Memaparkan catatan dengan label Petua. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Petua. Papar semua catatan

Selasa, 21 Mac 2017

Manfaat Air Kelapa

Ketika musim panas sekarang yang berpunca daripada fenomena El Nino, seelok-eloknya minum air yang banyak bagi mengelak badan kita mengalami masalah kekurangan air. Salah satu caranya adalah dengan meminum air kelapa muda.


Dalam pada itu, air kelapa muda yang diminum mampu dijadikan penawar racun, meredakan cirit-birit, mengubati demam panas, melawaskan buang air kecil dan air besar. Terdapat juga dakwaan air kelapa muda yang dicampur dengan beberapa bahan lain mampu mengubati penyakit batu karang.

Air kelapa muda juga boleh diminum dengan ditambah perahan air limau nipis bagi menghilangkan keletihan. Minuman itu boleh dicampur dengan ais supaya terasa lebih segar.

Meminum air kelapa muda turut mampu mengubati jangkitan cacing pada anak-anak dengan menambah sedikit jus asam limau dan satu sudu minyak zaitun. Minumlah tiga kali sehari.

Air buah kelapa hijau jika dibandingkan dengan kelapa jenis lain mengandungi banyak tanin atau bahan antiracun yang paling tinggi. Komposisi kandungan kimia lain yang terdapat dalam air kelapa ialah asid askorbik atau vitamin C, protein, asid lemak Omega 3, karbon terhidrat dan kalsium.

Mineral yang terkandung dalam air kelapa ialah zat besi, fosforus dan gula yang terdiri dari glukosa, fruktosa serta sukrosa.

Minyak kelapa yang disapu pada gigi atau gusi yang sakit mampu mengurangkan kesakitan begitu juga dengan kulit bermasalah. Bahan itu juga akan menjadikan rambut subur, hitam dan berkilat.

Isi buah kelapa pula mempunyai banyak khasiat. Isi buah kelapa yang sudah tua mengandung kalori yang tinggi sebanyak 359 kal per 100 gram, kelapa setengah tua sebanyak 180 kal per 100 gram dan kelapa muda mengandung 68 kal per 100 gram.

Kredit: Dr. Norzaidi Zakaria
Biro Media Pertubuhan Doktor² Islam Malaysia (Perdim)


Isnin, 5 Disember 2016

Cantik dari Dapur: Petua Hilangkan Parut


Assalamualaikum. Selamat petang. 

Kesan parut terutamanya di bahagian wajah boleh menjejaskan penampilan seseorang dan membuatkan mereka berasa rendah diri dan kurang yakin untuk berdepan dengan orang ramai. 

Parut terbentuk melalui proses penyembuhan luka di bahagian kulit. Ini termasuklah parut jerawat, parut luka, parut pembedahan atau kesan kebakaran. 

Parut mengambil masa yang lama untuk hilang sepenuhnya malah ada juga parut yang akan terus kekal di bahagian kulit terutamanya parut yang bersaiz besar seperti parut pembedahan atau kebakaran.

Banyak petua tradisional yang boleh diamalkan untuk menghilangkan parut. Hari ini ibu ingin kongsikan petua menghilangkan parut dengan asam jawa. 

Mula² campurkan asam jawa dengan tepung ubi. Gaul campuran ini hingga sebati. Kemudian, campurkan sedikit air (agak² bahan tersrbut boleh disapu di kawasan parut). Sapukan di bahagian berparut setiap malam. Biarkan sampai esok pagi barulah dibersihkan.

Insya Allah, bekas parut akan semakin pudar dan hilang.

Ps: Lazimnya, penggunaan bahan semula jadi selamat untuk semua jenis kulit. Namun, jika berlaku alahan seperti gatal-gatal atau kulit kemerah-merahan akibat kulit yang terlalu sensitif, maka disarankan untuk menghentikan amalan petua ini.


Isnin, 26 Mei 2014

Petua Meredakan Demam

Jika ada anak yang demam, sudah pasti ibu dan ayah tidak senang duduk mencari jalan untuk menyembuhkan si anak atau sekurang-kurangnya mencari jalan untuk menurunkan suhu badannya yang tinggi.

Masih ibu ingat masa kecil-kecil dulu, jika ibu atau adik-adik demam, emak amalkan beberapa petua untuk meredakan demam dan panas badan. Seingat ibu, petua yang emak amalkan betul-betul mujarab. Cepat je suhu badan yang tinggi tu turun. 

Ketika itu, bukan mudah untuk kami ke klinik atau hospital kerana kami tinggal nun jauh di kampung. Tambahan pula kami tidak punya kenderaan untuk bergerak ke sana sini. Maka, petua tradisionallah yang menjadi penyelesaiannya.

Bagi ibu bapa yang tercari-cari petua tradisional untuk menurunkan suhu badan anak yang demam, di sini ibu kongsikan.

Petua Meredakan Demam 
  1. Beberapa helai daun bunga raya atau daun bunga cina atau daun lada (cili api) diramas-ramas dalam semangkuk air bersih. Jaramkan seluruh kepala dan ubun-ubun dengan air tersebut. Ulang beberapa kali hingga demam anak kebah. 
  2. Sebuku asam jawa diramas dengan sedikit air. Sapukan air tersebut pada ubun-ubun dan seluruh kepala. Biarkan air asam jawa itu kering di kepala. Lakukan sehingga betul-betul sembuh. 
  3. Beberapa helai daun sirih diramas dalam semangkuk air bersih bersama buah pinang muda yang telah dipecah-pecahkan. Jaram kepala dengan  ramuan ini. Lakukan beberapa kali sehingga panas badan berkurangan.
  4. Ambil sebuku ubi kayu, kupas kulitnya, bersihkan lalu diparut. Parutan tersebut ditepekkan di dahi. Jika parutan kering, gantikan dengan parutan yang baru. Lakukan sehingga suhu badan menurun.
  5. Rendam buah kembang semangkuk dan halwa kundur lebih kurang 1/2 -  1 jam di dalam air masak/putih. Airnya diminum untuk meredakan panas badan.
  6. Pegaga termasuk akarnya dibersihkan dengan air garam lalu dikisar. Minumlah jusnya untuk menurunkan suhu badan. Boleh ditambah gula batu jika ingin rasa manis.
  7. Segenggam beras pulut disangai (goreng tanpa minyak) sehingga kekuningan. Campurkan dengan secawan air panas. Setelah air tersebut suam, tapiskan dan boleh diminum.
Masa anak sulung demam ibu pernah bawa ke klinik tapi doktor pesan kalau demam tak serius tak perlu bagi makan ubat. Jadi, balik ke rumah ibu amalkan petua no. 1 dan 2. Alhamdulillah serasi dengan along. Petua yang sama ibu amalkan untuk anak-anak yang lain.

Ps: Air beras goreng tu terasa-rasa di tekak ini sebab emak selalu buatkan untuk kami adik-beradik. 


COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA