Jumaat, 15 Februari 2013

Memulangkan Ude ke PLKN

Semalam kami jalan-jalan lagi tapi bukan untuk shopping-shoping macam di sini. Destinasi kami ke Kem PLKN untuk memulangkan Ude. Ude mesti sampai sebelum pukul 5.00 petang. Jadi, pukul 2.45 kami memulakan perjalanan. Alhamdulillah perjalanan dipermudahkan dan kami sampai lebih kurang pukul 4.30 petang.

Sayu hati juga nak meninggalkan Ude. Maklumlah dah seminggu bercuti di rumah. Ibu tahu tentu Ude lebih sedih tapi harapan ibu agar kesedihan Ude tidak berpanjangan dengan kehadiran rakan-rakan di sisi. Lagipun selepas ini tentu Ude akan sibuk dengan pelbagai aktiviti sebagai pelatih PLKN.

Sempat lagi bergambar berlatarbelakangkan dorm para pelatih. 
Lima orang permata hati ibu dan ayah. Dari kiri, Along Nur Hanna Liyana, Ude Nur Lina Farhana, Muhammad Faiz Izzuddin, Muhammad Faiq Naqiuddin dan Angah Nur Aimi Ezzati.
 
Pukul 5.00 petang kami bertolak pulang. Hujan di sepanjang perjalanan membantutkan hasrat untuk shopping lagi. Kami hanya singgah di hentian R&R untuk solat dan makan.  

Tiba di Jalan Jerantut-Temerloh berhampiran Kuala Krau, kami terserempak dengan kemalangan jalan raya. Kemalangan melibatkan empat buah kereta dan salah sebuahnya rentung sama sekali. Semasa kami lalu di situ, mayat mangsa kemalangan masih berada di pinggir jalan.

Alhamdulillah, kami selamat tiba di rumah lebih kurang pukul 7.30 malam.

P/s: Esok kami akan berjalan lagi. Kali ini ke Terengganu untuk menghantar Along dan Angah pula. Doakan agar perjalanan kami dipermudahkan.


Terima Kasih Blogger Mar Haini

Entri khas buat blogger Mar Haini. Terima kasih yang tidak terhingga kerana telah memilih ibu sebagai pemenang dalam Pencarian Bloglist 2013 Belog JCB yang Mar anjurkan. Mar telah memilih tiga penyertaan yang paling memikat hatinya sebagai pemenang. Alhamdulillah, ibu antara tiga orang yang terpilih itu. Entri penyertaan ibu di sini.

Sebenarnya, ibu tak perasanpun yang ibu terpilih kerana terlepas pandang entri pemenang di blog Mar. Kemudian Mar ada minta ibu emel dia. Pun ibu masih tidak perasan hinggalah terbaca entri Miz Ruha di sini. Terima kasih Ruha.

Kemudian ibu selongkar entri lama Mar lalu jumpa entri pemenang di sini.

Terima kasih yang tak terhingga buat Mar. Moga dimurahkan rezeki dan bahagia selalu. Juga, moga Mar terus maju dalam dunia blogging ini. Kepada rakan-rakan yang belum mengenali Mar Haini, jemputlah ke Belog JCB. Ibu suka ke blog Mar kerana Mar selalu berkongsi tips-tips keagamaan. 

P/s: Maaf ye Mar sebab ambil masa yang lama untuk postkan entri ni..


Khamis, 14 Februari 2013

Beli-belah di Penghujung Cuti

Memandangkan cuti Tahun Baru Cina hampir berakhir dan anak-anak akan pulang ke tempat belajar masing-masing, semalam kami ambil kesempatan keluar bersama-sama. Lagipun anak-anak dah bosan kerana dah beberapa hari terperap di rumah je.

Kami bertolak agak lewat. Maklumlah, lama menunggu tuan-tuan puteri bersiap. Sudahnya, hasrat ayah untuk servis kereta terpaksa dibatalkan. Destinasi pertama ke Kamdar Temerloh untuk cari kain untuk buat jubah Angah. Sebelum ini ibu dan Angah dah terjah kedai-kedai kain di Jerantut tapi tiada yang berkenan di hati.

Di sini tetap tak jumpa kain seperti yang dihajati, namun masih banyak pilihan lain cuma kualitinya tidak setanding kain-kain yang ibu pernah beli sebelum ini. Harganya buat ibu telan air liur beberapa kali, namun bila tengok ayah cool je, ibupun tumpanglah sekaki. Along dan Udepun tak lepaskan peluang.

Hasil rembatan di Kamdar. Ibu, Along dan Ude tumpang berkaki-kaki..

Kemudian kami ke Star Mall Mentakab. Tujuan utama nak beli baju dan seluar untuk anak-anak bujang. Cepatnya bujang dua orang ni besar. Semua baju dan seluar dah sendat. Baju dan seluar yang beli semasa cuti sekolah Disember lepas je yang masih selesa dipakai. 

Sampai je terus ke tingkat atas, terlupa yang baju budak di tingkat paling bawah. Sekali lagi, Along dan Ude tak lepaskan peluang. Lepas satu, satu dirembat oleh anak dara dua orang tu. Macam biasa ayah cool je melayan kehendak anak-anak. 

Kemudian kami ke kedai buku Popular. Macam biasa, masing-masing berakar bila di kedai buku. Dah hampir sejam di sini, masing-masing terus memilih dan memilih lagi hinggalah si bongsu mula merengek lapar.
 
Antara hasil rembatan setelah hampir sejam di sini.
 
Angah yang ke sini bermodalkan baucar buku 1Malaysia mendapat kad keahlian setelah berbelanja dengan 3 keping baucar.

Si bongsu memilih untuk makan di KFC. Selesai makan kami ke tingkat atas semula. Along yang sejak mula nak beli sandal boleh pulak terlupa. Sempat juga singgah di tiga buah outlet sebelum jumpa yang berkenan di hati. 

Macam biasa, inilah bekalan untuk dibawa pulang. Belum pernah beli kurang daripada ini. Maklumlah kaum kerabat ramai. Tapi yang ini pinjam gambar encik google je, terlupa snap gambar akibat keletihan. Sampai di rumah dah hampir pukul 10.00 malam. Sekejap je ibu dah terlelap. Anak-anak sempat lagi menonton sambil kenduri donut...

Punyalah lama shopping, tujuan utama tak tercapai. Esok kita pulangkan Ude ke PLKN, bolehlah shopping di Kuantan pula ye Ayah...


Mutiara Kata ♥ Ketenangan Hidup



Selasa, 12 Februari 2013

Kulat Sisir @ Cendawan Kukur Goreng Kering

Jika sebut kulat sisir atau cendawan kukur ibu rasa ramai yang tahu. Bagi yang tinggal di kampung terutama yang tinggal berhampiran kebun getah, kulat sisir tentu tidak asing lagi. Untuk pengetahuan, kulat sisir suka tumbuh pada batang pokok getah yang dah mati dan kebiasaannya tumbuh selepas hujan.

Masih ibu ingat ketika zaman kanak-kanak di kampung dahulu, amat mudah mendapatkan kulat sisir ini kerana rumah ibu terletak berhampiran kebun getah. Terasa amat rindu akan suasana meriah ketika bersama emak dan adik-adik mencari kayu api, pucuk paku dan kulat sisir di kebun getah berhampiran. Namun, semuanya kini hanya tinggal kenangan.

Inilah rupa kulat sisir yang telah kering.

Semasa memasak tengah hari tadi teringat kulat sisir yang ibu beli di pasar malam beberapa minggu lepas. Kebiasaannya ibu masak lemak cili api tapi disebabkan kelmarin dahpun makan gulai lemak dan kari di majlis kahwin, jadi hari ini kulat tu ibu goreng je. 

Kulat Sisir @ Cendawan Kukur Goreng Kering  air tangan ibu tengah hari tadi.

Resipi Kulat Sisir @ Cendawan Kukur Goreng Kering

Bahan-bahan:
  • 1 mangkuk/ pot kulat sisir @ cendawan kukur
  • 3 ulas bawang merah
  • 1 batang serai - dititik
  • 6-8 biji cili padi (boleh tambah atau kurang)
  • Sejemput ikan bilis @ udang kering - ditimbuk kasar
  • Garam
  • Minyak
 
Cara Memasak:
  1. Cendawan dibersihkan dan buang bahagian keras pada pangkalnya. Rendam kulat seketika. Bilas dengan air dan perah hingga kering.
  2. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan kunyit hidup hingga lumat.
  3. Masukkan bilis/ udang kering dan tumbuk lagi hingga separa lumat.
  4. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan serai hingga wangi. Masukkan garam dan kacau hingga agak garing.
  5. Masukkan kulat dan goreng hingga agak kering.
*Bagi yang suka Kulat Sisir Goreng Bertelur, hancurkan telur dan masukkan semasa menggoreng.


COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA