Pagi tadi sewaktu mengeteh di kedai Along, saya lihat ada seorang bapa datang bersama anaknya yang masih kecil, semuanya 5 orang. Sampai di pinggir warung, mata si bapa terkebil-kebil mencari sudut yang tidak panas. Dia mahu kawasan yang redup untuk anak-anak.
Sambil hirup perlahan teh o panas dan menyuap roti canai garing ke dalam mulut, saya perhatikan saja keluarga ini. Datanglah Jonos ke meja mereka. Si Jonos budak muda yang berkuli dengan Along setiap pagi.
" Pagi bang, mai saya ambil order minum dulu. Nak minum apa ?".
" Hmm, bagi milo satu dengan air suam empat", balas si bapa tadi.
" Makan apa bang ? " soal Jonos.
" Buat roti canai 3, potong halus, banjir ya", pesan si bapa.
Naluri kebapaan saya ini bagaikan dapat membaca apakah yang bakal berlaku sekejap lagi. Air teh saya mula terasa tawar, roti canai depan mata saya kuis-kuis dengan sudu sambil bermain perasaan. Allahu..
Sebaik minuman dan makanan yang dipesan tadi sampai ke meja mereka. Si bapa mencampurkan secawan milo tadi ke dalam empat cawan air suam anak anaknya. Si anak mengangkat tangan serentak sambil membaca doa makan. Kedengaran perlahan, " Bismillahirahmanirahim, Allahumma barik lana fi ma razak tana. Wa qina azabannar. Amin".
" Hah, minum slow-slow air milo tu ya" kata si bapa.
Roti canai banjir tadi juga dibahagikan seorang sedikit. Maka berkongsilah sesuap dua adik beradik ini. Roti canai Along memang sedap dan terkenal di sini, terpancar sinar ceria dan suka di wajah mereka semua.
Tidak ada seorang pun anak-anak yang mengeluh. Tidak ada seorang pun antara mereka yang nakal. Semuanya duduk tertib, makan dan minum dengan sopan sekali. Seolah mereka mengerti nilai sebuah kesyukuran di pagi ini.
Tidak sampai 20 minit, mereka habis makan dan berlalu pergi. Saya kembali merenung roti canai yang sudah kembang di dalam pinggan. Kepala terus berfikir, pengajaran apakah yang Tuhanku mahu ajarkan di pagi hari begini ?
Sahabat, terkadang kita merasakan hidup kita sudah cukup susah apabila diuji dengan sedikit masalah. Rupa-rupanya masih ada yang lebih susah berbanding kita. Bukan kesusahan itu yang mahu kita nikmati, tetapi nilai disebalik setiap situasi itulah yang patut kita syukuri.
Sungguh, aku seperti ditampar di warung kopi.
Sumber: FB Ikram Al-Banjari
Pendapat ibulah.. cerita ini bukan hanya bertujuan menegur anak2 sekarang yang tidak mengerti dan menghargai kepayahan ibu bapa mereka, malah ditujukan kepada kita semuanya. Hari ini ramai yang mengaku susah tapi orang yang redha dengan kesusahan itu sukar ditemukan.
Sejujurnya, ibupun pernah 'ditampar' sebegini cuma ceritanya tidak sama. Syukur Alhamdulillah tidak terlambat untuk ibu menilai diri sendiri.
Ya Allah, moga aku terus menjadi hamba-Mu yang selalu bersyukur walau sekecil manapun nikmat yang Engkau kurniakan. Limpahkan rezeki kepadaku dan zuriatku agar kami dapat memberi manfaat kepada hamba²-Mu yang lain. Aamiin.
perghh..tajuk ibu mmg best..tertarik sy utk mmbacanya..:)
BalasPadamkadang2 bila melihat kesusahan org lain baru kita merasa kita ni cukup bertuah..moral of the story bersyukurlah dengan apa yg kita ada..klu kita susah ada lg org yg lebih susah.huhu
BalasPadamwahh sgt memberi pengajaran tq sebb berkongsi =) jom follow my blog di http://miss1stfebruary.blogspot.my/ sy dah follow sis...
BalasPadamSiapa nama bapak tu
BalasPadamSiapa bapak tu
BalasPadam