Memaparkan catatan dengan label Kisah dan Teladan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah dan Teladan. Papar semua catatan

Jumaat, 14 April 2017

Kisah dan Teladan

Macam² kisah yang pernah terjadi antara menantu dan mertua, lebih² lagi menantu yang tinggal sebumbung dengan mertua. Hari ini, sebuah kisah yang menyentuh hati berkisar tentang menantu dan mertua telah dikongsikan di laman Facebook Kisah Rumah Tangga.

Kisah yang menyentuh hati ini berkisar tentang anak yang amat menyanjung tinggi ibu kandungnya. Lantaran itu, si anak menaruh sepenuh kepercayaan terhadap ibu untuk membimbing isteri yang baru dinikahinya. Namun, perkara yang sebaliknya telah berlaku.



Moga kita mengambil iktibar daripada kisah ini.

Kredit: KRT


Selasa, 20 Mei 2014

Pengajaran dari Sebiji Tembikai

Pada suatu hari, seorang ahli Sufi yang masyhur bernama Syaqiq Al-Balkhi telah membeli sebiji tembikai. Kemudian dia membawa tembikai itu pulang lalu diberikan kepada isterinya.

Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk di makan, ternyata buah tembikai itu tidak elok. Marah-marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan tersebut.

Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya: “Kepada siapakah engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam, atau Pencipta buah tembikai itu?”Terdiam isterinya mendengar pertanyaan tersebut.

Kemudian Syaqiq meneruskan kata-katanya: “Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu beli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga. Maka ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan-Nya.”

Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan diapun redhalah dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.



Ps: Moga menjadi iktibar buat kita semua.



Khamis, 16 Januari 2014

Jendela Hati

Assalamualaikum dan selamat pagi.

Awal pagi ini ingin ibu kongsikan sebuah cerita.

Satu pasangan muda yang baru berkahwin tinggal di sebuah kawasan perumahan. Suatu pagi, melalui jendela kaca, si isteri melihat jirannya sedang menjemur pakaian. "Cuciannya kurang bersih ya bang," kata si isteri. "Tentu dia tak tahu cara mencuci pakaian. Mungkin dia perlu sabun yang lebih elok," sambung si isteri.

Suaminya menoleh, tetapi hanya diam dan tidak memberi apa-apa komen. Sejak hari itu setiap kali jirannya menjemur pakaian, selalu saja si isteri memberikan komen yang sama tentang kurang bersihnya jiran mencuci pakaian.

Seminggu berlalu, si isteri hairan melihat pakaian yang dijemur jirannya kelihatan betul-betul bersih lalu dimaklumkan kepada suaminya. "Abang tengok jiran kita ni dah basuh bersih pakaiannya, tak macam sebelum ni. Siapalah agaknya yang ajar dia cara yang betul untuk membasuh pakaian?" kata si isteri.

Sang suami berkata, "Saya bangun pagi ni dan bersihkan jendela kaca kita." Isterinya terkesima.

Begitulah kehidupan. Apa yang kita lihat pada saat menilai orang lain bergantung kepada kejernihan fikiran (jendela). Jika HATI kita bersih, maka bersih pula FIKIRAN kita. Jika FIKIRAN kita bersih, maka bersih pula PERKATAAN kita. Jika PERKATAAN kita bersih (baik), maka bersih (baik) pula PERBUATAN kita.

Hati, fikiran, perkataan dan perbuatan kita mencerminkan hidup kita. Jika ingin hidup kita berkembang, maju, dan berjaya (bersih/baik), maka kita harus menjaga hati, fikiran, perkataan dan perbuatan kita agar tetap baik kerana itulah segalanya.

Hati menentukan fikiran.
Fikiran menentukan perkataan dan perbuatan.

Sumber: Whatsapp 

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain…”
(Surah al-Hujurat, ayat 12)


Khamis, 6 Jun 2013

Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W.


Israk Mikraj

Israk Mikraj adalah satu peristiwa besar dalam sejarah hidup Rasululah dan dalam sejarah umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj ini didahului dengan beberapa peristiwa yang mendukacitakan Rasulullah saw. Antaranya kematian bapa saudara Baginda, Abu Talib dan kewafatan isteri Baginda yang tercinta iaitu Saiyidatina Khadijah rha. Begitu juga peristiwa penolakan kaum Taif terhadap dakwah Baginda saw. Maka peristiwa Israk dan Mikraj ini dirumuskan sebagai kemuliaan dan hiburan istimewa dari Allah swt kepada kekasih-Nya.

Ringkasan peristiwa Israk dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj 

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil-Aqsa) 

Sepanjang perjalanan (Israk) itu, Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak 2 rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah: 
  1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. 
  2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.   
  3. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan)
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. 

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut:
  • Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang2. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak. 
  • Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).  
  • Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).
  • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail: Itulah orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka. 
  • Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami. 
  • Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba. 
  • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain. 
  • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali2. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. 
  • Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang. 
  • Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat. 
  • Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai hiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat. 
  • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia2kan umurnya sampai ke tua. 
  • Seorang perempuan bongkok 3 menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian Baginda masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat 2 rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah SAW terasa dahaga lalu dibawa Jibrail 2 bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj (Naik ke Hadratul-Qudus Menemui Allah SWT) 

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah). 

Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang2 yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan. 

Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

Langit Ke-3: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS. 

Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS. 

Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil. 

Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi2. Seterusnya dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab. 

Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu denan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haula Wala Quwwata Illa Billah. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah 5 kalimah, iaitu Subhanallah, Wal-Hamdulillah, Wa La Ilaha Illallah Allahu Akbar dan Wa La Haula  Wa La Quwwata Illa Billahil - 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur terletak betul-betul di atas Baitullah di Mekah). 

Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi pemata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tidak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta Malik penunggunya. 

Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Baginda dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur' Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT: Ya Muhammad.

Rasulullah: Labbaika.

Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah: Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata2 dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah SWT: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik2 umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan 7 ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat2 di akhir surah al-Baqarah sebagai satu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji2 Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji2mu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu 50 (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas 9 kali merayu, (setiap kali dikurangkan 5 waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang 5 waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya Baginda turun ke Baitul-Maqdis lalu menunggang Buraq ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira2 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

Sumber: SINI


Isnin, 13 Mei 2013

Kisah Empat Isteri

Alkisah pada suatu waktu, hiduplah seorang saudagar kaya dikelilingi oleh empat orang isteri. Isteri keempat adalah yang paling disayangi dan dicintainya kerana parasnya yang jelita dan usianya paling muda. Dia memanjakan isteri keempatnya dengan kemewahan.

Saudagar juga amat menyayangi isteri ketiganya yang cantik rupawan dan pandai berhias. Dialah yang selalu menemani saudagar ke majlis-majlis penting. Saudagar amat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada teman- temannya. 

Isteri kedua tidak kurang hebatnya. Walaupun tidak secantik isteri keempat dan ketiga, namun dia sangat cerdas dan pintar. Setiap kali menghadapi masalah, saudagar akan meminta pandangannya. Isteri keduanya inilah yang menjadi tempat dia bergantung harap ketika menghadapi kesulitan.

Lain pula halnya dengan isteri pertama. Sudahlah rupa dimamah usia, fikiran pula di tahap biasa-biasa sahaja. Saudagar tidak lagi kasih akan dirinya. Kehadirannya umpama melukut di tepi gantang. Pergi tidak mengurang, datang pula tidak menambah. Walau bagaimanapun, si isteri amat setia dan mencintai suaminya. Dialah yang menyediakan dan melayani segala keperluan suami dan madu-madunya.

Suatu hari, saudagar jatuh sakit. Dadanya sesak dan sukar bernafas. Dia menyedari mungkin sudah tiba masanya untuk dia meninggalkan dunia ini. Dia mula berasa takut betapa dia akan kesepian setelah mati. Saudagarpun memanggil kesemua isterinya.

Saudagar berkata kepada isteri keempatnya, “Kaulah yang paling kucintai, tubuhmu kusaluti dengan perhiasan yang bergemerlapan. Sekarang aku akan mati, mahukah kau menemaniku?” 

“Tidak. Aku masih muda dan cantik. Tentu saja aku akan mencari penggantimu,” jawab si isteri lalu meninggalkan saudagar yang terluka hatinya. 

Saudagar bertanya pula kepada isteri ketiganya, “Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini hidupku akan berakhir. Mahukah kau mengikutku?”.

"Tentu saja tidak! Ramai lelaki yang bersedia menggantikan tempatmu dan berkahwin dengan ku." Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu. 

Kepada isteri keduanya saudagar berkata, “Wahai isteri keduaku, kau sangat cerdas dan selalu membantu menyelesaikan masalahku. Kini aku amat memerlukan pertolonganmu. Jika aku mati, mahukah kau menemaniku?” 

Si isteri menjawab, “Maaf suamiku. Aku hanya mampu menguruskan pengkebumianmu. Akan kubuatkan makam yang indah buatmu.” Jawapan itu bagai halilintar yang menyambar. Saudagar berasa amat sedih dan kecewa.

Tiba-tiba terdengar satu suara, “Suamiku, aku akan menemanimu ke manapun kau pergi. Aku tak akan meninggalkanmu. Aku akan setia bersamamu.” Saudagar menangis terharu apabila mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Saudagar menyesali perbuatannya selama ini. Sedarlah dia bahawa isteri yang dilupakannya selama ini adalah isteri yang paling setia dan cantik budi pekertinya.

Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini: 

Isteri keempat adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang apabila kita meninggal.

Isteri ketiga adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan berpindah kepada yang lain. 

Isteri kedua pula adalah kaum kerabat dan teman-teman. Seberapa akrab hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya.

Sesungguhnya, isteri pertama adalah amalan kita. Kita sering mengabaikannya demi kekayaan dan kesenangan hidup. Namun, hanya amalan kita sajalah yang setia mendampingi kita ke manapun kita melangkah. Hanya amalan yang mampu menolong kita di akhirat kelak.

Sumber: FB

Ps: Sama-samalah kita mengambil iktibar daripada kisah ini.


Ahad, 23 Disember 2012

Siti yang Patut Kita Contohi

Semalam hanya sempat pusing-pusing pekan Simpang Renggam konon nak cari buku untuk dibaca tapi tak jumpa kedai buku. Yang jumpa hanya kedai kecil yang jual buku-buku sekolah. Rupa-rupanya kata mak mertua, kedai buku dekat je dengan rumah. Boleh berjalan kaki je ke sana.   Nampak benar dah lama tak balik. huhu.. 

Jadi, semalam ibu hanya bw mencari artikel-artikel menarik untuk dibaca. Akhirnya, ibu terjumpa kisah wanita-wanita hebat dalam sejarah Islam. Seharian ibu membaca kisah-kisah mereka yang ada antaranya telah dijanjikan syurga oleh Allah S.W.T. Sebelum ni pernah baca tapi baca tanpa penghayatan akhirnya hilang bersama masa.

Banyak kisah wanita dalam sejarah Islam yang boleh kita jadikan pedoman namun untuk hari ini ibu nak kongsikan kisah wanita-wanita yang bernama Siti. Sesungguhnya kisah 10 "Siti"yang ibu baca semalam bukan sahaja patut dicontohi oleh kaum hawa malah mereka juga boleh dijadikan sumber inspirasi oleh kaum Adam dalam mendidik anak dan isteri.

Siapakah 10 "Siti" tersebut?

1. Siti Khadijah
Siti Khadijah binti Khuwailid yang digelar Ummul Mukminin (ibu orang mukmin) ini merupakan wanita pertama yang memeluk Islam dan juga isteri kepada Nabi Muhammad S.A.W. Siti Khadijah adalah seorang wanita yang dihormati dan dipandang tinggi serta suka menolong orang yang lemah dan yang memerlukan. Siti Khadijah yang merupakan ibu kepada tujuh orang anak Rasulullah S.A.W. setia dan menyokong Rasulullah walaupun ditentang hebat oleh orang-orang kafir dan musyrik serta menghantarkan makanan kepada Baginda tatkala Baginda beribadat di Gua Hira’.

2. Siti Fatimah
Siti Fatimah adalah anak Rasulullah yang tinggi budi pekertinya. Walaupun beliau adalah puteri Rasulullah, namun hidupnya disaluti kemiskinan dan kesusahan. Apabila berkahwin dengan Saidina Ali, kehidupannya tetap susah. Namun, dalam serba susah dan miskin, beliau tetap ingin bersedekah walaupun hanya dengan sebelah biji kurma. Siti Fatimah tidak pernah mengeluh atau menyalahkan suaminya terhadap kesusahan yang terpaksa dihadapinya. Wanita mulia ini sangat pemalu dan sangat menjaga maruah dirinya.

3. Siti Aishah
Siti Aisyah merupakan isteri Rasulullah yang paling romantik. Sanggup berkongsi bekas makanan dan minuman dengan Rasulullah. Kehidupan Aisyah penuh dengan kemuliaan, kezuhudan, tawadhuk, pengabdian sepenuhnya kepada Rasulullah SAW, selalu beribadah serta senantiasa melaksanakan solat malam. Selain itu, Aisyah banyak mengeluarkan sedekah sehingga di dalam rumahnya tidak akan ditemukan wang satu dirham atau satu dinar pun.

4. Siti Hajar
Siti Hajar adalah lambang wanita sejati yang taat kepada suami dan perintah Allah. Segala kesukaran, kepahitan, keresahan yang ditempuh Siti Hajar bersama anak kecilnya, Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir kontang adalah lambang kesetiaan dan kepatuhan seorang isteri kepada peraturan suaminya. Siti Hajar juga merupakan ibu mithali kerana sanggup berjuang mencari air untuk anaknya Nabi Ismail. 

5. Siti Mariam
Wanita suci yang memang pandai menjaga kehormatan diri dan mempunyai maruah yang tinggi sehingga rahimnya dipilih oleh Allah S.W.T untuk mengandungkan Nabi Isa. Beliau tabah menghadapi cemuhan dan caci maki orang ramai yang menuduhnya berbuat zina.

6. Siti Asiah
Asiah binti Mazahim merupakan seorang wanita Mesir yang baik budi pekertinya dan bijaksana dalam pemikirannya. Beliau memiliki kecantikan yang tiada tolok bandingannya dan telah dipaksa berkahwin dengan Firaun. Walau bagaimanapun, beliau tidak pernah gentar dengan ujian yang dihadapinya daripada Firaun Laknatullah dan akhirnya meninggal dalam keadaan teguh menggengam "Tauhid".

7. Siti Aminah
Siti Aminah binti Wahab merupakan gadis yang termulia nasab dan kedudukannya di kalangan suku Quraisy. Pergaulannya senantiasa dalam penjagaan dan tertutup dari pandangan mata. Terlindung dari pergaulan bebas sehingga sukar untuk  mengetahui jelas penampilannya atau gambaran fizikalnya. Beliau adalah ibu kandung Rasullullah S.A.W. dan berjaya mendidik baginda menjadi insan mulia. 

8. Siti Muti’ah
Isteri yang patut dicontohi dan dijanjikan Allah syurga untuknya kerana setianya kepada suami, menjaga makan minum, menyediakan tongkat untuk dipukul oleh suaminya sekiranya layanannya tidak memuaskan hati, berhias dengan cantik untuk tatapan suaminya sahaja. Rasulullah sendiri meminta agar puteri baginda, Siti Fatimah meneladani budi pekerti Siti Muti'ah.

9. Siti Zubaidah
Wanita kaya dermawan yang menjadi isteri Khalifah Harun Al-Rashid ini sanggup membelanjakan semua hartanya untuk membina terusan untuk kegunaan orang ramai hanya dengan niat kerana Allah S.W.T. Walaupun hidupnya dilimpahi kekayaan, wanita ini sentiasa memastikan dia tidak termakan dengan pujukan syaitan. Beliau beranggapan kekayaan di dunia cuma sementara dan sekiranya dilaburkan mengikut cara yang betul akan mendapat keberkatan di akhirat kelak.

10. Siti Masyitah
Masyitah adalah pelayan raja dan lebih terkenal sebagai tukang sikat keluarga Firaun. Keimanannya sungguh mendalam sehingga dia tidak takut dengan ancaman Firaun. Masyitah rela direbus hidup-hidup di dalam air menggelegak demi mempertahankan keyakinannya kepada Allah. Dia menerima segalanya dengan penuh keimanan, sabar dan redha kerana dia yakin Allah tidak akan mensia-siakan keyakinan itu.

Kagum sungguh ibu dengan mereka kerana sesungguhnya mereka adalah manusia biasa yang mempunyai semangat luar biasa. Moga kita mengambil hikmah dan mencontohi keperibadian mereka.

Yang pastinya ibu ada tambahan seorang lagi Siti yang menjadi inspirasi. Dengan izin Allah, semangat kentalnya telah menjadikan ibu adik-beradik berada di tahap ini. Kesusahan dan kemiskinan hidup tidak pernah jadi penghalang kepada Siti yang satu ini memastikan anak-anaknya berjaya. Segala macam pengorbanan telah dilakukan malah tiada istilah rehat dalam kamus hidupnya sehinggalah kesemua sepuluh anaknya berjaya membina kehidupan sendiri. Beliau adalah Siti Sabariah yang pernah ibu ceritakan dalam entri di SINI.

Kredit: 
1. aljannatulfirdausi.blogspot.com
2. Google image


Jumaat, 10 Ogos 2012

Wanita & Pohon Semalu


Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.

Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah.

Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.

Dan akhir sekali... semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.

Ambillah pengajaran daripada semalu walaupun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.


Sabtu, 30 Jun 2012

Tanggungjawab Siapa?

memasak, membasuh, mengemas...


Mari kita berkongsi kisah Sayyidina Umar r.a dengan seorang lelaki.

Lelaki itu terpaku di luar rumah Sayyidina Umar al-Khattab. Tidak jadi dia hendak memberi salam kepada tuan rumah. Tak sangka Sayyidina Umar hanya diam saja bila isterinya merungut sesuatu dan berceloteh panjang. Tidak terdengar langsung suara beliau membalas kata-kata isterinya.

"Jika begini sikap Umar padahal beliau seorang yang sentiasa bersikap tegas dan keras, dan beliau juga seorang Amirul Mukminin... betapalah aku," bisik lelaki tadi. Niatnya untuk mengadu kepada khalifah mengenai sikap isterinya yang tidak disenangi, terbantut.

Ketika dia sudah membelakangi pintu untuk melangkah pulang, Sayyidina Umar kebetulan menjenguk keluar. Sayyidina Umar lantas memanggilnya dan bertanyakan hajatnya.

"Wahai Amirul Mukminin, sebenarnya aku datang ingin mengadukan keburukan isteriku kepadamu. Dia selalu berleter kepadaku. Tetapi aku mendengar isterimu juga bersikap demikian, jadi aku mengambil keputusan untuk pulang saja," jawabnya.

Sayyidina Umar berkata, "Wahai saudara! Sesungguhnya aku menahan diri terhadap sikapnya itu kerana dia ada hak ke atas diriku. Dialah yang memasakkan makananku, memasak roti untukku, membasuh pakaianku, menyusukan anak-anakku, padahal semuanya itu bukan kewajipannya. Selain itu, hatiku menjadi tenteram dengannya daripada perbuatan haram. Itulah sebabnya aku sanggup bersabar atas sikapnya itu."

"Wahai Amirul Mukminin, demikian jugalah isteriku," balas lelaki tadi.

Sayyidina menambah, "Wahai saudara, bersabarlah atas sikap isterimu itu kerana ia hanya sebentar sahaja." - Sumber


* Alangkah bahagianya para isteri andai semua suami mencontohi sifat Sayyidina Umar r.a yang amat menghargai pengorbanan isteri..


COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA