Memaparkan catatan dengan label Muhammad Faiq Naqiuddin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Muhammad Faiq Naqiuddin. Papar semua catatan

Sabtu, 31 Mei 2014

Faiq di Pertandingan Koir Negeri Pahang 2014

Hari pertama cuti sekolah, 28 Mei 2014, Faiq bersama pasukan koir sekolah menyertai Pertandingan Koir Sekolah Rendah Peringkat Negeri Pahang 2014 bertempat di Sekolah Menengah Tengku Afzan Kuantan. Mereka bertolak sehari sebelum pertandingan bersama tiga orang guru pengiring dan menginap di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART).

koir
Kali pertama Faiq bersama kawan-kawan tanpa ibu di sisi.

makan di asrama
Si baju hijau makan bersama kawan-kawan di kantin asrama.

di dewan
Sebelah malamnya di dewan untuk sound check. 

Awal-awal lagi ibu bercadang untuk memberi sokongan memandangkan pertandingan diadakan pada hari cuti. Kononnya berpakat dengan kawan-kawan untuk pergi bersama-sama. Sayangnya ibu sekeluarga agak lewat pagi itu.

Ketika ibu sekeluarga sampai, pasukan ketiga sedang membuat persembahan. Sayangnya kerana tidak sempat menyaksikan persembahan sekolah sendiri yang merupakan pasukan pertama membuat persembahan.
persembahan koir
 Kumpulan pertama membuat persembahan.

Walaupun tidak mendapat tempat pada pertandingan kali ini, namun jurulatih dan guru-guru yang menyaksikannya cukup berpuas hati dengan persembahan mereka. Ini adalah peluang untuk menimba pengalaman memandangkan kami belum pernah menyertai sebarang pertandingan koir sebelum ini. Pasukan koir ini pun hanya ditubuhkan lebih kurang sebulan yang lalu.
pasukan bentong
Persembahan terbaik pasukan Bentong yang dinobatkan sebagai johan. 
koir sk temin
 koir sk temin
 Bergambar kenangan bersama jurulatih dan guru pengiring selepas pertandingan.

Acara tamat lebih kurang pukul 12.30 tengah hari. Faiq berangan balik bersama kawan-kawan yang lain dengan bas  tapi tak jadi sebab terpaksa ikut ibu yang ada agenda lain selepas tu. Kata orang sambil menyelam minum air.



Rabu, 28 Mei 2014

Wordless Wednesday 27

koir
koir
Pertandingan Koir Sekolah Rendah Peringkat Negeri Pahang 2014


Selasa, 27 Mei 2014

Kemeja Putih untuk Faiq

Faiq terpilih mewakili sekolah ke pertandingan koir peringkat negeri Pahang. Bukan main seronok Faiq. Tambahan pula kebanyakan yang terpilih adalah rakan-rakan sekelas termasuk bffnya, Hadif.

Cadangan asal, peserta akan mengenakan kemeja ungu bersama seluar sekolah (biru tua) dan blazer juga biru tua. Ibu berpendapat padanan ungu dan biru tua kurang menyerlah lalu mencadangkan kemeja ungu ditukar dengan putih. Cadangan ibu diterima.

Minggu lepas Faiq dah beritahu ibu tentang pakaian mereka untuk pertandingan tersebut. Ibu tau Faiq risau sebab dia tak punya kemeja putih, yang ada kemeja pengawas berwarna ungu.  Ibu yang agak sibuk masa tu berjanji untuk membeli kemeja putih pada hari Sabtu.

Sabtu ibu sibuk lagi. Jadi, Ahad barulah berkesempatan menerjah pasar raya. Hampa bila tak jumpa yang dicari. Begitu banyak kemeja putih yang dijual di pasar raya dan kedai tak ada satu pun saiz Faiq.

kemeja putih
Akhirnya, terpaksa juga beli satu saiz kurang. Saiz 17 ni masih muat dengan Faiq tapi agak kurang selesa terutama musim panas macam sekarang. Kesian anak ibu.. takpe lah Faiq. Pakaipun sekejap je. 




Isnin, 19 Mei 2014

Si Bujang dan Peperiksaan

Sekolah agama Faiq dah mula periksa Isnin minggu lepas. Periksa Isnin, hari Selasa, cuti Hol bagi negeri Pahang. Hari Rabu pulak Kokurikulum, sambung periksa semula hari Khamis, manakala hari Jumaat sambutan hari guru. Bermakna minggu lepas hanya dua hari murid sekolah agama periksa. Minggu ini sambung lagi 2 hari, Isnin dan Selasa.

Hari ini juga bermulanya peperiksaan Pertengahan Tahun bagi sekolah kebangsaan. Jadi, bermula minggu lepas adalah hari ibu dan Faiq berperang. Bukan senang ok nak ajar anak sendiri. Ada tika dan saatnya ibu rasa lebih mudah ajar anak murid sekelas. Huhu..

Si bujang ni jenis slow and steady. Jadi peluang untuk ibu jadi mak nenek amatlah cerah. Tengah ulang kaji boleh berhenti makan roti lepas tu makan biskut. Pantang lepa (eh, tau maksud lepa tak?) pi main dengan kucing. Bila dipanggil, sambung buat kerja tapi sekejap je. Lepas tu hilang balik. Bagi ikan makan sampai buncit ikan-ikan dalam akuarium.

Kalau bagi soalan latihan ulang kaji, terutama matematik, kadang-kadang bukan dia yang jawab, ibu yang jawab. Huhu.. macam ibu pulak yang nak exam. Aduhai la anak!

Hari ni kertas Bahasa Melayu Pemahaman, Penulisan, Matematik Kertas 2 dan Pendidikan Jasmani. Semasa berjalan ke kereta selepas tamat persekolahan hari ini kami sempat berbual pasal exam. Yang tak boleh tahan bila Faiq bertanya, "Ibu, mengapa cikgu buat soalan matematik senang sangat?" Huhu.. Terkedu ibu mendengarnya. "Boleh betul semua ke?" tanya ibu. "Boleh," jawapan yang amat menyakinkan daripada Faiq. Alhamdulillah, moga benarlah apa yang dikata.

Moga keputusan peperiksaan Faiq meningkat lagi kali ini. Ibu sentiasa mendoakan kejayaan Faiq dan anak-anak ibu yang lain.

Ps: Kepada ibu bapa di luar sana, selain membimbing dan mengajar anak-anak, mari amalkan Doa Ketika Anak Menghadapi Peperiksaan. Moga anak-anak kita cemerlang di dunia dan akhirat. Aamiin.




Isnin, 25 Februari 2013

Faiq di Pertandingan Mewarna Karnival Pendidikan 2013

Sabtu, 23.02.2013 ibu sibuk lagi hinggakan blog ini sunyi lagi tanpa entri. Sepatutnya ibu dan ayah ke sekolah Faiz kerana ada mesyuarat agong PIBG, namun disebabkan ibu ada latihan olahraga di sekolah, terpaksalah ayah ke sana seorang diri.

Latihan olahraga berakhir pukul 10.30 pagi, namun terpaksa menunggu sejam lagi kerana ada ibu bapa yang hanya mengambil anak mereka pada pukul 11.30 pagi. Terlupa agaknya.
 
Pukul 2.00 petang Faiq ke pertandingan mewarna sempena Karnival Pendidikan Palimen Jerantut 2013 di Kolej Komuniti tidak jauh dari rumah. Ibu yang sakit kepala (mungkin kerana berpanas di padang) minta ayah yang temankan Faiq. Walau bagaimanapun, ibu yang berbaring di rumah tak senang duduk (rasanya betul dah ayat tu..) Pukul 4.00 petang ibu ke sana.

Ketika ibu sampai ramai yang dah siap, namun si bongsu ibu ni masih bertungkus-lumus. Sebenarnya, dalam mana-mana pertandingan mewarna, Faiq jarang menyiapkan tugasan. Tak sempat, katanya.
 
Kesian anak bujang ibu ni. Ramai ibu bapa yang duduk di sebelah anak masing-masing untuk memberikan sokongan. Nasib baik ada adik ibu yang menemani anaknya turut beri sokongan kepada Faiq. 
  
Inilah hasilnya. Siap juga lima minit sebelum tamat waktu.

 Bergambar setelah selesai acara penyampaian hadiah. Faiq di belakang sekali bersama peserta-peserta lain.
 
Alhamdulillah, tanpa diduga berjaya juga putera bongsu ibu bawa balik hadiah biarpun sekadar saguhati. Harith, sepupu Faiq juga menang saguhati. Balik je terus ke rumah nenek nak tunjukkan hadiah masing-masing. 

P/s: Moga Faiq juga berbakat melukis macam abang dan kakak-kakaknya.


Sabtu, 7 Julai 2012

Luahan Rasa Seorang Ibu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang



Jumaat lepas Hari Tanda Kasih sekolah Faiq. Program bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Alhamdulillah, hari Jumaat ibu free jam 9.30 hingga 10.50 pagi. Jadi, tiada masalah untuk ke sana.

Ketika ibu sampai, belum ramai ibu bapa yang datang. Kali ni, ibu berjumpa Mr. Lim, guru kelas 3 Jupiter (kelas Faiq la tu..). Macam dulu juga, masalah Faiq tetap sama; terlalu lambat menulis malah makin parah. Kesannya, keputusan peperiksaan kali ni jatuh merudum.

Macam yang ibu ceritakan di sini, puncanya adalah sikap Faiq yang terlalu berhati-hati kerana nak pastikan tulisannya cantik dan kemas. 

Bukan ibu dan ayah tak cuba untuk mengatasi masalah ini. Ibu duduk sekali dengan Faiq setiap kali dia menyiapkan kerja sekolah. Asal nampak je dia cuba memadam tulisannya, ibu tegur. Ada ketikanya ibu sergah dan ketuk jarinya. Latihan tambahan ibu hanya berikan pada hari cuti je. Hari persekoahan memang tak sempat sebab masa yang ada hanya pada waktu malam dan ketika itulah Faiq menyiapkan kerja-kerja sekolahnya.

Ibu jadi risau sebab ibu dapat tau, Faiq sering kali dimarahi oleh guru BMnya sebab tak siap kerja. Mana tidaknya, boleh dikatakan setiap hari aktiviti menyalin. Jika tidak menyalin daripada papan putih, menyalin ayat dan petikan yang dibacakan oleh cikgu. Lepas tu barulah menjawab soalan pemahaman.  


Ibu sendiri naik hairan kerana setahu ibu tiada kemahiran menyalin dalam proses pengajaran dan pembelajaran BM. Kalau adapun hanyalah kemahiran mengambil imlak iaitu menulis perkataan, ayat atau perenggan pendek yang diperdengarkan. Ibu tengok petikan yang Faiq salin ni bukan lagi perenggan pendek tapi berperenggan-perenggan. Kadang-kadang hingga lebih satu muka surat buku latihan. Memang tak sesuai dengan murid tahun tiga.

Bukanlah ibu sengaja mencari salah guru dan beri muka pada anak sendiri. Kalau begitulah sikap ibu, dah lama ibu ke sekolah apabila dapat tahu Faiq dimarahi hampir setiap hari hanya kerana dia lambat buat kerja. Lebih setengah tahun ibu diamkan saje. Sejak akhir-akhir ni ibu tengok Faiq dah berubah. Mungkin dia tertekan kerana sering dimarahi. Jika dulu dia selalu bercerita pasal aktivitinya di kelas, kini tidak lagi. Apa-apa yang berlaku seboleh-bolehnya dia akan sorokkan daripada ibu dan ayah. Segala cerita pasal dia ibu hanya dapat tahu daripada anak buah ibu yang sekelas dengannya.

Pernah terlintas untuk meminta Faiq diturunkan ke kelas kedua. Tapi bila difikirkan balik, itu bukanlah cara untuk menyelesaikan masalah. Daripada perbincangan dengan guru kelasnya, masalah Faiq hanyalah lambat menulis dan tiada masalah lain. Itu ibu akui. Awal tahun lagi Faiq dah hafal semua sifir dan boleh menyelesaikan masalah matematik. Begitu juga dengan mata pelajaran lain.


Peristiwa semalam buat ibu hilang sabar. 
Hari Isnin, ibu dan ayah terpaksa ke sini untuk menyelesaikan segala kekusutan..

Doa daripada rakan-rakan ibu harapkan agar ibu dan ayah dapat buat keputusan yang terbaik buat Faiq.   


p/s: Teringat pesanan seorang pensyarah, "Setiap murid berbeza. Jika kita mendidik mereka dengan pendekatan yang sama, bermakna kita tidak bersikap adil terhadap mereka."


Rabu, 14 Mac 2012

Rajinnya Budak Ini..

Sudah beberapa kali hasrat ibu nak ke kedai buku tertangguh. Hajat di hati nak belikan buku-buku latihan untuk Faiq. Tapi macam biasa, ibu kalau dah mengadap kerja susah nak berhenti. Jadi, sehari dua ni Faiq bukan main lagi bersenang-lenang sebab kerja-kerja sekolah dah pun disiapkan.

Semalam, ayah minta Faiq buat latihan Zoom A. 
Ibu tengok bukan main bersemangat dia menjawab. 


Biasanya, kalau buat latihan dalam buku, banyak sangat selingannya. Buat kerja sikit, main yang banyak. Tapi kali ni ibu tengok dia  bersungguh-sungguh. Siap satu latihan, dia sendiri tambah latihan lain.  Seronok agaknya sebab lari dari kebiasaan.

Hari ni, sekali suruh dia dah buat. Tidak macam biasa, berkali-kali suruh belum tentu buka buku. Bila ibu jadi tarzan, barulah sibuk cari buku.

P/s: Harap2 biarlah perubahan ni kekal.


Rabu, 11 Januari 2012

Alahai Anak Ibu

Faiq oh Faiq!!

Ptg tadi adik ibu call dan beritahu hari ni Faiq dimarahi cikgu sebab tak siap kerja sekolah. Terkejut juga ibu sebab semalam dia tidur agak lewat menyiapkan kerja-kerja sekolahnya. Ibu ingatkan semuanya dah beres.

Balik je dari sekolah agama, ibu terus tanya tuan punya badan.  Dengan muka selamba sambil senyum-senyum katanya, "Faiq tak sempat salin dari papan tulis". Geramnyaaaaaaa ibu. Di sekolah ibu marahkan murid-murid ibu yang tak siapkan kerja rumah. Rupa-rupanya anak ibu pun sama. Cuma bezanya, murid-murid ibu tu dah tahun 6. Tahun ni bakal ambik UPSR..

Tahun lepas inilah juga masalah Faiq. Beberapa kali Faiq tak siap kerja yang memerlukan dia menyalin dari papan tulis. Kata guru-guru yang mengajar, Faiq terlalu berhati-hati semasa menulis sebab nakkan tulisan yang cantik dan kemas. Dah beberapa kali ibu dan ayah nasihatkan Faiq supaya buat kerja lebih pantas tapi nampaknya tak berkesan.

Sebenarnya, bukan kali pertama ibu berdepan dengan masalah ni. Faiz pun ada masalah yang sama sebelum ni. Walau bagaimanapun, alhamdulillah akhirnya berjaya diatasi. Harap-harap Faiq pun macam tu.

Inilah tulisan Faiq *yang kononnya cantik dan kemas tu.

P/s: Anak-anak ibu tak bersekolah di sekolah tempat ibu mengajar, sebaliknya satu sekolah dengan adik ibu.


Jumaat, 16 Disember 2011

Mengapa Disember?

Iniah soalan yang Faiq kerap tanyakan ibu. Nak tahu mengapa? Tentulah kes tak sabar nak sambut hari lahir. Katanya kawan-kawan lain sambut hari lahir di sekolah tapi dia hanya menyambutnya di rumah saje. Maklumlah, Disember kan cuti sekolah. Tahun ini ibu tak dengar dah soalan tu. Faiq dah faham, maklumlah dah 8 tahun.

 
Inilah Faiq, permata hati kelima ibu dan ayah

 
Anak tunggal ibu dan ayah yang lahir di Pahang.

Ada gaya ustaz tak?
Bujang ibu yang sorang ni bercita-cita nak jadi ustaz.


Begitu cepat masa berlalu. Hari ini Faiq genap 8 tahun. 

Selamat hari lahir buat Faiq. Ibu dan ayah sentiasa doakan Faiq menjadi anak soleh yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.




COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA