada melakukan kesalahan. Namun, sebagai mukmin yang beriman kita akan berusaha menjauhi perbuatan buruk yang merosakkan. Jika pernah terjerumus sekalipun, kita dianjurkan agar segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. 

Daripada pengalaman itu, kita akan lebih berhati-hati agar tidak terjerumus buat kali yang kedua. Pengalaman juga mengubah kita yang dahulu menjadi kita hari ini. Maka Syukurlah dengan ujian, pasrah dengan cabaran dan redhalah dengan halangan.

Belajar dari Pengalaman Orang Lain
Kita juga dianjurkan agar belajar daripada pengalaman orang lain. Dalam Al-Quran, Allah mengisahkan tentang manusia yang ingkar dan derhaka. Semua kisah hidup mereka berakhir dengan nista. Sudah pasti tujuannya agar menjadi pengajaran buat kita agar tidak melakukan kesalahan yang sama. 

Justeru, kita hendaklah selalu memerhati dan mengambil ibrah daripada kejadian² yang menimpa orang lain, baik orang terdahulu, mahupun orang sekarang. 

Wallahu a’lam..

Lesson





Rabu, 2 Julai 2014

Biarlah Apa Orang Kata


Dalam hidup ini tak perlulah kita terlalu risau bagaimana orang lain memandang kita. Apa yang lebih penting adalah memberikan fokus bagaimana kita melihat dan menilai diri kita sendiri. Jika kita benar² yakin bahawa apa yang kita buat adalah berdasarkan prinsip yang betul, maka kita harus bertegas dengannya. 

Namun elok sekiranya kita menjelaskan mengapa kita membuat sesuatu keputusan atau tindakan kepada mereka yang terlibat sekiranya mereka mahu mendengar atau berbincang. Jika mereka menolak pilihan kita itu, maka itu adalah urusan mereka. Kita hanya perlu menyampaikan dengan cara yang terbaik di samping berdoa supaya Allah membukakan hati mereka agar mereka juga diberikan petunjuk.

Walau bagaimanapun, jangan pula kita berkompromi dengan meninggalkan sesuatu yang benar semata² kerana takut kehilangan kawan atau pun takut digelar sebagai kolot, antisosial dan sebagainya. Apa sahaja keputusan yang kita ambil, perkara pertama yang perlu difikirkan adalah pandangan Allah SWT terhadap kita, bukan pandangan manusia. Letakkan fokus terhadap persiapan kita sebelum bertemu Allah SWT.
Keputusan yang kita ambil, langkah yang kita mula.. perkara pertama yang perlu kita fikirkan ialah pandangan Allah SWT terhadap kita.. bukan pandangan manusia..Apa pon kita kena ikhlaskan setiap tindak tanduk kita. Kita yakin Allah tahu apa yang kita buat dan biarkan orang-orang yang hanya pandai kata bila dia di tempat kita baru tahu bagaimana rasanya.
- See more at: http://www.akupenghibur.com/2013/02/orang-selalu-pandang-negatif-dengan-apa.html#sthash.P9pImGeC.dpuf
Keputusan yang kita ambil, langkah yang kita mula.. perkara pertama yang perlu kita fikirkan ialah pandangan Allah SWT terhadap kita.. bukan pandangan manusia..Apa pon kita kena ikhlaskan setiap tindak tanduk kita. Kita yakin Allah tahu apa yang kita buat dan biarkan orang-orang yang hanya pandai kata bila dia di tempat kita baru tahu bagaimana rasanya. - See more at: http://www.akupenghibur.com/2013/02/orang-selalu-pandang-negatif-dengan-apa.html#sthash.P9pImGeC.dpuf
Keputusan yang kita ambil, langkah yang kita mula.. perkara pertama yang perlu kita fikirkan ialah pandangan Allah SWT terhadap kita.. bukan pandangan manusia..Apa pon kita kena ikhlaskan setiap tindak tanduk kita. Kita yakin Allah tahu apa yang kita buat dan biarkan orang-orang yang hanya pandai kata bila dia di tempat kita baru tahu bagaimana rasanya. - See more at: http://www.akupenghibur.com/2013/02/orang-selalu-pandang-negatif-dengan-apa.html#sthash.P9pImGeC.dpuf

Ps: Peringatan buat diri sendiri yang sering alpa



Sabtu, 28 Jun 2014

Ramai Pengajar, Sedikit Pendidik

Tajuk entri kali ini merupakan bab pertama buku Beduk Diketuk tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Dah lebih setahun buku ini terperap dalam lemari. Alhamdulillah akhirnya diberi kesempatan untuk membacanya hari ini. Membaca sambil menemani encik suami yang sedang memandu. Baru habis bab pertama.

Bab ini menarik perhatian ibu kerana berkait langsung dengan tugas ibu sebagai guru. Antara petikan dari bab ini yang ingin ibu kongsikan ialah "Dengan akal kita mengetahui sesuatu... tetapi hanya dengan hati kita menyedarinya." 

Maksudnya?

Jika diperhatikan dalam masyarakat kita kini, ramai orang yang pengetahuan agamanya tinggi melangit namun tetap melakukan kesalahan. Semua ini berpunca daripada ilmu yang ada di minda tidak dipindahkan ke hati. Oleh itu, para guru tidak seharusnya sekadar mengajar tetapi hendaklah turut mendidik.

Berbezakah mengajar dan mendidik? 

Menurut penulis, mengajar adalah memberitahu, memahamkan dan menyampaikan, manakala mendidik adalah mengajak, mendorong, membimbing dan memantau.

Misalnya, jika guru hanya mengajar tentang sah, batal, rukun dan syarat sembahyang, maka pelajar akan tahu sembahyang. Sebaliknya, jika guru mendidik pelajar dengan mengajak mereka sembahyang bersama² dengan guru menjadi role model, pelajar yang malas diberi dorongan dan kesalahan mereka diperbetulkan, maka pelajar akan mahu sembahyang... bukan sekadar tahu sembahyang.

Menurut penulis, pendidik adalah golongan yang paling dekat dengan tugas para Rasul kerana mereka mendidik modal yang paling berharga - modal insan. Justeru, golongan pendidik diingatkan agar memandang tinggi profesion mereka biarpun ramai yang menilai dari sudut gaji dan ganjaran semata-mata. 

Pesan beliau lagi...





Isnin, 23 Jun 2014

Anak itu Anugerah

Anak merupakan aset yang amat berharga kepada ibu bapa. Sudah tentu setiap ibu bapa mengharapkan agar anak yang lahir itu sempurna tubuh badannya dan sihat akal fikirannya. Namun hakikatnya manusia hanya merancang dan ketentuannya adalah daripada Allah swt. Cacat atau sempurnanya anak yang lahir itu tetap merupakan anugerah Allah dan ibu bapa wajib bersyukur atas pemberian itu. 

Sebagai manusia, kita tidak dapat menjangkakan kehidupan yang akan kita lalui. Ada manusia yang sempurna tubuh badannya tetapi kehidupannya kucar-kacir, melarat dan miskin. Ada juga orang yang kekurangan dari segi fizikal, namun berjaya membuktikan kepada dunia bahawa kecacatan anggota bukanlah penghalang untuk berjaya.

Memang berat bagi sesiapa yang diuji oleh Allah dengan anak kelainan upaya. Bukan sedikit masa dan wang yang perlu diperuntukkan bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan sebaik mungkin. Mengasuh dan mendidik anak-anak ini juga memerlukan tahap kesabaran yang amat tinggi. Besarnya ganjaran yang bakal diterima oleh ibu bapa andainya anugerah ini diterima dengan redha dan ikhlas.

Menurut pendakwah bebas yang juga kaunselor, Dr Rubiah Hamzah, “Anak cacat adalah anak syurga, jika ibu bapa ikhlas menjaganya dengan niat ibadat kepada Allah, mereka seolah-olah menempah tiket ke syurga bersama anak-anak ini.” [sumber] 

Kita haruslah yakin bahawa setiap anak yang dilahirkan mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Insya-Allah, selagi kita redha dengan pemberian Allah swt itu dan sabar dengan dugaan yang kita hadapi, kita akan dapat menyingkap rahsia sebenar dari anugerah tersebut.

Sebagai anggota masyarakat pula, kita haruslah memahami keadaan insan-insan istimewa ini dan menerima kehadiran mereka dengan hati dan fikiran terbuka. Mereka layak mendapat ruang dan peluang yang sama dalam masyarakat, namun janganlah sehingga kehadiran mereka di khalayak menjadi bahan tontonan kerana mereka juga punya hati dan perasaan. Ikhlaskan hati kita untuk menerima mereka.




Jumaat, 20 Jun 2014

Ujian Itu Nikmat, Nikmat Itu Ujian

Manusia sentiasa diuji, malah seluruh kehidupan kita ini adalah ujian. Namun, berapa ramaikah yang sedar bahawa mereka sedang diuji?  

Seringkali kita beranggapan bahawa ujian itu berupa kesusahan, kesakitan, kemiskinan, kesibukan dan tangisan sedangkan kesenangan, kesihatan, kekayaan, kelapangan dan kegembiraan itu juga adalah ujian daripada Allah. 

Bukan semua yang baik pada pandangan kita boleh ditafsirkan sebagai rahmat dan bukan semua yang buruk pada penglihatan kita boleh dihukum sebagai musibah. Kita sering terlupa, di sebalik musibah tersembunyi kenikmatan, sedangkan nikmat yang diturunkan itu sebenarnya adalah ujian daripada-Nya.

Cuba kita renung sejenak. Betapa ramai manusia yang berjaya melepasi ujian  berupa kesakitan, kemiskinan dan kesibukan tetapi tidak ramai yang melepasi ujian berupa kenikmatan seperti sihat, kaya, lapang dan gembira. Rupanya, ujian berupa kenikmatan jauh lebih bahaya berbanding ujian getir seperti sakit, sibuk dan miskin.

Ingatlah bahawa hidup ini penuh dengan ujian. Setiap waktu kita diuji, baik dalam keadaan susah atau senang, dalam keadaan sakit atau sihat, dalam keadaan kaya atau miskin, dalam keadaan duka atau gembira. Sesungguhnya, ujian hanya akan berakhir tatkala maut datang menjemput.




Selasa, 17 Jun 2014

Jangan Membahagiakan dengan Dusta

jangan berdusta

Dusta bermaksud menyampaikan atau memberitakan sesuatu yang bertentangan dengan realiti, sama ada dengan kata-kata, perbuatan, isyarat atau bahasa tubuh bahkan dengan berdiam diri. Semua orang termasuk kanak mengetahui bahawa dusta merupakan perangai tercela dan perbuatan buruk.

Dusta, sekecil mana pun akan mengheret kita kepada dusta berikutnya. Kerap kali, untuk menutupi dusta pertama kita akan melakukan dusta kedua dan begitulah seterusnya. Betapa buruknya sebuah perangai yang mengheret pelakunya kepada perangai buruk yang berikutnya. Alangkah sukarnya hidup orang yang memilih jalan sebegini...

Tiada sesiapapun yang berharap didustai. Sudah pasti kita berasa sakit dan kecewa jika seseorang mendustai kita. Sakit dan kecewa ini semakin parah jika dilakukan oleh orang yang sangat kita percayai kerana semakin tinggi sebuah kepercayaan semakin sakit sebuah pengkhianatan, sebagaimana semakin tinggi kita jatuh semakin sakit pula yang kita rasakan.

Oleh itu, jangan sesekali cuba untuk berdusta biarpun dengan tujuan untuk membahagiakan mereka. Jangan perlakukan orang lain dengan perkara yang kita sendiri tidak suka diperlakukan. Sesungguhnya, jujur itu menyelamatkan dan dusta itu merosakkan.  Wallahu a’lam.




Ahad, 15 Jun 2014

Usah Berharap kepada Manusia

berharap kepada manusia

Mungkin ada antara kita yang sedang dihimpit masalah, lalu berusaha ke sana ke mari untuk mendapatkan pertolongan. Ada yang meminjam dan ada yang meminta perlindungan. Namun, seringkali kita kecewa kerana orang yang kita harapkan untuk membantu ternyata tidak berupaya membantu kita. Bahkan untuk memenuhi harapan sendiri pun tidak berdaya. 

Bukan tidak boleh kita percaya kepada diri dan meletakkan harapan kepada manusia. Namun, biarlah harapan itu tidak keterlaluan sehingga langsung melupakan pengharapan kepada Allah. Lebih parah kalau manusia yang kita harapkan itu memang tidak pernah mengharap kepada Allah.  

Maka berharaplah hanya kepada Allah yang Maha Kuasa. Jika harapan hanya disandarkan kepada Allah, maka kita akan menjadi lebih kuat kerana kita yakin  bahwa ujian yang Allah berikan sesuai dengan kemampuan diri kita. Dengan demikian, meskipun ujian dirasakan amat berat, kita pasti mampu menghadapinya.

Janganlah berharap kepada manusia kerana akan berakhir kecewa. Tapi berharaplah hanya kepada Allah, maka akan berakhir bahagia.




Ahad, 8 Jun 2014

Jangan Jadi Arnab

Masih ingat tak, masa budak-budak dulu kita sering disajikan dengan cerita kanak-kanak sama ada oleh guru-guru mahupun oleh emak ayah sendiri. Antaranya ialah kisah arnab dan kura-kura. Rasanya, semua orang tahu cerita ini. 

Arnab yang sombong mengejek kura-kura berjalan lambat lalu mengajak kura-kura berlumba lari dengannya. Seperti jangkaan, arnab telah meninggalkani kura-kura nun jauh di belakang pada awal perlumbaan. Arnab yang cukup yakin akan memenangi perlumbaan itu telah berhenti rehat di pertengahan jalan lalu tertidur. Kura-kura yang menyedari kekurangan diri terus berjalan tanpa rasa putus asa dan akhirnya memenangi perlumbaan itu

Ini cerita rakyat yang ringkas tetapi banyak pengajaran yang tersirat di dalamnya. Walaupun mempunyai kelebihan berbanding kura-kura, Arnab tetap kalah dalam perlumbaan itu. Mengapa? Sudah tentu kerana pelbagai sikap negatif yang ada dalam dirinya seperti sikap angkuh, memandang rendah terhadap orang lain, terlalu yakin dan mudah berpuas hati.

Begitulah juga dengan kehidupan kita. Ada orang yang mempunyai pelbagai kelebihan seperti kekayaan dan kepandaian, namun disebabkan pelbagai sikap negatif ini, mereka gagal dalam hidup. Jauhi sikap angkuh dan sombong kerana orang yang berasakan dirinya lebih baik daripada orang lain tidak mempunyai dorongan untuk memperbaiki diri.

Selain itu, kita perlu fokus kepada tujuan dan matlamat sebenar sesuatu perkara yang kita lakukan. Jangan mudah berpuas hati dengan  kejayaan awal yang kita peroleh kerana itu bukanlah jaminan untuk berjaya hingga ke akhirnya. Mungkin inilah antara punca mengapa ada orang yang bijak di zaman persekolahan tetapi kecundang di pertengahan jalan.

Mari sama-sama kita cermin diri. Moga tidak ada yang menjadi seperti arnab.



Jumaat, 6 Jun 2014

Beri atau Terima?

Antara memberi dan menerima, mana yang lebih kita suka? Macam kita memberi dan menerima hadiah, pasti ramai yang akan kata lebih suka menerima hadiah. Betul tak?

Cuba kita bayangkan analogi ini...

Mickey dan Minnie ber
sahabat baik. Minnie gemar mengumpul minyak wangi jenama CK. Kebetulan CK baru saje melancarkan haruman baru bunga-bungaan hutan. Mickey yang amat memahami kesukaan teman baiknya, tidak melepaskan peluang mendapatkan minyak wangi tersebut untuk dihadiahkan kepada Minnie sempena ulang tahun kelahirannya beberapa hari lagi.

Cuba bayangkan perasaan Minnie sewaktu membuka bungkusan hadiah yang diberikan oleh Mickey. Sudah tentu Minnie amat teruja dan gembira sebab mendapat hadiah yang menjadi idamannya. Tambahan pula hadiah tersebut diberikan oleh teman karibnya sendiri.

Itulah kegembiraan yang dapat kita lihat secara zahirnya. Hakikatnya, siapakah yang lebih gembira, Minnie yang menerima atau Mickey yang memberi? Cuba letakkan diri kita di tempat penerima dan pemberi. Pastinya perasaan seronok dan gembira pemberi melebihi penerima apabila pemberian kita diterima dengan senang hati dan dihargai oleh penerima.  

Begitu juga dalam kehidupan seharian. Pemberian tidak semestinya dalam bentuk material seperti barangan dan wang ringgit. Nasihat dan kata-kata semangat yang baik dan ikhlas  juga merupakan pemberian yang amat tinggi nilainya. Ayuh, kita renungkan kembali. Adakah selama ini kita lebih banyak memberi atau menerima.


Ps: Pesanan buat diri sendiri juga..




Selasa, 3 Jun 2014

Melihat Kelemahan Orang

melihat kelemahan

Apabila melihat kelemahan orang lain, begitu mudah untuk kita memperkatakannya. Bukan setakat mengumpat, malah ada kalanya sehingga tahap mencaci dan mencela. Begitulah lazimnya kehidupan, kita mudah melihat kelemahan orang namun amat sukar untuk kita menyedari kelemahan diri sendiri. Maka, sibuklah kita memperkatakan dan cuba memperbetul kelemahan dan kesalahan orang tanpa menyedari bahawa diri sendiri perlu diperbaiki juga.

Kita harus belajar menyedari bahwa tidak ada manusia yang sempurna, tidak ada manusia yang tak pernah berbuat salah. Kalau kita sendiri juga sering berbuat salah, mengapa kita harus sibuk mencari-cari kelemahan dan kesalahan orang lain?

Kita juga perlu belajar untuk berhenti menghakimi dan mencari kesalahan orang lain, sebab jika hal ini terus kita lakukan, kita tidak akan pernah memiliki waktu untuk menilai dan memperbaiki diri kita sendiri. Oleh itu, apabila kita terlihat kelemahan dan keburukan orang lain, hendaklah kita pastikan yang kita tidak melakukannya. Andainya kita berada dalam situasi yang sama, segeralah kita perbaiki diri sendiri.

Jadikanlah semua perkara yang berlaku di sekeliling kita, sama ada yang baik atau yang buruk sebagai pengajaran. Sibukkanlah diri untuk meneliti dan mencari kelemahan diri sendiri hingga tidak sempat untuk melihat dan mencanang kelemahan orang.

Ps: Peringatan untuk diri sendiri.



Isnin, 2 Jun 2014

Masa Rehat Sebenarnya


Dunia ini hanyalah tempat persinggahan untuk menambahkan bekalan bagi meneruskan perjalanan yang masih jauh ke akhirat. Sayugialah bagi kita mencari bekalan yang memungkinkan kita sampai ke akhirat dengan baik. Sesungguhnya, akhirat jualah tempat yang paling menyeronokkan dan paling merehatkan sekiranya kita berjaya mendapatkan syurga-Nya. 

Bagaimana hendak mendapatkan syurga-Nya? Sudah tentu dengan mendapatkan rahmat Allah SWT. Bagaimana pula mahu mendapatkan rahmat Allah? Sudah tentu dengan menjemput kasih dan cinta-Nya melalui usaha kita dalam mentaati-Nya. Sama-samalah kita bermuhasabah, menilai dan memperbaiki diri.



Jumaat, 16 Mei 2014

Selamat Hari Guru


  

Sekali lagi tarikh keramat 16 Mei disambut oleh semua warga pendidik di seluruh negara. Telah tersurat dan tersirat bahawa tugas guru adalah tugas mulia. Oleh itu, marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana telah memilih kita sebagai guru.

Hari Guru yang disambut setiap tahun sesungguhnya adalah satu pengiktirafan dan penghargaan terhadap peranan guru yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa. Inilah cara yang terbaik untuk menyatakan rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai.

Sebagai guru, kita bertanggungjawab dalam membentuk tamadun manusia. Justeru, setiap daripada kita mestilah menyedari akan tanggungjawab ini serta sentiasa menjaga nama baik sebagai pendidik agar dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas.

Bersama-samalah kita menjadi insan yang berkualiti kerana “Quality teaching produces quality learning. Quality learning produces quality education. Finally quality education produces quality citizens.” Kita perlu ingat bahawa kualiti ibarat perjalanan, bukan destinasi; perjalanan yang tiada noktahnya. Quality has no ends: it is a journey, not a destination.

Moga kita tidak leka dengan sanjungan dan jangan cepat melenting dan beremosi dengan cercaan dan kritikan. Bersabarlah dan tangani segala cabaran dan pandangan liar terhadap profesion ini dengan profesional, bijaksana dan berintegriti.

Sesungguhnya, mendidik adalah tugas yang amat mulia dan tidak ternilai harganya. Marilah kita menterjemahkan tanggungjawab dan peranan ini dalam bentuk pelaksanaan tugas yang berkualiti demi melahirkan modal insan yang cemerlang. Moga kita diberikan kesihatan dan kekuatan untuk terus melaksanakan tugas mulia ini.

Selamat Hari Guru 






Ahad, 10 Mac 2013

Syukur Nikmat


Betapa besarnya nikmat Allah. Setiap hari, jam, minit mahupun setiap detik yang kita lalui tidak lari dari nikmat Allah yang maha pemurah. Alhamdulillah, syukur ya Allah atas segala nikmat yang telah Engkau berikan ini. 

Allah SWT tidak pernah terlambat memberikan nikmat yang diperlukan oleh manusia, namun kebanyakan kita tidak berasakan telah mengecapi nikmat daripada Allah itu. Bagi kebanyakan daripada kita nikmat Allah hanya diperoleh kadang-kadang sahaja. Misalnya, mendapat hadiah kejutan yang besar nilainya, mendapat pekerjaan idaman, memperoleh anugerah daripada organisasi tertentu, kejayaan cemerlang dalam peperiksaan, keuntungan besar dalam perniagaan, dan hal-hal lain yang dianggap sukar untuk diperoleh. 

Tatkala memperoleh sesuatu yang dihajati atau mendapat sesuatu yang di luar jangkaan barulah dianggap sebagai nikmat lalu bersyukur. Padahal, nikmat-nikmat tersebut hanyalah sebahagian kecil daripada nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita. Sesungguhnya, nikmat Allah yang lain jauh lebih besar daripada semua itu dan telah diberikan oleh Allah kepada kita dalam setiap detik kehidupan. Banyak sekali pemberian Allah yang tidak terlihat dan tidak ternilai harganya dan amat kita perlukan. 

Allah SWT berfirman, "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah An-Nahl: ayat 18).

Ya, kita tidak akan mampu menghitung nikmat Allah yang terlalu besar ini. Segala puji bagi Allah, belum sempat bibir kita mengucap syukur atas nikmat yang datang, maka datang lagi nikmat Allah yang lainnya. Moga kita menyedarinya dan menjadi insan yang sentiasa bersyukur.

 


Selasa, 19 Februari 2013

Kemaafan: Dendam yang Terindah


Siapa pun kita, setinggi manapun pangkat dan darjat kita pasti ada melakukan kesalahan, kekhilafan, dan kealpaan. Yang membezakannya hanyalah kadar kesalahan yang dilakukan, samada berat atau ringan; sering dilakukan ataupun sebaliknya.

Setelah menyedari kesalahan yang dilakukan, hanya maaf yang mampu dipinta dan hanya kemaafan jugalah yang diharapkan. Situasi begini telah menjadi lumrah dalam kehidupan.

Namun begitu, memberi kemaafan setelah disakiti bukanlah perkara mudah untuk dipraktikkan. Ramai yang sudi memaafkan, namun adakah kemaafan yang diberi bersulamkan keikhlasan? Jika benar, mengapa masih ada yang menyimpan dendam di hati sesudah kemaafan diberi?

Terlalu pedih andai dilukai, namun sampai bila kita akan bawa kelukaan itu bersama. Berbaloikah kita menyiksa diri dan merana atas kesalahan dan ketidaksempurnaan orang lain. Hulurkanlah kemaafan kerana hanya itu yang mampu mengubati sebuah kelukaan, lalu memadamkan segala dendam di hati.

Benar, kemaafan menuntut sebuah pengorbanan yang amat mahal harganya. Pengorbanan merobohkan tembok keegoan. Justeru, perbuatan memaafkan kesalahan orang lain telah dijanjikan dengan ganjaran yang begitu besar sekali. 

“Tidak ada yang Allah tambahkan untuk hamba-Nya yang memaafkan kecuali tambahan kemuliaan.” (HR. Muslim)

Sesungguhnya, kemaafan bukan menunjukkan kita lemah, sebaliknya hanya orang yang tabah mampu memaafkan.





Ahad, 17 Februari 2013

Terus Berjasa Sesudah Mati


Allah menciptakan sesuatu tidak sia-sia. Lihatlah alam di sekitar kita; tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, sungai, tasik, haiwan dan sebagainya. Banyak iktibar yang dapat kita peroleh daripada setiap ciptaan-Nya.

Perhatikan kehidupan sebatang pokok getah. Daunnya nan hijau membekalkan oksigen kepada kita di samping menjadi penyumbang dalam industri kraftangan. Selain susunya yang digunakan dalam industri pembuatan tayar, batangnya pula boleh dijadikan perabot. Di samping itu, buahnya juga amat bernilai.

Bukan itu sahaja, pokok getah juga turut berjasa dengan menjadi habitat kepada pelbagai spesies tumbuhan lain seperti pokok duit-duit, tanduk rusa dan orkid liar. Bahkan, pokok getah terus berjasa sesudah matinya dengan menjadi habitat kepada pelbagai spesies kulat dan cendawan.

Besarnya jasa pokok getah. Jasanya berterusan baik semasa hidup mahupun sesudah matinya. Justeru, marilah kita mencontohi pokok getah.

Maksud sabda Rasulullah SAW, “Selepas kematian anak Adam semua amalannya akan terhenti kecuali tiga; ilmu bermanfaat yang diajarkan, anak soleh yang mendoakan dan amal jariah yang ditinggalkan.” Kita ada banyak pilihan, samada membuat satu, atau dua atau ketiga-tiganya sekali.

Penyampai dan penyebar ilmu tidak hanya terhad kepada pendakwah, pensyarah mahupun guru. Siapapun kita tetap berpeluang untuk berbuat demikian. Ilmu-ilmu agama dan sesuatu yang baik boleh sahaja dikongsikan di laman-laman sosial. Setiap yang membaca lalu mengamalkan atau menyampaikan, pahala akan terus mengalir kepada kita walaupun setelah roh meninggalkan jasad.

Sebagai anak pula sentiasalah berbuat baik kepada ibu bapa. Doakan kesejahteraan mereka baik semasa hayat mereka masih ada mahupun setelah mereka meninggalkan kita. Insyaallah, apabila seorang anak berbuat baik kepada ibu bapanya, anak-anaknya kelak akan berbuat baik juga kepadanya. Ini adalah janji Allah.

Seterusnya, bersyukur dengan rezeki yang diperoleh dengan memanfaatkannya ke jalan yang diredhai. Beramallah dengan melakukan kebaikan yang berterusan seperti membiayai atau melibatkan diri dalam pembangunan masjid, mewariskan al-Quran dan buku-buku agama, menanam pokok sebagai tempat berlindung haiwan dan manusia serta banyak lagi.

Sesungguhnya, setiap daripada kita haruslah bersedia untuk melakukan kebaikan yang tidak akan terhenti dengan kematian. Jadilah seperti pokok getah yang terus berjasa selepas kematiannya. 




Ahad, 10 Februari 2013

Hidup Muafakat Umpama Pohon

“Bagai aur dengan tebing.” 

Peribahasa ini bermaksud tolong-menolong antara satu sama lain. Umpama serumpun aur di tebing, aur menumpang pada tebing untuk mendapatkan air manakala tebing pula memerlukan aur supaya tebing tidak mudah terhakis. 

Setiap orang memerlukan orang lain dalam kehidupannya dan tidak boleh memilih hidup bersendirian biarpun Allah telah memberikan kesenangan dan kecukupan kepadanya. Hidup bersendirian bertentangan dengan sifat dan fitrah manusia itu sendiri. Justeru, kehidupan bermasyarakat amat diperlukan untuk kehidupan yang lebih baik. 

Bagi membentuk masyarakat yang harmoni pula, setiap anggota masyarakat haruslah saling menyayangi dan menghormati. Dengan terbentuknya masyarakat sedemikian, maka sudah pasti keamanan dan kedamaian di muka bumi ini akan terjamin. 

Nabi s.a.w. sendiri memberi penekanan betapa pentingnya persaudaraan dan kasih sayang sesama Islam dalam bentuk saling bekerjasama dan tolong-menolong. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah bersabda, Allah s.w.t. menolong hamba-Nya selama hamba itu menolong saudaranya. 

Perhatikan sebatang pokok yang hidup subur di sekeliling kita. Akar mencari dan menyerap air nun jauh di dalam tanah lalu dihantar ke seluruh tubuh dengan bantuan batangnya, manakala daun dengan tugasnya menyerap cahaya matahari untuk menghasilkan makanan. Lalu, suburlah si pohon dengan akar yang kuat, batang yang tegap dan dedaun nan menghijau. 

Sesekali ribut menerpa, akar mencengkam tanah dengan tabah sekali, batang pula tetap kukuh berdiri manakala dedaun menahan ribut yang rakus menguji. 

Bayangkan apa yang terjadi andai daun, batang dan akar tidak sehaluan. Akar tidak lagi mencari air, batang pula keberatan mengangkut air, manakala daun tidak lagi menghasilkan makanan. 

Saat angin datang menyapa, biarpun hanya sapaan manja, pokok mula cemas. Manakan tidak, akar tidak lagi kuat mencengkam, batang pula hanya mampu berdiri lemah, manakala dedaun pula sudah mula gugur ke tanah. Apakah yang bakal terjadi?

Begitulah dengan kehidupan kita dalam sesebuah komuniti samada kecil mahupun besar. Jadilah seperti pohon, hidup damai dengan setiap anggota yang saling bekerjasama. 




COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA