Isnin, 17 Disember 2018

Markisa dari Kebun Bonda


Bonda saya suka berkebun. Walaupun hanya tanah sekangkang kera, maklumlah hanya mendiami rumah teres, banyak tanaman yang mengisi ruang. Salah satu tanaman yang menghuni kebun bonda ialah markisa aka passion fruit. Tiap kali saya ke rumah bonda, buah markisa akan menjadi bekalan untuk dibawa pulang. 

Tidak ramai yang mengenali buah ini apatah lagi memakannya. Bagi yang tidak mengenali, markisa ialah sejenis pokok yang menjalar. Ia akan berpaut pada apa-apa sahaja permukaan untuk mendapatkan cahaya matahari. Buahnya sedikit masam dan manis. Buahnya boleh dimakan begitu saja ataupun boleh dijadikan minuman. Sekarang telahpun ada jus markisa dijual di pasar-pasar raya.

markisa

Buah markisa ada beberapa spesies. Ada yang berwarna kuning dan ada yang berwarna ungu. Yang terdapat di kebun bonda berwarna kuning. Buahnya yang hijau semasa muda akan bertukar kuning apabila telah matang.

.

Buah markisa kaya antioksidan dan tinggi serat. Saya suka buat jus. Isinya ditambah gula dan air. Nak makan macam tu saja pun boleh. Meletup² bunyi bijinya bila dikunyah. Biji buah markisa juga tinggi khasiatnya. 
.
Nak tahu apa khasiatnya? Boleh baca di sini.
.
#MarkisaDariKebunBonda



Ahad, 25 Jun 2017

Salam Aidifitri



تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ ْ
Taqabalallahuminna waminkum 

Ramadhan 1438H
telah melabuhkan tirai.
Fajar Syawal kembali menjengah.
Kini, kita kembali kepada fitrah.
Moga dosa² kita diampunkan
dan nama kita tercatat indah
di pintu Syurga.

Sepuluh jari disusun
Memohon ampun dan maaf
atas segala kekhilafan diri.

Andai kata membekas lara
Andai tingkah menoreh luka
Andai bicara menikam jiwa
Ampun dan maaf dipinta.

Ikhlas daripada:
Ibu sekeluarga


Ahad, 23 April 2017

Selamat Hari Lahir, Along



Kenangan ketika Along kecil dulu tak akan pernah terpadam di ingatan selagi hayat dikandung badan. Serasa kenangan itu baru saja berlalu. 

Along cucu sulung buat kedua² buah keluarga. Alonglah penyeri kehidupan kami ketika itu. Tidak lama kemudian, lahir Angah dan Ude. Kelihatannya kasih terbahagi. Namun hakikatnya kasih dan sayang ibu kepada Along tidak pernah berkurang. 

Kini, Along telah dewasa, sudahpun menjadi seorang isteri. Tiada apa yang ibu harapkan melainkan sentiasa mendoakan kebahagiaan Along. Moga Along menjadi isteri solehah, bahagia di dunia dan akhirat.

Selamat Hari Lahir, Along
Moga bahagia selalu.


Jumaat, 14 April 2017

Kisah dan Teladan

Macam² kisah yang pernah terjadi antara menantu dan mertua, lebih² lagi menantu yang tinggal sebumbung dengan mertua. Hari ini, sebuah kisah yang menyentuh hati berkisar tentang menantu dan mertua telah dikongsikan di laman Facebook Kisah Rumah Tangga.

Kisah yang menyentuh hati ini berkisar tentang anak yang amat menyanjung tinggi ibu kandungnya. Lantaran itu, si anak menaruh sepenuh kepercayaan terhadap ibu untuk membimbing isteri yang baru dinikahinya. Namun, perkara yang sebaliknya telah berlaku.



Moga kita mengambil iktibar daripada kisah ini.

Kredit: KRT


Selasa, 21 Mac 2017

Manfaat Air Kelapa

Ketika musim panas sekarang yang berpunca daripada fenomena El Nino, seelok-eloknya minum air yang banyak bagi mengelak badan kita mengalami masalah kekurangan air. Salah satu caranya adalah dengan meminum air kelapa muda.


Dalam pada itu, air kelapa muda yang diminum mampu dijadikan penawar racun, meredakan cirit-birit, mengubati demam panas, melawaskan buang air kecil dan air besar. Terdapat juga dakwaan air kelapa muda yang dicampur dengan beberapa bahan lain mampu mengubati penyakit batu karang.

Air kelapa muda juga boleh diminum dengan ditambah perahan air limau nipis bagi menghilangkan keletihan. Minuman itu boleh dicampur dengan ais supaya terasa lebih segar.

Meminum air kelapa muda turut mampu mengubati jangkitan cacing pada anak-anak dengan menambah sedikit jus asam limau dan satu sudu minyak zaitun. Minumlah tiga kali sehari.

Air buah kelapa hijau jika dibandingkan dengan kelapa jenis lain mengandungi banyak tanin atau bahan antiracun yang paling tinggi. Komposisi kandungan kimia lain yang terdapat dalam air kelapa ialah asid askorbik atau vitamin C, protein, asid lemak Omega 3, karbon terhidrat dan kalsium.

Mineral yang terkandung dalam air kelapa ialah zat besi, fosforus dan gula yang terdiri dari glukosa, fruktosa serta sukrosa.

Minyak kelapa yang disapu pada gigi atau gusi yang sakit mampu mengurangkan kesakitan begitu juga dengan kulit bermasalah. Bahan itu juga akan menjadikan rambut subur, hitam dan berkilat.

Isi buah kelapa pula mempunyai banyak khasiat. Isi buah kelapa yang sudah tua mengandung kalori yang tinggi sebanyak 359 kal per 100 gram, kelapa setengah tua sebanyak 180 kal per 100 gram dan kelapa muda mengandung 68 kal per 100 gram.

Kredit: Dr. Norzaidi Zakaria
Biro Media Pertubuhan Doktor² Islam Malaysia (Perdim)


Ahad, 29 Januari 2017

Janji yang Pasti


Manusia ibarat DAUN.
Jika tidak gugur hari ini,
suatu hari nanti PASTI akan gugur juga.
Begitulah insan yang kita sayangi.
Umpama daun, mereka jua PASTI
suatu hari nanti akan MENINGGALKAN kita.
Detik itu pasti akan datang.
Itu janji kita sejak dulu;
sanggup datang, sanggup pulang.
Kita dan mereka pasti berpisah
oleh TAKDIR yang dinamakan KEMATIAN.
Yang kekal hanyalah kasih dan
cinta ALLAH kepada hamba-Nya.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Rabb..
Ampunilah segala dosaku, dosa kedua²
ibu bapaku dan kasihanilah kedua²nya
sebagaimana mereka mengasihani
kami sedari kecil.
Aamiin Ya Rabbal 'Alamin

Selamat jalan ayahanda tercinta.
Moga Allah SWT mempermudah
perjalanan ayah menuju Ilahi.
Moga Allah SWT melapangkan dan
mempermudah segala urusan
ayah di alam barzakh.
Moga Allah SWT menempatkan ayah
dalam golongan orang yang soleh.

Terima kasih buat semua yang hadir
menziarahi ayah buat kali terakhir.
Terima kasih buat semua yang turut
mengiringi ayah ke pusara.
Terima kasih buat semua yang
mendoakan ayah dari jauh dan dekat.
Semoga Allah SWT membalas dan
memakbulkan doa² kita semua.

Aamiin Ya Rabbal 'Alamin

Abdul Rahim bin Jaludin
14 September 1941 - 27 Januari 2017
(23 Syaaban 1360 - 28 Rabiulakhir 1438H)


Ahad, 1 Januari 2017

Selamat Datang 2017

السلام عليكم

Selamat Pagi.
masa lalu
Masa Lalu.
Kita semua pernah ke sana, berkelana dengan segala warna yang ada. Saat kembali dari sana, ada yang sedih, ada pula yang bahagia.

Ya, masa lalu tidak memberikan pengalaman yang sama kepada setiap daripada kita. Sama ketika Allah memberikan hidup dan kurnia serta ujian kepada hamba-Nya. Selalu berbeda.

Persamaan yang ada, kita tidak akan pernah lagi ke sana. Namun, masa lalu bisa menyapa pada bila² masa. Membawa bersama sejuta kenangan; kesenangan mahupun kepahitan.

Hari ini
Kita sambut dengan rasa syukur. Sesekali, biarkan masa lalu menyapa dan bertamu untuk kita ambil setiap hikmah dan pelajaran yang pernah diberikan.

Selamat tinggal 2016





Selasa, 20 Disember 2016

Syurga Isteri

السلام عليكم

Selamat Pagi.
Jadi seorang isteri, hal yg amat kritikal ialah suami. Kita - makhluk Allah yg sarat dengan emosi dan kadang terlalu menuruti kata hati, lalu memang satu hal yg menakutkan kalau ada kata² dan tindak tanduk kita yg melukai hati suami - sengaja atau tak sengaja.

Rasulullah ﷺ sebut dengan jelas tentang perangai orang perempuan - saat berdepan dengan satu saja pun keburukan suami, si isteri boleh lupa dengan kebaikan suaminya yang lain. Perangai inilah yg paling banyak menjerumuskan perempuan ke neraka. Allah.. betapa ngerinya! 

Jadi seorang isteri, banyak²lah meminta maaf drp suami. Mungkin ada terkurang layanan kita, terkasar bahasa kita, terlajak berprasangka, tercerita tentang aibnya kpd sesiapa.

Allah ya Allah... rendahkan hati kita utk merayu kemaafan daripadanya. Jangan kita hanya nampak kelemahan dia tapi kita lupa kelemahan kita. Jangan kita sibuk besar²kan kesilapannya tapi kita pandang kecil kesilapan kita.

Pandang muka suami kita. Siapa pun dia, itulah yg Allah dah pilihkan sebagai jodoh kita. Itulah lorong nikmat, itulah juga lorong ujian Allah buat kita. 

Semua buruk baik dia boleh jadi asbab kebaikan untuk kita. Mungkin utk tundukkan ego kita. Mungkin utk Allah beri pahala melalui sabar kita. Mungkin utk latih kita berdikari dan keluarkan potensi diri. Ada sebabnya. Pasti ada sebabnya! 

Minta Allah jaga rumah tangga kita. Kalau ada hal tentangnya yg kita tak suka, banyakkan berdoa kpd Allah. Kita tak boleh ubah suami kita tapi Allah boleh. Minta drp Allah. Jaga hubungan kita dgn Allah agar mudah kita minta Allah jaga rumahtangga kita.

Masya-Allah.. indahnya kesudahan hidup seorang isteri andai dia mati dlm keadaan mendapat redha seorang suami. Indahnya janji Allah bahawa isteri yg diredhai suaminya boleh masuk syurga dari mana² pintu yg disukainya. Indah sangat, kawan²! Tak teringin ke kita untuk mendapatkannya?

Hari ni, ayuh simpan niat utk jadi isteri yg lebih baik drp semalam. Simpan hasrat utk cuba dan kemudian cuba. Allah pandang usaha kita. Allah pasti beri ganjaran walau pun pada sekecil² usaha kita. إن شاء الله

Jadikanlah kami isteri yang menyejukkan hati suami kami ya Allah. آمِيْنُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن

#cnpgroupwhatsapp


Rabu, 14 Disember 2016

WW 41: Kalendar 2017

kalendar 2017



Isnin, 12 Disember 2016

Selamat Hari Lahir, Abang

السلام عليكم

Selamat Pagi.


Hari ini ialah hari ulang tahun kelahiran anak lelaki sulung ibu, Muhammad Faiz Izzuddin Yusli. Kebetulan pula ulang tahun yang ke-17 ini jatuh pada 12 Rabiul Awal, tarikh ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW.

Abang..
Selamat Hari Lahir ibu ucapkan. Tiada hadiah yang lebih bernilai dapat ibu  berikan pada hari ulang tahunmu ini selain doa. Moga dengan bertambah usiamu semakin melimpah rezeki dan kebaikan yang Allah berikan. Moga kegembiraan dan kebahagiaan juga sentiasa mengisi perjalanan hidup abang.

Ya Allah.. 
Abadikanlah kasih sayangnya kepada kami. Tunjukkanlah jalan yang lurus dan penuhilah hidupnya dengan cahaya-Mu, lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman dan  keindahan tawakal kepada-Mu, hidupkanlah dia dengan ma'rifat-Mu, dan matikanlah dia dalam keadaan syahid di jalan-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah  sebaik² Pelindung dan sebaik² Penolong.
 آمِيْنُ يَا رَبَّ الْعَالَمِي 



Salam Maulidur Rasul


12 RABIUL AWAL 1438H
12 DISEMBER 2016

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”
Surah al-Anbia’: 107


Ahad, 11 Disember 2016

Ikhlas


Assalamualaikum. Salam sejahtera

Ikhlas bagi sesetengah orang mungkin sesuatu yang mudah dilakukan. Namun, tidak kurang juga yang menganggap sebaliknya.

Sering kali kita mendengar orang yang mengaku dia telah ikhlas. Namun, dalam masa yang sama dia masih sering mengungkit dan membicarakan tentang keikhlasannya.

Adakah benar dia telah ikhlas?

Tidak ada orang yang mampu menilai keikhlasan seseorang. Ikhlas hanya bisa dirasakan dan diketahui oleh orang itu sendiri.

Keikhlasan dapat dirasakan apabila hati terasa sangat lapang dan tidak mengharapkan apa saja balasan daripada manusia. Yang diharapkan hanyalah redha Allah.

Sesungguhnya, ikhlas itu adalah seperti surah Al-Ikhlas yang sama sekali tidak ada kata ikhlas di dalamnya. Ia tidak terlihat dan tidak tergambarkan. Ia hanya terasa di dalam hati.

Jadi, yang masih sering mengungkit dan membicarakan keikhlasannya, tepuk dada tanyalah hati. Adakah ikhlas itu benar² terhunjam dalam diri?

Moga kita semua termasuk dalam golongan orang yang sentiasa mengharapkan redha-Nya. Aamiin..

ikhlas



Isnin, 5 Disember 2016

Cantik dari Dapur: Petua Hilangkan Parut


Assalamualaikum. Selamat petang. 

Kesan parut terutamanya di bahagian wajah boleh menjejaskan penampilan seseorang dan membuatkan mereka berasa rendah diri dan kurang yakin untuk berdepan dengan orang ramai. 

Parut terbentuk melalui proses penyembuhan luka di bahagian kulit. Ini termasuklah parut jerawat, parut luka, parut pembedahan atau kesan kebakaran. 

Parut mengambil masa yang lama untuk hilang sepenuhnya malah ada juga parut yang akan terus kekal di bahagian kulit terutamanya parut yang bersaiz besar seperti parut pembedahan atau kebakaran.

Banyak petua tradisional yang boleh diamalkan untuk menghilangkan parut. Hari ini ibu ingin kongsikan petua menghilangkan parut dengan asam jawa. 

Mula² campurkan asam jawa dengan tepung ubi. Gaul campuran ini hingga sebati. Kemudian, campurkan sedikit air (agak² bahan tersrbut boleh disapu di kawasan parut). Sapukan di bahagian berparut setiap malam. Biarkan sampai esok pagi barulah dibersihkan.

Insya Allah, bekas parut akan semakin pudar dan hilang.

Ps: Lazimnya, penggunaan bahan semula jadi selamat untuk semua jenis kulit. Namun, jika berlaku alahan seperti gatal-gatal atau kulit kemerah-merahan akibat kulit yang terlalu sensitif, maka disarankan untuk menghentikan amalan petua ini.


Ahad, 4 Disember 2016

Tak Perlu Tunjuk Baik


Elakkan daripada membuka keaiban saudara sendiri dan orang lain kerana ia merupakan sifat tercela dan boleh menyebabkan persengketaan. Kadang² perasaan marah, hasad dengki dan dendam menyebabkan seseorang membuka aib seseorang yang tidak disukainya. Adalah sebaiknya kita mengawal emosi dan kemarahan yang ada dalam diri.

Adalah penting juga untuk tidak membuka keaiban diri sendiri dengan menceritakan kepada orang lain. Sentiasalah berusaha untuk menjaga diri sendiri dan berubah menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.

Tidak perlu menunjukkan kita baik, tapi cukuplah dengan melakukan perkara yang baik².

jaga aib orang



Sabtu, 3 Disember 2016

Faiq @ Kem Tahfiz Muda

السلام عليكم

Selamat Malam semua.

Hari ni nak cerita tentang Faiq @ Kem Tahfiz Muda lagi. Dah masuk hari keenam Faiq dan rakan² di sini.  Masa memang mencemburui. Pejam celik, pejam celik, esok berakhirlah kem seminggu ni.

Sepanjang Faiq mengikuti kem, sempat dua kali ibu berkunjung ke sana. Ala.. bukan jauh mana, tak sampai pun lima minit kalau berkereta. Ibu nak juga tengok apa aktiviti mereka. Katanya ada aktiviti memanah, itu yang buat ibu teruja. Tapi, dua kali ke sana tak dapat tengok juga. Tak pe, Faiq balik nanti boleh dengar dia bercerita.  

Hari keempat, ibu dan ayah sampai masa mereka berkumpul nak mulakan aktiviti. Dari jauh ibu tengok, rasa sayu pulak hati. "Entah apa-apalah ibu ni," cuba memujuk hati sendiri. Mereka ok je, nampak bukan main seronok lagi. Sesama mereka nampak akrab sekali, biarpun baru kenal beberapa hari.

Petang semalam, lagi sekali ibu dan ayah ke sana. Menghantar pakaian kering dan biskut yang Faiq minta. Sedang elok kami tiba, hujan turun selebat²nya. Hanya ayah yang turun dan berjumpa. Ibu hanya sempat mengintai² dari kereta.

madad
Hujan dah mula turun. Ayah je yang masuk. Ibu mengintai² dari sini

Gambar² dari FB MADAD.

Sekian untuk hari ni.
Insya Allah, esok ibu ke sini lagi.
Majlis penutupan pukul 10.00 pagi.
Moga semuanya berjalan lancar dan diberkati.

Jumpa lagi...



Baik yang Mana?

"Wahai Sheikh! Manakah yg lebih baik; seorang muslim yang banyak ibadahnya tetapi akhlaknya buruk atau seorang yg tidak beribadah tapi amat baik perangainya sesama manusia?" tanya srorang pemuda.

"Subhanallah, kedua²nya baik," ujar Sheikh sambil tersenyum.

"Mengapa begitu?" desak si pemuda.

"Kerana org yang tekun beribadah itu mungkin akan dibimbing Allah untuk berakhlak mulia asbab ibadahnya, manakala org yang baik perilakunya itu mungkin akan dibimbing Allah untuk semakin taat kepada-Nya".

"Jadi, siapa yang lebih buruk?" desak si pemuda itu lagi.

Airmata mengalir di pipi Sheikh.
"Kita, anakku," ujar beliau.
"Kitalah yang selayaknya disebut buruk lantaran gemar sekali menghabiskan waktu untuk menilai orang lain dan melupakan diri sendiri."

Dalam hiba tangis, si alim menyambung kata...

"Sedangkan kelak, kita akan dihadapkan kepada Allah dan ditanya tentang diri kita, bukan orang lain."

mana baik


Jumaat, 2 Disember 2016

Kem Tahfiz Muda @ MADAD

السلام عليكم

Selamat Petang semua.

Maahad Dirasat Diniyyah (MADAD) Kampung Temin, Jerantut telah menganjurkan Kem Tahfiz Muda selama seminggu bermula 28 November hingga 4 Disember 2017. Bila dapat tahu tentang program ni beberapa minggu lepas, ibu terus booking tempat untuk putera bongsu ibu. Tak sempat bertanya tuan punya diri sebab dia masih di asrama masa tu.

Dua minggu sebelum cuti barulah sempat beritahu Faiq. “Kata nak jadi pendakwah. Ni lah masanya nak timba ilmu,” ayat memujuk ibu, bimbang kot dia tak setuju. Maklumlah, balik dari asrama nak kena join kem pulak. Alhamdulillah, Faiq ok je. Ibu je yang duk bersangka².
 

Ni gambar masa hari pendaftaran.
Dua orang anak saudara ibu, Harith dan Muhammad pun join program ni. Bertiga sepupulah diorang kat sini. Yang di belakang tu adik² ibu, Fazilah dan Lina. Di tepi tu mak ibu. Nenek pun tak nak ketinggalan menemani cucu² mendaftar.


Gambar hari pertama kem.
Gambar² ni dari FB Ustaz Zuridan, mudir MADAD. Pinjam gambar ye Ustaz. Terima kasih. 

Duhai anak²! Timbalah ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin buat bekalan dunia dan akhirat. Moga kalian menjadi anak soleh yang membahagiakan ibu bapa dan keluarga serta bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.
آمِيْنُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن




Khamis, 1 Disember 2016

Pentas Hari Anugerah Cemerlang

السلام عليكم

Selamat Pagi semua.

Minggu lepas, 23 November 2016 adalah majlis Hari Anugerah Cemerlang sekolah ibu. Seperti biasa, ibu ditugaskan untuk menghias pentas bersama dua lagi rakan guru. Sejak berpindah ke sekolah ini kira² sembilan tahun lalu, tugas ini begitu sinonim dengan ibu. Sejujurnya, ibu senang dengan tugas ini kerana ia mencabar kreativiti.

Kerja² menghias pentas hanya dibuat sehari sebelum majlis kerana ibu dan seorang lagi rakan ajk sibuk menyiapkan sijil berhenti sekolah dan mengemas kini fail peribadi murid untuk diserahkan kepada murid tahun 6 pada hari terakhir persekolahan.

Tahun ini hiasan pentas dibuat ala kadar je kerana tiada peruntukan macam tahun² sebelum ini. Dengan bermodalkan kertas putih dan kertas pelbagai warna bersaiz A4, inilah hasilnya... 

hiasan-pentas 

Kerja² melipat dan menggulung kertas dimulakan lebih kurang pukul 9 pagi dengan bantuan murid tahun 6. Kipas² hiasan dan gulungan kertas ini siap ditampal di latar belakang pentas lebih kurang pukul 1.30 tengah hari. Rama² berwarna putih tu ibu siapkan di rumah dan ditampal keesokannya sebelum majlis bermula.

Alhamdulillah, dapat juga kami menyiapkan hiasan pentas yang serba ringkas ini.

Sekian, jumpa lagi.  
Assalamualaikum.
  


Rabu, 30 November 2016

Jadual Pembayaran Gaji Tahun 2017

Jadual Pembayaran Gaji Tahun 2017 telahpun dikeluarkan di Portal Jabatan Akauntan Negara Malaysia pada 28 November 2016. Klik sini.

Dikongsikan di sini jadual tersebut sebagai rujukan para penjawat awam.  Moga dengan adanya jadual ini diharap dapat membantu kita merancang bajet perbelanjaan dan percutian 2017.

Jadual Pembayaran Gaji Bulanan Kakitangan Sektor Awam Tahun 2017

BULAN
TARIKH
HARI
CATATAN
JANUARI
19.01.2017
KHAMIS
Tahun Baru Cina 28 (Sabtu) & 29 (Ahad) Januari 2017
FEBRUARI
23.02.2017
KHAMIS

MAC
23.03.2017
KHAMIS

APRIL
25.04.2017
SELASA

MEI
25.05.2017
KHAMIS

JUN
15.06.2017
KHAMIS
Hari Raya Puasa 25 (Ahad) & 26 (Isnin) Jun 2017
JULAI
25.07.2017
SELASA

OGOS
24.08.2017
KHAMIS

SEPTEMBER
25.09.2017
ISNIN

OKTOBER
11.10.2017
RABU
Hari Deepavali 18 (Rabu) Oktober 2017
NOVEMBER
23.11.2017
KHAMIS

DISEMBER
21.12.2017
KHAMIS


 




COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA