Rabu, 9 Julai 2014

Air Batu Bersalut Habuk Kayu

Kenangan bulan Ramadhan semasa kanak² dulu adalah antara kenangan terindah dalam hidup. Jika diimbau boleh membuatkan ibu senyum sendirian. Seawal hari pertama berpuasa lagi ibu pasti terkenang kisah air batu bersalut habuk kayu. Pengalaman yang anak² zaman sekarang tidak pernah tahu. Malah yang lahir 30 tahun ke belakang pun ramai yang tidak merasainya. 

Kami berbuka puasa seadanya. Makanan dan minuman serba sederhana. Air sirap selasih dicampur ketulan ais adalah satu kenikmatan yang tidak dapat digambarkan ketika itu. Tahun 70-an, kampung ibu belum menerima bekalan elektrik. Rata² rumah penduduk kampung tidak punya peti sejuk untuk membuat ais atau dikenali dengan air batu ketika itu.

Menjelang petang, air batu akan dibawa masuk ke kampung oleh penjual. Kalau tak silap, bongkah air batu berukuran lebih kurang 1/2' x 2'. Air batu diletakkan di dalam tong kayu yang dipenuhi habuk kayu gergaji. Gunanya adalah untuk melambatkan proses pencairan air batu yang disimpan di dalam tong itu. Peniaga akan memotong ais menggunakan gergaji mengikut kehendak pelanggan sama ada 20sen, 40sen atau lebih lagi.  

Setelah harga dibayar, air batu akan disalut dengan habuk kayu gergaji sebelum dibungkus dengan surat khabar untuk dibawa balik. Tiba di rumah, air batu akan disimpan di dalam termos supaya tidak cair sementara menunggu waktu berbuka. 




Beginilah rupa termos buat menyimpan air batu ketika itu. Bagi yang seusia dengan ibu pasti berkesempatan menggunakan termos nasi atau termos air batu ini. Terima kasih en. google yang menemukan ibu dengan gambar termos ini.

Bayangkan, betapa sukarnya kami untuk menikmati minuman berais ketika itu. Sesungguhnya, inilah pengalaman yang amat berharga yang pastinya tidak akan dirasai oleh sesiapapun jua selepas ini.


Ps: Jenuh mencari gambar ais bersalut habuk kayu namun tidak ketemu.





4 ulasan:

  1. Tak sempat merasa zaman salut habuk tu,,tapi still merasa tv kotak tu.. yg ada mcm pintu @ tirai depan skrin dia,nak tengok tarik kira & kanan

    BalasPadam
  2. Susah kehidupan zaman dahulu yea akak. Syukur banyak kemudahan yang ada sekarang

    BalasPadam
  3. mama husna ada jugak bercerita tntang kenangan nih.. :)

    BalasPadam
  4. Tanpa Nama12 Julai, 2015

    terkenang memori di tahun 70 an.syoknya,,berebut org kampong membelinya.zaman tu ,masih pakai pelita minyak tanah..beruntungnya saya ddapat merasai kenangan di era 70an..

    BalasPadam

Terima kasih atas kunjungan dan komen-komen ikhlas daripada anda. Insya-Allah kunjungan anda akan dibalas.

COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA