Memaparkan catatan dengan label Diari 2012. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Diari 2012. Papar semua catatan

Ahad, 30 Disember 2012

Cabaran 2013 & Soalan UPSR Secara Online

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Dalam tempoh seminggu ini, ramai rakan blogger guru bercerita tentang mesyuarat di sekolah masing-masing. Tidak kurang dengan blogger bergelar ibu, mama, ummi yang berbicara tentang persiapan persekolahan anak masing-masing. Moga semuanya telah bersedia untuk menghadapi sesi persekolahan 2013 yang hanya tinggal dua tiga hari sahaja lagi. 

Seperti rakan-rakan lain, ibu juga telah menghadiri mesyuarat di sekolah pada hari Rabu, 26 Disember yang lepas. Macam biasa, yang paling ditunggu-tunggu adalah senarai tugasan untuk tahun baru. Ermm.. terkejut juga apabila melihat senarai tugasan dan jawatan untuk tahun 2013. Namun ibu tak mahu jadikan itu masalah besar sebaliknya menganggap itu semua adalah cabaran yang perlu dihadapi. Insyaallah sentiasa cuba berfikiran positif agar diri tidak diselubungi stress.  

Tahun 2013 bakal menjadi tahun yang mencabar lagi buat ibu. Seperti tahun ini, ibu dipertanggungjawabkan mengajar kelas ketiga tahun 6. Yang menjadikan ia lebih mencabar, ibu perlu mengenali murid-murid kelas ini terlebih dahulu kerana tidak pernah mengajar mereka sebelum ini. Tempoh setahun bukanlah lama, namun seperti dinyatakan sebelum ini, ibu anggap ini adalah cabaran. Insyaallah akan terus mencuba selagi terdaya.

Sebagai persediaan untuk murid-murid ibu, ibu dahpun membuat pautan ke Bank Soalan UPSR, PMR dan SPM di blog ini. Melalui pautan ini, murid-murid atau pengunjung blog ini dapat menjawab terus soalan yang disediakan secara atas talian.Lihat di bahagian sidebar blog ini dengan tajuk JOM BELAJAR.

Terima kasih buat laman web BTPN Negeri Pulau Pinang yang menyediakan kemudahan ini. Moga dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para guru dan murid.

 SELAMAT MENJAWAB SOALAN


Khamis, 27 Disember 2012

Di Sebalik Entri Wordless Wednesday #4: Terima Kasih, Cikgu!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Pada 29 November yang lepas, guru besar sekolah ibu mengadakan majlis bagi meraikan murid-murid yang memperoleh 5A, 4A dan 3A dalam UPSR 2012. Majlis ringkas ini diadakan tanpa perancangan rapi seperti majlis-majlis lain yang dijalankan di sekolah. Seperti tahun lepas, guru besar mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk majlis ini.

Ibu dan guru kelas dimaklumkan tentang hal tersebut beberapa hari sahaja sebelum majlis diadakan. Jenuh jugalah kami menghubungi murid-murid untuk memaklumkan tentang majlis tersebut. Maklumlah, ketika itu sekolah dah bercuti, malah ada antara murid yang dahpun berada nun jauh di kampung masing-masing.

Inilah kek dalam entri Wordless Wednesday #4 semalam. Pemberian seorang murid untuk guru-guru sebagai tanda terima kasih. Kek ini adalah air tangan kakak murid tersebut yang juga bekas murid sekolah ini.

 
Sebiji lagi kek daripada murid yang sama.


Selain sate dan ayam goreng KFC yang ditaja oleh guru besar, banyak lagi makanan lain yang dibawa oleh murid-murid pada majlis tersebut tapi maaflah kerana tidak terakam oleh lensa kamera tuan blog. 

P/s: Tahniah buat anak didik yang telah ditawarkan ke SBP.


Selasa, 25 Disember 2012

Projek Jemari Emas 23.12.12


Kalau tengok tajuk di atas, memang gempak habiskan? Hehehe.. janganlah tertipu ye. Ini adalah projek kecil ibu dua hari lepas bagi mengisi masa lapang. 

Sebenarnya, ni projek flower ball untuk digantung dalam kereta. Dah agak lama projek ini tertangguh. Kononnya, nak gantung dalam kereta baru tapi dah merata-rata kereta tu pergi, projek tak juga bermula. 

Bukanlah susah sangat nak buat bunga ni tapi ibu ni memang cerewet. Jika menghasilkan sesuatu kalau boleh nak sesempurna yang boleh. Walaupun bunga ini kecil je tapi ambil masa juga nak menyiapkannya. Setiap kuntum bunga ibu gamkan betul-betul pada span supaya kemas dan kuat. Jadi, kalau jatuh berkali-kalipun bunganya tak tertanggal.

Bahan dan peralatan yang digunakan, dibawa dari Jerantut.

Dua hari lepas, bermulalah projek tertangguh yang satu ni. Mengadap dari petang, hampir tengah malam baru siap. Mulanya bercadang nak terus gantungkan dalam kereta tapi bimbang orang ingat ibu mengigau. Dalam soal ni ibu memang kurang sabar. Pagi tadi dah suruh ayah gantung dalam kereta. Puas hati sebab dah berhiaspun kereta ibu.


Opss, terlupa ambil gambar yang dah siap. Sekejap ye..

Inilah flower ball yang dah tergantung dalam kereta ibu. Nasib baik ayah tak kata apa-apa. Mana tidaknya, bunga pink tergantung dalam kereta.*Dalam hati tak taulah pulak hehe.. 

P/s: Dah siappun untuk sendiri. Lepas ni kena buat lagi untuk rakan-rakan yang dah lama menempah.


Jumaat, 21 Disember 2012

Dari Dungun ke Simpang Renggam

Alhamdulillah, ibu sekeluarga dahpun selamat sampai ke kampung ayah di Simpang Renggam. Semalam ibu sekeluarga ke Dungun untuk mengambil Angah yang sedang bercuti seminggu. Sampaipun dah malam, jadi terus ke tempat penginapan. Tak sempatpun nak jalan ke mana-mana.

Tengah hari tadi kami memulakan perjalanan dari Dungun ke Simpang Renggam. Alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkan. Walau bagaimanapun, sampai agak lewat gara-gara singgah di banyak tempat. 

Singgahan pertama di sebuah tempat makan di Muadzam Syah.  Kata orang kalau nak cari tempat makan yang best tengok bilangan pengunjungnya. Di gerai pertama, nampak lauk-pauknya amat meyelerakan cuma yang tak sedapnya, beberapa ekor lalat bertenggek atas lauk-pauk yang tak bertutup. 

Pergi pulak ke gerai kedua. Situasi yang sama, lalat sedang riang gembira hinggap dari satu dulang ke satu dulang. Tekak ibu mula rasa kembang semasam. Anak-anak menggeleng-gelengkan kepala tak nak makan di sana.

Gerai ketiga situasinya pun sama. Musykil juga ibu sebab ibu tengok pengunjung-pengunjung lain bukan main berselera menikmati makanan. Soal makanan ni, ibu masih boleh berkompromi dari segi rasa tapi tidak bila tiba soal kebersihan. Akhirnya, ibu dan ayah order roti canai manakala anak-anak hanya minum. Panjang je muncung masing-masing. Maklumlah dah lebih pukul dua petang belum makan tengah hari. Rasanya bukan setakat keroncong malah agaknya dah berdondang sayang perut masing-masing.

Kemudian kami meneruskan perjalanan dan singgah di sebuah tempat makan lain. Alhamdulillah bersih walaupun hidangan kurang meriah. Selesai makan kononnya nak solat tapi semua pintu surau berkunci pulak. Terpaksalah meneruskan perjalanan dan kami singgah di sebuah masjid di Segamat. 

Alhamdulillah, tiba di Simpang Renggam pukul 7.30 malam. Anak-anak  sudah tentu gembira sebab dah lama benar kami tak balik ke sini. Walau bagaimanapun, percutian kami di sini tak lama. Dalam perjalanan tadi ibu dapat mesej daripada rakan sekerja yang memaklumkan bahawa mesyuarat guru akan diadakan pada hari Rabu, 26.12.2012. Bermakna hari Selasa kami dah kena balik.

Sekian catatan perjalanan ibu sekeluarga hari ini. Insyaallah kita jumpa lagi esok.



Isnin, 17 Disember 2012

Hantaran Pertunangan


Seperti yang ibu nyatakan dalam entri 1.2.34 ♥ 1 Safar 1434 Hijrah ramai yang mengambil kesempatan untuk mengabadikan tarikh unik tersebut dengan melangsungkan majlis istimewa untuk dikenang sepanjang hidup.  
Salah seorang yang tidak mahu melepaskan peluang melakar kenangan sekali seumur hidup ini adalah sepupu lelaki ibu yang telah melangsungkan pertunangannya semalam. 
 
Helmi minta ibu siapkan 5 dulang hantaran untuk bakal tunangnya. Untuk hiasan dan gubahan, dia menyerahkan sepenuhnya kepada ibu. Jemputlah tengok hasil kreativiti ibu yang tak berapa nak kreatif ni.

 Dua bekas pilihan ibu

 Gubahan kain pasang bersama sehelai selendang.
Gubahan paling ringkas ibu buat kerana tidak mahu merosakkan kain.

Gubahan telekung

  Gubahan sirih dan buah-buahan. 
Belum siap sepenuhnya ketika gambar ini diambil.

 Bekas cincin untuk 2 bentuk cincin; cincin merisik dan cincin pertunangan.

Alhamdulillah, nampaknya Helmi suka dengan hasil tangan ibu ni. Kalau nak tengok hasil tangan ibu yang lain boleh jengah ke sini, sini dan sini.



Sabtu, 15 Disember 2012

Buah Pisang Kaki


Ibu ni penggemar buah-buahan. Tak kiralah buah-buahan tempatan atau sebaliknya. Kesukaan ibu ini turut menjadi kesukaan anak². Jadi, tak hairanlah stok buah-buahan sentiasa ada dalam peti sejuk di rumah kami. Namun demikian, buah-buahan kesukaan anak² ibu ni tak sama. Ada yang suka rambutan, ada yang suka jambu batu dan ada pulak yang gemar buah epal. Jadi, kalau kami beli buah-buahan memang terus angkut bermacam² jenis buah.

 Pisang kaki yang rupanya seperti tomato

Salah satu buah yang paling ibu gemari ialah buah pisang kaki. Sekali makan memang tak cukup sebiji. Walau bagaimanapun di sini agak sukar untuk mendapatkan bekalan buah pisang kaki ni. Kalau adapun harganya agak mahal. Kebiasaannya RM1.50 sebiji, namun ada ketika harganya mencecah sehingga RM3 sebiji. Bergantung kepada musim dan bekalan agaknya.
 
Semalam ibu ke pasar raya untuk beli buah-buahan lagi. Terkejut juga ibu apabila tengok harga pisang kaki ni amat murah; RM5.99 untuk 20 biji. Bermakna hanya lebih kurang 30 sen sebiji. Ibupun apa lagi, terus sambar 20 biji.

Sejak dulu ibu perhatikan tak ramai orang Melayu yang beli buah pisang kaki. Semasa ibu beli semalam pun, rata-rata yang beli adalah pembeli yang berketurunan Cina. Agaknya memang orang Melayu tak suka pisang yang tak ada rupa pisang ni kot.

Ada tak siapa-siapa yang suka makan pisang kaki?

P/s: Ibu makan semua jenis buah. Tolak buah dam dan buah dadu je. Paling suka buah tangan.. hehe


Isnin, 26 November 2012

Minum Jus Delima

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Siapa yang tak kenal buah delima; buah yang amat menarik dari segi bentuk dan warnanya. Apabila kulitnya yang merah berkilat dikupas, akan kelihatanlah kantung-kantung kecil berjus segar tersusun rapi di dalamnya. 

Ibu memang suka buah delima. Ibu gemar rasanya yang masam-masam manis. Sebiji buah delima sekejap je ibu kerjakan. Leka kalau makan buah delima ni. Sambil berbual, kutil seulas-seulas masuk mulut. Memang ralitlah bak kata orang Pahang. 
 
Sebelum ini, selalu juga ibu dengar dan baca tentang buah delima yang merupakan antara buah yang disebut di dalam al-Quran. Namun, ibu tak ambil kisah dan makan hanya kerana rasanya yang sedap.

Kisah bermula apabila baru-baru ini seorang rakan mengesyorkan agar ibu minum jus delima. Ibu mula mencari maklumat di internet. Rupa-rupanya memang banyak khasiat buah delima. Selepas lebih kurang sebulan mengamalkan minum jus delima, badan ibu rasa lebih sihat dan bertenaga. Sekarang ibu telah menjadikan jus buah delima ini sebagai minuman harian.

Ibu kongsikan antara khasiat buah delima yang ibu peroleh di sini.

Khasiat mengikut buku perubatan Parsi:
  • Membaik pulih fungsi hati dan limpa
  • Mencuci buah pinggang dan salur kencing
  • Membantu penghadaman
  • Membuang lemak-lemak berlebihan
  • Menambah tenaga
  • Mengelakkan alahan bagi wanita mengandung
  • Mengubah suai hormon bagi wanita menopause
  • Membaiki sistem pembersihan dan pengaliran darah
  • Merawat pesakit kencing manis
  • Menambahkan tenaga dan mengelak dari penyakit lemah tenaga batin
  • Mencantikan kulit

Khasiat dari kajian perubatan moden:
  • Mengurangkan pengumpulan lemak di dinding pembuluh darah, mengelakkan dari salur darah tersumbat dan mengeras yang menjadi punca penyakit jantung
  • Mengurangkan tekanan darah sebanyak 5% dalam kalangan pesakit darah tinggi jika mengambil Jus Delima sebanyak 50cc setiap hari selama 2 minggu
  • Menghalang pembentukan sel barah payu dara. Di Jepun terdapat laporan yang menggalakkan pengambilan Jus Delima dalam membantu mengubati penyakit jantung, tekanan darah tinggi, menambah tenaga, untuk kecantikan kulit dan banyak lagi khasiat lain.
p/s: Jagalah kesihatan sejak muda. Jangan dah senja macam ibu barulah nak makan itu, minum ini.


Isnin, 19 November 2012

UPSR 2012 ♥ Alhamdulillah dan Tahniah!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
   
Keputusan UPSR 2012 telahpun diumumkan oleh Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran Malaysia, Dr Na'imah Ishak di Putrajaya pagi tadi. 45,054 calon UPSR seluruh negara telah memperoleh A bagi semua subjek, jatuh 0.54 peratus berbanding 46,012 calon tahun lepas. Menurut Dr Na'imah, pencapaian keseluruhan calon UPSR juga menurun sebanyak 0.01 mata Gred Purata Nasional (GPN) iaitu daripada 2.30 pada 2011 kepada 2.31 pada tahun ini.  [sumber]

Di sekolah ibu, pengumumam dibuat oleh GPK 1 pada pukul 10.00 pagi tadi. Alhamdulillah, 40 orang calon sekolah ibu adalah antara penyumbang kepada bilangan 45,054 orang tersebut. Calon UPSR sekolah ibu pada tahun ni adalah seramai 135 orang. 

Bilangan 40 orang yang mendapat 5A ini meningkat berbanding 39 orang pada tahun lepas. Yang paling menggembirakan ibu, seorang murid kelas ibu, Wan Ahmad Idham bin Nasron turut mendapat 5A. Sesuatu yang tidak dijangkakan *walaupun sentiasa berharap. Untuk pengetahuan, ibu mengajar kelas ketiga daripada empat kelas. 

Sebahagian daripada 135 orang calon yang hadir mengambil keputusan UPSR pagi tadi.
 Antara 40 orang calon yang mendapat 5A.
Idham berdiri nombor 3 dari kiri.

Kejayaan Idham dan rakan-rakan merupakan hadiah yang amat bererti buat ibu dan rakan-rakan. Sesungguhnya hari ini adalah hari yang amat menggembirakan buat kami. Terima kasih buat rakan-rakan seperjuangan yang sabar menghadapi bermacam-macam karenah 35 orang murid 6 Taqwa. Entri.

Ibu bersama rakan-rakan guru yang mengajar 6 Taqwa. Dari kiri, Puan Norfiza Nordin (bahasa Inggeris), Puan Wamaniuda Sulong (Pendidikan Islam), Ibu (Bahasa Melayu merangkap guru kelas), Puan Zainun Ibrahim (matematik) dan Puan Zuryani Zaminazha (sains).

p/s: Kepada yang kurang berjaya, jangan berputus asa. Peluang masih terbuka luas. Buktikan kecemerlangan kalian di sekolah menengah nanti.


Sabtu, 17 November 2012

Drawstring Bag daripada Craft n Crochet

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
   
Inipun cerita lama sebenarnya. Dah berminggu terperap dalam draf. Entah di mana ibu simpan gambarnya. Dicari berkali-kali tak jumpa-jumpa. Akhirnya pagi ni terjumpa dalam lappy yang lagi satu. Hmm alahai, sendiri yang simpan, sendiri lupa!! 

Dah lebih dua minggu rasanya ibu terima drawstring bag ni. Ibu order dari Craft n Crochet. Bagi yang belum tahu, Craft n Crochet ini milik Tihara @ Herba Tihara. 
Comel je.. Ibu order dua. Satu untuk ibu dan satu lagi untuk adik ibu. Cadangnya nak letak handphone tapi sayang tak muat.

 Penanda buku ni free gift darpada Tihara.
Terima kasih, Tihara.

Antaranya hasil tangan Tihara yang dijual di Craft n Crochet ialah brooch, modem broadband casing, bookmark, keychain, hairpin dan banyak lagi. Kepada yang berkenan dan nak order, bolehlah ke sini.  

p/s: Dulu-dulu suka mengait. Sekarang dah tak berkesempatan. Cuti sekolahpun bawa balik kerja..


Khamis, 15 November 2012

Lawatan ke Muzium Sungai Lembing

Ini sambungan coretan semalam. Jika sebelum ini ibu ceritakan tentang Lawatan ke Pekan, hari ni ibu nak ceritakan tentang lawatan kami seterusnya iaitu ke Muzium Sungai Lembing. Ibu nak maklumkan bahawa kebanyakan gambar dalam entri ini ibu pinjam daripada en. google kerana gambar dari kamera ibu amat menyakitkan mata. Awas! entri ini juga mengandungi banyak gambar. Jangan bosan membacanya..

Sebelum itu ingin ibu kongsikan sedikit maklumat tentang Muzium Sungai Lembing.
Muzium Sungai Lembing ditubuhkan bagi mengimbau zaman kegemilangan Sungai Lembing sebagai bandar terkaya pengeluar bijih timah utama di negeri Pahang. Pada suatu ketika dahulu, bandar ini seumpama EL-Dorado Timur di Tanah Melayu kerana di sinilah terletaknya sebuah perkampungan pegawai Inggeris yang istimewa di Lembah Sungai Kenau. Namun, mulai 1984 segala kemewahan tersebut lenyap akibat kejatuhan harga bijih timah. 

Lombong bijih timah Sungai Lembing merupakan satu-satunya lombong bawah tanah yang terdalam dan terpanjang di dunia, yang pernah diusahakan secara besar-besaran dan pernah menjana ekonomi negara yang menjadikan Sungai Lembing begitu terkenal di peringkat antarabangsa. - [sumber]
Kami tiba di pekan Sungai Lembing ni lebih kurang pukul 12 tengah hari. Pemandangan di sini menggamit memori zaman kanak-kanak ibu lebih 30 tahun yang lalu.

Lihatlah, bangunan-bangunan lama yang diperbuat daripada kayu masih berdiri utuh di tengah-tengah pekan. Alam sekeliling dan Pekan Sungai Lembing ini terus dikekalkan sebagaimana asal sebagai bahan warisan dan dijadikan muzium hidup yang terus dapat disaksikan hingga hari ini.

 Rumah-rumah lama di tepi Sungai Kenau
 Pintu masuk ke muzium


Bangunan Muzium yang terletak di atas bukit ini merupakan bekas kediaman pegawai lombong yang masih mengekalkan ciri-ciri seni bina zaman Inggeris.

Pemandangan alam semula jadi yang menyejukkan mata dilihat dari muzium.
 
 Kereta yang digunakan oleh pegawai lombong.

 
 
Antara koleksi menarik yang dipamerkan ialah peralatan melombong, jentera gerudi, rel dan gerabak kereta api, pakaian, topi keselamatan, peralatan menghidang serta perabot yang digunakan pada masa itu.

Ibu tertarik dengan perabot klasik di bilik tidur ni.

 
 
 Kelengkapan lain yang turut dipamerkan. 

 Jenis-jenis batuan turut dipamerkan.

 Terowong bawah tanah yang kini sedang dibaik pulih dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada Januari 2013.

Maklumat yang lebih terperinci tentang Muzium Sungai Lembing dan sejarah Sungai Lembing itu sendiri boleh diperoleh di sini dan sini. Kisah suka duka pekerja lombong bijih timah ni pula bolah dibaca di sini

Selain muzium, antara tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di kawasan berhampiran ialah ladang ternakan rusa, air terjun dan kolam air panas, Pusat Rekreasi Gunung Tapis, Gua Charas 'Sleeping Buddha', Bukit Panorama dan Hutan Rekreasi. Bukit Panorama terkenal dengan kecantikan pemandangan pada waktu pagi tatkala matahari terbit. 


 
Ini gambar pemandangan dari puncak Bukit Panoama.
 Kredit:Google image


Bagi ibu yang meminati sejarah, lawatan ini amat bermakna kerana terlalu banyak input yang diperoleh tentang sejarah perlombongan bijih timah khususnya di Sungai Lembing ini. Murid-murid juga dapat melihat suasana kehidupan di era 70-an dan 80-an ketika berada di sini. 


p/s: Teringin berkunjung ke sini lagi bersama Faiz dan Faiq..

 


COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA