Jumaat, 10 Mei 2013

Tetamu Terakhir

Teman, 
Hari ini tentu kau cukup gembira menyambut tetamu yang datang berkunjung. Saudara-mara dan sahabat handai sentiasa hadir berkongsi rasa; bahagia meraikan kejayaan mahupun gembira menyambut ulang tahun kelahiran. Namun, tahukah kamu siapakah tetamu terakhir yang akan menziarahimu? 

Ketahuilah bahawa tetamu ini datang untuk satu urusan penting yang telah ditetapkan. Kehadirannya merupakan sesuatu yang pasti, bukan kerana ingin bergembira bersamamu atau ingin menikmati hidangan lazat bersamamu. Tetamu yang satu ini, disukai atau tidak tetap akan datang menemuimu. Kamu dan keluarga kamu malah seluruh penduduk buana ini tidak akan mampu menggagalkan misinya.

Teman,
Pengunjungmu ini akan hadir tanpa undanganmu. Dia akan datang tanpa janji temu dan berhadapan denganmu tanpa meminta izin terlebih dahulu. Kehadirannya tanpa mengira waktu atau keadaan tertentu; ketika kamu lapang ataupun sedang sibuk, ketika kamu sihat ataupun sedang sakit, ketika kamu masih kaya ataupun sedang fakir,  ketika kamu di rumah ataupun sedang bermusafir.

Kamu tidak akan mampu menghalang tetamu itu daripada melunaskan urusannya denganmu. Segagah mana pengawal yang menjaga, setinggi mana menara yang dibina dan sekukuh mana benteng yang direka, tetamu itu tetap akan dapat membolosinya. 

Ucapan, rayuan, jeritan mahupun tangis sendumu tidak akan mampu mempengaruhi tetamumu itu. Harta benda dan pangkatmu juga tidak akan berjaya memalingkan dia daripada tujuan asalnya kerana semuanya itu tidak bererti apa-apa baginya.

Teman,
Sesungguhnya, tetamu itu hanya menginginkan dirimu saja, bukan orang lain. Dia menginginkan dirimu semuanya bukan separuh badanmu. Kehadirannya akan mengakhiri hidupmu, menyudahi aktivitimu dan menutup lembaran-lembaran amalmu.

Setelah kunjungannya itu, kamu tidak akan dapat lagi melakukan satu kebaikan pun. Tidak dapat melakukan solat, tidak dapat membaca satu ayat pun dari kitab-Nya, tidak dapat bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir, beristighfar walaupun sekali. Tidak dapat berpuasa walaupun sehari, bersedekah dengan sesuatu meskipun sedikit, tidak dapat melakukan haji dan umrah, tidak dapat berbuat baik kepada saudara-mara, sahabat mahupun tetangga. 

Benar, tetamu terakhirmu itu adalah malaikat maut.



4 ulasan:

  1. moga kita sama2 melangkah ke arah yg lebih baik dr smlm.

    BalasPadam
  2. Setiap 21 minit tetamu itu akn dtg menjenguk kita.. huhu..

    BalasPadam
  3. semoga kita semua bersedia menerima tetamu terakhir itu...

    BalasPadam
  4. tetamu yang pastinya hadir di penghujung nyawa kita nanti...

    BalasPadam

Terima kasih atas kunjungan dan komen-komen ikhlas daripada anda. Insya-Allah kunjungan anda akan dibalas.

COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA