Khamis, 15 Mac 2012

Zoom A - Ulang Kaji Tanpa Buku

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Semalam ibu bercerita pasal Faiq yang mengulang kaji tanpa buku gara-gara ibunya yang tak berkesempatan membelikannya buku-buku latihan. Jadi, semalam hampir setengah hari Faiq mengadap komputer untuk menjawab soalan-soalan latihan dalam Zoom-A.

Ada antara rakan pengunjung teratak ibu ni yang bertanya apakah yang dimaksudkan dengan Zoom-A. Buat Marya yang kini berada nun jauh di Peru, di sini ibu ceritakan sikit ye.. 

Sebenarnya, Zoom-A ialah program pembelajaran secara interaktif melalui internet. Program pembelajaran ini dirancang rapi, bersistematik, efisien, dan efektif. Kini, Zoom-A merupakan antara pembelajaran interaktif yang tercanggih di Malaysia.

Setiap sekolah boleh mendaftarkan murid-murid mereka untuk melanggan Zoom-A. Yuran langganan tidaklah mahal; hanya RM10 setahun dan terbuka kepada semua murid Tahun 1 hingga Tahun 6. Jika ingin mengetahu lebih lanjut, sila layari laman web Zoom-A di sini.

 

Pada pendapat ibu, Zoom-A ni amat baik. Contohnya, semalam Faiz menjawab latihan matematik. Berdasarkan latihan tersebut, ibu dapat kenal pasti kelemahannya. Jadi, untuk latihan berikutnya, ibu boleh pilih soalan-soalan berkaitan kemahiran yang dia agak lemah untuk latih tubi.


Rabu, 14 Mac 2012

Kerana Dendam?

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Nurul Nadirah Abdullah yang lebih mesra dipanggil Dirang dipercayai dicekik sampai mati sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam lubang dan dibakar di kawasan perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai.

Menurut satu sumber, seorang daripada empat suspek yang ditahan mengaku membunuh Dirang dengan cara mencekik mangsa sebaik sahaja kanak-kanak itu diculik ketika keluar dari rumah seorang diri di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang untuk pergi ke kedai.

Mayat Dirang dibawa ke kawasan rumah terbengkalai kira-kira lima kilometer dari rumah mangsa lalu dibakar.

Sumber memberitahu, suspek yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa mendakwa dia bertindak demikian kerana dendam selepas pernah dihina dan dipandang rendah oleh nenek mangsa.

“Dirang terus dibunuh dan dibakar pada hari dia hilang pada 1 Mac,” kata sumber itu. [sumber]


 Kerana dendam, anak yang tak berdosa ini menjadi korban.
Tiada kata untuk membayangkan perasaan ibu ketika membaca berita ini.


Rajinnya Budak Ini..

Sudah beberapa kali hasrat ibu nak ke kedai buku tertangguh. Hajat di hati nak belikan buku-buku latihan untuk Faiq. Tapi macam biasa, ibu kalau dah mengadap kerja susah nak berhenti. Jadi, sehari dua ni Faiq bukan main lagi bersenang-lenang sebab kerja-kerja sekolah dah pun disiapkan.

Semalam, ayah minta Faiq buat latihan Zoom A. 
Ibu tengok bukan main bersemangat dia menjawab. 


Biasanya, kalau buat latihan dalam buku, banyak sangat selingannya. Buat kerja sikit, main yang banyak. Tapi kali ni ibu tengok dia  bersungguh-sungguh. Siap satu latihan, dia sendiri tambah latihan lain.  Seronok agaknya sebab lari dari kebiasaan.

Hari ni, sekali suruh dia dah buat. Tidak macam biasa, berkali-kali suruh belum tentu buka buku. Bila ibu jadi tarzan, barulah sibuk cari buku.

P/s: Harap2 biarlah perubahan ni kekal.


Isnin, 12 Mac 2012

Harga Sebuah Nyawa

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Rangka manusia yang ditemui rentung di ladang kelapa sawit Nusa Damai, di sini sejak Khamis lalu disahkan sebagai kanak-kanak berusia lima tahun, Nurul Nadirah Abdullah yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, sejak 12 hari lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin selepas ujian DNA dijalankan. [sumber]

Begitu pilu hati ibu apabila membaca perkhabaran ini. Tidak dapat ibu bayangkan kesedihan yang ditanggung oleh keluarga allahyarham. Anak yang dikandung 9 bulan dan 5 tahun membesar di depan mata pergi dalam keadaan yang amat menyedihkan; tidak tergambar dek fikiran yang waras. Takziah buat mereka. Moga mereka tabah menghadapi dugaan ini.

Dulu, kejadian sebegini hanya berlaku di negara-negara luar atau merupakan kisah dalam sebuah drama. Kini, kejadian sebegini berlaku di persekitaran kita, di negara yang tercinta ini. Bukan sekali, bukan dua kali malah telah berkali-kali. Begitu murahnya harga sebuah nyawa kini.

Al-Fatihah buat adik Nurul Nadirah..



Air zamzam palsu di pasaran?

Eksklusif dalam Sinar Harian

SHAH ALAM – Sejauh manakah ketulenan air zamzam yang dijual di negara kita? Adakah ia asli seperti mana air itu diperoleh dari telaga asalnya di Tanah Suci Makkah ataupun hanya air biasa yang dibotolkan dan dilabelkan sebagai air zamzam.

Mungkin kerana air ini mempunyai permintaan tinggi, kita tidak pernah terfikir lambakan jenama air zamzam yang bebas dijual pasar raya atau kedai runcit, kedai jual ubat tradisional dan kitab agama itu, sebenarnya tidak tulen.

Lantaran itu, Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini melarang keras penjualan air zamzam secara meluas di pasaran dunia berikutan terdapat laporan penipuan melibatkan penjualan air berkenaan di beberapa negara Islam.


Sinar Harian mengupas isu ini sebagai panduan kepada umat Islam agar tidak terkeliru dan menjadi mangsa apabila air yang dijual tidak asli. Dapatkan naskhah Sinar Harian untuk liputan mendalam, hari ini.




COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA