Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
14 November 2012, bermula satu lagi episod kekejaman rejim Israel dengan serangan secara besar-besaran terhadap wilayah Palestin di Gaza. Pada hari yang sama, ketua sayap tentera kumpulan Islamis Hamas Palestin, Ahmaed said Khalil al-Ja;bari terbunuh dalam satu serangan udara yang mensasarkan beliau.
Seingat ibu, sejak kecil ibu telah dihidangkan dengan berita-berita kekejaman Israel. Banyak pengetahuan tentang Palestin yang ibu peroleh melalui pembacaan. Namun, ibu sedar pengetahuan anak-anak ibu tentang sejarah Palestin amat cetek. Beberapa hari ini Faiz dan Faiq banyak bertanya tentang Palestin dan Israel.
Jadi, ibu ingin simpan sedikit maklumat tentang sejarah Palestin di laman ini sebagai rujukan mereka. Boleh saja ibu minta mereka cari sendiri namun ibu bimbang maklumat yang diterima salah dan terpesong dari kenyataan. Dalam pencarian, ibu terjumpa beberapa artikel yang menyokong perjuangan Israel dan menegaskan bahawa bumi Palestin itu sebenarnya hak Israel.
Hari ini ibu nak kongsikan maklumat tentang Sejarah Palestin dan Israel.
Tanah Rahmat
Bagi kedua-dua pihak Islam dan Yahudi, tanah
yang didiami oleh Palestin dan Israel sekarang merupakan tanah yang
istimewa, yang telah ditentukan oleh Allah sejak ribuan tahun lampau.
Bagi umat Islam, di tanah inilah terbinanya Masjidil Aqsa, iaitu
masjid ketiga paling mulia di dunia ini, setelah Masjidil Haram dan
Masjid Nabawi.
Bagi penganut Yahudi pula, tanah tersebut merupakan 'Tanah Yang Dijanjikan Tuhan' kepada mereka.
Di situlah nenek moyang mereka berasal (Bani Israel), dan di situlah
kampung halaman mereka. Mereka percaya, di tanah itulah terletaknya
Bukit Zion, dan situlah tertanamnya Temple of Solomon, iaitu kuil suci
mereka.
Atas kedua-dua sebab inilah, tanah tersebut menjadi rebutan antara
Muslim dan Yahudi sejak dari dahulu, hinggalah membawa kepada
pertumpahan darah sekarang.
Bagaimana dengan Kristian pula? Kristian juga, menganggap tanah
tersebut sebagai tanah suci. Di Temple of Nazareth, yang terletak di
tanah tersebut, merupakan tempat kelahiran Nabi Isa.
Di tanah itulah Nabi Isa menyampaikan ajarannya, dan di tanah itu jugalah Nabi Isa disalib (mengikut kepercayaan kristian).
Sejarah Awal
Sebenarnya sejarah bani Israel wujud sedari zaman Nabi Ibrahim lagi.
Namun, kita susuri sedari kependudukan Bani Israel itu di Mesir,
sepertimana yang diutuskan Nabi Musa a.s kepada mereka.
Kita tahu melalui al-Quran, bahawa Firaun dan tenteranya mengejar
Nabi Musa dan kaumnya sehingga ke Laut Merah, di mana ketika itu Nabi
Musa menggunakan mukjizatnya membelah dan menyeberangi lautan tersebut.
Setelah itulah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israel mendiami tanah Palestin tersebut.
Kita boleh baca sendiri dalam al-Quran, betapa kaum ini semakin lama
semakin besar kepala, meminta yang pelbagai daripada Nabi Musa dan
sebagainya.
Kita juga boleh lihat kisah Talut dan Jalut yang berlaku setelah
kewafatan Nabi Musa, sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran melalui
surah al-Baqarah.
Setelah Talut menawan kembali tanah Palestin daripada kekuasaan
Jalut, tampuk pemerintahan Palestin disambung pula oleh Nabi Daud.
Seterusnya disambung oleh Nabi Sulaiman, dengan bala tenteranya dan
kegemilangan kerajaannya (termasuk haiwan, jin dan angin).
Palestin dimiliki oleh Bani Israel, sehinggalah lebih kurang 60 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa.
Pada tempoh ini, kerajaan Rom menekan kependudukan Bani Israel di
tanah Palestin tersebut, sehinggalah akhirnya tanah Palestin dijarah
oleh tentera Rom dan kaum Bani Israel diusir keluar lalu tersebarlah
kaum Bani Israel, atau dikenali sekarang sebagai Yahudi, ke serata
dunia.
Sejak itu, tanah Palestin menjadi milik kerajaan Rom.
Sehinggalah setelah kelahiran Nabi Isa, seterusnya kewujudan agama Kristian.
Lebih kurang pada tahun 300 Masihi, kerajaan Rom di bawah
pemerintahan Raja Constantine yang menjadikan Constantinople sebagai
pusat pemerintahan, mengalami Kristianisasi.
Sejak dari tempoh tersebut, kerajaan Rom menguasai Palestin.
Kedatangan Islam
Palestin kekal di bawah milik kerajaan Rom sehinggalah kelahiran Nabi
kita Muhammad s.a.w. Setelah Rasulullah berjaya menubuhkan empayar
Islam, beliau wafat pada 632 Masihi.
Empayar Islam semakin berkembang dan Palestin berjaya ditawan dari
kerajaan Rom pada tahun 638 Masihi. Maka sedari itulah Palestin menjadi
milik Islam, sebagai tanah suci yang ketiga selepas Makkah dan Madinah.
Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan Rom yang telah menjalani
Kristianisasi mengalami pelbagai perubahan daripada sudut struktur
pemerintahan.
Bangsa-bangsa asal Eropah seperti Vikings, Magyar dan sebagainya dikristiankan, dan pemerintahan dikuasai oleh golongan gereja.
Sejak dari 1000 Masihi, tentera Kristian telah melakukan pelbagai
usaha menawan kembali Palestin. Pada tahun 1063, Pope Alexander II
memberikan 'fatwa' mengerahkan penganut Kristian untuk berjuang
mendapatkan kembali Palestin, dan barangsiapa yang berjuang diberikan
status kemuliaan dan pengampunan tertinggi.
Itulah yang dikenali sebagai Perang Salib (Crusades).
Akhirnya pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin, dan menguasai tanah suci tersebut selama hampir 200 tahun.
Menawan Semula
Setelah Palestin ditawan, kerajaan Islam yang sedia ada konflik dalaman pada ketika itu, semakin hilang semangat.
Keadaan berlanjutan sehinggalah lahirnya seorang pemimpin agung, yang dikenali sebagai Salahuddin Al Ayyubi.
Salahuddin Al Ayyubi, menyatukan masyarakat Arab yang ketika itu
berpecah belah akibat perbezaan mazhab dan aliran, seterusnya membawa
tentera Islam menyerang kembali Palestin.
Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibu negara Palestin berjaya
ditawan, dan pada tahun 1291 kubu terakhir tentera Salib di tanah suci
tersebut berjaya dimusnahkan.
Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai.
Malahan, penduduk asal Palestin iaitu Yahudi/Bani Israel dibenarkan
pulang ke kampung halaman mereka, walaupun masih ramai yang bermastautin
di luar. Kerajaan Islam berkembang meluas, hinggalah masuk ke era pemerintahan Turki Uthmaniyyah.
Zaman Turki Uthmaniyyah mengalami kejatuhan sejak dari abad ke-19 lagi.
Proses modenisasi semakin berlaku, dan kebergantungan terhadap kuasa
barat semakin wujud. Krisis-krisis dan konflik dalaman melemahkan lagi
kekuasaan empayar Turki Uthmaniyyah.
Khalifah pada masa tersebut hanyalah pada nama. Empayar Islam semakin
lemah, di bawah kekuasaan barat seperti Britain dan Perancis.
Perang Dunia Pertama
Akhirnya, pada tahun 1914, tercetusnya Perang Dunia Pertama. Perang
ini terdiri daripada dua kuasa besar; iaitu Pakatan Bertiga
Britain-Perancis-Rusia menentang Pakatan Pusat iaitu Jerman dan
Austria/Hungary.
Setelah perang berterusan, negara-negara lain seperti Amerika
Syarikat dan Itali menyertai Pakatan Bertiga, manakala Kerajaan Turki
Uthmaniyah pula menyertai Pakatan Pusat.
Berada di bawah Pakatan Pusat, kerajaan Turki Uthmaniyyah diserang
hebat oleh Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia. Kerajaan Islam Timur
diserang dan ditawan oleh Britain.
Kerajaan Islam Barat yang menjangkau hingga ke Algeria dan Sudan manakala negara-negara utara Afrika dikuasai oleh Perancis.
Kerajaan Islam juga diserang dari utara oleh Rusia, menyaksikan Rusia menawan kawasan utara kerajaan Islam.
Perlu diberi perhatian bahawa pada ketika ini, masih belum wujud
negara bangsa dan kerajaan Islam disatukan di bawah satu pemerintahan
khalifah, manakala setiap kawasan pula ditadbir oleh gabenor
masing-masing.
Perpecahan Negara Arab
Pada ketika tempoh inilah, kerajaan Turki Uthmaniyyah mengalami
konflik yang semakin hebat. Britain melalui perisiknya yang dikenali
sebagai Lawrence of Arabia, menyuburkan semangat nasionalisme di
negara-negara Arab.
Pejuang kebangsaan/nasionalisme Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah.
Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal I, berpaling tadah dan memihak kepada Britain.
Sejak itulah kerajaan Arab menjadi tali barut Britain. Pada tahun
1915, Britain mula menduduki kawasan Iraq. Akhirnya pada 1917, Britain
menduduki semula kawasan Palestin.
Tentera Britain, diketuai General Allenby, memasuki Palestin pada 9
Disember 1917 lalu memberi ucapan, "Hari ini, Perang Salib sudah
berakhir".
Pada 1917, Britain mengisytiharkan Deklarasi Balfour, iaitu
perjanjian antara kerajaan Britain dengan ketua persatuan Yahudi Britain
ketika itu, yang mana antaranya menjanjikan tanah Palestin kepada
Yahudi.
Penempatan Yahudi di Palestin meningkat, dari 50,000 penduduk sebelum
itu kepada mencecah setengah juta penduduk, manakala penduduk Islam
Palestin ketika itu hampir mencecah 1.4 juta.
Wakil daripada Yahudi ketika Deklarasi tersebut merupakan seorang Yahudi bernama Chaim Weizzmann.
Weizzman juga merupakan seorang saintis, malahan saintis pertama yang
menghasilkan bahan kimia acetone, seterusnya acetone digunakan sebagai
cordite, iaitu sejenis bahan letupan yang menyumbang besar kepada
kejayaan Britain dalam perang tersebut.
Weizzman mendesak Setiausaha Luar Britain ketika itu, Arthur Balfour, supaya diadakan Deklarasi tersebut.
Dek terhutang budi ke atas sumbangan Weizzman, kerajaan Britain bersetuju.
Pada mulanya, Britain menawarkan tanah di Uganda kepada Weizmann,
namun Weizmann menolak dan mahukan Palestin. Dikatakan, Weizmann
bertanya kepada Balfour:
"Encik Balfour, katakanlah saya menawarkan Paris dan London kepada encik, yang mana satukah yang encik mahukan?"
"Tetapi, kami sememangnya sudah memiliki London!"
"Betul itu, tetapi ketika London masih lagi sebuah kawasan paya, kami telahpun memiliki tanah Palestin!"
Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin.
Pada tahun 1919, Emir Faisal I ketika itu pula menandatangani
perjanjian antara beliau dengan Chaim Weizzmann, menyatakan sokongan
sepenuhnya beliau dan kerajaan Arab kepada Deklarasi Balfour.
Pada tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama.
Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah Palestin.
British dan Perancis mula menjalankan kolonisasi di tanah-tanah
jajahannya. Bertitik tolak daripada situ wujudlah negara bangsa, apabila
sempadan-sempadan digariskan memisahkan sempadan agama.
Kejatuhan Turki Uthmaniyyah
Pada tahun 1918, tentera kolonial Britain menduduki pusat pemerintahan Turki Uthmaniyyah, iaitu Istanbul.
Pada tahun 1922, setelah tamat Perang Dunia Pertama, sebuah
Persidangan Lausanne diadakan, yang antaranya mempunyai beberapa
tuntutan seperti sistem khalifah ditamatkan, khalifah mestilah dibuang
negeri, harta khalifah dirampas, dan kerajaan turki baru akan ditubuhkan
atas dasar sekular.
Ya, persidangan tersebut menjanjikan kemerdekaan ke atas negara Turki.
Seorang ahli Parlimen Turki pernah bertanya kepada Lord Curzon, ketua
perunding pihak pakatan ketika itu, "Kenapa hanya Turki dimerdekakan,
sedangkan negara-negara Arab yang lain masih di bawah pemerintahan
kolonial?"
Lord Curzon menjawab, "Hakikatnya Turki telah dimusnahkan dan tidak
akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatannya -
Khalifah dan Islam".
Dalangnya utamanya, Mustafa Kamal Attartuk. Dia mengeluarkan ugutan
ke atas kabinet Turki ketika itu, lalu merombak parlimen sedia ada yang
tidak bersetuju dengan persidangan tersebut.
Parlimen kedua yang ditubuhkan juga tidak bersetuju dengan persidangan tersebut.
Akhirnya, Mustafa Kamal Attartuk mengadakan konspirasi politik lalu
merampas tampuk pemerintahan. 3 Mac 1924, kerajaan khalifah secara
rasminya ditamatkan.
Pada pagi hari tersebut juga, khalifah terakhir, Khalifah Abdul Mejid II, diusir keluar dan dibuang negeri.
Mustafa Kamal Attartuk mengambil mengambil takhta, dan proses pengsekularan bermula.
Holocaust
Keadaan berterusan, sehinggalah naiknya seorang pemerintah Jerman ketika itu, iaitu Adolf Hitler.
Ketika tercetusnya perang dunia kedua oleh beberapa sebab, Hitler
melaksanakan pelan pemusnahan kaum yang dikenali sebagai Action T4.
Pelan ini merencanakan pembunuhan Euthanasia beramai-ramai keatas golongan tertentu, majoritinya Yahudi.
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, dianggarkan hampir seramai 6 juta Yahudi di seluruh Eropah mati dibunuh.
Setelah mengalami kerugian yang besar, Britain berundur dari Palestin dan tanah-tanah jajahannya yang lain pada 1948.
Penglibatan Amerika Syarikat
Amerika Syarikat, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel.
Pada asalnya, Israel tidaklah wujud sebagai sebuah negara yang hakiki.
Setelah Holocaust yang dilakukan oleh Hitler tamat, jumlah penduduk
Yahudi yang ada adalah sedikit, serta mereka hidup dalam kesusahan dan
ketakutan.
Pada ketika itulah, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Harry Truman.
Pada November 1947, tuntutan tersebut dibawa ke persidangan Persatuan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) lalu pemisahan Palestin dideklarasikan.
Pada 16 May 1948, kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin, dengan sokongan dari PBB.
Presiden Harry Truman menyokong sepenuhnya penubuhan Israel, maka wujudlah penempatan Israel di tanah Palestin sehingga kini.
Presiden Israel yang pertama ialah Chaim Weizmann.
Palestin Sekarang
Sedari peristiwa Holocaust, ramai Yahudi berhijrah ke Amerika atas
dasar terbuka negara tersebut terhadap mereka, serta ramai juga yang
pulang ke tanah air di Israel.
Yahudi di Amerika diterima dengan tangan terbuka, bantuan dan
pekerjaan diberikan kepada mereka atas dasar belas kasihan akibat
Holocaust tersebut.
Dari situlah, Yahudi di Amerika berkembang dan memegang tampuk ekonomi dan pentadbiran Amerika.
Amerika, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua,
memberikan sokongan tanpa putus-putus kepada negara Israel, yang
didirikan di atas tanah Palestin yang dirampas secara haram.
Sehingga kini, Israel terus-terusan menyerang Palestin dalam usaha
meluaskan sempadannya. Palestin pula berjihad, dalam usaha menawan
kembali Masjidil Aqsa.
Sejak kerajaan khalifah Islam tumbang, tiada sesiapa lagi yang mahu menyokong Palestin.
Negara-negara Islam yang lain tunduk takut dan akur kepada Amerika.
Sampai bila keadaan ini akan berakhir? Hanya dua; sama ada Palestin
akan terus dihapuskan dan Masjidil Aqsa dimusnahkan dalam usaha mereka
mencari Temple of Solomon, ataupun tertegaknya kembali kerajaan khalifah
Islam yang menyokong perjuangan Palestin.
Di manakah kita? Kita boleh berdiam diri tidak berbuat apa-apa,
sekaligus menjadikan kesudahan yang pertama tadi sebagai realiti.
Ataupun, kita boleh berusaha melakukan sedaya upaya menyokong perjuangan Palestin, yang membawa kepada kesudahan yang kedua.
Fikir-fikirkan.
[sumber]
bagusnya kak salmi share sejarahnya... memang sentiasa memanjang ada je pertumpahan darah walapun dah kuatkuasan renjatan senjata... huhuhu
BalasPadamterima kasih kak ibu atas perkongsian ini....nanti boleh print out suruh sumaiyyah baca
BalasPadamtengok peta dh tahu siapa yg menindas...tp kuasa2 bsr nie mcm ttp mata jerk kn. kesian mrk :(
BalasPadamisrael sangat kejam . humm
BalasPadam