Jumaat, 22 Ogos 2014

Kepulangan yang Dinanti

Kira-kira pukul 3.40 petang Khamis (9.40 malam waktu Malaysia), pesawat khas MAS Boeing 747 yang membawa 20 jenazah mangsa nahas MH17 akhirnya berlepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol, Amsterdam. Pesawat MH6129 itu akhirnya mendarat di KLIA tepat jam 9.54 pagi Jumaat.

Satu demi satu keranda dibawa turun dengan penuh istiadat. Upacara penghormatan jenazah selesai jam 10.54 pagi apabila kesemua 17 keranda dan tiga bekas berisi abu mayat mangsa dimasukkan ke dalam 20 kenderaan jenazah. Serentak dengan itu, rakyat Malaysia di seluruh negara bertafakur selama seminit memberi penghormatan terakhir buat mangsa.

Jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke destinasi masing-masing untuk dikebumi atau disemadikan.

Hari ini Malaysia menangis. Hibanya hati menyaksikan kepulangan mereka. Lebih sayu melihat anak-anak merintih hiba kerana kehilangan ayah dan ibu sekelip mata. Ratap pilu ibu bapa yang kehilangan anak yang disayangi, isteri yang kehilangan suami tercinta dan suami yang kehilangan isteri yang dikasihi cukup meruntun kalbu.

Tragedi MH17 yang berlaku 37 hari lalu tidak mungkin akan luput dari ingatan ahli keluarga mangsa sepanjang hayat mereka. Biarpun hari ini ketibaan jenazah mangsa diberikan penghormatan tertinggi negara, namun ia tidak mampu menghilangkan kesedihan, kepiluan, kerinduan dan rasa kehilangan yang akan ditanggung mereka sepanjang hayat. Tambahan pula kehilangan insan tersayang dalam keadaan yang cukup tragis dan tidak pernah diduga.

Sesungguhnya, Allah jua yang mengetahui setiap sesuatu yang berlaku. Daripada Dia kita datang, kepada-Nya jua kita kembali.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas kunjungan dan komen-komen ikhlas daripada anda. Insya-Allah kunjungan anda akan dibalas.

COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA