Memaparkan catatan dengan label Nur Hanna Liyana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nur Hanna Liyana. Papar semua catatan

Sabtu, 23 April 2016

Konvokesyen Along

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Lama dah ibu tak menulis tentang anak² di sini. Kesibukan yang tak berpenghujung menyebabkan rumah kecil ini terus terabai. Namun Alhamdulillah hari ini sempat juga ibu mencuri masa mengedit dan menerbitkan entri ini. Sebenarnya, ini entri tertangguh. Hampir setengah tahun terperam dalam draf.

Begitu masa datang dan pergi, dan tidak menoleh lagi; puteri sulung ibu dah pun menamatkan pengajiannya. 24 Oktober 2015 yang lalu Along telah berjaya menggenggam segulung ijazah setelah bertungkus lumus selama 4 tahun dalam jurusan Sains Teknologi Alam Sekitar di Universiti Malaysia Terengganu.

Kami sekeluarga kecuali Angah telah ke Kuala Terengganu sehari sebelum itu. Seperti biasa, jika ke Kuala Terengganu, kami akan menginap di JBK Lodging/Homestay yang terletak di Jalan Tok Jembal, Kuala Terengganu. Kami selesa menginap di sini kerana perkhidmatannya yang baik serta suasananya seperti berada di rumah sendiri. Kami di sini selama 2 malam.

Keesokannya, selepas zohor kami ke UMT.
Along terlibat pada sesi kedua hari pertama Majlis Konvokesyen UMT ke-13 ini.


Buat Along, perjuangan yang lebih mencabar perlu diharungi selepas ini. Ibu doakan Along berjaya dalam apa jua perkara yang Along lakukan selepas ini. 

PS: Sebarang pertanyaan atau tempahan bilik JBK Lodging/Homestay, sila hubungi:

Hj. Hashim A. Baki (Pengurus)
Lot 20303, Kg. Pak Tijah,
Jalan Tok Jembal,
21300 Kuala Terengganu

HP: 013-9991817


Selamat Hari Lahir, Along

Hari ini 24 tahun yang lalu merupakan hari keramat buat ibu. Pada tarikh tersebut ibu dianugerahkan seorang insan yang melayakkan ibu bergelar 'ibu'. Ramai yang menunggu kehadirannya kerana dia merupakan cucu sulung bagi kedua-dua buah keluarga, keluarga ibu dan ayah.



NUR HANNA LIYANA
Puteri sulung yang lemah lembut, pendiam dan pemalu, sesuai dengan nama yang ibu berikan. Along anak yang tidak banyak karenah. Along juga telah membanggakan ibu dan ayah serta menjadi contoh buat adik-adik dengan kejayaan² along dalam pelajaran.

Kini, along menjadi anak yang berdikari. Mampu menguruskan adik-adik jika ibu dan ayah sibuk. Sentiasa meluangkan masa menemani ibu ke sana-sini. Terima kasih, Along.

Ibu doakan Along dipanjangkan usia, diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki, berjaya dalam apa juga yang along lakukan serta bahagia dunia akhirat.

 Syukur ya Allah kerana telah menghadiahkan kami sebutir permata yang amat bernilai.




Ahad, 13 Julai 2014

Along dan Program 3R

Assalamualaikum dan salam mesra. 
Selamat berhujung minggu buat semua.

Ini cerita basi. Terperap bukan sehari, bukan dua hari tapi dah berminggu². Hari ini baru sempat menyudahkan karangan.


Sebenarnya ini cerita 2 dalam 1. Cerita tentang Along dan aktiviti sekolah ibu. Pada 25 Jun yang lalu, sekolah ibu dipantau untuk Program Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) peringkat negeri Pahang. Sempena pemantauan tersebut, pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) mengadakan pameran dan ceramah untuk warga sekolah.

Pihak PPSPPA menghantar 3 orang wakil untuk mengendalikan pameran dan ceramah tersebut. Dua orang wakil dari PPSPPA Pahang dan seorang lagi dari cawangan Jerantut. Along yang sedang menjalani latihan praktikal di PPSPPA adalah salah seorang daripadanya.




Pameran dan ceramah adalah berkaitan dengan amalan 3R; reuse, reduce, recycle. Pameran diadakan dari pukul 8 hingga 10.30 pagi manakala ceramah diadakan pada pukul 10.30 hingga 1.00 tengah hari.  

 
 
Selepas ceramah, diadakan majlis penyampaian hadiah untuk pemenang bagi program kitar semula bagi bulan Februari hingga Jun 2014. Sekolah ibu telah menyertai program kitar semula ini sejak tahun lepas lagi.

Dua hamper untuk kelas ibu yang diumumkan sebagai pemenang 
bagi bulan Februari dan Mei.

Along menerima cenderamata daripada Guru Penolong Kanan, Puan Rosazimah yang ibu panggi Kak Zie. Kak Zie baru beberapa bulan bertugas di sekolah ibu. Kami pernah bertugas bersama² di sekolah tempat ibu posting dulu. Semasa mengandungkan Along, ibu berpindah ke Johor. Tak sangka pulak Along boleh berjumpa dengan Kak Zie akhirnya.




Isnin, 9 Jun 2014

Hantar Angah Jenguk Along

Untuk yang ke sekian kalinya, 31 Mei yang lalu ibu sekeluarga ke Terengganu lagi. Kali ini kami menghantar Angah yang kena balik awal sebab bertugas pada hari pendaftaran pelajar baru keesokan harinya. Di samping itu kami menjenguk Along yang sedang sibuk menghadapi peperiksaan akhir semester. 

Kali akhir ibu sekeluarga ke Terengganu adalah pada 25 Mac yang lalu seperti yang ibu ceritakan dalam entri Menjejak Kasih ke Darul Iman. Sebelum bertolak ibu masakkan sambal hitam untuk Angah dan Along. Sempat juga masakkan nasi dan lauk untuk bekalan Angah.

Sampai di kolej Angah dah pukul 7.15 petang. Suasana sunyi sepi sebab yang dah balik hanyalah ajk minggu orientasi.

Walaupun berpeluang pindah ke bilik baru tapi Angah masih memilih bilik di tingkat 4. Faktor pencahayaan katanya kerana tingkat atas lebih cerah. Apa-apa jelah Angah tapi yang pastinya masa ke bilik Angah tu, semput ibu dibuatnya.

Selesai mengangkut semua barang Angah, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Sudah tentu  untuk berjumpa seorang lagi buah hati kami. Beberapa minit tiba di homestay, Along pun menyusul. Kononnya Along nak bawa kami makan ikan bakar di Pulau Duyung tapi entah mengapa kebanyakan kedai dah tutup. Bukan rezeki kami agaknya. Sudahnya, kami makan berhampiran homestay. Selepas makan Ude ikut Along balik ke rumah rumah sewa dan tidur di sana. 

Keesokannya, kami balik selepas makan tengah hari. Kononnya nak bawa balik si Miki ni tapi tak sampai hati bila ternampak dia bergurau senda dengan dua lagi adik-beradiknya.
Macam sedih je Miki..

Hajat nak singgah jumpa Angah dalam perjalanan balik pun tak kesampaian. Masa tu Angah tengah sibuk dengan urusan pendafaran pelajar baru.

Moga Allah beri kesempatan untuk kami berjumpa lagi. Aamiin.




Isnin, 23 April 2012

Selamat Hari Lahir, Along..

Alhamdulillah, ibu dipanjangkan usia untuk bertemu 23 April untuk ke sekian kalinya. Tarikh ini amat bererti dalam hidup ibu dan ayah. Hari ini tujuh belas tahun yang lalu, Along dianugerahkan buat kami berdua bermakna hari pertama juga kami bergelar ibu dan ayah.

 

Kehadiran Along menceriakan hidup banyak orang. Alonglah cucu sulung atuk dan nenek menjadikan along anak buah kesayangan kesemua 11 orang ibu dan bapa saudara. 

 

 

Begitu pantas masa berlalu. Kini, along dah pun dewasa. 

Menjadi contoh buat adik-adik..

 

Buat Along...

 

 



Ahad, 15 April 2012

Seminggupun Berlalu

Pejam celik, pejam celik, hari ni berakhirlah cuti along selama seminggu. Pagi semalam ibu dan ayah hantar along ke stesen bas di Bandar Ikan Patin, Temerloh. Angah dan Ude ikut sekali manakala 2F macam biasa tak nak ikut. Masing-masing nak tinggal kat rumah nenek. 
Ibu tau, sebenarnya Faiq sedih. Almaklum, dia amat rapat dengan along. Seminggu along ada di rumah, seminggu juga dia asyik keluar masuk bilik along. Keraplah terdengar hilai tawa dan jerit-pekik anak-anak ibu dari bilik along. Entah siapa yang usik siapa ibu pun tak pasti. 

Bas ke Kuala Terengganu bertolak pukul 9.15 pagi walaupun mengikut jadual asal pukul 9.00 pagi. Ok lah tu kan, lewat 15 minit je. Waktu along balik ke sini minggu lepas, bas lewat hampir sejam. Sejam jugalah kami menunggu along di stesen bas Temerloh.
Ibu bersama along pada hari pengumuman keputusan UPSR 8 tahun lalu dan pada hari pendaftaran matrikulasi di Kolej Matrikulasi Perak, 2 tahun lepas.

Good luck buat along daripada ibu, ayah dan adik-adik di sini. Sudah pasti ibu dan adik-adik akan merindui oreo cheese cake yang along selalu buat tu. Yang along tinggalkan buat ibu dan adik-adik semalampun dah habis. Ayah tak masuk senarai sebab tak suka makan kek. Ibu pulak memang pantang dengan cheese cake ni *pantang nampak.



COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA