Isnin, 17 Disember 2018

Markisa dari Kebun Bonda


Bonda saya suka berkebun. Walaupun hanya tanah sekangkang kera, maklumlah hanya mendiami rumah teres, banyak tanaman yang mengisi ruang. Salah satu tanaman yang menghuni kebun bonda ialah markisa aka passion fruit. Tiap kali saya ke rumah bonda, buah markisa akan menjadi bekalan untuk dibawa pulang. 

Tidak ramai yang mengenali buah ini apatah lagi memakannya. Bagi yang tidak mengenali, markisa ialah sejenis pokok yang menjalar. Ia akan berpaut pada apa-apa sahaja permukaan untuk mendapatkan cahaya matahari. Buahnya sedikit masam dan manis. Buahnya boleh dimakan begitu saja ataupun boleh dijadikan minuman. Sekarang telahpun ada jus markisa dijual di pasar-pasar raya.

markisa

Buah markisa ada beberapa spesies. Ada yang berwarna kuning dan ada yang berwarna ungu. Yang terdapat di kebun bonda berwarna kuning. Buahnya yang hijau semasa muda akan bertukar kuning apabila telah matang.

.

Buah markisa kaya antioksidan dan tinggi serat. Saya suka buat jus. Isinya ditambah gula dan air. Nak makan macam tu saja pun boleh. Meletup² bunyi bijinya bila dikunyah. Biji buah markisa juga tinggi khasiatnya. 
.
Nak tahu apa khasiatnya? Boleh baca di sini.
.
#MarkisaDariKebunBonda



Ahad, 25 Jun 2017

Salam Aidifitri



تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ ْ
Taqabalallahuminna waminkum 

Ramadhan 1438H
telah melabuhkan tirai.
Fajar Syawal kembali menjengah.
Kini, kita kembali kepada fitrah.
Moga dosa² kita diampunkan
dan nama kita tercatat indah
di pintu Syurga.

Sepuluh jari disusun
Memohon ampun dan maaf
atas segala kekhilafan diri.

Andai kata membekas lara
Andai tingkah menoreh luka
Andai bicara menikam jiwa
Ampun dan maaf dipinta.

Ikhlas daripada:
Ibu sekeluarga


Ahad, 23 April 2017

Selamat Hari Lahir, Along



Kenangan ketika Along kecil dulu tak akan pernah terpadam di ingatan selagi hayat dikandung badan. Serasa kenangan itu baru saja berlalu. 

Along cucu sulung buat kedua² buah keluarga. Alonglah penyeri kehidupan kami ketika itu. Tidak lama kemudian, lahir Angah dan Ude. Kelihatannya kasih terbahagi. Namun hakikatnya kasih dan sayang ibu kepada Along tidak pernah berkurang. 

Kini, Along telah dewasa, sudahpun menjadi seorang isteri. Tiada apa yang ibu harapkan melainkan sentiasa mendoakan kebahagiaan Along. Moga Along menjadi isteri solehah, bahagia di dunia dan akhirat.

Selamat Hari Lahir, Along
Moga bahagia selalu.


Jumaat, 14 April 2017

Kisah dan Teladan

Macam² kisah yang pernah terjadi antara menantu dan mertua, lebih² lagi menantu yang tinggal sebumbung dengan mertua. Hari ini, sebuah kisah yang menyentuh hati berkisar tentang menantu dan mertua telah dikongsikan di laman Facebook Kisah Rumah Tangga.

Kisah yang menyentuh hati ini berkisar tentang anak yang amat menyanjung tinggi ibu kandungnya. Lantaran itu, si anak menaruh sepenuh kepercayaan terhadap ibu untuk membimbing isteri yang baru dinikahinya. Namun, perkara yang sebaliknya telah berlaku.



Moga kita mengambil iktibar daripada kisah ini.

Kredit: KRT


Selasa, 21 Mac 2017

Manfaat Air Kelapa

Ketika musim panas sekarang yang berpunca daripada fenomena El Nino, seelok-eloknya minum air yang banyak bagi mengelak badan kita mengalami masalah kekurangan air. Salah satu caranya adalah dengan meminum air kelapa muda.


Dalam pada itu, air kelapa muda yang diminum mampu dijadikan penawar racun, meredakan cirit-birit, mengubati demam panas, melawaskan buang air kecil dan air besar. Terdapat juga dakwaan air kelapa muda yang dicampur dengan beberapa bahan lain mampu mengubati penyakit batu karang.

Air kelapa muda juga boleh diminum dengan ditambah perahan air limau nipis bagi menghilangkan keletihan. Minuman itu boleh dicampur dengan ais supaya terasa lebih segar.

Meminum air kelapa muda turut mampu mengubati jangkitan cacing pada anak-anak dengan menambah sedikit jus asam limau dan satu sudu minyak zaitun. Minumlah tiga kali sehari.

Air buah kelapa hijau jika dibandingkan dengan kelapa jenis lain mengandungi banyak tanin atau bahan antiracun yang paling tinggi. Komposisi kandungan kimia lain yang terdapat dalam air kelapa ialah asid askorbik atau vitamin C, protein, asid lemak Omega 3, karbon terhidrat dan kalsium.

Mineral yang terkandung dalam air kelapa ialah zat besi, fosforus dan gula yang terdiri dari glukosa, fruktosa serta sukrosa.

Minyak kelapa yang disapu pada gigi atau gusi yang sakit mampu mengurangkan kesakitan begitu juga dengan kulit bermasalah. Bahan itu juga akan menjadikan rambut subur, hitam dan berkilat.

Isi buah kelapa pula mempunyai banyak khasiat. Isi buah kelapa yang sudah tua mengandung kalori yang tinggi sebanyak 359 kal per 100 gram, kelapa setengah tua sebanyak 180 kal per 100 gram dan kelapa muda mengandung 68 kal per 100 gram.

Kredit: Dr. Norzaidi Zakaria
Biro Media Pertubuhan Doktor² Islam Malaysia (Perdim)


COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA