Memaparkan catatan dengan label Rahsia Alam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rahsia Alam. Papar semua catatan

Sabtu, 14 Jun 2014

Kawal Serangga Perosak dengan Jus Bawang


bawang

Penggunaan racun serangga berasaskan kimia dalam jangka masa panjang memberi kesan kepada manusia dan alam sekitar. Kini kita boleh mengambil jalan alternatif dengan menyediakan sendiri semburan serangga daripada bahan-bahan semula jadi. Sediaan ini lebih mesra alam dan mesra pengguna kerana tidak meninggalkan sebarang kesan negatif jika digunakan secara berlebihan.

Semburan bawang putih
Satu labu bawang putih ditumbuk sehingga hancur dan campurkan dengan 1 liter air. Campuran ini dijerang atau dimasak selama lebih kurang lima minit dengan api sederhana. Apabila air mula menggelegak, tutup api dan biarkannya sejuk. Tapiskan dan air ini boleh digunakan sebagai semburan untuk mengawal serangan serangga perosak.  

Semburan bawang merah
Rendam beberapa biji bawang merah selama beberapa hari. Jus yang sudah ditapis bolehlah dijadikan semburan untuk menghalang serangan kulat. Lakukan amalan ini 2 minggu sekali atau 2 kali seminggu pada tanaman hiasan yang sudah dijangkiti.



Isnin, 1 Julai 2013

Khasiat Tauge

Assalamualaikum. Selamat pagi.

Tidak ramai yang menggemari sayur tauge. Selalunya tauge dilihat sebagai hidangan yang tidak menyelerakan, lebih-lebih lagi oleh kanak-kanak. Tapi tahukah anda, tauge yang kerap kali menjadi pilihan terakhir untuk hidangan ini sebenarnya mempunyai banyak khasiat. Antara khasit tauge ialah:

Meningkatkan Kesuburan
Tauge dikatakan mampu menyumbang kepada kesuburan lelaki dan wanita. Pengambilan tauge oleh kaum lelaki mampu meningkatkan kualiti sperma yang dihasilkan. Begitu juga wanita, ia cukup berkesan membantu kesuburan telur yang dihasilkan.

Cegah Kanser
Tauge mengandungi bahan yang dapat melumpuhkan punca kanser, usus besar, pankreas dan juga penyakit leukimia.

Mengikut kajian yang dijalankan tauge sama ada dari jenis kacang hijau, alfalfa dan sebagainya mengandungi banyak unsur fitokimia yang berkhasiat. Salah satunya ialah kanavanin (canavanine) iaitu sejenis asid amino. Kanavanin, dikatakan mampu melumpuhkan punca kanser leukimia, usus besar dan pankreas.

Baik Untuk Wanita
Tauge juga mempunyai estrogen semula jadi yang dapat meningkatkan kepadatan dan susunan tulang, serta mencegah kerapuhan tulang (osteoporosis). Pengambilan tauge oleh wanita secara kerap dapat membantu menghindar mereka daripada kanser payudara, gangguan menjelang haid, simptom pramenopaus, dan gangguan akibat menopaus.

Kurangkan Lemak
Sewaktu kacang-kacang dicambahkan untuk dijadikan tauge, secara umum kadar saponinya meningkat sehingga 450%. Mereka yang berisiko penyakit strok dan serangan jantung gara-gara kadar lemak darah yang tinggi dianjurkan lebih banyak mengambil tauge dalam menu harian mereka. Saponi dalam tauge, menghalau 'lemak jahat' LDL, tanpa mengganggu kandungan lemak baik HDL.

Lebih Muda
Tauge padat dengan antioksida kuat yang menghalang tubuh dari radikal bebas perosak sel DNA. Oleh itu, tauge merupakan sayuran yang membuat anda menjadi lebih muda.

Buang Kotoran
Tauge juga membantu membuang kotoran dalam usus besar kerana mengandungi banyak serat dan air. Inilah yang menjadi tunjang utama tauge dalam memerangi sel kanser. Apabila kotoran segera meninggalkan usus besar, tiada lagi zat-zat racun dalam kotoran yang dapat diserap tubuh. Ia akan mencegah pengumpulan bahan beracun yang dapat merangsang sel kanser.

Sumber: SINI


Ahad, 9 Jun 2013

Khasiat Pegaga

Pegaga atau nama saintifiknya Centella asiatica/Hydrocotyle asiatica adalah sejenis ulam yang bernutrisi dan berkhasiat, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf pegaga  sebagai herba menjana kecerdasan berfikir terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Google image

Pegaga kaya dengan pelbagai zat makanan seperti protein, gentian, zat besi, vitamin A dan Vitamin C. Amalan memakan daun pegaga dipercayai boleh mengekalkan awet muda serta mengelakkan masalah kegemukan.  

Selain dimakan sebagai ulam, masyarakat Melayu menggunakan pegaga untuk menyembuhkan penyakit kulit seperti kusta, kudis, ulser dan luka-luka. Daun pegaga juga boleh dibuat tonik untuk menyihatkan badan dan mengurangkan panas badan.

Di India, pegaga diguna dalam perubatan tradisional sebagai tonik yang dapat menguatkan daya ingatan dan mengubat penyakit nyanyuk. Dalam perubatan tradisional Cina pula, pegaga digunakan untuk mengubati selsema, sakit kuning dan penawar untuk keracunan cendawan dan gigitan ular.

Antara khasiat lain pegaga ialah: 
  • penawar alahan
  • merawat asthma dan sesak nafas
  • merawat jangkitan paru-paru
  • merawat kegusaran dan kegigilan
  • anti kanser
  • melawaskan air kencing dan membantu merawat buah pinggang
  • penawar batu karang
  • penawar kencing berdarah
  • penawar ulser
  • merangsang peredaran darah
  • merawat cirit birit dan gastrik
  • menurunkan tekanan darah

Sumber: SINI


Sabtu, 1 Jun 2013

Khasiat Jagung

Jagung atau nama saintifiknya zea mays amat popular di seluruh dunia. Ia merupakan sumber terbaik zat dan vitamin yang kebiasaannya ditemui dalam sayuran. Jagung boleh disajikan dalam pelbagai cara seperti bubur, bijirin, sayur, emping serta direbus begitu sahaja. Rasanya manis dan sangat sedap.

Pelbagai jenis jagung

Tumbuhan ini sangat kaya dengan protein, vitamin B, kalsium, fosforus, zat besi dan sejenis minyak yang bermutu tinggi dan sangat baik untuk kesihatan.

Antara khasiat jagung adalah:

Baik untuk sistem penghadaman

Jagung sesuai dimakan bagi tujuan pencegahan penyakit berkaitan pencernaan seperti sembelit dan buasi
r disebabkan kandungan seratnya yang tinggi. Kandungan antioksidan yang terdapat dalam jagung juga mampu membantu mengurangkan risiko kanser kolon dan penyakit alzheimer. Jagung juga dikatakan mampu membantu penyerapan air semasa pencernaan sekaligus memudahkan pergerakan usus.

Melindungi jantung

Niasin, asid folik dan vitamin C yang terkandung di dalam jagung dikatakan mampu melindungi jantung daripada pelbagai masalah. Vitamin-vitamin ini boleh membantu mencegah pembentukan homosisteine (asid amino) dalam tubuh, sekaligus mencegah penyakit jantung yang tertentu. Ia juga dikatakan mampu merendahkan tahap kolesterol, mengurangkan risiko hipertensi dan membantu menstabilkan tahap gula. Kalori yang terdapat dalam jagung dikatakan mampu membantu tubuh dalam metabolisme seharian.

Bagus untuk ibu hamil

Fitokimia yang dikatakan mampu membantu menentang penyakit kronik turut ditemui dalam jagung. Thiamine membantu dalam mengekalkan kesihatan saraf dan fungsi kognitif (perkembangan otak janin). Asid folat mencegah kerosakan otak bayi saat kelahiran. Jagung juga dikatakan mampu mencegah kecacatan saluran neutral untuk bayi yang baru dilahirkan melalui cara pembekalan asid folik secukupnya kepada wanita hamil.

Memelihara kesihatan sel otak

Jagung merupakan sumber thiamin (vitamin B1) yang sangat penting bagi kesihatan sel otak dan fungsi kognitif kerana thiamin diperlukan untuk membentuk acetylcholine yang berfungsi memaksimumkan komunikasi antara sel otak dalam proses berfikir dan konsentrasi. Jika kadar zat ini menurun maka akan menyebabkan pikun
(sering lupa) dan penyakit alzheimer. Kepikunan sering kali timbul akibat stress dan akibat tekanan beban pada otak yang menumpu, terutamanya dalam kalangan pelajar. Oleh itu, para pelajar sebaiknya memilih jagung sebagai kudapan yang bukan hanya mengisi perut, tetapi juga menyihatkan otak dan tubuh.

Jagung juga kaya dengan asid pentotenat (vitamin B5) yang berperanan dalam proses metabolisme karbohidrat, protein dan lemak untuk diubah menjadi tenaga. Ini bererti, jagung sangat disarankan bagi pengidap obesiti. 

Memelihara kesihatan mata

Kandungan beta-karotena yang terdapat dalan jagung baik untuk kesihatan mata dan penglihatan.

Menentang kanser

Kandungan antioksidan dalam jagung juga berupaya merendahkan risiko pelbagai penyakit kanser dan telah terbukti berkesan dalam menentang tumor kanser dalam tubuh terutamanya jenis kanser payudara dan limfa (hati). Asid ferulic jenis fenolik (zat anti kanser) dan anthocyanin yang terdapat dalam jagung dikatakan bertanggungjawab untuk bahan anti kanser yang membunuh setiap radikal bebas yang menguasai tubuh.

Jagung dikatakan bagus untuk para perokok kerana mengandung betacryptoxanthin yang dapat menurunkan risiko kanser paru–paru. 

Menurut Journal Cancer Epidemiology, biomarkers and prevention, mereka yang banyak mengambil makanan yang mengandung betacryptoxanthin terbukti mengalami penurunan risiko kanser paru–paru sebanyak 27%, hasil yang sama juga menunjukkan bahwa perokok yang mengambil jagung dalam diet mereka mengalami penurunan kanser paru–paru sebesar 37% dibandingkan dengan perokok yang kurang memakan jagung. 

Manfaat lain

Kulit dan rambut (corn silk) jagung juga digunakan untuk mengubati kudis atau luka yang bernanah. Kulit dan rambut halus jagung itu ditumbuk halus sebelum ditampal pada kudis dan biarkan hingga kering.

Jagung dan produk jagung seperti emping, minyak, tepung, kanji amat baik dimakan oleh mereka yang menghadapi masalah membuang air kecil. Malah, rambut jagung juga dikatakan mampu mengatasi gangguan buang air kecil, termasuk rasa sakit ketika membuang air kecil serta radang pundi kencing. Hal ini disebabkan kandungan kalium yang tinggi sehingga mempunyai efek diuretik yang merangsang serta melawaskan kencing. 

Rambut jagung juga dikatakan mampu menguatkan hati dan menurunkan tekanan darah. Ia juga mampu mengawal pendarahan semasa melahirkan dan membantu mengubati tekanan darah tinggi dan gangguan air dari dalam tubuh (oedema). Caranya adalah dengan merebus semangkuk rambut jagung dalam dua gelas air. Biarkan airnya mendidih sehingga airnya kering menjadi kira-kira satu gelas kemudian diminum dua kali sehari.

Sumber: sini


Ahad, 19 Mei 2013

Khasiat Peria


Peria atau nama saintifiknya Momordica charantia merupakan sayur yang paling mendapat perhatian pakar perubatan moden. Walaupun berasa pahit dan ramai yang kurang menyukai sayur itu, ternyata ia mempunyai banyak kebaikan. Antara pelbagai khasiat yang terdapat dalam sayur itu ialah mengandungi protein, lemak, mineral, serat, karbohidrat, vitamin dan kalsium.  
Khasiat peria yang dikenali juga sebagai kambas sudah diketahui sejak zaman dahulu lagi. Ketika itu, peria digunakan untuk merawat beberapa penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan buasir. 


Kebaikan Peria
  • Air rebusan peria boleh digunakan untuk menyejukkan bahagian dalaman tubuh. Bagi yang mengalami buasir, disarankan rebus daun peria dan campurkan ke dalam segelas susu atau minuman setiap pagi.  
  • Pengidap kencing manis, disarankan mengambil peria sebagai menu harian bagi penjagaan kesihatan kerana ia mengandungi insulin yang berfungsi mengawal kadar glukosa dalam darah.
  • Begitu juga bagi wanita yang baru bersalin, disyorkan mengamalkan makan peria ketika berpantang, lebih-lebih lagi apabila sudah kehilangan banyak darah sewaktu melahirkan anak.  
  • Pakar perubatan China menggunakan air rebusan peria untuk merawat penyakit asthma dan haid yang terlewat.
  • Peria juga dikatakan memberikan manfaat dalam penjagaan kecantikan terutama kulit. Peria dapat membantu menghalang jerawat tumbuh berleluasa pada kulit muka kerana mengandungi ciri penulenan darah.  

Lebih menarik, kajian di luar negara mendapati masalah ketagihan alkohol juga boleh diatasi dengan meminum air daun peria. Di Australia dan Amerika Syarikat, peria kini menjadi bahan penting bagi merawat penyakit leukimia, HIV dan AIDS.

Biarpun setakat ini, belum ada kajian  sepenuhnya dijalankan bagi menguji keberkesanan peria dalam menangani penyakit-penyakit tersebut, terdapat beberapa kes yang menunjukkan bahawa tumbuhan pahit tersebut boleh membantu menghentikan dan ada kalanya membaikkan penyakit tersebut daripada merebak. Peria didapati boleh meningkatkan semula kiraan sel CD4 (sel imun) dalam tubuh manusia. 

Sumber: Berita Harian Online


Selasa, 7 Mei 2013

Petua Membuang Toksin dari Tubuh

Air putih 
Air putih berupaya membersihkan sistem pencernaan. Air putih bekerja menghilangkan racun dan makanan yang mungkin tersisa dan berkumpul dalam usus  melalui kulit dan ginjal. Minumlah dua gelas air putih setiap pagi setelah bangun tidur, dalam keadaan perut kosong dan minumlah sekurang-kurangnya lapan gelas air setiap hari.


Jus epal dan daun saleri 
Kisar sebiji epal bersama sebatang daun saleri. Amalkan meminum jus ini setiap pagi sebelum memulakan sarapan.Jus epal dan daun saleri ini dapat membersihkan saluran usus serta membuang toksid dengan pantas menerusi sistem pencernaan. Zat masam epal hijau merupakan pembersih tubuh yang sangat baik. Juga sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah sembelit atau masalah penghadaman.

Air kelapa hijau 
Air kelapa hijau bermanfaat untuk membersihkan saluran pencernaan bahkan dapat melawan kuman, virus dan bakteria. Minum air kelapa hijau secara teratur juga berupaya meningkatkan daya tahan tubuh.






Isnin, 15 April 2013

Rahsia Alam: Ulam-ulaman

[Google image]

Ulam merupakan sayur-sayuran yang dimakan mentah, dicelur atau direbus sebelum dimakan. Biasanya ulam dicecah dengan sambal, budu atau cencaluk dan dimakan bersama nasi sebagai pembuka selera. 

Ulam diambil daripada pelbagai bahagian sesuatu pokok atau tumbuhan yang boleh dimakan termasuklah pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunganya.

Antara ulam-ulaman yang popular ialah pucuk betik, pucuk gajus, pucuk mengkudu, pucuk ubi kayu, pucuk paku, pegaga, ulam raja, tapak itik, daun selom, daun kesum, cekur manis, kaduk, rebung,  petai, jering, kerdas, kacang botor, buah nangka muda, jantung pisang, dan terung pipit.
 
Ulam mempunyai khasiat yang tinggi baik dari segi pemakanan, perubatan mahupun kecantikan. Kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama iaitu kalsium, fosforus, zat besi, natrium, kalium yang terdapat dalam ulam tidak dimusnahkan oleh haba kerana kebanyakan ulam dimakan mentah atau sekadar dicelur seketika. Selain itu, ulam juga membekalkan serat yang amat diperlukan oleh sistem penghadaman manusia.

Jadi, tidak hairanlah ulam-ulaman yang dahulunya hanya terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu di kampung-kampung, kini semakin digemari oleh warga kota termasuk masyarakat bukan Melayu, malah menjadi antara hidangan wajib di hotel-hotel terkemuka.

Memandangkan khasiatnya yang tinggi, maka seboleh-bolehnya, jadikanlah ulam sebagai makanan wajib dalam hidangan. Para petani perlu memainkan peranan penting dengan menanam pokok-pokok ulam secara komersial. Kita sendiri boleh menanamnya di sekitar rumah.


Khamis, 4 April 2013

Terung Pipit


Terung pipit atau Solanum torvum
[kredit foto: sini]

Kita amat bertuah kerana dianugerahkan pelbagai jenis tumbuhan yang bukan sahaja enak dimakan tetapi juga memiliki khasiat semula jadi yang baik untuk kesihatan. Ada antara tumbuhan-tumbuhan ini telahpun menjadi amalan pemakanan kita, namun tidak kita ketahui khasiatnya. Salah satu daripadanya ialah terung pipit.

Terung pipit atau Solanum torvum dikenali juga sebagai terung rembang merupakan tumbuhan liar di Malaysia dan di negara-negara tropika yang lain, namun ada juga yang menanamnya secara kecil-kecilan. Biasanya terung pipit muda dimakan mentah ataupun dicelur untuk dijadikan ulam. Sambal tumis terung pipit dengan ikan bilis juga amat digemari dalam kalangan masyarakat kita.

Di daerah kelahiran ibu ini, terung pipit dikenali sebagai terung manggul. Terung manggul digunakan dalam pelbagai jenis masakan bersama sayur-sayuran lain. Antaranya, sebagai bahan dalam sayur rampai tempoyak dan sayur rampai asam rom. 

Setiap 100 g terung pipit mengandungi:
  • air - 89 g
  • protein - 2 g
  • lemak - 0.1 g
  • karbohidrat - 8 g
  • serat - 1.0 g
  • kalsium - 50 mg
  • fosforus - 30 mg
  • ferum - 2 mg
  • vitamin A - 750 I.U.
  • vitamin B1 - 0.08 mg
  • vitamin C - 80 mg
[sumber]

Khasiat Terung Pipit
  • Merawat buasir - daunnya dijadikan pes dan losyen. 
  • Penawar bisa patukan ular dan sengatan serangga - tumbuk buahnya hingga lumat, ambil cecair yang keluar lalu disapu pada tempat sengatan.
  • mengubati retak kulit pada kaki atau bengkak - akarnya ditumbuk lumat lalu ditampal pada bahagian yang bermasalah. Ini dapat melegakkan kesakitan dan memperbaiki peredaran darah di tempat yang bengkak. 
  • Merawat demam panas, sawan dan pitam - minum air rebusan akarnya.
  • Mencuci darah - minum air rebusan akarnya.
  • Melegakan sakit perut - makan buahnya atau minum air rebusan buahnya. 

Ps: Jika ada khasiat-khasiat lain, bolehlah dikongsikan di sini.


Di Sebalik WW#10

http://citrawidiastuti.files.wordpress.com/2012/10/dan-1.jpg
Tasik Sheosar, Pakistan

Semasa merayau-rayau di alam maya semalam, ibu terjumpa gambar pemandangan tepian tasik yang amat mendamaikan ini.Terpukau dengan keindahannya, terus ingin dikongsikan bersama teman-teman alam maya. Mungkin ada yang pernah melihatnya, namun tetap ingin diabadikan di sini.

Tasik pada ketinggian 4,142m ini kelihatan sangat tenang dengan air yang jernih memantulkan bayangan pemandangan di sekitarnya. Panjang tasik ini adalah 2.3 km dengan 1.8 km lebar serta memiliki kedalaman 40 meter. Tasik  Sheosar ini terletak di Taman Nasional Deosai, di bahagaian utara Pakistan.

Sheosar Lake adalah salah sebuah daripada 10 buah tasik terindah di dunia. Di sekitar tasik ini terdapat dataran menghijau, hamparan bukit bukau dan pergunungan yang cukup indah serta haiwan-haiwan endemik yang hidup di sekitar tasik. 

Ps: Endemik bermaksud hanya terdapat di tempat itu sahaja.

Sumber: sini


Ahad, 30 Disember 2012

Pokok Leletup / Passiflora foetida / Stinking Passionflower

Petang semalam semasa jenguk ke belakang rumah, ternampak pokok leletup yang melilit pagar rumah jiran. Rumah jiran ibu ni dah agak lama tidak berpenghuni. Jadi, nampak agak terbiar.

Sudah berpuluh tahun ibu tak melihat pokok ini. Kali akhir rasanya sebelum keluarga ibu berpindah ke bandar lebih dua puluh tahun yang lalu. Terkejut juga ibu sebab dapat melihat pokok ini di kawasan bandar.

Pokok leletup ini adalah sejenis tumbuhan menjalar. Pantang jumpa pagar, terus memanjat menggunakan sulur paut. Rasanya pokok ini dipanggil leletup disebabkan sifat buahnya yang akan meletup setelah matang dan melepaskan bijinya ke persekitaran untuk pembiakan.

Melihat pokok leletup, terus aje terkenang zaman kanak-kanak ibu. Dulu ibu tinggal di kampung dan pokok leletup ini tumbuh meliar sepanjang jalan ke kedai yang jaraknya lebih kurang 100 meter dari rumah. Jika melalui jalan tersebut, sudah pasti beberapa biji buah leletup menjadi santapan ibu.

Paling ibu suka makan buah ini adalah ketika berjalan kaki pulang dari sekolah yang jaraknya hampir 5 kilometer dari rumah. Buah leletup yang masam masam manis dan juicy inilah yang membasahi tekak ibu dan rakan-rakan yang kehausan berjalan di bawah terik mentari. Jadi, pokok leletup ini tidak asing bagi ibu malah aromanya yang agak keras dan rasa buahnya yang masam masam manis masih terasa di tekak ibu. 

Buah yang masih muda berwarna hijau. Apabila masak, buahnya akan berwarna kuning terang dan struktur berserabut di sekelilingnya akan terbuka dan menjadi kering.

Isinya seperti buah markisa, masam masam manis dan mengandungi jus yang kaya dengan vitamin C.



Bunga leletup juga sangat cantik.





Pucuk dan bunganya boleh dicelur dan dijadikan ulam. Rasanya lemak lemak dan sedap dimakan dengan sambal belacan. Selain itu, pucuknya yang dicampur dengan pucuk kayu manis, pucuk keledek dan lain-lain juga enak dimasak sayur air.


Sempat juga ibu cari maklumat tentang pokok leletup atau letup-letup ini. Tidak sangka rupa-rupanya leletup ini juga mempunyai khasiat yang tersendiri. Tumbuhan ini  sesuai untuk merawat gatal-gatal kulit, luka dan batuk.

Bagi merawat gatal-gatal kulit, beberapa batang pokok leletup diperlukan. Seluruh pokok termasuk akarnya sekali dibersihkan lalu direbus sehingga mendidih. Setelah suam, airnya digunakan sebagai air basuhan. Bagi merawat batuk pula, cara yang sama digunakan cuma air rebusannya diminum setelah suam. Untuk merawat luka, beberapa helai daun dilumatkan lalu dipupuk pada bahagian yang luka. l sumber

Tak sangka, rupa-rupanya pokok yang tumbuh meliar ini mempunyai nilai yang tinggi dari sudut perubatan herba.

Kredit: Google image


Isnin, 10 Disember 2012

Ulam Tenggek Burung a.k.a Cabang Tiga


Masih ingat tak lagi cerita ibu tentang Sambal Biji Getah a.k.a Sambal Rong? Seperti yang ibu jangkakan, memang ramai yang tidak tahu bahawa biji getah boleh dimakan. Walau bagaimanapun, hari ini ibu bukanlah nak berbicara pasal biji getah lagi tetapi ingin berbicara tentang ulam Tenggek Burung yang ibu nyatakan dalam entri tersebut. Ibu ada beritahu yang sambal rong tu ibu makan dengan Tenggek Burung.

Bicara ibu kali ini sebenarnya untuk menjawab pertanyaan Nieyxzha Hassan tentang ulam Tenggek Burung. 
Untuk pengetahuan Nieyxzha, Tenggek Burung ini adalah sejenis tumbuhan renek yang pucuknya boleh dibuat ulam. Pokok ini tumbuh meliar di tebing-tebing sungai dan di tepi sawah padi. Kata orang-orang tua, pokok ini diberi nama Tenggek Burung kerana burung-burung suka bertenggek di atas pokok ini untuk makan buahnya.

Waktu tinggal di kampung dulu, hari Sabtu atau Ahad ibu bersama emak dan adik-adik akan mengutip pucuk paku di tebing sungai berhampiran rumah ibu. Sambil tu, petik juga pucuk Tenggek Burung ni untuk dibuat ulam. Sekarang tak perlu lagi bersusah payah, beli aje di pasar.

Pokok tenggek burung

Dipercayai pucuk Tenggek Burung ini dapat mengecutkan rahim bagi wanita yang baru melahirkan. Selain itu, ia juga dikatakan boleh menurunkan tekanan darah tinggi, menghilangkan lenguh-lenguh di badan dan melancarkan aliran darah. Banyak lagi khasiat Tenggek Burung ini terutamanya kepada kaum lelaki. Kalau nak tahu, bolehlah tanya en. google ye.. 

Di sesetengah tempat, Tenggek Burung ini dikenali juga sebagai Cabang Tiga, Tapak Itik ataupun Kiandang. Bau pucuk tenggek burung ini agak wangi dan rasanya sedikit kelat. Selain itu, pucuk Tenggek Burung ini juga rangup.  

Pucuk ini enak dimakan sebagai ulam bersama sambal belacan. Ibu pula suka cecah dengan sambal budu atau sambal tempoyak. Makan dengan sambal rong pun sedap. Tenggek Burung ini juga amat digemari sebagai ramuan nasi tradisi seperti nasi ulam mahupun nasi kerabu.

Ibu cuba juga cari kalau-kalau ada kajian saintifik yang dijalankan terhadap pokok ini tetapi tidak berjumpa. Jika kajian dijalankan ke atas pokok ini, mungkin lebih banyak khasiatnya akan ditemui.

Kredit: Google image


COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA