Isnin, 31 Disember 2012

Bank Soalan - UPSR, PMR dan SPM

Tahun 2012 telahpun melabuhkan tirainya. Selamat kembali ke sekolah buat para guru dan pelajar. Mulai hari ini dan esok, para guru dan pelajar kembali mengharungi hari-hari mereka dengan rutin biasa seperti sebelum ini. Buat para pelajar terutamanya calon-calon peperiksaan 2013, masa untuk bersenang-senang telahpun berakhir. Buatlah persediaan dari sekarang. Rajin-rajinlah belajar dan mengulang kaji.

Untuk pengetahuan para pelajar, guru-guru dan ibu bapa, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Pulau Pinang telah menyediakan Bank Soalan yang mengandungi koleksi soalan peperiksaan sebenar UPSR, PMR dan SPM. Koleksi soalan ini meliputi subjek Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bagi tahun 2005 hingga 2011.


Dengan adalah kemudahan ini, para pelajar dapat menjawab terus soalan yang disediakan secara atas talian. Justeru, tidak perlu lagi membeli buku-buku yang mengandungi set soalan tahun-tahun lepas. Paling penting, markah yang diperoleh akan dipaparkan selepas semua soalan selesai dijawab.

Terima kasih buat laman web BTPN Negeri Pulau Pinang yang menyediakan kemudahan ini. Moga dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para guru dan pelajar.


Follower ke-555 Ibu Berbicara

Semalam, 31.12.2012 follower blog ini dahpun mencecah 555 orang. Sangat gembira biarpun angka 5 itu hanya dalam tiga digit bukan empat digit macam blog-blog lain tu. Dapat juga ibu printscreen 555 tu.

Tak sabar ibu nak kenal siapa Ann Ishak. Terus je klik icon Ann Ishak tu untuk ke blognya. Ann Ishak adalah pemilik blog Before, Now, Forever. Sempat juga ibu baca beberapa entri di blognya. Ann baru saja menyambut ulangtahun perkahwinan yang kedua pada 24 Disember yang lalu. Tahniah ye Ann! Moga Ann dan suami, Faizal sentiasa bahagia menyulam cinta.

Header blog Ann ni sangat simple. Hampir-hampir tak nampak tulisannya.

Dah lama Ann bergelar blogger, sejak tahun 2007 lagi. Namun, Ann hanya aktif menulis sekitar 2010. Terima kasih Ann kerana sudi follow Ibu Berbicara. Salam perkenalan daripada ibu. Buat rakan-rakan yang belum mengenali Ann, bolehlah terjah ke Before, Now, Forever.

P/s: Terima kasih juga buat para follower yang lain.


Tarikh Peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STAM Tahun 2013

Insyaallah, esok dan lusa, sesi persekolahan 2013 bakal bermula. Berakhir sudah masa untuk bersuka ria dan bersenang-senang buat para pelajar terutamanya yang bakal menduduki peperiksaan penting tahun ini. 

Walaupun sesi persekolahan 2013 belum menyingkap tabirnya, namun tarikh peperiksaan telahpun diumumkan. Di sini ibu kongsikan Tarikh Peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STAM Tahun 2013 sebagai rujukan buat para pelajar, guru-guru dan ibu bapa. 


TARIKH PEPERIKSAAN 2013

PEPERIKSAAN
TARIKH
PEPERIKSAAN
TARIKH
PENGUMUMAN
SPM (Ulangan)
11 – 12 Jun 2013

UPSR
10 – 12 September 2013
14 November 2013
PMR
2 – 9 Oktober 2013
23 Disember 2013
STAM
21 – 29 Oktober 2013

SPM
6 November – 5 Disember 2013


Tarikh ini sudah tentu amat penting buat para guru sebagai panduan untuk merancang pelbagai program untuk memastikan para pelajar cukup bersedia menghadapi peperiksaan pada tarikh yang telah ditetapkan. 

Buat anak-anak pelajar pula, buatlah perancangan dari sekarang agar tidak kelam kabut apabila tarikh peperiksaan semakin hampir. Budaya "Esok Masih Ada" hendaklah dibuang jauh-jauh demi mengejar kecemerlangan. Pepatah Arab ada menyebut, "Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu." Insyaallah, berkat perancangan rapi, usaha dan doa kalian, kejayaan cemerlang bakal digenggam.

P/s: Bertangguh itu pencuri masa.


Ahad, 30 Disember 2012

Cabaran 2013 & Soalan UPSR Secara Online

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Dalam tempoh seminggu ini, ramai rakan blogger guru bercerita tentang mesyuarat di sekolah masing-masing. Tidak kurang dengan blogger bergelar ibu, mama, ummi yang berbicara tentang persiapan persekolahan anak masing-masing. Moga semuanya telah bersedia untuk menghadapi sesi persekolahan 2013 yang hanya tinggal dua tiga hari sahaja lagi. 

Seperti rakan-rakan lain, ibu juga telah menghadiri mesyuarat di sekolah pada hari Rabu, 26 Disember yang lepas. Macam biasa, yang paling ditunggu-tunggu adalah senarai tugasan untuk tahun baru. Ermm.. terkejut juga apabila melihat senarai tugasan dan jawatan untuk tahun 2013. Namun ibu tak mahu jadikan itu masalah besar sebaliknya menganggap itu semua adalah cabaran yang perlu dihadapi. Insyaallah sentiasa cuba berfikiran positif agar diri tidak diselubungi stress.  

Tahun 2013 bakal menjadi tahun yang mencabar lagi buat ibu. Seperti tahun ini, ibu dipertanggungjawabkan mengajar kelas ketiga tahun 6. Yang menjadikan ia lebih mencabar, ibu perlu mengenali murid-murid kelas ini terlebih dahulu kerana tidak pernah mengajar mereka sebelum ini. Tempoh setahun bukanlah lama, namun seperti dinyatakan sebelum ini, ibu anggap ini adalah cabaran. Insyaallah akan terus mencuba selagi terdaya.

Sebagai persediaan untuk murid-murid ibu, ibu dahpun membuat pautan ke Bank Soalan UPSR, PMR dan SPM di blog ini. Melalui pautan ini, murid-murid atau pengunjung blog ini dapat menjawab terus soalan yang disediakan secara atas talian.Lihat di bahagian sidebar blog ini dengan tajuk JOM BELAJAR.

Terima kasih buat laman web BTPN Negeri Pulau Pinang yang menyediakan kemudahan ini. Moga dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para guru dan murid.

 SELAMAT MENJAWAB SOALAN


Pokok Leletup / Passiflora foetida / Stinking Passionflower

Petang semalam semasa jenguk ke belakang rumah, ternampak pokok leletup yang melilit pagar rumah jiran. Rumah jiran ibu ni dah agak lama tidak berpenghuni. Jadi, nampak agak terbiar.

Sudah berpuluh tahun ibu tak melihat pokok ini. Kali akhir rasanya sebelum keluarga ibu berpindah ke bandar lebih dua puluh tahun yang lalu. Terkejut juga ibu sebab dapat melihat pokok ini di kawasan bandar.

Pokok leletup ini adalah sejenis tumbuhan menjalar. Pantang jumpa pagar, terus memanjat menggunakan sulur paut. Rasanya pokok ini dipanggil leletup disebabkan sifat buahnya yang akan meletup setelah matang dan melepaskan bijinya ke persekitaran untuk pembiakan.

Melihat pokok leletup, terus aje terkenang zaman kanak-kanak ibu. Dulu ibu tinggal di kampung dan pokok leletup ini tumbuh meliar sepanjang jalan ke kedai yang jaraknya lebih kurang 100 meter dari rumah. Jika melalui jalan tersebut, sudah pasti beberapa biji buah leletup menjadi santapan ibu.

Paling ibu suka makan buah ini adalah ketika berjalan kaki pulang dari sekolah yang jaraknya hampir 5 kilometer dari rumah. Buah leletup yang masam masam manis dan juicy inilah yang membasahi tekak ibu dan rakan-rakan yang kehausan berjalan di bawah terik mentari. Jadi, pokok leletup ini tidak asing bagi ibu malah aromanya yang agak keras dan rasa buahnya yang masam masam manis masih terasa di tekak ibu. 

Buah yang masih muda berwarna hijau. Apabila masak, buahnya akan berwarna kuning terang dan struktur berserabut di sekelilingnya akan terbuka dan menjadi kering.

Isinya seperti buah markisa, masam masam manis dan mengandungi jus yang kaya dengan vitamin C.



Bunga leletup juga sangat cantik.





Pucuk dan bunganya boleh dicelur dan dijadikan ulam. Rasanya lemak lemak dan sedap dimakan dengan sambal belacan. Selain itu, pucuknya yang dicampur dengan pucuk kayu manis, pucuk keledek dan lain-lain juga enak dimasak sayur air.


Sempat juga ibu cari maklumat tentang pokok leletup atau letup-letup ini. Tidak sangka rupa-rupanya leletup ini juga mempunyai khasiat yang tersendiri. Tumbuhan ini  sesuai untuk merawat gatal-gatal kulit, luka dan batuk.

Bagi merawat gatal-gatal kulit, beberapa batang pokok leletup diperlukan. Seluruh pokok termasuk akarnya sekali dibersihkan lalu direbus sehingga mendidih. Setelah suam, airnya digunakan sebagai air basuhan. Bagi merawat batuk pula, cara yang sama digunakan cuma air rebusannya diminum setelah suam. Untuk merawat luka, beberapa helai daun dilumatkan lalu dipupuk pada bahagian yang luka. l sumber

Tak sangka, rupa-rupanya pokok yang tumbuh meliar ini mempunyai nilai yang tinggi dari sudut perubatan herba.

Kredit: Google image


Sabtu, 29 Disember 2012

Bloglist Setahun Dari ciklaili.com

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang




Memandangkan petang ini tak ke mana-mana, dapatlah luangkan masa mengadap cik lappy lebih lama. Semasa jalan-jalan ke blog rakan, terjumpa segmen dari ciklaili.com ni. Ciklaili berbesar hati membuka bloglistnya yang akan bertahan selama setahun kepada para blogger. Tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada blogger mempromosi blog masing-masing di ciklaili.com dan berkenal-kenalan dengan blogger lain. 

Wah, cukup menarik kerana bukan mudah untuk berada di carta bloglist blogger tersohor macam Ciklaili! Lagipun, dengan hanya dua langkah mudah; buat entri dan like fanpage Ciklaili, kita sudah layak menyertai segmen ini. 

Berikut adalah catatan bagi memenuhi syarat menyertai Bloglist Setahun Dari ciklaili.com 

Salam perkenalan daripada saya, penulis tunggal kepada iBu BeRbiCaRa. Saya juga merupakan seorang guru dan telah berkecimpung dalam dunia pendidikan ini selama lebih 20 tahun. Saya mempunyai lima permata hati; tiga puteri dan dua putera. Blog iBu BeRbiCaRa yang dihasilkan dengan tujuan untuk berkongsi cerita dan ilmu ini baru sahaja menyambut ulangtahun pertama pada 8 Disember yang lepas.

Saya amat tertarik dengan entri 15 Kesilapan Ibu Bapa Mendidik Anak. Sebagai guru, kita tidak dapat lari daripada masalah disiplin para pelajar. Jelas sekali, kesilapan-kesilapan yang Ciklaili senaraikan adalah penyumbang kepada masalah tersebut. Walaupun entri ini sangat ringkas namun secara tidak langsung dapat membantu para ibu bapa menilai cara didikan yang diaplikasikan kepada anak-anak seterusnya memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan.

Selain itu, entri Earning Nuffnang RM4,404.14 juga amat mengujakan saya. Wah, tidak saya sangka part-time blogger macam Ciklaili mampu memperoleh pendapatan sebanyak itu daripada nuffnang! Bagi saya, pendedahan ini secara tidak langsung meningkatkan motivasi dan membakar semangat para blogger lain termasuk saya sendiri untuk terus menulis dan berkarya di blog masing-masing.

Tentang cadangan penambahbaikan ciklaili.com pula, sejujurnya segan saya untuk berbuat demikian kerana ilmu dan pengalaman dalam dunia blogging ini masih terlalu cetek. Namun, apa kata jika Ciklaili letakkan site info seperti traffic rank, pageview dan page rank di sidebar ciklaili.com.

Akhirnya, terima kasih buat Ciklaili kerana memberi peluang kepada saya untuk bertakhta selama setahun di bloglist ciklaili.com. Moga ciklaili.com akan terus sukses. Buat rakan-rakan blogger lain, Marilah sama-sama kita memeriahkan segmen Ciklaili ini. Klik banner untuk turut serta.

P/s: salam perkenalan buat Ciklaili.
 


Jumaat, 28 Disember 2012

Kalendar Cuti Umum 2013

Insyaallah, hanya beberapa hari sahaja lagi tirai 2013 bakal disingkap. Tahun 2012 bakal meninggalkan kita bersama 1001 kenangan yang sudah pastinya akan tersimpan kukuh dalam lipatan kenangan.

Ibu pasti ramai yang telah merancang program untuk tahun 2013. Tentu ada yang merancang majlis istimewa seperti majlis pertunangan dan perkahwinan. Mungkin juga ada juga yang dah berkira-kira untuk bercuti ke destinasi istimewa bersama keluarga tersayang. Sebagai panduan dan rujukan, di sini ibu kongsikan Kalendar Cuti Umum bagi Tahun 2013.

Boleh juga rujuk Takwim Persekolahan Tahun 2013 bagi membantu membuat perancangan yang lebih rapi. Jadual Pembayaran Gaji Bulanan Tahun 2013 juga mungkin dapat membantu melancarkan program percutian kita semua.
TARIKH
PERISTIWA
NEGERI
1 Januari
Selasa
Tahun Baru 2013
Semua negeri kecuali Johor, Kedah, Kelantan, Perlis & Terengganu
14 Januari
Isnin
Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Negeri Sembilan
20 Januari
Ahad
Hari Keputeraan Sultan Kedah
Kedah
24 Januari
Khamis
Maulidur Rasul
Semua Negeri
27 Januari
Ahad
Thaipusam
Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang & Selangor
1 Februari
Jumaat
Hari Wilayah
WP Kuala Lumpur, Labuan & Putrajaya
10 Februari 
Ahad
Tahun Baru Cina
Semua Negeri
11 Februari
Isnin
Tahun Baru Cina
(Hari ke-2)
Semua negeri kecuali Kelantan dan Terengganu
4 Mac
Isnin
Anniversary of Installation
of Sultan of Terengganu
Terengganu
29 Mac
Jumaat
Good Friday
Sabah & Sarawak
15 April
Isnin
Pengisytiharan Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah
Melaka
19 April
Jumaat
Hari Keputeraan Sultan Perak
Perak
26 April
Jumaat
Hari Keputeraan Sultan Terengganu
Terengganu
1 Mei 
Rabu
Hari Pekerja
Semua Negeri
7 Mei
Selasa
Hari Hol Pahang
Pahang
17 Mei
Jumaat
Hari Keputeraan Raja Perlis
Perlis
24 Mei
Jumaat
Hari Wesak
Semua Negeri
30 & 31 Mei
Khamis & Jumaat
Pesta Kaamatan Sabah
Sabah & Labuan
1 Jun
Sabtu
Hari Keputeraan YDPA
Semua Negeri
1 & 2 Jun
Sabtu & Ahad
Hari Gawai Sarawak
Sarawak
6 Jun
Khamis
Israk & Mikraj
Kedah, Negeri Sembilan & Perlis
7 Julai
Ahad
Georgetown World Heritage City Day
Pulau Pinang
10 Julai
Rabu
*Awal Ramadan
Johor, Kedah & Melaka
13 Julai
Sabtu
Hari Keputeraan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang
Pulau Pinang
26 Julai
Jumaat
Nuzul Al-Quran
Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Penang, Selangor & Terengganu
8 & 9 Ogos
Khamis & Jumaat
*Hari Raya Puasa
Semua Negeri
31 Ogos
Sabtu
Hari Kemerdekaan
Semua Negeri
7 September
Sabtu
Hari Keputeraan Yang di-Pertua Sarawak
Sarawak
16 September
Isnin
Hari Malaysia 
Semua Negeri
5 Oktober
Sabtu
Ulangtahun Yang di-Pertua  Negeri Sabah
Sabah
12 Oktober
Sabtu
Hari Keputeraan Yang di-Pertua Negeri Melaka
Melaka
15 Oktober
Selasa
*Hari Raya Haji
Semua Negeri
16 Oktober
Rabu
*Hari Raya Haji (Hari Ke-2)
Kedah, Kelantan, Perlis & Terengganu
24 Oktober
Khamis
Hari Keputeraan Sultan Pahang
Pahang
2 November
Sabtu
Deepavali 
Semua Negeri, kecuali Sarawak dan Labuan
5 November
Selasa
Awal Muharram
(Maal Hijrah)
Semua Negeri
11 & 12 November
Isnin & Selasa
Hari Keputeraan Sultan Kelantan
Kelantan
22 November
Jumaat
Hari Keputeraan Sultan Johor
Johor
9 Disember
Isnin
Hari Hol Almarhum Sultan Johor
Johor
11 Disember
Rabu
Hari Keputeraan Sultan Selangor
Selangor
25 Disember
Rabu
Krismas
Semua Negeri
* Tertakluk kepada perubahan

Kredit: ciklaili.com


Tutorial: Letak Shadow di Border Blog


Assalamualaikum dan selamat petang. Hajat nak jalan-jalan petang ni terpaksa dilupakan sebab hujan lebat di luar sana. Jadi, pada petang yang dingin ini hanya mengadap blog kesayangan ibu ni. Usik sana usik sini konon nak ubah wajahnya tapi tak jadi pulak. Rasa sayang dengan wajah yang ada sekarang.

Walau bagaimanapun, ada juga ibu ubah sikit ketebalan border dan shadow di keliling blog ibu ni. Apa kata ibu buat tutorial untuk letak bayang-bayang di keliling border blog macam blog ibu ni. Sebenarnya, tutorial ini untuk ibu juga. Kalau nak buat apa-apa perubahan nanti tak perlu cari di sana-sini. 

Cara Letak Shadow di Keliling Border Blog 

1. Dashboard - Design - Edit HTML - Tick Expand Widget Template.

2. Dengan menggunakan fungsi Find (ctrl + F), cari kod berikut:
.content-inner {
3. Jika dah jumpa, copy kod di bawah pula:
border: 7px solid #383536
-moz-box-shadow: 0 0 7px 7px #000000
-webkit-box-shadow: 0 0 7px #000000
box-shadow: 0 0 7px 7px #000000;
  • Purple untuk warna border. 
  • Merah untuk ketebalan shadow
  • Biru untuk warna shadow. 
# Pilihan warna ada di SINI
4. Paste betul-betul di bawah kod .content-inner {

5. Preview terlebih dahulu. Jika OK boleh save.
Nota: Tutorial ini berdasarkan simple template yang ibu gunakan. Jika tidak jumpa kod yang dicari, bermakna template tu tidak sesuai dengan tutorial ini.


SELAMAT MENCUBA!


Top Commenters Oktober & November '12




Bulan Disember dah hampir sampai ke penghujung, barulah ibu berkesempatan publishkan entri ni. Sekarang asyik lupa je..

Terima kasih buat teman yang setia berkunjung ke iBu BeRbiCaRa dan meninggalkan komen sepanjang bulan Oktober dan November 2012. Ibu amat menghargainya. Blog kalian dah ibu senaraikan di bloglist utama dalam tabber widget di sidebar. 

Bagi rakan-rakan yang letakkan link iBu BeRbiCaRa di sidebar blog masing-masing, link blog kalian pula ada di Bloglist Ibu Berbicara. Jika ada yang ibu terlepas pandang, harap dapat maklumkan kepada ibu secepat mungkin.

Kepada yang tidak tersenarai tu, ibu juga amat menghargai kalian. Terima kasih kerana sudi berkunjung dan membaca coretan ibu. Tanpa kalian semua, siapalah ibu di alam maya ini. Buat teman-teman baru iBu BeRbiCaRa, terima kasih ibu ucapkan. Insyaallah, ibu akan follow blog kalian juga. Walau bagaimanapun ibu mohon maaf kepada yang tidak meninggalkan jejak kerana tak dapat berbuat demikian. 

P/s: Ketika entri ini ditulis, follower ibu dah mencecah 551 orang. Terima kasih semua.


Khamis, 27 Disember 2012

Di Sebalik Entri Wordless Wednesday #4: Terima Kasih, Cikgu!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Pada 29 November yang lepas, guru besar sekolah ibu mengadakan majlis bagi meraikan murid-murid yang memperoleh 5A, 4A dan 3A dalam UPSR 2012. Majlis ringkas ini diadakan tanpa perancangan rapi seperti majlis-majlis lain yang dijalankan di sekolah. Seperti tahun lepas, guru besar mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk majlis ini.

Ibu dan guru kelas dimaklumkan tentang hal tersebut beberapa hari sahaja sebelum majlis diadakan. Jenuh jugalah kami menghubungi murid-murid untuk memaklumkan tentang majlis tersebut. Maklumlah, ketika itu sekolah dah bercuti, malah ada antara murid yang dahpun berada nun jauh di kampung masing-masing.

Inilah kek dalam entri Wordless Wednesday #4 semalam. Pemberian seorang murid untuk guru-guru sebagai tanda terima kasih. Kek ini adalah air tangan kakak murid tersebut yang juga bekas murid sekolah ini.

 
Sebiji lagi kek daripada murid yang sama.


Selain sate dan ayam goreng KFC yang ditaja oleh guru besar, banyak lagi makanan lain yang dibawa oleh murid-murid pada majlis tersebut tapi maaflah kerana tidak terakam oleh lensa kamera tuan blog. 

P/s: Tahniah buat anak didik yang telah ditawarkan ke SBP.


COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA