Ahad, 12 Mei 2013

Terima Kasih Ibu

Ibu, bak kartika yang berkerdipan di malam kelam, begitu juga dikau yang tak pernah jemu menyinari hidupku dengan sinar kasihmu. Aku membesar dengan kasih sayangmu yang melimpah ruah, malah cahaya kasihmu menemaniku di sepanjang perjalanan ini. 

Ibu, sesungguhnya jasa dan pengorbananmu tak dapat kubalas walau dengan segunung intan. Namun, selagi hayat dikandung badan, jasa dan pengorbananmu akan tetap kukenang.  

Terima kasih ibu.

 foto: fb


Sabtu, 11 Mei 2013

Panduan Temuduga PISMP / KPLSPM

Tahniah kepada anak-anak yang berjaya melayakkan diri ke sesi temuduga Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) atau Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSPM) 2013. Kepada yang belum membuat semakan, bolehlah membuat Semakan Temuduga PISMP / KPLSPM   sekarang. 

Berikut beberapa tips sebagai persediaan untuk menghadiri temuduga PISMP/ KPLSPM.

Komponen Temuduga
  • Ujian INSAK (Inventori Sahsiah Keguruan)
  • Sesi Temuduga

INSAK (Inventori Sahsiah Keguruan) 

Calon guru mesti mempunyai ciri-ciri sahsiah yang positif dan yang terpuji untuk memikul tanggungjawab sebagai guru. Ujian komponen INSAK ini merupakan ujian bagi mengesan kesesuaian sahsiah calon untuk profesion keguruan. Komponen ujian INSAK ini mengandungi gagasan soalan berhubung amanah, taat setia, ikhlas, dedikasi, kepekaan, kepimpinan, motivasi, kreatif, inovatif dan kawalan emosi.

Format Soalan Komponen INSAK
  • Jumlah soalan: 100
  • Masa: 30 minit
  • Bentuk soalan: Soalan objektif 2 pilihan

Persediaan Menghadiri Temuduga
  1. Sediakan sebuah fail sijil. Sijil-sijil hendaklah disusun mengikut keutamaan iaitu didahului dengan surat tawaran temuduga, diikuti sijil SPM, sijil berhenti sekolah dan sijil-sijil kokurikulum. Sijil-sijil ini perlu disusun mengikut peringkat pencapaian (didahului dengan sijil peringkat kebangsaan dan diikuti sijil-sijil peringkat negeri, daerah dan sekolah).
  2. Melengkapkan borang pernyataan hasrat. Pernyataan hasrat ini berupa sebuah karangan ringkas untuk menyatakan sebab mengapa anda memilih kerjaya perguruan, pengalaman anda dalam bidang ini dan sumbangan yang boleh anda berikan terhadap bidang perguruan sekiranya anda terpilih. Sediakan karangan sebaik mungkin.
  3. Berpakaian kemas dan bercirikan seorang guru. Bagi calon lelaki, sebaik-baiknnya memakai kemeja lengan panjang dan bertali leher dan berkasut hitam. Bagi calon perempuan pula, sebaik-baiknya berbaju kurung, bertudung atau berpakaian sopan dan memakai kasut bertutup.
  4. Sesi temuduga terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Ujian INSAK, Temuduga Individu dan Temuduga Berkumpulan. 
  5. Bagi ujian INSAK, anda perlu menjawab 100 soalan dalam masa 30 minit. Rancang masa sebaik-baiknya agar anda dapat menjawab kesemua soalan. 
  6. Bagi sesi temuduga individu, anda akan ditanya tentang latar belakang pendidikan, keluarga dan juga sebab mengapa anda meminati kerjaya perguruan ini. Anda juga mengkin ditanya tentang aktiviti yang telah anda sertai di sekolah dan juga mengenai sijil-sijil yang telah anda peroleh. Mereka yang memohon pengkhususan Bahasa Inggeris, anda akan turut ditanya soalan dalam Bahasa Inggeris dan perlu menjawabnya dalam Bahasa Inggeris juga. 
  7. Bagi sesi temuduga berkumpulan, seramai 6 orang atau kurang akan turut serta dalam sesi ini. Satu topik dan diberikan dan anda perlu mengemukakan hujah anda. Bagi membantu anda mengemukakan hujah dengan yakin, maka persediaan awal perlu dibuat. Buatlah sedikit persediaan dengan membaca tentang isu-isu semasa dan perkara yang berkaitan dengan pendidikan di Malaysia.
Ps: Moga perkongsian ini dapat membantu anak-anak semasa sesi temuduga nanti.


Jumaat, 10 Mei 2013

Tetamu Terakhir

Teman, 
Hari ini tentu kau cukup gembira menyambut tetamu yang datang berkunjung. Saudara-mara dan sahabat handai sentiasa hadir berkongsi rasa; bahagia meraikan kejayaan mahupun gembira menyambut ulang tahun kelahiran. Namun, tahukah kamu siapakah tetamu terakhir yang akan menziarahimu? 

Ketahuilah bahawa tetamu ini datang untuk satu urusan penting yang telah ditetapkan. Kehadirannya merupakan sesuatu yang pasti, bukan kerana ingin bergembira bersamamu atau ingin menikmati hidangan lazat bersamamu. Tetamu yang satu ini, disukai atau tidak tetap akan datang menemuimu. Kamu dan keluarga kamu malah seluruh penduduk buana ini tidak akan mampu menggagalkan misinya.

Teman,
Pengunjungmu ini akan hadir tanpa undanganmu. Dia akan datang tanpa janji temu dan berhadapan denganmu tanpa meminta izin terlebih dahulu. Kehadirannya tanpa mengira waktu atau keadaan tertentu; ketika kamu lapang ataupun sedang sibuk, ketika kamu sihat ataupun sedang sakit, ketika kamu masih kaya ataupun sedang fakir,  ketika kamu di rumah ataupun sedang bermusafir.

Kamu tidak akan mampu menghalang tetamu itu daripada melunaskan urusannya denganmu. Segagah mana pengawal yang menjaga, setinggi mana menara yang dibina dan sekukuh mana benteng yang direka, tetamu itu tetap akan dapat membolosinya. 

Ucapan, rayuan, jeritan mahupun tangis sendumu tidak akan mampu mempengaruhi tetamumu itu. Harta benda dan pangkatmu juga tidak akan berjaya memalingkan dia daripada tujuan asalnya kerana semuanya itu tidak bererti apa-apa baginya.

Teman,
Sesungguhnya, tetamu itu hanya menginginkan dirimu saja, bukan orang lain. Dia menginginkan dirimu semuanya bukan separuh badanmu. Kehadirannya akan mengakhiri hidupmu, menyudahi aktivitimu dan menutup lembaran-lembaran amalmu.

Setelah kunjungannya itu, kamu tidak akan dapat lagi melakukan satu kebaikan pun. Tidak dapat melakukan solat, tidak dapat membaca satu ayat pun dari kitab-Nya, tidak dapat bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir, beristighfar walaupun sekali. Tidak dapat berpuasa walaupun sehari, bersedekah dengan sesuatu meskipun sedikit, tidak dapat melakukan haji dan umrah, tidak dapat berbuat baik kepada saudara-mara, sahabat mahupun tetangga. 

Benar, tetamu terakhirmu itu adalah malaikat maut.



Rabu, 8 Mei 2013

Peraduan Menulis Cerpen Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah 2013

 
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Peraduan Menulis Cerpen Pelajar Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah sejak tahun 2008 lagi. Pada tahun ini, peraduan ini telah bermula pada 1 Februari 2013 dan akan berakhir pada 31 Mei 2013.

Kepada anak-anak yang berminat dan ingin membina dan mengasah bakat penulisan kreatif masing-masing, jangan lepaskan peluang ini. Begitu juga bagi ibu bapa dan para guru, inilah peluang untuk mencungkil bakat penulisan kreatif anak-anak dan para pelajar. 


Tema Peraduan Menulis Cerpen Pelajar Sekolah Rendah  2013:
  • Alam Persekolahan
  • Kasih Sayang/kekeluargaan
  • Pengembaraan
  • Cita-cita
  • Haiwan Kesayangan 
  • Alam Sekitar



Tema Peraduan Menulis Cerpen Pelajar Sekolah Menengah 2013: 

  • Pendidikan 
  • Kasih Sayang/Kekeluargaan 
  • Pengembaraan 
  • Kemasyarakata 
  • Kerjaya
  • Patriotik 
  • Alam Sekitar 
  • Sains dan Teknologi. 
  • Kesenian dan Kebudayaan 
  • Keusahawanan Penyiasatan

Muat turun Syarat-syarat dan Borang Penyertaan:

Sumber: Portal Rasmi KPM




Selasa, 7 Mei 2013

Petua Membuang Toksin dari Tubuh

Air putih 
Air putih berupaya membersihkan sistem pencernaan. Air putih bekerja menghilangkan racun dan makanan yang mungkin tersisa dan berkumpul dalam usus  melalui kulit dan ginjal. Minumlah dua gelas air putih setiap pagi setelah bangun tidur, dalam keadaan perut kosong dan minumlah sekurang-kurangnya lapan gelas air setiap hari.


Jus epal dan daun saleri 
Kisar sebiji epal bersama sebatang daun saleri. Amalkan meminum jus ini setiap pagi sebelum memulakan sarapan.Jus epal dan daun saleri ini dapat membersihkan saluran usus serta membuang toksid dengan pantas menerusi sistem pencernaan. Zat masam epal hijau merupakan pembersih tubuh yang sangat baik. Juga sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah sembelit atau masalah penghadaman.

Air kelapa hijau 
Air kelapa hijau bermanfaat untuk membersihkan saluran pencernaan bahkan dapat melawan kuman, virus dan bakteria. Minum air kelapa hijau secara teratur juga berupaya meningkatkan daya tahan tubuh.






COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA