Khamis, 31 Januari 2013

Buah Perah

Assalamualaikum dan salam mesra buat sahabat semua. Bersua lagi di alam maya. Kali ini ibu nak bercerita tentang sejenis buah yang ibu percaya ramai tidak mengenalinya.

Kenal buah ini?
Inilah buah perah [Google image]

Bagi orang Pahang terutama orang Jerantut macam ibu ni, buah perah tidak asing lagi. Di sini, buah perah amat sinonim dengan asam rong. Namun, untuk hari ini ibu akan berbicara tentang buah perah sahaja. Cerita tentang asam rong akan ibu muatkan dalam entri lain.

Untuk pengetahuan, pokok perah tumbuh di hutan hujan khatulistiwa. Biji perah ini asalnya daripada buah yang setiap satunya mengandungi tiga biji buah perah. *Berbelit-belit ayat ibu. Harap semuanya faham. Lebih kurang macam buah getah dalam entri di SINI. 

Buah perah ini berbentuk lonjong dan berwarna coklat kehitaman. Kulitnya nipis tetapi keras, manakala isinya pejal dan berwarna putih. Untuk mendapatkan buah ini, kita tak perlu panjat pokoknya kerana buah perah akan gugur sendiri ke tanah setelah cukup matang. Buah perah yang sudah matang akan meletup dan berderai di udara sebelum jatuh tersebar ke bumi.

Untuk mendapatkan isinya, kita perlu ketuk buah ini bagi memecahkan kulitnya yang keras. Walau bagaimanapun, isi buah perah ini tidak boleh dimakan mentah kerana dikatakan akan menyebabkan pemakannya mabuk. Sebaliknya, buah perah perlulah dimasak atau diproses terlebih dahulu sebelum boleh dimakan.

Selain diproses menjadi asam rong, buah perah juga boleh direbus atau dijeruk. Kebiasaannya, buah perah rebus atau jeruk dijadikan hidangan minum petang. Ibu sendiri lebih suka perah jeruk kerana isinya lebih rangup. Makan buah perah ini lebih kurang macam makan kacang rebus tapi selera ibu lebih menggemari buah perah.  

Memandangkan daerah kelahiran ibu ini sebahagian besarnya masih diliputi  hutan, agak mudah untuk mendapatkan bekalan buah perah. Walau bagaimanapun tetap tidak boleh diperoleh sepanjang masa kerana pokoknya berbuah mengikut musim.

P/s: Harap-harap tak ada yang mengidam. Jenuh nak mencari kerana sekarang belum musimnya lagi.


Rabu, 30 Januari 2013

Timbang Berat Ibu Berbicara

Sejak beberapa hari ini, ibu lihat ramai blogger yang bercerita pasal berat blog. Ibupun tak nak ketinggalan. Nak tahu juga saiz dan berat blog ibu ni. Kebetulan semasa singgah di mialiana.com sebentar tadi Mia ada kongsikan link untuk tujuan tersebut. Apa lagi, terus ibu timbang blog Ibu Berbicara di SINI.

Jomlah kita tengok hasilnya.. 
size : 158.48 KB
load time : 0.45 seconds

Hehe.. orang timbang blog, ibupun nak timbang juga tapi dah dapat keputusannya tak tahu nak komen apa. Ibu akui memang kurang arif soal ini. Jadi kepada rakan-rakan yang lebih arif tu sudilah kiranya komen dan berikan cadangan untuk perbaiki blog ibu ni.


Apabila Maut Menjemput

Kita tiada kuasa terhadap diri kita kerana kita hanyalah hamba. Hari ini roh kita ada maka kita boleh berbuat apa sahaja. Namun apabila tiba masa dicabut roh dari jasad maka kita akan menjadi kaku dan tidak boleh bangkit kembali. Kita semua akan merasai kematian. Apakah persediaan kita? Bolehkah kita minta kematian andai ditimpa musibah?

Jom ikuti Apabila Maut Menjemput oleh Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria.


Kredit: Youtube


e-Penyata Gaji untuk Penjawat Awam

Sebagaimana yang diketahui, semua penjawat awam boleh mendapatkan slip penyata gaji secara online melalui sistem e-Penyata Gaji yang disediakan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

Cara Mendaftar e-Penyata Gaji

1.  Layari laman web Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) di sini.
2.  Klik pada e-Penyata Gaji dan Laporan.
3.  Seterusnya, klik Pertama Kali Mendaftar.
  
4.  Lengkapkan ruangan kosong. Setelah selesai, klik OK untuk pengesahan.

Kini anda boleh mengakses sistem e-Penyata Gaji untuk mendapatkan penyata gaji bulanan dan pendapatan tahunan. Daftar masuk menggunakan no. KP dan kata laluan yang digunakan semasa pendaftaran.

Cara Menyemak e-Penyata Gaji
  1. Layari laman web Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).
  2. Masukkan no. KP dan kata laluan, kemudian Daftar Masuk. [Klik SINI untuk daftar masuk] 
  3. Pilih bulan dan tahun bagi penyata bulanan yang dikehendaki.
P/s: e-Penyata Gaji boleh diperolehi menerusi laman web JANM sehari sebelum pembayaran gaji setiap bulan.


Isnin, 28 Januari 2013

Semakan Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya

Insyaallah, tidak lama lagi kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai warganegara yang layak untuk memilih wakil rakyat bagi mewakili kita di Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan Negeri.

Sudahkah anda membuat semakan daftar pemilih? Di manakah pusat mengundi, kawasan parlimen, DUN dan daerah mengundi anda?

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menasihati orang ramai yang telah mendaftar sebagai pemilih supaya menyemak maklumat pendaftaran bagi memudahkan mereka mengundi pada PRU13 nanti.

Semakan oleh pemilih berdaftar boleh dibuat melalui:
  • talian telefon, 
  • laman web,
  • mySMS 15888,
  • menulis surat ke SPR, atau
  • hadir ke ibu pejabat SPR atau pejabat-pejabat pilihan raya negeri.

Semakan melalui talian telefon:
Dail 03-8885 6565 pada waktu pejabat (8.00 pagi hingga 5.00 petang)

Semakan melalui laman web:
1. Semakan daftar pemilih individu
  • Masukkan No. K/P (tanpa "-" atau "space") dan klik SEMAK

2. Semakan daftar pemilih bagi isi rumah
Boleh juga buat semakan lebih daripada seorang seperti untuk diri sendiri, suami/isteri dan anak-anak.
  • Masukkan No. K/P (tanpa "-" atau "space") dan klik SEMAK
  • Jika ada tambahan isi rumah, klik Tambah IC

Semakan melalui SMS: 

Taip SPR<jarak>SEMAK<jarak>[No kad pengenalan] dan hantar ke 15888

P/s: Jangan bertangguh lagi. Semaklah sekarang.


Segmen: Saya Blogger Negeri.......


Minggu lepas ibu ditag oleh blogger Mialiana untuk join segmen Apit. Namun disebabkan agak sibuk ketika itu, ibu tangguhkan dulu hasrat untuk menyertai segmen ini. Alhamdulillah, hari ini berjaya juga ibu postkan entri penyertaan.

 Ibu blogger dari negeri Pahang Darul Makmur.


Sumber gambar: http://www.pahang.gov.my

Sudah tentu tempat menarik untuk dilawati di negeri Pahang ialah pusat peranginan tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Genting Highlands, Frazer's Hill, dan Bukit Tinggi. Para pencinta alam pula bolehlah ke Tasik Chini, Tasik Bera, Pulau Tioman, Taman Negara Kuala Tahan dan Taman Negara Endau-Rompin. Bagi yang ingin menikmati keindahan pantai dan pulau pula bolehlah ke Pantai Cherating dan Pulau Tioman.

Ibu tag NzA, mamaQS dan Zefa
Jika sempat mehlah join ye..

P/s: Kepada rakan-rakan lain, marilah sama-sama memeriahkan segmen ni. Boleh join bila-bila masa.


Ahad, 27 Januari 2013

Banner Ibu Berbicara daripada Mialiana

Ibu Berbicara
 
Akhirnya setelah berusia setahun sebulan, blog kesayangan ibu ini dah punya banner sendiri. Sebelum itu, pagi semalam, 26 Januari 2013 ibu dapat mesej daripada Mialiana di shoutbox.


Lepas baca mesej terus klik link tersebut. Rupa-rupanya ada entri Banner untuk Ibu Salmi dan Lily di mialiana.com...

Gembiranya ibu tak terkata. Coding untuk diletakkan di sidebar blog pula telah Mia emelkan. Terus buka emel, ambil coding lalu tampal di sidebar blog. 

Sebenarnya ibu adalah antara pemenang bagi Segmen Follow dan Blogwalking Oleh Mialiana.com. Mia anjurkan segmen tersebut sempena followernya yang mencecah 8500 orang ketika itu. Walau bagaimanapun, sehingga entri ini ditulis, follower Mialiana.com dahpun mencecah 9254 orang.

Ibu suka sangat dengan banner tu, simple dan sudah tentu menepati citarasa ibu yang sukakan bunga ros dan warna pink. Jutaan terima kasih buat Mia. Sayang Mia...


Kisah Kehilangan William Yau Zhen Zhong: Moga Tidak Berulang Lagi

Kisah kehilangan William Yau Zhen Zhong, 6, amat mengejutkan kita. Malah ibu turut bersimpati dan sedih apabila mengetahui bahawa mayat kanak-kanak yang dijumpai dekat jeti Sungai Sireh pada petang Khamis lalu disahkan sebagai William Yau yang hilang sejak 16 Januari yang lalu.[sumber] 

Terbayang kesedihan keluarga kanak-kanak malang ini terutama ibu dan bapanya yang saban hari menunggu berita penemuan anak mereka itu. Sudah tentu bukan berita sedih yang mereka harapkan namun segalanya telah ditentukan. Moga mereka dapat menerima dengan hati terbuka walaupun hakikatnya bukan mudah untuk menerima kehilangan seorang anak. 

Anak kedua daripada tiga beradik ini dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights apabila gagal ditemui selepas dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik di situ. 

Jika sebelum ini banyak pihak yang menuding jari ke arah ibu bapa William atas kehilangan kanak-kanak malang ini, kini timbul pula pelbagai spekulasi tentang kematiannya. Ibu juga berasa kesal kerana ada segelintir pihak yang menjadikan kejadian ini sebagai bahan gurauan di mana ada yang membuat panggilan palsu meminta wang tebusan. [sumber] 

Tega sungguh mereka berbuat demikian. Apakah sudah hilang segala rasa dalam diri? Atau apakah mereka yakin bahawa perkara yang sama tidak akan terjadi kepada keluarga sendiri? 

Dalam pada itu, ibu cukup hargai sikap masyarakat kita yang sentiasa prihatin dan saling membantu dalam isu sebegini tanpa mengira asal keturunan. Moga perpaduan ini kita kekalkan di samping mengambil ikhtibar atas apa yang berlaku.

P/s: Kejadian ini mengingatkan ibu kepada kisah Dirang.



Sabtu, 26 Januari 2013

Banner









Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2012 diumumkan Rabu ini

Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2012 akan diumumkan pada Rabu, 30 Januari ini. 

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran hari ini, calon boleh mendapatkan keputusan dari sekolah masing-masing mulai 10 pagi hari yang sama. Bagi calon persendirian pula, keputusan akan dimaklumkan melalui pos atau boleh terus menghubungi Jabatan Pelajaran negeri tempat mereka mendaftar.

Calon juga boleh menyemak keputusan melalui mySMS 15888 mulai 10 pagi, 30 Januari sehingga 11.59 malam, 5 Februari 2013. 

Cara semakan melalui mySMS 15888 adalah seperti berikut:
Taip STAM [angka giliran] dan hantarkan ke 15888

Sumber: Utusan Online



Jumaat, 25 Januari 2013

Semakan Online Markah Kokurikulum Lepasan SPM, STPM, STAM 2012

 
Permohonan Kemasukan KeIPTA/Politeknik/ILKA bagi lepasan SPM, Asasi, Matrikulasi, STPM, STAM, Diploma atau SETARAF dengannya bagi Sesi Akademik 2013/2014 telahpun dibuka mulai 7 Januari - 15 April 2013. 
 
Sebagaimana yang telah diketahui, bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), penilaian 10% markah kokurikulum adalah antara syarat kemasukan ke institut pengajian tinggi awam sesi 2013/2014.  

Kepada lepasan SPM, STPM dan STAM 2012, Semakan Markah Kokurikulum boleh dibuat di SINI

Aplikasi Semakan Markah Kokurikulum Online

P/s: Dahpun buat semakan markah kokurikulum Ude sebentar tadi.


Khamis, 24 Januari 2013

Salam Maulidur Rasul 1434H

Salam Maulidur Rasul 1434 H

Assalamualaikum. Segala puji dan puja dipanjatkan kepada Allah SWT yang telah mengurniakan pelbagai nikmat. Selawat dan salam buat junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW, penghulu segala nabi dan rasul.

Alhamdulillah, hari ini 12 Rabiulawal 1434H bersamaan 24 Januari 2013, sekali lagi kita menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah SAW. Sesungguhnya, keputeraan Rasulullah dan pengutusan baginda merupakan nikmat terbesar buat umat sejagat.

Saban tahun kita menyambut dan mengenang kelahiran baginda SAW, bermakna Rasulullah SAW semakin jauh dari kita. Namun sama-samalah kita telusuri sejarah baginda, kita agungkan dakwah dan jihad baginda, kita suburkan kecintaan kita kepada baginda serta jadikanlah baginda sebagai ikon terbaik agar semangat dan roh perjuangan baginda tetap membara dalam sanubari kita.

Salam Maulidur Rasul daripada ibu sekeluarga.




Rabu, 23 Januari 2013

Antara Redha dan Pasrah

Apakah yang dimaksudkan redha dan apakah pula pasrah? Apakah perbezaan antara kedua-duanya? Adakah selama ini kita redha dengan takdir Allah? Adakah kita pasrah semata-mata? Apakah pula ciri-ciri orang yang bersifat redha? 

Jom tonton Antara Redha Dan Pasrah oleh Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria...

 

[Tonton di Youtube]


Selasa, 22 Januari 2013

Ceria dalam Gundah

Assalamualaikum. Selamat petang.. 

Alhamdulillah bersua lagi di alam maya setelah sehari sepi tanpa bicara. Seperti yang telah ibu ceritakan dalam entri Sibuk, Sibuk dan Sibuk Lagi... minggu ini ibu bersama warga sekolah dalam penantian, menanti ketibaan ahli jemaah nazir yang akan datang memantau pada bila-bila masa

Melangkah ke sekolah hari ini dengan hati gundah gulana. Mana tidaknya, dalam dua kali pemantauan untuk anugerah yang sama sebelum ini ibu antara intan terpilih. Kali pertama ibu dipantau untuk sesi pengajaran dan pembelajaran manakala kali kedua dipanggil mengadap selaku ketua panitia. Huh, memang berpeluh sampai ke kakilah!

Namun demikian, hati yang gundah disulami ceria pagi ini apabila seorang teman menghulurkan sebuah kiriman setibanya ibu di pejabat. Sudah tentu hati berbunga riang sebab kiriman yang satu ini memang ditunggu-tunggu. Jom tengok apa isinya...


v



v



v



v



v



v



v



v



v



v



Pendrive Sony 4GB daripada Mialiana

Inilah hadiah kemenangan ibu dalam Giveaway Mialiana.com. Gembiranya hati tak terkata tambahan pula hadiah diiringi kad ucapan yang tertera header mialiana.com. Comel je...

Buat Mia,
Terima kasih yang tak terhingga daripada akak. Pemberian ini bukan sekadar hadiah malah membawa tanda persahabatan antara kita. Sayang Mia...


Ahad, 20 Januari 2013

Key Chain Kain Felt daripada Aliya Liyana Creations

Semalam blog ibu ni sepi lagi tanpa entri. Maklumlah tuannya sibuk mengalahkan PM. Cerita Key Chain Kain Felt daripada Aliya Liyana Creations  inipun sebenarnya dah basi. Lebih seminggu sampai barulah nak berkongsi..  

Key chain ini dah lebih seminggu ibu terima daripada Aliya Liyana tapi baru sekarang berkesempatan berkongsi cerita di sini. Ibu buat tempahan online dengan Liya semasa cuti sekolah yang lepas. Sebenarnya tempahan ini siap hanya beberapa hari selepas ibu tempah, tak perlu tunggu lama-lama, namun dek kesilapan sendiri yang terlupa buat bayaran, lambatlah sampai ke tangan.

Ada lima pilihan warna iaitu biru, pink, ungu, peach, dan kuning.

Paling suka sebab dapat free gift berupa frigde magnet yang comel ini. Terima kasih ye, Liya!

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama ibu berurusan dengan Liya. Cenderahati buat rakan-rakan top commenters dalam entri Yang Rajin Berbicara dulupun ibu tempah daripada Liya juga. Ibu suka dengan hasil kerja Liya yang kemas. Insyaallah lepas ini akan menyusul tempahan yang lain pula.

Jika ada rakan-rakan yang sedang mencari hadiah atau cenderahati, atau untuk diri sendiri bolehlah tengok hasil tangan Liya di SINI. Ibu yakin, pasti ramai yang tertarik nanti.

P/s: Terima kasih Liya. Akak beli ye..


Jumaat, 18 Januari 2013

Sibuk, Sibuk dan Sibuk Lagi...

Assalamualaikum. Selamat petang.

Alhamdulillah, berakhir sudah minggu yang amat sibuk buat ibu. Terima kasih buat rakan-rakan yang masih sudi berkunjung dan meninggalkan komen walaupun kunjungan tidak berbalas. Terharunya ibu. Sayang kalian semua...

Minggu ini ibu *dan rakan-rakan tahun 6 agak sibuk kerana perlu menetapkan headcount bagi calon UPSR 2013. Untuk tujuan ini, guru-guru perlu tahu keupayaan sedia ada dan potensi setiap murid. Oleh itu, penyediaan headcount ini memakan masa berhari-hari juga. Tambahan pula calon UPSR sekolah ibu agak ramai. 

Kegiatan kokurikulum juga dahpun bermula. Minggu ini setiap unit; unit beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan mengadakan mesyuarat pemilihan AJK. Faham-faham ajelah, jika murid-murid sekolah rendah bermesyuarat dan memilih AJK. Selepas tu, kena pulak buat surat pelantikan untuk guru dan murid di samping membuat perancangan tahunan.

Dalam pada itu, dapat pula khabar bahawa sekolah tersenarai lagi untuk pencalonan Anugerah Tawaran Baru (New Deal) bagi tahun 2012. Banyak perkara yang perlu dikemas kini sedangkan masa terlalu suntuk. Kesian tengok rakan-rakan sekerja *termasuklah diri sendiri yang dah macam kartun berkejar ke kelas di samping menyiapkan kerja-kerja. Namun, terpaksalah menerima hakikat bahawa inilah cabaran bekerja.

Ini adalah kali ketiga sekolah ibu tersenarai sejak anugerah ini diperkenalkan pada 2010. Alhamdulillah sekolah ibu berjaya menerima anugerah tersebut pada tahun 2010 dan 2011. Ibu pernah bercerita tentang hal ini dalam entri Penantian Belum Berakhir dan Berakhirnya Sebuah Penantian

P/s: Mohon rakan-rakan doakan agar pemantauan nazir pada minggu depan dipermudahkan.


Penyejuk Mataku

Pasangan dan anak-anak kita adalah penyejuk mata. Apakah maksud penyejuk mata? Apakah ciri-ciri pasangan dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata? Bagaimana mendapatkan pasangan dan anak-anak penyejuk mata

Jom ikuti kupasan tentang Penyejuk Mataku oleh Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria.


Kredit:Youtube


Khamis, 17 Januari 2013

Tarikh-tarikh Penting dalam Islam Tahun 2013/ 1434-1435 H


TARIKH-TARIKH PENTING DALAM ISLAM 
TAHUN 2013 / 1434 - 1435 H
TARIKH HIJRI
TARIKH MILADI
PERAYAAN/ KEBESARAN ISLAM
12 Rabiulawal 1434
24 Januari 2013
Maulidur Rasul 

27 Rejab 1434
6 Jun 2013
Israk dan Mikraj

1 Ramadhan 1434
* 10 Julai 2013
Awal Ramadhan/Berpuasa

17 Ramadhan 1434
26 Julai 2013
Nuzul Al-Quran
1 Syawal 1434
* 8 Ogos 2013
Hari Raya Puasa/ Idul Fitri

1 Zulhijjah 1434
6 Oktober 2013
Awal Zulhijjah 

10 Zulhijjah 1434
* 15 Oktober 2013
Hari Raya Korban/ Idul Adha

1 Muharam 1435
5 November 2013
Awal Muharam/Maal Hijrah

* Tertakluk kepada perubahan

Sumber : 
Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


Rabu, 16 Januari 2013

Menang Pendrive Sony 4GB ♥ Terima Kasih Mia!

Pagi tadi Mia telahpun mengumumkan pemenang Giveaway Mialiana.com namun ibu hanya dapat membaca pengumuman Mia tu tengah hari tadi setelah pulang dari sekolah. Alhamdulillah, berjaya juga ibu menempatkan diri antara sepuluh orang peserta bertuah yang akan menerima pendrive Sony 4GB daripada Mia. Terima kasih Mia! 

Ibu suka join giveaway ini sebab syaratnya yang mencabar kreativiti peserta. Kita perlu bersaing untuk menghasilkan entri yang bisa memikat hati Mia di samping menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan. Alhamdulillah, setelah beberapa kali menukar idea, akhirnya berjaya juga ibu hasilkan entri penyertaan Giveaway Mialiana.com.

Tahniah daripada ibu buat sembilan lagi pemenang. Sesungguhnya, mereka ini memang kreatif. Buat Mia, terima kasih yang tak terhingga daripada akak. Moga Mia sekeluarga terus dimurahkan rezeki dan bahagia sentiasa.

Terima kasih juga buat Arina kerana meminjamkan doodle comel dalam entri penyertaan.

P/s: Ada yang bertanyakan tentang idea LCD TV tu.. Ibu nak ceritakanpun malu sebab ibu pun terkial-kial nak hasilkan benda tu. hehe..


COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA