Jumaat, 13 Jun 2014

Tuhan Sedang Menguji Kita


Tuhan Sedang Menguji Kita merupakan sebuah buku motivasi islamik karya Ustaz Kazim Elias. Buku ini ibu baca beberapa bulan lepas. Lama juga nak menghabiskannya sebab tengah sibuk masa tu. Buku ini ibu pinjam daripada emak. Sedang tercari-cari, rupa-rupanya mak yang beli dulu.  

Buku ini padat dengan mesej yang cukup bermakna sama seperti kuliah yang disampaikan oleh penulisnya. Menurut UKE buku ini adalah kisah peribadinya yang menempuh pelbagai dugaan sebagai penceramah, namun akhirnya beliau berjaya mengatasi setiap dugaan berkat kesabaran dan panduan yang diberi oleh Allah melalui kitab-Nya, al-Quran. Pengalaman beliau itu telah diterjemahkan ke dalam buku ini.

Sebagai hamba, kita sentiasa diuji dan bentuk ujian itu pula pelbagai. Namun, apapun bentuk ujian, kesusahan atau kesenangan, semuanya adalah tanda kasih sayang Ilahi. 

Bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Begitu juga kehidupan manusia. Tidak pernah sunyi daripada dugaan. Umpama pelangi yang punya pelbagai warna, begitulah ujian bagi setiap hamba. Ada yang diuji dengan ketaatan, kesakitan atau musibah. Ada juga perangkap yang menunggu kita menjadi mangsa. 

ALLAH maha benar dan janji-Nya benar. DIA tidak akan menguji kita kecuali sesuai dengan kesanggupan diri. Siapakah lagi pelindung dan penyelamat kita selain ALLAH yang maha berkuasa? Maka, andai sesekali diri diuji, usah cepat mengalah. Mohonlah kepada-Nya. Moga rahmat dan hidayah-Nya sentiasa memayungi keberkatan perjalanan hidup kita.

Buku ini juga mengajar kita untuk bangkit daripada rasa kecewa, duka dan sedih dalam setiap ujian dan mengajak kita mencari hikmah tersembunyi di sebaliknya. Sebenarnya, ujian Allah tu ada sebabnya. 

Ada kala ujian itu bertandang untuk membersihkan dosa. Ada kala untuk mengajak kita bertanya, apakah diri sudah terlupa. Ya... terlupa siapakah kita di sisi-Nya. Terlupa dari mana datangnya dan ke mana pula hala hidup kita. Terlupa kita sebenarnya tidak punya apa-apa.

Buku ini sangat baik dibaca oleh semua golongan. Mengandungi ilmu, pencerahan dan tarbiah yang sangat baik. Banyak pengajaran dan tip yang amat berguna. Salah satunya adalah tips menghafal Al-Quran. Menurut UKE, beliau mengamalkan membaca sebanyak 40 kali satu halaman Al-Quran. Walaupun telah menghafaznya, beliau tetap mengamalkannya untuk mengukuhkan ingatan di samping memberi fokus yang lebih kepada bacaan ulangan tersebut. Beliau akan membawa hafazan berkenaan dalam solat sama ada solat sunat atau ketika menjadi imam solat fardhu berjemaah.

Bacalah buku ini kerana terdapat banyak ilmu di dalamnya. Insya-Allah ilmu yang kita peroleh daripada buku ini akan menjadikan kita lebih kuat, sentiasa bersyukur, sabar dan redha dalam menghadapi setiap ujian daripada Allah SWT. 

Judul: Tuhan Sedang Menguji Kita
Pengarang: Ustaz Kazim Elias
Penerbit: Karya Bestari
Harga: RM19.90/RM22.90 (S/S)
Tebal: 317 ms

Ps: Sedang membaca Cukup Hanya Allah.



10 ulasan:

  1. teringin juga nak baca
    nanti nak pi cari kat kedai buku :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cari jangan tak cari Tihara.

      Padam
  2. Wah,Min ade je selalu nampak buku ni...cuma masih banyak buku tak terbaca lgi...huhu...tahan nafsu untuk beli...:))

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tak rugi beli buku In..
      Ibupun dah beli lama buku ni.

      Padam
  3. bagus ni kene cari untuk menambah dan mengukuhkan pengetahuan kita...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang bagus buku ni Ayu. Boleh la beli..

      Padam
  4. ujian merupakan asam garam hidupppp....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul Yah..
      Itu tanda Allah sayang

      Padam
  5. menarik ni..nak cari jugala nnt

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang bagus buku ni. Boleh bagi anak-anak baca sbg motivasi..

      Padam

Terima kasih atas kunjungan dan komen-komen ikhlas daripada anda. Insya-Allah kunjungan anda akan dibalas.

COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA