Memaparkan catatan dengan label Diari 2016. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Diari 2016. Papar semua catatan

Sabtu, 3 Disember 2016

Faiq @ Kem Tahfiz Muda

السلام عليكم

Selamat Malam semua.

Hari ni nak cerita tentang Faiq @ Kem Tahfiz Muda lagi. Dah masuk hari keenam Faiq dan rakan² di sini.  Masa memang mencemburui. Pejam celik, pejam celik, esok berakhirlah kem seminggu ni.

Sepanjang Faiq mengikuti kem, sempat dua kali ibu berkunjung ke sana. Ala.. bukan jauh mana, tak sampai pun lima minit kalau berkereta. Ibu nak juga tengok apa aktiviti mereka. Katanya ada aktiviti memanah, itu yang buat ibu teruja. Tapi, dua kali ke sana tak dapat tengok juga. Tak pe, Faiq balik nanti boleh dengar dia bercerita.  

Hari keempat, ibu dan ayah sampai masa mereka berkumpul nak mulakan aktiviti. Dari jauh ibu tengok, rasa sayu pulak hati. "Entah apa-apalah ibu ni," cuba memujuk hati sendiri. Mereka ok je, nampak bukan main seronok lagi. Sesama mereka nampak akrab sekali, biarpun baru kenal beberapa hari.

Petang semalam, lagi sekali ibu dan ayah ke sana. Menghantar pakaian kering dan biskut yang Faiq minta. Sedang elok kami tiba, hujan turun selebat²nya. Hanya ayah yang turun dan berjumpa. Ibu hanya sempat mengintai² dari kereta.

madad
Hujan dah mula turun. Ayah je yang masuk. Ibu mengintai² dari sini

Gambar² dari FB MADAD.

Sekian untuk hari ni.
Insya Allah, esok ibu ke sini lagi.
Majlis penutupan pukul 10.00 pagi.
Moga semuanya berjalan lancar dan diberkati.

Jumpa lagi...



Jumaat, 2 Disember 2016

Kem Tahfiz Muda @ MADAD

السلام عليكم

Selamat Petang semua.

Maahad Dirasat Diniyyah (MADAD) Kampung Temin, Jerantut telah menganjurkan Kem Tahfiz Muda selama seminggu bermula 28 November hingga 4 Disember 2017. Bila dapat tahu tentang program ni beberapa minggu lepas, ibu terus booking tempat untuk putera bongsu ibu. Tak sempat bertanya tuan punya diri sebab dia masih di asrama masa tu.

Dua minggu sebelum cuti barulah sempat beritahu Faiq. “Kata nak jadi pendakwah. Ni lah masanya nak timba ilmu,” ayat memujuk ibu, bimbang kot dia tak setuju. Maklumlah, balik dari asrama nak kena join kem pulak. Alhamdulillah, Faiq ok je. Ibu je yang duk bersangka².
 

Ni gambar masa hari pendaftaran.
Dua orang anak saudara ibu, Harith dan Muhammad pun join program ni. Bertiga sepupulah diorang kat sini. Yang di belakang tu adik² ibu, Fazilah dan Lina. Di tepi tu mak ibu. Nenek pun tak nak ketinggalan menemani cucu² mendaftar.


Gambar hari pertama kem.
Gambar² ni dari FB Ustaz Zuridan, mudir MADAD. Pinjam gambar ye Ustaz. Terima kasih. 

Duhai anak²! Timbalah ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin buat bekalan dunia dan akhirat. Moga kalian menjadi anak soleh yang membahagiakan ibu bapa dan keluarga serta bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.
آمِيْنُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن




Khamis, 1 Disember 2016

Pentas Hari Anugerah Cemerlang

السلام عليكم

Selamat Pagi semua.

Minggu lepas, 23 November 2016 adalah majlis Hari Anugerah Cemerlang sekolah ibu. Seperti biasa, ibu ditugaskan untuk menghias pentas bersama dua lagi rakan guru. Sejak berpindah ke sekolah ini kira² sembilan tahun lalu, tugas ini begitu sinonim dengan ibu. Sejujurnya, ibu senang dengan tugas ini kerana ia mencabar kreativiti.

Kerja² menghias pentas hanya dibuat sehari sebelum majlis kerana ibu dan seorang lagi rakan ajk sibuk menyiapkan sijil berhenti sekolah dan mengemas kini fail peribadi murid untuk diserahkan kepada murid tahun 6 pada hari terakhir persekolahan.

Tahun ini hiasan pentas dibuat ala kadar je kerana tiada peruntukan macam tahun² sebelum ini. Dengan bermodalkan kertas putih dan kertas pelbagai warna bersaiz A4, inilah hasilnya... 

hiasan-pentas 

Kerja² melipat dan menggulung kertas dimulakan lebih kurang pukul 9 pagi dengan bantuan murid tahun 6. Kipas² hiasan dan gulungan kertas ini siap ditampal di latar belakang pentas lebih kurang pukul 1.30 tengah hari. Rama² berwarna putih tu ibu siapkan di rumah dan ditampal keesokannya sebelum majlis bermula.

Alhamdulillah, dapat juga kami menyiapkan hiasan pentas yang serba ringkas ini.

Sekian, jumpa lagi.  
Assalamualaikum.
  


Selasa, 1 November 2016

Minat Berkebun

السلام عليكم

Selamat Petang.

Lama benar laman kecil ini terbiar sepi. Banyak cerita sebenarnya tapi masa agak terbatas. Ingatkan selepas murid² selesai menduduki UPSR awal September lepas, adalah masa terluang untuk cikgunya berceloteh di sini tapi nampaknya kerja tak pernah susut.

Hari ni ibu cuba luangkan masa untuk berkongsi cerita. Tak ada cerita yang menarik, sekadar berkongsi hobi. Minat ibu dalam seni bercucuk tanam sememangnya bermula sejak kecil lagi, diwarisi daripada emak dan ayah. Masih ibu ingat, ketika pulang dari sekolah ataupun pada hujung minggu, ibu akan sentiasa meluangkan masa di kebun. Mencangkul dan merumput adalah antara aktiviti yang biasa ibu lakukan.

Ibu membesar di sebuah kampung kecil di tebing Sungai Pahang; Kampung Masjid Lama nama diberi kerana di situ terdapat sebuah masjid lama yang tidak lagi digunakan kerana telah digantikan dengan masjid lain. Kawasan di sekeliling rumah agak luas, biasalah di kampung. Bolehlah bercucuk tanam dan pelihara haiwan ternakan.

Waktu itu, halaman rumah dihiasi dengan bunga-bungaan. Ramai jiran yang mendapatkan benih² bunga daripada mak. Kata mereka, tangan mak sejuk. Apa je yang mak tanam semua menjadi. Yang ini ibu tak nafikan. Alhamdulillah, kurniaan Allah buat mak.

Setiap petang dan hari minggu, kerja kami adik-beradik menyiram tanaman. Bila tanaman dah mengeluarkan hasil, kamilah yang paling seronok. Cili, kunyit, halia, serai, lengkuas, cekur, timun, kacang panjang, kacang botor, keledek, ubi kayu, labu, kacang tanah, maman, kangkung, bayam, petola, terung dan jagung adalah antara sayuran yang pernah kami tanam.

Kini, dah empat dekad berlalu, minat bercucuk tanam tak pernah pudar cuma terbatas dek kekangan masa dan ketiadaan kawasan. Maklumlah tinggal di taman perumahan. Untuk meneruskan hobi dalam situasi macam ni, kita perlulah kreatif. Kreatif macam mana? Insyaallah, bila ada kelapangan ibu ceritakan.

Jumpa lagi.
Assalamualaikum.

berkebun
 Gambar encik google



Sabtu, 23 April 2016

Selamat Hari Lahir, Along

Hari ini 24 tahun yang lalu merupakan hari keramat buat ibu. Pada tarikh tersebut ibu dianugerahkan seorang insan yang melayakkan ibu bergelar 'ibu'. Ramai yang menunggu kehadirannya kerana dia merupakan cucu sulung bagi kedua-dua buah keluarga, keluarga ibu dan ayah.



NUR HANNA LIYANA
Puteri sulung yang lemah lembut, pendiam dan pemalu, sesuai dengan nama yang ibu berikan. Along anak yang tidak banyak karenah. Along juga telah membanggakan ibu dan ayah serta menjadi contoh buat adik-adik dengan kejayaan² along dalam pelajaran.

Kini, along menjadi anak yang berdikari. Mampu menguruskan adik-adik jika ibu dan ayah sibuk. Sentiasa meluangkan masa menemani ibu ke sana-sini. Terima kasih, Along.

Ibu doakan Along dipanjangkan usia, diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki, berjaya dalam apa juga yang along lakukan serta bahagia dunia akhirat.

 Syukur ya Allah kerana telah menghadiahkan kami sebutir permata yang amat bernilai.




COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA