Memaparkan catatan dengan label Diari 2013. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Diari 2013. Papar semua catatan

Selasa, 22 Disember 2015

Hantaran Kasih Fara ❤ Syed

Assalamualaikum. Salam sejahtera.

Rasanya dah lama benar ibu tak buat gubahan hantaran. Seingat ibu, kali terakhir dua tahun lepas. Ketika itu, ibu buatkan gubahan hantaran untuk sepupu ibu, Helmi. Tapi sayang, tak dapat ibu kongsikan di sini kerana semua gambar dalam kamera dah terpadam.

Bila ibu godek² balik entri hantaran, rupa-rupanya entri terakhir yang ibu postkan di sini ialah Hantaran Kasih Sharina ❤ Azman. Macam ada yang tak kena je.. Selepas hantaran untuk adik bongsu ibu tu, sebenarnya, ibu ada buatkan hantaran kahwin untuk kakaknya pula. Macam mana entri tu tak ada?

Godek punya godek, akhirnya jumpa juga. Rupa-rupanya gambar² hantaran tersimpan rapi dalam draf. Tuan blog tak publish sebab entri tergantung, tak sempat mengarang. Agaknya sibuk sangat masa tu. hihi.. Sayang pulak kalau sesuatu yang sepatutnya menjadi kenangan terus disimpan. Jadi hari ini dengan rasminya ibu postkan gambar² hantaran tersebut untuk kenangan di kemudian hari.











Isnin, 12 Ogos 2013

Meredah Kepekatan Malam

Tika orang lain sedang lena diulit mimpi, kami sekeluarga masih meredah kepekatan malam menuju destinasi; baiti jannati. Namun, kami tidak sendirian. Puluhan kenderaan turut menemani kami di jalanan.

Moga perjalanan yang masih berbaki hanya beberapa kilometer ini terus dipermudahkan dan kami sekeluarga tiba dengan selamat. Aamiin..


Ahad, 11 Ogos 2013

4 Syawal di Jalan Raya


Assalamualaikum wbt.. Hari ini dah 4 hari kita di bulan Syawal. Tentu masing-masing masih sibuk beraya. Bagi ibu sekeluarga, aktiviti beraya seperti makan-makan dan jalan-jalan terhenti seketika pada Syawal ke-4 ini.

Hari ini Angah dan Ude pulang ke kolej masing-masing. Boleh dikatakan sepanjang hari kami berada di atas jalan raya. Pagi tadi selepas membeli-belah keperluan Angah dan Ude, kami terus bergerak ke Kuala Pilah. Terpaksa hantar Ude dulu kerana Ude perlu sampai sebelum jam 7.00 petang. Sebenarnya, boleh aje sampai lebih lewat tapi kenalah menapak dari luar kerana kenderaan dah tak boleh masuk.

Pukul 4.00 petang kami bertolak ke Dungun dan tiba pukul 10.00 malam. Alhamdulillah, perjalanan dipermudahkan biarpun kenderaan bertali arus.

Ikutkan ibu, mahu aje bermalam di Dungun tapi ayah keberatan. Jadi, selepas makan, lebih kurang pukul 11.00 malam kami bertolak pulang.

Sekarang kami masih dalam perjalanan. Doakan moga kami selamat tiba.




Khamis, 11 Julai 2013

Sambal Hitam Bekalan ke Kuala Pilah

Kali ini kami menyambut Ramadhan tanpa Angah dan Ude. Tahun ini adalah tahun kedua Angah berpuasa di rantau orang tapi kali pertama buat Ude. Alhamdulillah, Along dah cuti semester, dapatlah berpuasa dengan kami kali ini

Dua minggu lepas Ude hubungi ibu dan maklumkan yang dia ingin balik sebelum menyambut puasa. Jumaat minggu lepas kami ke Kuala Pilah untuk mengambil Ude. Sekadar balik hujung minggu, jadi hanya dua malam Ude di rumah. 

Sebagai bekalan balik ke kolej, ibu masakkan sambal hitam. Rakan-rakan sebilik Ude amat gemar dengan sambal hitam ni. Bagi yang belum tahu, sambal hitam adalah masakan tradisional orang Jerantut, Pahang. Pernah ibu ceritakan di SINI


Jom tengok bahan-bahannya..
Bilis

Belimbing rebus

Cili api

Bawang besar

 Inilah sambal hitam yang dibawa Ude ke Kuala Pilah.

Resipi Sambal Hitam

Bahan-bahan: 
  • ½ cawan belimbing rebus (ditumbuk lumat)
  • ½ cawan cili padi (ditumbuk lumat)
  • 2 cawan ikan bilis (ditumbuk kasar)
  • 6 ulas bawang merah atau 1 biji bawang besar (ditumbuk lumat) 
  • ½ cawan minyak masak



Cara memasak:


  1. Panaskan minyak masak.  Masukkan semua bahan tadi dan gaul rata.
  2. Goreng dengan api kecil sehingga berbau harum dan ikan bilis agak garing. 

Selain sambal hitam kegemaran rakan-rakan Ude, ibu juga buatkan sambal cili api bilis+tempe  kesukaan Ude.


Rabu, 3 Julai 2013

Cabaran dan Dugaan

Tahun ini ibu mengajar subjek Dunia Seni Visual Tahun 3. Sebenarnya, subjek DSV ini adalah subjek yang amat menarik di mana kita dapat melihat dan menilai kreativiti murid-murid. Walau bagaimanapun, subjek ini juga sering menguji kesabaran para guru. 

Masalah yang sering timbul adalah kesukaran murid-murid membawa peralatan dan bahan yang telah dipesan oleh guru.  Misalnya, minggu lepas daripada 25 orang murid dalam kelas, hanya beberapa orang sahaja yang membawa peralatan dan bahan yang ibu pesan. Yang selebihnya datang ke bilik seni dengan berlenggang kangkung.

Akhirnya, lain yang dirancang, lain pulak jadinya. Terpaksalah cikgu mencari alternatif lain. 
  Aktiviti mencorak dengan hanya menggunakan bahan-bahan yang sedia ada di bilik seni.

Boneka daripada span yang dibuat pada minggu sebelumnya. Hanya sebanyak ini yang berjaya dihasilkan kerana hanya seramai ini jugalah murid yang membawa bahan-bahan yang telah dipesan.

Ps: Beruntungnya anak-anak yang ibu bapa mengambil berat tentang pelajaran mereka.


Selasa, 2 Julai 2013

Moga Cemerlang di Negeri Sembilan

Konvensyen Kelab Doktor Muda Peringkat Negeri Pahang 2013 telah berlangsung di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec), Jerantut pada 19 hingga 21 Jun yang lalu. Pada konvensyen kali ini sekolah ibu mewakili daerah Jerantut dalam tujuh daripada lapan acara yang dipertandingkan iaitu tokoh Dr. Muda, inovasi, sketsa, bercerita bahasa Melayu, bercerita bahasa Inggeris, buku informasi dan pameran

Alhamdulillah, SK Temin telah memperoleh kejayaan cemerlang dengan menjadi johan dalam acara pameran dan buku informasi, naib johan dalam pertandingan bercerita bahasa Melayu, bercerita bahasa Inggeris dan sketsa, serta tempat ketiga dalam kategori inovasi. Agak mengecewakan kerana kami gagal dalam kategori tokoh Dr. Muda.

Alhamdulillah, akhirnya penat lelah ibu membantu rakan-rakan melatih tiga orang anak didik dalam kategori buku informasi akhirnya membuahkan hasil. 

Tiga orang Dr. Muda yang bertanding dalam kategori buku informasi iaitu (dari kanan) Alia Syazwina, Nurul Izzati dan Alia Zainina (belakang). Yang di sebelah kiri adalah calon tokoh Dr. Muda iaitu Farah Asyikin.

Buku Informasi  yang dipertandingkan di peringkat daerah dan negeri. Untuk peringkat kebangsaan, sedikit penambahbaikan telah dilakukan.

Booth pameran Dr. Muda SK Temin. Tiga orang Dr. Muda terlibat dalam pameran ini.

Hari ini, seramai enam orang Dr. Muda dari sekolah ibu telahpun berada di Negeri Sembilan untuk meneruskan perjuangan di peringkat kebangsaan. Moga mereka dapat melalui cabaran di peringkat kebangsaan dengan jayanya di samping menimba pengetahuan dan pengalaman.


Isnin, 1 Julai 2013

Sulaman Manik Lagi

Assalamualaikum. Selamat pagi.

Pagi ini ingin ibu  kongsikan satu lagi sulaman manik hasil tangan ibu. Sebenarnya, dah agak lama ibu siapkan sulaman manik ini cuma kurang rajin nak ambil gambar. 

Untuk sulaman manik pada baju ini, ibu hanya menggunakan gabungan dua warna sahaja iaitu putih dan ungu, sesuai dengan warna kain. 

 Bahagian lengan baju.

Bahagian kaki baju.

 Sulaman manik yang amat simple.

Ps: Kalau nak tengok hasil tangan ibu yang lain, bolehlah ke sini.


Ahad, 30 Jun 2013

Minat Baru

Assalamualaikum. Salam sejahtera.

Alhamdulillah, hari ini dapat juga ibu menjenguk ke sini buat seketika. Sepanjang minggu lepas ibu tidak berkesempatan berbicara di sini lantaran sibuk dengan beberapa aktiviti sekolah.

Rabu, 26 Jun yang lepas, sepuluh orang ahli Pandu Puteri Tunas sekolah ibu terlibat dengan Program Turun Padang Persatuan Pandu Puteri Jerantut bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar. Setiap sekolah dibahagikan mengikut aktiviti masing-masing iaitu jahitan, gubahan, kraf tangan, masakan dan pameran. Sekolah ibu terlibat dengan gubahan (tuala) dan jahitan (brooch).

Walaupun bukan guru Persatuan Pandu Puteri, namun ibu diminta untuk membantu rakan-rakan membimbing para peserta membuat brooch untuk dibawa ke program tersebut. Dalam masa dua tiga hari, sempat juga ibu berkreativiti mereka brooch daripada riben. 

Antara brooch yang telah ibu hasilkan. Macam mana, ok tak?

Ramai pulak yang berminat dengan brooch yang ibu buat ni. Ada yang dah menempah untuk hari raya nanti.

Ps: Artikel tentang Program Turun Padang Persatuan Pandu Puteri Jerantut bersama Tengku Puan Pahang boleh dibaca di sini.


Isnin, 10 Jun 2013

Diari Cuti Ini

Berakhir sudah cuti persekolahan selama dua minggu. Cuti kali ini merupakan cuti yang paling sibuk buat ibu sekeluarga.

Sebelum cuti lagi ibu telah sibuk menyiapkan hantaran perkahwinan adik bongsu ibu. Majlis perkahwinan telah berlangsung pada 25 Mei. Dua hari selepas itu, iaitu pada 27 Mei kami ke Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan pula. Akhirnya, Ude membuat pilihan untuk menyambung pelajaran di sana. 

Pada 1 Jun pula kami bertolak ke Segamat bagi menghadiri majlis menyambut menantu adik ibu. Dalam perjalanan ke Segamat, kami singgah sekali lagi di KMNS di Kuala Pilah untuk mengambil Ude. Para pelajar yang baru mendaftar diberi kebenaran untuk pulang bagi menyelesaikan beberapa urusan berkaitan borang perjanjian dan beberapa urusan lain. Ude tidak lepaskan peluang ini untuk bersama-sama kami ke Segamat.

Setelah majlis selesai keesokannya, kami terus pulang ke Jerantut. Hampir pukul 11 malam barulah kami tiba di rumah. Belum pun hilang penat, keesokannya kami sekali lagi ke Kuala Pilah untuk menghantar Ude. 

Hari Rabu ibu ke sekolah kerana ada kelas tambahan. Agak mengecewakan kerana beberapa orang murid kelas ibu tidak hadir. Yang hadirpun tidak semuanya bersemangat untuk belajar. Ada yang datang dengan tangan kosong; tidak menyiapkan kerja rumah yang telah diberikan sebelum ini.

Hari Jumaat kami membawa Angah ke Kuantan Medical Centre untuk mendapatkan rawatan. Beberapa hari sebelum itu, ibu dan ayah juga membawa Angah mendapatkan rawatan perubatan secara Islam. Ibu pernah ceritakan tentang penyakit Angah di sini

Hari Sabtu, kami bertolak ke Bukit Besi, Dungun. Jika sebelum ini Angah belajar di Uitm Dungun, kini Angah telah berpindah ke kampus baru di Bukit Besi. Kesian juga ibu tengokkan. Berpindah ke tempat baru bukanlah masalah besar, tetapi menjadi masalah apabila beberapa kemudahan masih tidak disediakan sehingga hari pendaftran. Insyaallah akan ibu ceritakan dalam entri akan datang.

Antara bangunan asrama yang terdapat di kampus baru ini.

Kami bermalam di sebuah homestay di sini. Dapat jugalah kami merasai suasana malam di pekan Bukit Besi yang agak sunyi ini. Tengah hari semalam kami bertolak pulang setelah segala urusan Angah di sini selesai. 

P/s: Ada sesuatu yang menarik di Bukit Besi. Nanti ibu ceritakan.




Sabtu, 8 Jun 2013

Ude di Majlis Anugerah Cemerlang SPM dan STPM 2012

Assalamualaikum dan salam ceria.

Lamanya tak bercerita pasal keluarga di sini. Sebenarnya, banyak peristiwa yang berlaku namun kekangan masa tak mengizinkan ibu berbicara panjang di sini. Entri ini pun dah lama terperam. Kononnya nak karang cantik-cantik sebelum diterbitkan, maklumlah entri istimewa buat Ude namun nampaknya semuanya tinggal angan-angan je.

Majlis Anugerah Cemerlang SPM dan STPM ini berlangsung pada 25 April yang lalu. Seperti biasa, ibu dan ayah akan hadir pada majlis sebegini sebagai tanda penghargaan atas kejayaan anak-anak. Walau bagaimanapun, tidak banyak gambar yang dapat dirakamkan kerana ibu terlupa bawa kamera. Gambar yang ada inipun adalah ehsan daripada telefon bimbit ibu.
 
Anak-anak berpeluang bergambar bersama guru-guru dan ibu bapa.

 Ude bersama rakan-rakan.
 
Inilah gambar dalam entri Wordless Wednesday 17. Ibu dan Ude bersama rakan ibu dan anaknya yang juga rakan sekelas Ude.
 
Mereka berdua adalah rakan ibu sejak zaman persekolahan. Yang di sebelah kiri, Lee Kwai Fong adalah rakan sekelas ibu semasa di tingkatan satu hingga tingkatan lima, manakala yang di sebelah kanan, Teo Soh Ching merupakan rakan sekelas semasa di tingkatan lima dan enam. Kami juga pernah menuntut di maktab perguruan yang sama. Kebetulan pula Ude dan anak-anak mereka belajar di kelas yang sama, malah anak-anak sulung kami dulu juga sekelas.


Rabu, 5 Jun 2013

Wordless Wednesday 17

Majlis Anugerah Cemerlang SPM & STPM


Rabu, 29 Mei 2013

Wordless Wednesday 15

Selamat Pengantin Baru
Azman Azli  Nor Sharina


Selasa, 28 Mei 2013

Lama Menyepi..

Assalamualaikum dan selamat pagi teman...

Alhamdulillah hari ini sempat juga ibu meluangkan masa berbicara di sini setelah lama menyepi. Maaf ibu pohonkan sekiranya sapaan kalian di sini tidak berjawab. Banyak aktiviti selama tempoh menyepi tapi tak sempat untuk dikongsikan di sini. 

Mengiringi lawatan murid tahun 6 ke sebuah Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (SEMSAS)

Membimbing ahli Kelab Dr. Muda menyiapkan Buku Informasi untuk Karnival Dr. Muda peringkat daerah.

AJK sambutan Hari Guru.
(Tuan tanah tak sempat bergambar..)
 Persiapan hantaran untuk perkahwinan adik.

 Persiapan pendaftaran Ude ke Kolej Matrikulasi.

Alhamdulillah, semuanya telah selesai. Terasa ingin berehat, namun masih ada kertas peperiksaan yang belum bersemak. Harap-harap dapat disiapkan sehari dua ini kerana masih banyak tugasan yang menanti.


Jumaat, 17 Mei 2013

Ude Memilih

Assalamualaikum dan salam mesra. 

Insyaallah, tahun ini seorang lagi anak ibu akan melanjutkan pelajaran. Ude bakal mengikut jejak Along dan Angah mengatur langkah menjejak ilmu. Ibu dan ayah memberi kepercayaan kepada anak-anak untuk memilih kursus pilihan mereka. Kami hanya memberikan pandangan, selebihnya terpulang kepada mereka sendiri.

Selepas keputusan SPM diumumkan pada 21 Mac 2013 yang lalu, Ude telah membuat beberapa permohonan bagi melanjutkan pelajaran. Selain memohon untuk mengikuti Program Matrikulasi, Ude juga telah memohon ke IPTS dan IPTA. Selain itu, Ude juga mengisi permohonan online bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Jun 2013.

Terkejut juga ibu apabila Ude memaklumkan yang dia membuat permohonan PISMP kerana sebelum ini Along dan Angah memang tidak berminat langsung untuk memohon. Ude memohon Kursus Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua. Alhamdulillah, setelah Semakan Temuduga PISMP dibuat pada 6 Mei yang lalu, permohonan Ude telah berjaya dan dipanggil untuk menghadiri temuduga di IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis pada hari Selasa, 14 Mei 2013.

Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan

Ude bertolak ke IPGKTAA bersama ayah seawal 7.15 pagi. Ibu tidak dapat menemani Ude kerana temuduga dijangka berlarutan hingga ke sebelah petang.  Faiq bersekolah manakala Faiz pula sibuk berlatih untuk pertandingan nasyid peringkat daerah. 

Alhamdulillah, menurut Ude temuduga ok je. Walau bagaimanapun, memandangkan semakan tawaran bagi calon yang berjaya dalam temuduga hanya dibuka pada 17 Jun 2013, maka buat masa ini Ude perlu melupakan tentang PISMP dan membuat pilihan lain.

Jika baru-baru ini ibu memilih dalam PRU-13, kini Ude pula yang perlu membuat pilihan; Program Asasi Sains, Matrikulasi Sains, Persediaan A-Level (kejuruteraan) atau Diploma Undang-undang.


Jumaat, 3 Mei 2013

Semakan Daftar Pemilih dan Lokasi Mengundi

Assalamualaikum dan salam ceria buat semua.

Insyaallah tinggal sehari sahaja lagi kita akan menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat di sebuah negara demokrasi. Memandangkan semasa membuat Semakan Daftar Pemilih tempoh hari, ibu hanya dapat tahu kawasan parlimen, DUN dan daerah mengundi sahaja, maka sebentar tadi ibu telah membuat semakan sekali lagi untuk mengetahui lokasi mengundi.

Alhamdulillah, kini dahpun tahu lokasi dan saluran mengundi. Hanya sedang berkira-kira bagaimana untuk ke pusat mengundi Ahad nanti. Lepas ni kena tanya adik-adik ibu yang kesemuanya mengundi di sini. Jika mereka juga mengundi di pusat mengundi yang sama, bolehlah buat rombongan cik kiah. 

Bagaimana pula dengan teman-teman semua? Dah buat Semakan Daftar Pemilih dan Lokasi Mengundi? Jika belum, jangan tunggu lagi.  

Jika ingin membuat semakan, silalah ke http:/daftarj.spr.gov.my

Semakan Daftar Pemilih dan Lokasi Mengundi


Rabu, 17 April 2013

Kisah Cikgu Penyayang

Assalamualaikum dan selamat pagi.

Hari berganti hari, namun kesibukan terus melanda. Kesannya, semalam blog ini sepi lagi tanpa entri. Terima kasih yang tidak terhingga buat teman-teman yang masih sudi berkunjung dan meninggalkan komen.

Di samping waktu mengajar yang padat, semalam ibu juga menyiapkan Borang Perakuan Calon bagi calon-calon UPSR 2013. Borang ini amat penting kerana perlu dibawa oleh calon ke dewan peperiksaan. Tahun lepas ibu pernah ceritakan dalam entri Hanya Dua Bulan Lagi.

Ini merupakan kerja rutin guru kelas Tahun Enam. Seperti biasa, tugas yang mudah menjadi sukar apabila ada yang tidak memberikan kerjasama. Untuk mendapatkan dua keping gambar sahaja memakan masa berbulan-bulan. Cikgu memang makan hati sebab banyak tugasan lain yang menanti.

Akhirnya, cikgu hilang sabar lalu membuat pengumuman. "Sesiapa yang belum menyerahkan gambar, saya akan letakkan apa-apa sahaja gambar yang saya suka. Mungkin gambar rimau, singa atau monyet. 

Dalam masa beberapa hari, masalah selesai. Mana tidaknya, cikgu yang penyayang siap tunjukkan gambar binatang-binatang "comel" tu. Hanya tunggu masa nak tampal je...


Isnin, 15 April 2013

Terengganu, Kami Datang lagi


 
[sumber]

Nampaknya Terengganu telah menjadi rumah kedua kami.Tiga minggu lepas kami bercuti Dua Hari di Kuala Terengganu, sempena cuti sekolah sambil menjenguk Along dan Angah. Kelmarin, cuti pertengahan semester Along selama seminggu telahpun berakhir. Cuti semester Angah pula baru bermula. Jadi, kami ke sini lagi dengan dua tujuan; menghantar Along dan mengambil Angah. 

Dari Jerantut kami singgah di Dungun untuk mengambil Angah. Kemudian, kami terus ke Kuala Terengganu untuk menghantar Along. Hujan turun sepanjang perjalanan dari Kuantan ke Dungun dan dari Dungun ke Kuala Terengganu, berbeza dengan cuaca panas terik semasa kami ke sini sebelum ini.

Petang semalam kami bertolak pulang dan singgah di Dungun untuk mengambil barang-barang Angah. Semester depan Angah akan berpindah ke kampus baru di Bukit Besi. Jadi, kali ini Angah terpaksa bawa balik ke semua barangnya.

Jun nanti Angah akan memulakan semester baru. Insyaallah, Ude juga akan menyambung pelajaran pada bulan yang sama. Seorang demi seorang anak mula meninggalkan kami. Mengenangkan saat itu, hati mula sedih dan sayu.

 


COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA