Isnin, 9 Januari 2012

Melepaskan Batuk di Tangga?

Peribahasa melepaskan batuk di tangga sering digunakan dalam pertuturan. Yang pasti hampir semua orang tahu maksudnya iaitu melakukan sesuatu pekerjaan tetapi tidak sampai selesai.

Ramai yang beranggapan kata batuk dalam peribahasa ini adalah suara atau bunyi yang dikeluarkan semasa kita batuk. Kalau itulah yang kita maksudkan, ternyata kita salah. Sebenarnya batuk dalam peribahasa ini merujuk kepada batok iaitu  gayung atau pencedok air daripada tempurung yang bertangkai. Disebabkan perubahan ejaan, ramai yang salah faham dan tidak tahu apa sebenarnya batuk yang dimaksudkan dalam peribahasa ini.

Batok yang diperbuat daripada tempurung kelapa
[Foto: google.com]

Pada masa dahulu, setiap rumah di kampung-kampung menyediakan sebuah tempayan berisi air di tepi tangga. Tujuannya untuk membasuh kaki sebelum naik ke rumah. Batok pula digunakan untuk mencedok air di dalam tempayan tersebut. Selepas batok itu digunakan, sepatutnya kita meletakkannya semula di dalam tempayan atau di atas penutup tempayan, bukan ditinggalkan atau diletakkan di atas tangga begitu saja.

Jadi, orang yang melepaskan batok ditangga dianggap tidak membuat kerja dengan sempurna atau membuat kerja dengan tidak bersungguh-sungguh.

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Dewan Bahasa dan Pustaka, walaupun pendapat yang mengatakan bahawa yang benarnya ialah melepaskan batok di tangga namun, buku peribahasa masih mengekalkan bentuk yang sedia ada iaitu melepaskan batuk di tangga. Peribahasa ialah khazanah yang terakam sejak dahulu lagi, walaupun dicetak berulang kali tetapi bentuk asalnya tetap dikekalkan.[sumber]





1 ulasan:

  1. Terima kasih cikgu.......hi.hi.hi...mmg byk brlaku kekeliruan.....

    BalasPadam

Terima kasih atas kunjungan dan komen-komen ikhlas daripada anda. Insya-Allah kunjungan anda akan dibalas.

COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA