Memaparkan catatan dengan label Nur Aimi Ezzati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nur Aimi Ezzati. Papar semua catatan

Isnin, 9 Jun 2014

Hantar Angah Jenguk Along

Untuk yang ke sekian kalinya, 31 Mei yang lalu ibu sekeluarga ke Terengganu lagi. Kali ini kami menghantar Angah yang kena balik awal sebab bertugas pada hari pendaftaran pelajar baru keesokan harinya. Di samping itu kami menjenguk Along yang sedang sibuk menghadapi peperiksaan akhir semester. 

Kali akhir ibu sekeluarga ke Terengganu adalah pada 25 Mac yang lalu seperti yang ibu ceritakan dalam entri Menjejak Kasih ke Darul Iman. Sebelum bertolak ibu masakkan sambal hitam untuk Angah dan Along. Sempat juga masakkan nasi dan lauk untuk bekalan Angah.

Sampai di kolej Angah dah pukul 7.15 petang. Suasana sunyi sepi sebab yang dah balik hanyalah ajk minggu orientasi.

Walaupun berpeluang pindah ke bilik baru tapi Angah masih memilih bilik di tingkat 4. Faktor pencahayaan katanya kerana tingkat atas lebih cerah. Apa-apa jelah Angah tapi yang pastinya masa ke bilik Angah tu, semput ibu dibuatnya.

Selesai mengangkut semua barang Angah, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Sudah tentu  untuk berjumpa seorang lagi buah hati kami. Beberapa minit tiba di homestay, Along pun menyusul. Kononnya Along nak bawa kami makan ikan bakar di Pulau Duyung tapi entah mengapa kebanyakan kedai dah tutup. Bukan rezeki kami agaknya. Sudahnya, kami makan berhampiran homestay. Selepas makan Ude ikut Along balik ke rumah rumah sewa dan tidur di sana. 

Keesokannya, kami balik selepas makan tengah hari. Kononnya nak bawa balik si Miki ni tapi tak sampai hati bila ternampak dia bergurau senda dengan dua lagi adik-beradiknya.
Macam sedih je Miki..

Hajat nak singgah jumpa Angah dalam perjalanan balik pun tak kesampaian. Masa tu Angah tengah sibuk dengan urusan pendafaran pelajar baru.

Moga Allah beri kesempatan untuk kami berjumpa lagi. Aamiin.




Isnin, 26 Mei 2014

Ujian Memandu Angah dan Ude



Sudah 15 tahun ibu memandu. Bermakna, dah 15 tahun juga ibu ada lesen memandu. Jadi, cerita lulus ujian memandu ini bukanlah cerita pasal ibu. Ini cerita pasal dua orang anak dara ibu, Angah dan Ude.

Angah dan Ude tak dapat mengambil lesen memandu selepas SPM macam Along sebab kedua-duanya mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebaik habis peperiksaan SPM. Angah ke Kem PLKN Tasik Chini Resort dan Ude ke Kem PLKN Gambang. Sebaik-baik tamat PLKN, mereka dah menyambung pelajaran semula. 

Cuti semester kali ini Angah dan Ude cuti serentak. Jadi, kedua-duanya kami hantar ke kelas memandu dan terus ambil ujian memandu. Alhamdulillah, pemilik sekolah memandu adalah kenalan lama ibu. Jadi, dia yang datang ke rumah mengambil dan menghantar Angah dan Ude. Maklumlah, yang bercuti Angah dan Ude, ibu dan ayah tetap ke sekolah macam biasa.

Pagi tadi Angah dan Ude dah pun mengambil ujian memandu. Ibu tengok Ude ok je tapi Angah macam risau je. Beberapa hari sebelum ini Angah ada beri gambaran seolah-oleh dia belum yakin untuk mengambil ujian memandu. Ibu dan ayah cuba yakinkan Angah yang dia boleh lulus.

Masa di sekolah pagi tadi bukan main risau lagi ibu. Nak call diorang berdua bimbang tengah test. Jadi, tunggu sampai tengah hari baru ibu call. Tak angkat la pulak. Tamat je waktu persekolahan ibu terus balik. Tak sempat rehat-rehat melepaskan lelah macam biasa. 

Angah dan Ude dah ada di rumah masa ibu sampai. Alhamdulillah, kedua-duanya lulus. Lega hati ibu. Tak perlu nak fikir-fikir pasal hal ni lagi. Bagi ibu, lesen memandu sangat penting. 

Ps: Tertunai sudah janji ibu dan ayah..




Selasa, 13 November 2012

Moga Angah Tabah Menghadapi Ujian Ini


Semasa cuti sempena Hari Raya Aidilfitri yang lepas, Angah tiba-tiba sakit. Kata Angah, telinga sebelah kanannya tiba-tiba berdengung menyebabkan dia rasa pening dan loya. Beberapa kali Angah muntah, kemudian dia berasa sejuk hingga terpaksa berselimut tebal walaupun di tengah hari. 

Baru-baru ini Angah diserang sakit yang sama. Pukul 2.15 petang, setengah jam sebelum menduduki paper akhir peperiksaan akhir semester, rakan-rakan Angah menelefon ibu memaklumkan tentang hal tersebut. Hanya Allah yang tahu perasaan ibu ketika itu. Angah dikejarkan ke klinik dengan ambulans.    

Dari hujung talian kedengaran suara Angah yang amat lemah dan terputus-putus.  Ibu tau Angah menangis; menahan sakit, sedih dan tentunya kecewa. Angah beritahu ibu yang dia tetap ingin menduduki peperiksaan. 

Pukul 5.50 petang, dengan suara yang masih lemah, Angah beritahu yang dia menduduki peperiksaan di klinik. Terima kasih buat rakan-rakan Angah yang banyak membantu. Nasib baiklah mereka segera memaklumkan hal tersebut kepada pensyarah. Jadi, sempat jugalah Angah menduduki peperiksaan.

 
Hari Khamis dua minggu lepas ibu dan ayah menemani Angah ke Kuantan Medical Centre untuk mendapatkan rawatan pakar. Doktor mengesahkan tiada apa-apa masalah dengan telinga Angah. Namun, sejak itu dah beberapa kali sakit Angah berulang. Kali terakhir Angah sakit pukul 2 pagi beberapa hari sudah. Kesian Angah, hampir dua jam menahan sakit dan muntah berulang-ulang kali.

Ini bukanlah kali pertama Angah sakit. Angah dah diuji dengan bermacam-macam penyakit bermula sebelum menduduki SPM. Ke KMC inipun bukanlah kali pertama. Sebelum  mengikuti program PLKN, ibu dan ayah pernah bawa Angah ke sini untuk mendapatkan rawatan. Ketika itupun doktor mengesahkan Angah sihat dan boleh mengikuti PLKN.

Memandangkan doktor sendiri mengesahkan Angah sihat, jadi ibu dan ayah ambil keputusan untuk bawa Angah mendapatkan rawatan alternatif iaitu rawatan perubatan Islam. Alhamdulillah, kelmarin Angah dahpun dirawat. Moga Angah segera sembuh memandangkan tidak lama lagi cuti Angah akan berakhir.


Ahad, 3 Jun 2012

Selesai Sudah..

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

 

Seawal jam 5.00 pagi ibu sekeluarga dah bertolak ke Terengganu. Turut serta, dua orang adik ibu bersama keluarga masing-masing. Sekeluarga akan menghabiskan cuti di rumah mertua di Kuala Terengganu manakala sekeluarga lagi akan bercuti beberapa hari di Kuala Terengganu juga. 

 

Destinasi ibu sekeluarga; menghantar Angah mendaftar sebagai mahasiswi di sebuah kampus UiTM di Terengganu. Kami tiba di destinasi lebih kurang 10.30 pagi. Semasa kami tiba, barisan kenderaan dah terlalu panjang.

 

Proses pendaftaran tidak dibuat pada hari ini. Sebaiknya, pelajar hanya mendaftar untuk masuk ke asrama. Namun demikian, masa yang diambil agak lama kerana berlaku kesesakan lalu lintas berikutan kawasan parkir yang terhad. Alhamdulillah, lebih kurang jam 12.00 tengah hari, Angah dah boleh masuk ke biliknya.

 

Setelah mengemas apa-apa yang patut di bilik Angah, kami ke luar makan. Jam 1.30 petang kami hantar Angah semula ke asrama kerana semua pelajar baru perlu berkumpul di dewan pada jam 4.30 petang.

 

 

Ude macam tak sedihpun nak berpisah dengan Angah.

   

  Ibu, nampak je senyum..

  Perasaan sebenar; hanya Allah yang tahu.


Buat Angah: 

 

 Segala yang berlaku semalam,

tinggalkan dalam lipatan kenangan,

Usah menoleh, jangan lagi bersedih.

Ingatlah pesanan; 

walau destinasi sama,

banyak laluan untuk ke sana,

ada yang lurus laluannya,

 ada yang berliku-liku dan banyak ranjaunya.

Justeru.. kuatkan semangat, 

Cekalkan hati untuk terus melangkah,

Moga kecemerlangan bakal terukir,

Lantas menjadi contoh terbaik buat adik-adik,

Kami di sini sentiasa bersama,

Mendoakan yang terbaik,

 buat Angah.

Good luck, Angah!



Selasa, 29 Mei 2012

Persiapan Terakhir

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

 

Minggu ini, minggu yang sibuk bagi ibu dan ayah. Hanya berbaki tiga hari untuk menyiapkan segala keperluan angah yang akan mendaftar di sebuah ipta, 2 Jun nanti. Terpaksa menunggu saat-saat akhir kerana sebelum ni ibu dan ayah agak sibuk (mengalahkan menteri pelajaran.. hehe)

 

Pagi semalam ibu ke sekolah kerana menyelesaikan beberapa urusan yang tak sempat ibu bereskan sebelum cuti. Ayah juga ke sekolah kerana ada kelas tambahan. Jam 2.30 petang, barulah kami sempat menemani angah ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Urusan di hospital selesai lebih kurang jam 4.30 petang. 

 

Pagi tadi, ibu ke sekolah lagi kerana ada bengkel Bahasa Melayu untuk murid-murid tahun 6. Program selesai hampir jam 1.00 tengah hari. Jam 2.30 petang, ibu dan ayah sekali lagi menemani angah. Kali ini ke bank pula untuk tunaikan waran WPP (Wang Pendahuluan Pembiayaan) PTPTN. Urusan di bank tak selancar urusan di hospital semalam. Untuk tunaikan waran tu saje, terpaksa menunggu hampir tiga jam.

 

Sebenarnya, dapat waran WPP tu dah seminggu. Ibu dan ayah yang menemani angah ke Majlis Penyerahannya di UiTM Bandar Tun Razak, Jengka pada Sabtu, 19 Mei. 

 

Sebahagian daripada 1,133 penerima WPP bersama pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said.  Angah nun di belakang; nampak kepala je..

 

Kononnya, selepas urusan pendaftaran angah selesai, kami akan bercuti-cuti Malaysia. Tapi, punyalah sibuk, sampai lupa nak tempah bilik penginapan. Malam tadi jenuh ibu dan ayah menggoogle dan menelefon homestay, hotel dan chalet, semuanya dah penuh. huhu..

 



COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA