Jumaat, 7 Disember 2012

Eksklusif Metro Bersama Komando al-Qassam

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

GAZA: Barisan pejuang bergelar Komando Qassam kini menjadi pasukan paling digeruni Israel berikutan tidak pernah tewas ketika bertempur biarpun hanya berbekalkan senjata api model lama.

Kehebatan pasukan Komando Qassam yang turut digelar tentera malaikat itu kian tersebar apabila mereka yang dianggotai golongan muda, terpelajar dan ulama mampu menumpaskan ratusan tentera Zionis serta menembak jatuh pesawat pejuang mereka.

Hasrat penulis dan jurugambar menemui pasukan elit itu tercapai apabila wakil Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia (Muslim Care) melalui orang hubungan di sini, berjaya mengatur pertemuan dengan sekumpulan anggota Komando Qassam.

BERANI MATI… anggota Komando Qassam

Mereka diketuai seorang komander yang hanya mahu dikenali sebagai Sheikh dan pertemuan diadakan di satu lokasi sulit dalam ladang zaitun pada jam 12 tengah malam.

Untuk ke sana, kami dibawa menaiki kenderaan khas sebelum diarah berjalan sejauh 500 meter ke sebuah pondok dalam ladang itu. Di situ, Sheikh bersama kira-kira 20 anggotanya menyambut kami dengan mesra sebelum dibawa duduk mengelilingi unggun api kecil. 

Sheikh yang berusia 40-an itu memberitahu anggota Komando Qassam pejuang terpilih di kalangan pemuda Islam Gaza yang mempunyai pengetahuan agama mendalam selain tidak gentar untuk mati syahid.

Menurutnya, pemilihan untuk menjadi Komando Qassam perlu melalui syarat ketat, antaranya mereka perlu solat Subuh berjemaah tanpa gagal walau sehari selama enam bulan. 

Selain itu, bakal pejuang diwajibkan menghafaz al-Quran dan hadis, selain melakukan sembahyang tahajud setiap awal pagi.

“Amalan berterusan ini bukan hanya menjadi bekal iman di medan perang, tapi juga untuk memastikan setiap langkah kami sentiasa dirahmati Allah,” katanya.

Menurutnya, setiap pejuang Qassam dirahsiakan identiti masing-masing berikutan ada antara mereka golongan profesional, guru dan penuntut universiti.

“Setiap mereka yang mempunyai asas agama kukuh akan bekerja pada waktu siang dan menjaga keselamatan Gaza pada waktu malam hingga pagi.

“Saya amat berharap rakyat Islam di Malaysia sentiasa mendoakan perjuangan suci kami. Doa kamu semua memberikan kami kekuatan untuk berdepan tentera Israel,” katanya.

Sheikh berkata, Komando Qassam kini lebih yakin untuk berdepan tentera Israel apabila mereka kini memiliki ribuan roket model AM75, Fajar 5 dan roket Al-Qassam.

“Malah, pasukan Qassam yang dipecahkan kepada beberapa unit kini turut mempunyai kepakaran untuk menghasilkan bom tangan bagi menghadapi tentera Israel.

“Walaupun kelengkapan senjata api kami amat minimum, kami yakin Allah sentiasa memberi bantuan dan kekuatan tidak terhingga ketika kami berdepan Zionis di medan tempur.

“Kami akan menghujani bandar Tel Aviv, Israel dengan roket lebih hebat dan berkuasa. Nescaya mereka akan gerun dan tidak percaya dengan ‘hadiah’ yang kami tujukan nanti,” katanya. 

Kredit penuh: Harian Metro Online


8 ulasan:

  1. Allahuakbar! tentera Allah!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Banyak baca cerita tentang kehebatan pasukan Komando Qassam ni.. Saja nak kongsikan di sini.

      Padam
  2. as salam

    moga mereka sentiasa dirahmati Allah dalam perjuangan suci ini..sentiasa berdoa untuk mereka in shaa Allah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, Tihara. Doa2 kita sentiasa mengiringi perjuangan mereka di sana.

      Padam
  3. Allah maha besar..inilah kisahnya yg en suami cerita tu..temphari tak smpt nak membacanya..:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selalu baca tentang kehebatan pasukan komando Qassam ni. Persediaan untuk menyertai pasukan komando elit ni dibuat sejak kecil. Berebut2 mereka ingin menyertai tapi bukan mudah utk terpilih.

      Padam
  4. Semoga Allah sentiasa melindungi mereka..

    BalasPadam
  5. Assalamualaikum. subhanallah,semoga mereka dilindungi Allah

    BalasPadam

Terima kasih atas kunjungan dan komen-komen ikhlas daripada anda. Insya-Allah kunjungan anda akan dibalas.

COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA