Selasa, 1 November 2016

Minat Berkebun

السلام عليكم

Selamat Petang.

Lama benar laman kecil ini terbiar sepi. Banyak cerita sebenarnya tapi masa agak terbatas. Ingatkan selepas murid² selesai menduduki UPSR awal September lepas, adalah masa terluang untuk cikgunya berceloteh di sini tapi nampaknya kerja tak pernah susut.

Hari ni ibu cuba luangkan masa untuk berkongsi cerita. Tak ada cerita yang menarik, sekadar berkongsi hobi. Minat ibu dalam seni bercucuk tanam sememangnya bermula sejak kecil lagi, diwarisi daripada emak dan ayah. Masih ibu ingat, ketika pulang dari sekolah ataupun pada hujung minggu, ibu akan sentiasa meluangkan masa di kebun. Mencangkul dan merumput adalah antara aktiviti yang biasa ibu lakukan.

Ibu membesar di sebuah kampung kecil di tebing Sungai Pahang; Kampung Masjid Lama nama diberi kerana di situ terdapat sebuah masjid lama yang tidak lagi digunakan kerana telah digantikan dengan masjid lain. Kawasan di sekeliling rumah agak luas, biasalah di kampung. Bolehlah bercucuk tanam dan pelihara haiwan ternakan.

Waktu itu, halaman rumah dihiasi dengan bunga-bungaan. Ramai jiran yang mendapatkan benih² bunga daripada mak. Kata mereka, tangan mak sejuk. Apa je yang mak tanam semua menjadi. Yang ini ibu tak nafikan. Alhamdulillah, kurniaan Allah buat mak.

Setiap petang dan hari minggu, kerja kami adik-beradik menyiram tanaman. Bila tanaman dah mengeluarkan hasil, kamilah yang paling seronok. Cili, kunyit, halia, serai, lengkuas, cekur, timun, kacang panjang, kacang botor, keledek, ubi kayu, labu, kacang tanah, maman, kangkung, bayam, petola, terung dan jagung adalah antara sayuran yang pernah kami tanam.

Kini, dah empat dekad berlalu, minat bercucuk tanam tak pernah pudar cuma terbatas dek kekangan masa dan ketiadaan kawasan. Maklumlah tinggal di taman perumahan. Untuk meneruskan hobi dalam situasi macam ni, kita perlulah kreatif. Kreatif macam mana? Insyaallah, bila ada kelapangan ibu ceritakan.

Jumpa lagi.
Assalamualaikum.

berkebun
 Gambar encik google



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas kunjungan dan komen-komen ikhlas daripada anda. Insya-Allah kunjungan anda akan dibalas.

COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA