Jumaat, 28 Mac 2014

Bertamu di Melaka




Cuti sekolah kali ini agak padat buat ibu sekeluarga. Sehari selepas misi Menjejak Kasih ke Darul Iman, kami terus ke rumah adik ibu di Putrajaya. Dek bermacam-macam urusan, sesudah Asar barulah kami bertolak dan tiba di Putrajaya hampir pukul 10.00 malam.

Jam 10.00 pagi tadi, ibu bersama empat orang adik dan keluarga masing-masing bertolak ke Melaka untuk program Family Gathering di sana. Empat orang lagi adik ibu bersama keluarga masing-masing bertolak dari Jerantut bersama emak dan ayah.

Perjalanan kami lancar dan kami tiba di destinasi lebih kurang pukul 2.00 petang. Konvoi dari Jerantut tiba agak lewat kerana terpaksa berhenti beberapa kali. Hujan lebat dan suatu ketika mereka bersama beberapa orang pengguna jalan raya yang lain terpaksa memotong pokok tumbang yang merentangi jalan raya. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah semuanya selamat tiba.

Setelah tiba di homestay yang terletak berhadapan dengan pantai, kami menikmati bekalan makanan yang telah disediakan pagi-pagi lagi sebelum bertolak ke sini. Hampir pukul 6.15 petang barulah berkesempatan memenuhi permintaan anak-anak yang sebaik tiba sudah memujuk untuk ke pantai.

Di pantai, kami sekadar bersantai-santai sambil menikmati panorama senja  nan indah. Di pantai mana kami bertamu? Insyaallah, akan ibu ceritakan dalam entri seterusnya.




Rabu, 26 Mac 2014

Menjejak Kasih ke Darul Iman

Alhamdulillah dapat juga ibu berbicara di sini setelah sekian lama menyepikan diri. Semalam, ibu, ayah, Faiz dan Faiq memulakan misi menjejak kasih ke Terengganu Darul Iman. Kali akhir kami ke sini adalah pada Januari yang lalu.

Selain melepaskan rindu kepada Along dan Angah, kami  juga dalam misi menghantar encik Saga untuk Along. Buat pertama kalinya ibu perlu memandu dari Jerantut ke Kuala Terengganu.

Kami memulakan perjalanan tika matahari tegak di kepala. Agak lewat kerana banyak urusan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Kami singgah di Bukit Besi untuk berjumpa dengan Angah yang sedang menghadapi peperiksaan akhir semester ketika ini. Tidak lama kami di sini memandangkan ketika kami sampai Angah sibuk dengan urusan penempatan pelajar baru ke kolej untuk semester depan. Lagipun kami akan singgah lagi dalam perjalanan pulang nanti.

Tiba di Kuala Tetengganu kami terus ke rumah sewa Along sebelum ke rumah penginapan di Tok Jembal. Di sinilah kami menginap setiap kali ke Kuala Terengganu. Malam tadi Along ada ujian. Jadi, hampir tengah malam barulah Along boleh bersama kami di rumah penginapan ini.

Insyaallah, tengah hari ini kami akan bertolak pulang. Kami di sini tidak lama kerana bakal menjejak kasih ke Petaling Jaya pula selepas ini.




COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA