Jumaat, 28 Mac 2014

Bertamu di Melaka




Cuti sekolah kali ini agak padat buat ibu sekeluarga. Sehari selepas misi Menjejak Kasih ke Darul Iman, kami terus ke rumah adik ibu di Putrajaya. Dek bermacam-macam urusan, sesudah Asar barulah kami bertolak dan tiba di Putrajaya hampir pukul 10.00 malam.

Jam 10.00 pagi tadi, ibu bersama empat orang adik dan keluarga masing-masing bertolak ke Melaka untuk program Family Gathering di sana. Empat orang lagi adik ibu bersama keluarga masing-masing bertolak dari Jerantut bersama emak dan ayah.

Perjalanan kami lancar dan kami tiba di destinasi lebih kurang pukul 2.00 petang. Konvoi dari Jerantut tiba agak lewat kerana terpaksa berhenti beberapa kali. Hujan lebat dan suatu ketika mereka bersama beberapa orang pengguna jalan raya yang lain terpaksa memotong pokok tumbang yang merentangi jalan raya. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah semuanya selamat tiba.

Setelah tiba di homestay yang terletak berhadapan dengan pantai, kami menikmati bekalan makanan yang telah disediakan pagi-pagi lagi sebelum bertolak ke sini. Hampir pukul 6.15 petang barulah berkesempatan memenuhi permintaan anak-anak yang sebaik tiba sudah memujuk untuk ke pantai.

Di pantai, kami sekadar bersantai-santai sambil menikmati panorama senja  nan indah. Di pantai mana kami bertamu? Insyaallah, akan ibu ceritakan dalam entri seterusnya.




Rabu, 26 Mac 2014

Menjejak Kasih ke Darul Iman

Alhamdulillah dapat juga ibu berbicara di sini setelah sekian lama menyepikan diri. Semalam, ibu, ayah, Faiz dan Faiq memulakan misi menjejak kasih ke Terengganu Darul Iman. Kali akhir kami ke sini adalah pada Januari yang lalu.

Selain melepaskan rindu kepada Along dan Angah, kami  juga dalam misi menghantar encik Saga untuk Along. Buat pertama kalinya ibu perlu memandu dari Jerantut ke Kuala Terengganu.

Kami memulakan perjalanan tika matahari tegak di kepala. Agak lewat kerana banyak urusan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Kami singgah di Bukit Besi untuk berjumpa dengan Angah yang sedang menghadapi peperiksaan akhir semester ketika ini. Tidak lama kami di sini memandangkan ketika kami sampai Angah sibuk dengan urusan penempatan pelajar baru ke kolej untuk semester depan. Lagipun kami akan singgah lagi dalam perjalanan pulang nanti.

Tiba di Kuala Tetengganu kami terus ke rumah sewa Along sebelum ke rumah penginapan di Tok Jembal. Di sinilah kami menginap setiap kali ke Kuala Terengganu. Malam tadi Along ada ujian. Jadi, hampir tengah malam barulah Along boleh bersama kami di rumah penginapan ini.

Insyaallah, tengah hari ini kami akan bertolak pulang. Kami di sini tidak lama kerana bakal menjejak kasih ke Petaling Jaya pula selepas ini.




Sabtu, 15 Februari 2014

Tarikh Peperiksaan UPSR, SPM dan STAM Tahun 2014


Tarikh peperiksaan amat penting bukan sahaja kepada pelajar, malah kepada para guru dan ibu bapa sebagai panduan untuk merancang pelbagai program bagi memastikan para pelajar cukup bersedia menghadapi peperiksaan pada tarikh yang telah ditetapkan. 

Berikut adalah tarikh tiga peperiksaan awam utama bagi tahun 2014 yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu Peperiksaan UPSR, SPM dan STAM.  


Kepada calon-calon UPSR, SPM dan STAM 2014, buatlah perancangan dari sekarang agar tidak kelam kabut apabila tarikh peperiksaan semakin hampir. Pepatah Arab ada menyebut, "Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu." Berkat perancangan rapi, usaha dan doa, Insya-Allah kejayaan cemerlang bakal digenggam. 



Ps: Bertangguh itu pencuri masa.
 



Khamis, 16 Januari 2014

Jendela Hati

Assalamualaikum dan selamat pagi.

Awal pagi ini ingin ibu kongsikan sebuah cerita.

Satu pasangan muda yang baru berkahwin tinggal di sebuah kawasan perumahan. Suatu pagi, melalui jendela kaca, si isteri melihat jirannya sedang menjemur pakaian. "Cuciannya kurang bersih ya bang," kata si isteri. "Tentu dia tak tahu cara mencuci pakaian. Mungkin dia perlu sabun yang lebih elok," sambung si isteri.

Suaminya menoleh, tetapi hanya diam dan tidak memberi apa-apa komen. Sejak hari itu setiap kali jirannya menjemur pakaian, selalu saja si isteri memberikan komen yang sama tentang kurang bersihnya jiran mencuci pakaian.

Seminggu berlalu, si isteri hairan melihat pakaian yang dijemur jirannya kelihatan betul-betul bersih lalu dimaklumkan kepada suaminya. "Abang tengok jiran kita ni dah basuh bersih pakaiannya, tak macam sebelum ni. Siapalah agaknya yang ajar dia cara yang betul untuk membasuh pakaian?" kata si isteri.

Sang suami berkata, "Saya bangun pagi ni dan bersihkan jendela kaca kita." Isterinya terkesima.

Begitulah kehidupan. Apa yang kita lihat pada saat menilai orang lain bergantung kepada kejernihan fikiran (jendela). Jika HATI kita bersih, maka bersih pula FIKIRAN kita. Jika FIKIRAN kita bersih, maka bersih pula PERKATAAN kita. Jika PERKATAAN kita bersih (baik), maka bersih (baik) pula PERBUATAN kita.

Hati, fikiran, perkataan dan perbuatan kita mencerminkan hidup kita. Jika ingin hidup kita berkembang, maju, dan berjaya (bersih/baik), maka kita harus menjaga hati, fikiran, perkataan dan perbuatan kita agar tetap baik kerana itulah segalanya.

Hati menentukan fikiran.
Fikiran menentukan perkataan dan perbuatan.

Sumber: Whatsapp 

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain…”
(Surah al-Hujurat, ayat 12)


Isnin, 13 Januari 2014

Salam Maulidur Rasul





COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA