Khamis, 10 Julai 2014

Mari Menyumbang untuk Palestin

Marilah sama² kita menyalurkan sumbangan kepada saudara kita yang sedang bertarung nyawa di bumi Palestin. Moga sumbangan kita waima RM1 skalipun dapat meringankan beban mereka.

Ya Allah! Bantulah saudara kami dan berilah kelapangan dan kemudahan untuk kami membantu mereka. Aamiin...

 
  1. Taip PALESTIN  RM10 / RM5 / RM3 / RM1
  2. Hantar ke 39111
Contoh: PALESTIN  RM10 dan hantar ke 39111

Sumbangan juga boleh dibuat melalui akaun Aman Palestin Berhad:

Bank Islam: 12029010047880
Maybank: 562263010787
Bank Muamalat: 12070005133717
RHB Islamic Bank: 21245760004907
Bank Rakyat: 220806195922


Sumber:
Website - Aman Palestin



Rabu, 9 Julai 2014

Wordless Wednesday 33

rezeki



Air Batu Bersalut Habuk Kayu

Kenangan bulan Ramadhan semasa kanak² dulu adalah antara kenangan terindah dalam hidup. Jika diimbau boleh membuatkan ibu senyum sendirian. Seawal hari pertama berpuasa lagi ibu pasti terkenang kisah air batu bersalut habuk kayu. Pengalaman yang anak² zaman sekarang tidak pernah tahu. Malah yang lahir 30 tahun ke belakang pun ramai yang tidak merasainya. 

Kami berbuka puasa seadanya. Makanan dan minuman serba sederhana. Air sirap selasih dicampur ketulan ais adalah satu kenikmatan yang tidak dapat digambarkan ketika itu. Tahun 70-an, kampung ibu belum menerima bekalan elektrik. Rata² rumah penduduk kampung tidak punya peti sejuk untuk membuat ais atau dikenali dengan air batu ketika itu.

Menjelang petang, air batu akan dibawa masuk ke kampung oleh penjual. Kalau tak silap, bongkah air batu berukuran lebih kurang 1/2' x 2'. Air batu diletakkan di dalam tong kayu yang dipenuhi habuk kayu gergaji. Gunanya adalah untuk melambatkan proses pencairan air batu yang disimpan di dalam tong itu. Peniaga akan memotong ais menggunakan gergaji mengikut kehendak pelanggan sama ada 20sen, 40sen atau lebih lagi.  

Setelah harga dibayar, air batu akan disalut dengan habuk kayu gergaji sebelum dibungkus dengan surat khabar untuk dibawa balik. Tiba di rumah, air batu akan disimpan di dalam termos supaya tidak cair sementara menunggu waktu berbuka. 




Beginilah rupa termos buat menyimpan air batu ketika itu. Bagi yang seusia dengan ibu pasti berkesempatan menggunakan termos nasi atau termos air batu ini. Terima kasih en. google yang menemukan ibu dengan gambar termos ini.

Bayangkan, betapa sukarnya kami untuk menikmati minuman berais ketika itu. Sesungguhnya, inilah pengalaman yang amat berharga yang pastinya tidak akan dirasai oleh sesiapapun jua selepas ini.


Ps: Jenuh mencari gambar ais bersalut habuk kayu namun tidak ketemu.





Selasa, 8 Julai 2014

CPUV | Dove Hair Fall Rescue


Alhamdulillah, ada lagi CPUV baru yang sudi singgah di blog kecil ini. CPUV Dove Hair Fall Rescue ini bermula semalam. Harap-harap boleh bertahan lama di sini. Terima kasih Nuffnang, terima kasih Unilever kerana sudi beriklan di sini. Terima kasih juga buat para pengunjung yang sentiasa memberikan sokongan. Tanpa kalian takkan ibu berbicara di sini.





Isnin, 7 Julai 2014

Falsafah Buah-buahan?

Tengah hari tadi sempat menjengah ke FB. Lantas terjumpa kiriman yang amat menarik oleh seorang teman. Mungkin ada antara para pengunjung yang pernah membaca atau tahu tentang apa yang dikatakan sebagai falsafah buah-buahan ini. Jom kita lihat antara falsafah buah-buahan tersebut: 
  • Jadilah buah jagung, jangan jadi buah gajus. Jagung membungkus bijinya yang banyak, sedangkan buah gajus menunjukkan bijinya yang cuma ada satu. Maksudnya: Jangan bersifat riak dengan menunjuk-nunjukkan harta, ilmu dan sebagainya.
  • Jadilah Pokok pisang. Pokok pisang kalau berbuah hanya sekali, kemudian mati. Maksudnya: Kesetiaan dalam perkahwinan.
  • Jadilah buah durian, jangan jadi buah kedondong. Walaupun di luarnya penuh dengan kulit yang berduri tajam, tetapi dalamnya lembut dan manis. Berbeza dengan kedondong, luarnya licin tapi rasanya masam dan di dalamnya ada biji yang berduri. Maksudnya: Jangan menilai orang dari sifat luarannnya sahaja.
  • Jadilah ubi kayu. Walaupun hidup dalam tanah, tetapi isinya putih bersih. Maksudnya: Jagalah hati jangan dinodai dengan kekotoran.
  • Jadilah setangkai petai, bukan setangkai rambutan. Tangkai petai memberi makanan yang sama rata kepada biji petainya, tidak seperti rambutan, buahnya ada yang kecil ada yang besar. Maksudnya: Sentiasalah bersikap adil.
  • Jadilah kelapa. Semakin tua semakin pekat santannya. Maksudnya: Semakin tua semakin bijaksana dan berguna.  
  • Jadilah manggis. Berapa banyak kelopok bunga di luar kulitnya, sebanyak itu jugalah ulas isi di dalamnya. Maksudnya: Sentiasalah bersikap jujur. Apa yang ditunjukkan di luar sama seperti apa yang diniatkan di dalam hati.



 




COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA