Jumaat, 9 Mei 2014

Hari Guru


Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan kepada para guru. Tarikh ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.


Objektif Hari Guru Malaysia

  • Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  • Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
  • Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.
  • Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
  • Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
  • Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.



Tema Hari Guru 2014

Tema Sambutan Hari Guru Kali ke-43 Tahun 2014 ialah Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi. Pemberitahuan Tema Hari Guru 2014 serta maksud dan huraian ini merujuk surat Datuk Dr. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang bertarikh 08 April 2014. 



MAKSUD TEMA HARI GURU 2014
Merujuk Surat Pemberitahuan KPM, definisi dan huraian tema Hari Guru tahun ini, iaitu Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi adalah seperti berikut:

DEFINISI
  • GURU: Kata GURU merangkumi semua warga pendidik yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak serta pendukung kepada pembangunan pendidikan negara.
  • PENCETUS: Merujuk maksud peranan untuk menimbulkan sesuatu ilham/idea atau mengeluarkan sesuatu seperti ilmu. Guru bertindak sebagai pencetus idea kepada kreativiti dalam usaha melahirkan generasi intelek.
  • KREATIVITI: Didefinisikan sebagai penghasilan idea, kebolehan untuk mencipta atau proses pemikiran yang mendorong dalam pencetusan idea baru dan berdaya kreatif.
  • PENJANA: Merujuk maksud guru sebagai penggerak atau perantara yang paling penting dalam proses transformasi ke arah keberhasilan.
  • INOVASI: Didefinisikan sebagai pengaplikasian kreativiti, pembaharuan, modifikasi, kaedah dan sistem bagi mencari jalan untuk menghasilkan produk baru dan perkhidmatan yang lebih baik, bermakna dan bernilai. 

HURAIAN

  • Tema Hari Guru Tahun 2014 dicadangkan iaitu Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovatif adalah selaras dengan transformasi pendidikan ke arah membangunkan kemahiran abad ke-21 iaitu berfikiran kritis dan kreatif serta menggalakkan perkembangan sahsiah murid yang holistik dan seimbang seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
  • Sistem pendidikan Malaysia berhasrat memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya agar menjadi generasi gemilang iaitu berpengetahuan dan berkemahiran, pemikiran kritis, kreatif dan inovatif; kemahiran memimpin, memiliki sahsiah dan nilai serta semangat identiti nasional. Hal ini sangat relevan dalam PPPM yang terus mendukung hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk pendidikan seimbang sebagai asas aspirasi setiap murid.
  • Guru memainkan peranan penting sebagai penggerak agen perubahan yang sentiasa kreatif dan inovatif, mempunyai keterampilan yang tinggi dari segi personaliti, mempunyai pemikiran luas dan strategik serta mampu mencetus ledakan ilmu yang dapat diterapkan kepada murid bagi membolehkan mereka menghubungkan pelbagai disiplin ilmu untuk mencipta ilmu yang baharu bertaraf dunia.
  • Membudayakan inovasi merupakan agenda berterusan dalam gelombang transformasi pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang bersedia mencapai kecemerlangan dalam persekitaran yang kompetitif secara global. Keupayaan warga pendidik menyediakan peluang kepada murid bagi mendapat pengalaman pembelajaran lebih bermakna, pengalaman pembelajaran dalam menyelesaikan masalah, kreativiti dan pemikiran kritikal dilihat mampu meningkatkan kemahiran murid yang dapat berfikir secara kritis dalam konteks akademik dan persekitaran kehidupan sebenar.
  • Dunia dan ekonomi yang bersifat global hari ini memerlukan pesaing yang mampu berfikir dengan lebih kritis dan kreatif dan inovatif. Justeru peranan guru sebagai penggerak generasi yang intelek dan berdaya saing perlu menghasilkan kualiti pengajaran yang gemilang dengan memperkukuh amalan terbaik dalam pendidikan.






Rabu, 7 Mei 2014

Wordless Wednesday 26

Pertandingan Syarahan Bahasa Malaysia
Piala Perpaduan Perdana Menteri SJKC/SJKT 2014





Isnin, 5 Mei 2014

Tema Hari Guru 1972 - 2014


2014   Guru : Pencetus Kreativiti,Penjana Inovasi
2013   Guru Malaysia: 1Aspirasi,1Agenda
2012   Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
2011   Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
2010   Guru Pembina Negara Bangsa
2009   Guru Pembina Negara Bangsa
2008   Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007   Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006   Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005   Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004   Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003   Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002   Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001   Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000   Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999   Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998   Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997   Guru Bestari Sekolah Bestari
1996   Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995   Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994   Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993   Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992   Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991   Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990   Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989   Guru Pembina Budaya Ilmu
1988   Guru Pengasas Budaya Membaca
1987   Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986   Pendidikan Teras Nasionalisme
1985   Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984   Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983   Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982   Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981   Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980   Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979   Murid Sejahtera Negara Jaya
1978   Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977   Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976   Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975   Guru dan Pembangunan Negara
1974   Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973   Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972   Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara


sumber: sini







Jumaat, 2 Mei 2014

Ikrar dan Lirik Lagu 'Kami Guru Malaysia'


Ikrar Hari Guru

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.



Lirik Lagu 'Kami Guru Malaysia'

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita


Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Dibidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Lagu & Lirik : Hashim Ahmad 



COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA